Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Friday, February 29, 2008

Akademi Buku

Perkara baru yang dibangkitkan hari ini; sudah dibina sebuah akademi buku yang akan membantu penulis, penerbit, pencetak buku... dan macam-macam lagi. Itulah yang dijanjikan mereka. Malah, sudah disediakan dana untuk membantu. Saya agak sedih juga bila mendengar Pak Menteri kita berkata bahawa ramai penulis yang datang menemuinya dan merungut-rungut kerana kata mereka, hidup sebagai penulis, payah! Tak boleh nak cari makan. Mungkin betul lah tu. Tapi, mungkin Pak Menteri didatangi oleh mereka yang tak betul-betul rancang untuk jadi penulis. Sekalipun ada di antara mereka yang kata payah untuk hidup sebagai penulis, tahukah kita bahawa ramai juga penulis di Malaysia ini mempunyai pendapatan yang lumayan? Malah, ada yang pendapatannya melebihi mana-mana CEO jabatan kerajaan. Kira lumayanlah tu!

Apabila kita memilih untuk jadi penulis, kita kena kreatif dan fikirkan cara yang terbaik untuk berjaya sebagai penulis. Kita kena tahu apa yang patut kita tulis dan untuk siapa. Kita tak boleh main redah dan tulis saja ikut kata hati kita kerana apa yang kita hendak di dalam hati mungkin tidak sama dengan apa yang pembaca kita mahukan. Kita kena bijak mengatur langkah sebagai penulis. Kita kena bijak cari kawan dan jauhi daripada mereka yang suka berdengki dengan kita. Dalam dunia penulisan, akan ada mereka yang menyuruh kita lakukan perkara-perkara yang boleh menyekat kita daripada menjadi lebih kreatif. Tanyalah mereka yang tahu tentang bisnes buku ini. Sebagai penulis, kita kena ambil tahu tentang bisnesnya juga, tak boleh main tulis dan tak kisah apa akan terjadi dengan buku kita selepas itu. Kita kena tahu apa strategi yang dilakukan oleh penerbit kita. Kita kena bantu juga penerbit kita dalam hal promosi.

Kalau semuanya kita lakukan dengan teratur, insya-Allah kita akan berjaya sebagai penulis.

Ada seorang penulis bertanya dengan saya, tak apakah kalau dia menulis dalam pelbagai genre? Saya jawab, kenapa tidak? Itu adalah hak kita. Tulislah apa sahaja asal kita tahu apa yang kita tulis itu ada pasarannya. Tulislah, asal kita tidak tulis perkara yang orang tak hendak baca. Tulislah dengan semangat untuk menyebarkan ilmu dan ilmu itu kita sebarkan mengikut keupayaan pembaca atau target group kita.

Dalam cakap-cakap tentang Akademi Buku ini, saya terasa amat pelik kerana semua perkara dibangkitkan tetapi tidak langsung tentang hal pemasaran dan penjualannya. Hanya sekadar pengurusan produknya sahaja. Saya rasa, kalau kita mahu berjaya dalam hal 'buku'... banyak lagi perkara yang mesti kita utamakan. Kalau tidak, buatlah apapun... kita masih berada di takuk yang lama juga!

Thursday, February 28, 2008

Hidup Sebagai Penulis

Ini adalah pengalaman saya sendiri. Bila saya memilih untuk jadi seorang penulis, banyak perkara yang perlu saya jaga kerana ada ramai di luar sana yang sebenarnya dapat menolong kalau betul caranya. Apa yang saya maksudkan ialah sekadar budi bahasa kita dengan orang di sekeliling kita, sekalipun mungkin orang itu tidak terlibat terus dengan kita.

Perhubungan saya dengan semua pihak 'retailer' (kedai buku besar) mestilah sentiasa baik kerana mereka yang tolong menjual buku saya dan mereka juga buat promosi untuk saya. Begitu juga dengan kedai-kedai kecil. Kita jangan ingat bahawa kedai kecil tak banyak tolong kita, kerana melalui pengalaman saya, banyak kedai kecil yang membuat promosi untuk orang kenal produk saya. Bagi saya, tak kiralah orang itu kecil atau besar, kedai itu kecil atau besar... semuanya sama. Sebenarnya, kita tak tahu rezeki kita datang dari mana... kerana itu adalah ketentuan Tuhan. Kita buat kerja dengan ikhlas dan kalau orang lain tak tahu, tak mengapa, kerana Tuhan tetap tahu dan Tuhan sentiasa membantu asal kita juga mahu membantu diri sendiri.

Begitu juga dengan pihak media. Saya tak pernah kisah kalau orang tak kisahkan saya sangat. Bagi saya, yang penting ialah budi bahasa saya. Kita tak tahu bila orang nak tolong kita, tapi kalau kita awal-awal lagi dah nak tunjuk sombong, memang orang tak akan tolong kita. Setakat ini, alhamdulillah.... tak pernah lagi kalau saya minta tolong, mereka buat tak tahu. Saya bersyukur kerana pihak media selalu membantu saya. Alhamdulillah.

