Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Tuesday, June 26, 2012

Tak Ada Siapa Tahu Apa Ada di Hati





Salam sayang semua

Sekarang ini memang dah jadi trend, ramai selebriti yang berhijrah ke alam 'hijab' atau 'jilbab'. Bagi saya, bila ada yang mahu lakukan perubahan dalam hidup mereka, ke arah yang lebih 'cemerlang', apa salahnya, kan? Sebab itulah lebih baik kita jangan mengumpat atau mengata mereka yang tidak 'berhijab' itu sebagai jahat atau jahil, kerana kita tak tahu apa yang akan terjadi di masa akan datang. Lagipun, tak semesti bila dah tutup seluruh badan, hati dan jiwa juga bertukar bersih. Hanya Tuhan yang tahu. Apa pun, lebih baik kita bersangka baik daripada bersangka buruk tentang insan di dunia ini terutama dari segi pakaian dan luaran ni.

Sebagai muslim, eloklah kita berdoa dan minta pada Tuhan agar semua umat Islam di negara ini dan di dunia ini diberikan hidayah ke arah yang lebih baik dalam semua segi, luar dan dalam. Sekali lagi saya tegaskan bahawa hati di dalam itu sepatutnya jauh lebih baik daripada sekadar luaran sahaja.

Pun begitu, bila kita masih muda dan berjiwa muda, naluri kita perlukan 'kepuasan' dari pelbagai segi dan di antaranya ialah pakaian. Sudah menjadi kebiasan dan trend, remaja dan mereka yang masih muda, mahukan sesuatu dalam ketrampilan seharian. Tidak mahu ketinggalan. Memang terlalu ramai yang tak sanggup nak tutup keseluruhan tubuh tanpa apa-apa fesyen. Huhu... biasalah tu. Mungkin kita tak perlu jadi hipokrit dan terlalu berlagak dalam hal untuk menjaga 'aurat' sedangkan hati meronta-ronta untuk bergaya.

Saya bukan seorang ustazah, jadi saya bercerita 'biasa' sahaja tentang kemahuan manusia hari ini. Dalam hal untuk menutup 'aurat', keinginan untuk bergaya tetap wujud dalam hati. Mungkin ada yang kata '"Mana boleh bergaya, tak baik, berdosa tu." Huhu... saya tak nak komen, takut nanti ada yang melenting-lenting.

Rata-rata kita manusia hidup di dunia ini mudah sangat buat keputusan dan buat hukuman tentang orang lain, betul tak? Kalau seseorang itu berlaku lain daripada biasa, kita akan buat tuduhan. Yang peliknya, kita jarang nak ambil berat tentang 'hati'. Kalau kita baca dan menghayati ayat-ayat dalam al-Quran, Tuhan sering mengingatkan kita untuk berlaku baik buat manusia lain dan juga alam ini.

Okeylah... terpulang pada kefahaman kita dan niat kita. Semuanya terletak di hati, kan? Tak ada siapa yang tahu apa ada di hati, hanya Allah SWT sahaja.

Wassalam.