Assalam
Mungkin anda semua sering mendengar perkataan 'ikhsan' ini dan mungkin juga apa yang anda faham ialah perkataan ini membawa maksud 'berbudi mulia' dan sering kali juga ikhsan dikaitkan dengan sumbangan manusia untuk manusia yang lain.
Pun begitu, dalam Islam dan prinsip ibadah, ikhsan juga membawa erti kepada kesempurnaan atau melakukan ibadah dengan sebaik mungkin dan cara yang tepat. Ikhsan itu membawa tahap 'Muhsin', lebih tinggi daripada Muslim dan Mukmin, iaitu beragama Islam dan beriman kepada Allah. Tahap muhsin, bila manusia itu melakukan ibadah dengan tekun kerana merasakan bahawa Allah sedang memerhatinya. Tahap ini juga boleh berubah-ubah, sama seperti tahap keimanan seseorang itu, boleh berubah-ubah juga. Ada ketika mungkin tahapnya baik, ada ketika tahapnya kurang baik. Semuanya bergantung pada keadaan di mana seseorang itu khusyuk atau tidak, juga tahap ambil beratnya untuk melakukan ibadah dengan 'sempurna'.
Dalam pada itu, manusia mempunyai sifat ikhsan antara manusia dan manusia yang lain juga. Tahap inilah yang kita anggap sebagai 'belas kasihan'. Misalnya apabila kita sebagai anak merasakan 'belas kasihan' pada ibu bapa yang sudah uzur yang berada dalam keadaan yang memerlukan. Manusia semuanya dijadikan berperingkat-peringkat. Dari bayi hingga ke dewasa hinggalah tua dan akhirnya kepada kematian. Semua manusia akan melaluinya sekiranya Allah memberi umur kepadanya. Sebagai insan yang mempunyai perasaan 'ikhsan', insan itu akan mempunyai sifat simpati pada insan yang lain terutama ibu bapa mereka, kerana satu hari nanti, insan itu juga akan berada di tahap yang serupa ibu bapanya. Walaupun mungkin kaya-raya, namun kalau Allah mahu jadikan kita lemah dan tak berupaya, maka kita sebagai manusia akan perlukan ikhsan orang lain untuk teruskan kehidupan.
Bila menyentuh hal 'ikhsan' ini, ada ketika manusia itu juga perlu memasangkan sifat 'ikhsan' nya kepada orang lain, sekalipun mungkin orang lain itu telah melukakan hatinya atau telah berbuat dosa. Ada ketika, kita perlu keluarkan sifat 'ikhsan' kita kepada mereka yang telah menzalimi jiwa dan batin kita. Sifat 'ikhsan' itulah yang membuatkan kita menjadi manusia yang jauh lebih baik lagi. Misalnya... mungkin pasangan kita telah 'mengkhianati' kita, namun dia telah insaf dan bertaubat. Ketika itulah kita sebagai manusia bersifat 'ikhsan', menyalurkan 'belas kasihan' kita kepadanya agar dirinya itu kembali ke jalan yang lurus dan menjadi manusia yang soleh atau solehah.
Mungkin hari ini apa yang saya tulis ini agak berat untuk anda fahami, namun sebagai manusia yang perlu hidup setiap hari, perkara-perkara seperti ini mungkin jadi penting buat kita. Jangan biarkan diri kita hidup tanpa ikhsan kerana sifat itulah yang akan menjadikan kita insan yang lebih mulia, in syaa Allah.
Setiap apa yang tak baik kita lakukan kepada insan lain, pasti ada balasannya. Wallahuaklam.
Wassalam.