Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Monday, June 15, 2015

Mulut Jahat Dan Kaki Pukul

Assalam

Alhamdulillah, hari Isnin yang dingin. Semalam hujan lebat, pagi ini juga hujan lebat di sini. Rasa seronok, macam berada di negara bercuaca dingin. Syukur sekali lagi. Saya pun taklah banyak menyiram pokok, kecuali yang berada di bawah bumbung.

Pagi ini saya nak bawa suatu topik sensasi yang mungkin merupakan sesuatu yang dipendam ramai wanita di luar sana. Bukannya apa tetapi saja nak mengingatkan diri sendiri dan juga semua wanita tentang hak kita sebagai wanita di sisi agama dan masyarakat Islam. Sebagai insan, kita semua mempunyai hak, tidak pernah Islam meletakkan wanita di taraf yang lebih rendah daripada lelaki. Kalau di zaman jahiliah memang ada anak perempuan yang ditanam hidup-hidup, tetapi dalam Islam tidak pernah begitu. Allah swt mahukan setiap insan yang dilahirkan sebagai perempuan sentiasa menjaga aurat, maruah dan darjat agar wanita itu tidak menjadi bahan atau dizalimi oleh mana-mana pihak, termasuk suami sendiri atau ayah dan abang.

Dalam urusan pemberian harta, pihak lelaki sentiasa diberi lebih daripada perempuan kerana tanggungjawab mereka untuk melindungi perempuan. Kalau ada adik, ibu atau kakak yang belum berkahwin, sudah bercerai atau menjadi balu, ia merupakan tanggungjawab adik-beradik lelaki atau ayah (kalau masih ada) atau anak lelaki (yang sudah dewasa) untuk pastikan wanita-wanita ini dilindungi dalam semua segi.

Namun hari ini, kebanyakan lelaki tak menjalankan tanggungjawab mereka. Bila sampai bab mendapat harta, mereka mahu lebih, tapi bila tiba masa untuk menjalankan tanggungjawab, ramai yang lepas tangan. Malah, anak lelaki ramai yang tak ambil berat tentang ibu mereka, tetapi bila tiba masa untuk mendapat harta ibu, merekalah yang akan berebut!

Begitu juga dalam hal rumah tangga. Banyak suami yang lepas tangan tentang hal urusan perbelanjaan. Makan minum, bumbung untuk melindungi diri, kadang-kadang menjadi beban perempuan. Hari ini, kebanyakan perempuan terpaksa keluar mencari rezeki kerana tanpa berbuat begitu, mungkin hidup mereka tidak selesa. Namun dalam banyak hal, anak-anaklah yang akan terabai kerana tiada yang fokus padanya. Ibu bapa mula mengharapkan servis orang lain termasuk pihak pengurusan penjagaan anak-anak atau 'orang gaji' yang digajikan di rumah!

Paling malang bagi wanita, kalau mereka berkahwin dengan lelaki yang suka marah-marah atau kaki pukul. Bila tak kena saja, maka keluarlah kata-kata kesat yang menyinggungkan atau menyakitkan hati. Kata-kata pedih kadang-kadang mampu merosakkan jiwa seseorang, lalu meruntuhkan semangatnya. Tetapi kalau dapat suami kaki lempang atau kaki terajang, lagilah sakit, bukan hanya jiwa raga, tetapi secara fizikal dan mental!

Kalau dah tahu lelaki itu punyai mulut jahat dan kaki pukul, elok elakkan saja daripada mereka!

Mungkin taklah terlalu ramai yang macam tu, tapi memang ada di merata-rata tempat. Bagi wanita yang mempunyai suami yang begitu, pastikan anda tahu hak anda. Jangan biarkan diri dizalimi kerana tiada peruntukan dalam Islam untuk dijadikan hak lelaki mendera isteri mereka.

Dalam begitu, wanita juga perlu tahu akan 'limit' mereka. Janganlah pula jadi wanita yang kuat membebel, kemaruk material dan mahukan suami lakukan segal-galanya untuk mereka hinggakan suami tak mampu! Jangan bebankan suami. Memang ada ramai wanita yang begitu, yang tahu 'mahu semuanya' sedangkan suami tak berdaya.

Apa-apa pun, jadilah insan yang dekatkan diri dengan agama, lalu tahu akan hak dan keperluan serta tanggungjawab masing-masing. Jadilah manusia yang mulia, menjaga maruah diri dan menjaga maruah agama.

Wassalam.




                                                      Sekadar hiasan - cilok dari Yahoo