Begitu juga dengan mereka yang membuat buku saya. Saya sentiasa berterima kasih. Saya tak pernah lupa budi Alaf21, kerana merekalah yang telah memperkenalkan saya kepada dunia buku ini. Bagi saya, apa sekalipun perkara remeh yang mungkin membuat saya terasa, tidak penting. Yang penting ialah perhubungan saya dengan semua orang yang terlibat secara langsung atau tidak terlibat secara langsung. Semua orang adalah penting kerana tanpa mereka, siapalah saya.

Saya selalu mengingatkan diri bahawa dunia buku ini adalah sebuah dunia yang terlalu kecil. kita tak boleh hidup seorang diri. Mungkin kerana itulah kita terpaksa jaga kata-kata kita dan budi bahasa kita kerana kalau kita buat tak elok dalam dunia buku ini, semua orang akan tahu. Macamlah yang saya katakan tadi, dunia buku terlalu kecil. Tak hari ini, esok orang akan tahu juga. Apa saja yang kita lakukan, pastikan bukan untuk membuat orang lain terasa, kerana kalau kita tak kisah, satu hari nanti kita pula akan terkena. Sebagai penulis, itulah yang sudah saya pelajari. Saya jaga tutur kata saya agar saya tidak menyinggungkan pihak yang selalu membantu saya dan mereka yang selama ini telah menyokong saya. Bukan hanya saya perlu buat baik kepada rakan penulis, saya juga suka melayan semua pembaca saya kerana tanpa mereka semua... seperti apa yang saya kata tadi, siapalah saya ini.

Inilah hidup saya sebagai penulis!

Sunday, February 24, 2008

Cerita Buku

Baru-baru ini, saya berbual-bual dengan beberapa orang rakan penulis. Salah seorang rakan lama saya bertanya, apakah gosip hangat sekarang ini tentang dunia buku? Saya menjawab, "Tak tahulah kalau ada yang lebih hangat lagi daripada tentang kisah pemilihan buku teks sastera sekolah (KOMSAS)."

Kawan saya berkata, "Oh... yang itu?" Katanya lagi, dia sudah jemu mendengar dan membaca pertelingkahan tentang hal ini terutama di surat khabar. "Bukan semua surat khabar bincang sangat hal ni, yang satu tu saja." Katanya. "Yang lagi satu... tak minat. Kata editor bahagian sasteranya, dia sudah jemu dan bosan melayan kerenah orang-orang yang beremosi tentang hal sastera ini. Selagi buku mereka tak dipilih, selagai itulah mereka akan menghina penulis-penulis lain yang bukan macam mereka."

Saya berkata pula, "Saya memang tak kisah. Lantaklah nak panggil orang lain apa. Popular, picisan... panggillah. Kalau rasa tulisan orang lain picisan, lihat pula kepada penulisan mereka. Bagus sangatkah? Tak ada perkara lucah dimasukkan? Ada tu, lagi teruk daripada karya yang mereka anggap sebagai picisan. Ada yang memang 'bias'... hanya mahu menganggap puak mereka sahaja yang mampu menghasilkan karya yang nilainya tinggi. Apakah kalau menang apa-apa anugerah sastera, itu bermakna bahawa hasil karya mereka patut diangkat ke mana-mana sahaja, termasuk memaksa pelajar sekolah membacanya? Kenapa kita tak tanya pelajar-pelajar itu sendiri, seronok tak membaca karya-karya ini? Faham tak? Berapa banyak ilmu yang telah mereka dapat daripada membacanya. Yang penting, bacakah tidak pelajar-pelajar itu, atau sekadar membelek sahaja? kalau kita berjaya dapatkan jawapan yang positif, ayuh apa lagi, teruskanlah! Sumbatkan sahaja hasil-hasil karya begitu kepada pelajar-pelajar sekolah kita agar mereka terus jadi orang yang tinggi ilmunya dan cepatlah mereka sampai ke bulan nanti! Janganlah biarkan mereka membaca hasil-hasil yang tak bermutu, nanti takut macam makan 'mi segera'!"

"Eh... buat apa awak beremosi sangat?" kata kawan saya itu. Dia mula ketawa.

"Tak adalah. Mana ada. Saja saya seronok nak cakap. Orang lain boleh cakap, saya pun boleh juga." Jawab saya.

"Peduli apa kita pada mereka. Sebenarnya mereka memang sakit hati. Apa lagi yang boleh mereka lakukan kecuali timbulkan kekecohan. Kalau tak buat macam tu, siapa lagi nak tolong jual buku mereka? Ingat senang ke nak suruh orang baca buku dia orang tu? Kalau tak kena paksa, tak akan ada yang nak baca. Setidak-tidaknya, buku kita ada dijual di kedai. Kalau nak beli, belilah, kalau tak, tak apa. Kita tak menangis dan kita tak payah jerit-jerit minta tolong pihak kementerian atau paksa pihak kementerian tolong ambil karya kita."

"Yalah... kesian juga pada dia orang, kan? Siapa lagi nak tolong?"

"Tu lah, memang kesian. Lagipun... kalau tak ada hasil karya mereka ini, bayangkanlah. Tentu pelajar kita akan jadi bertambah lemah."

Saya pun terfikir-fikir juga. Bukankah selama ini, buku-buku merekalah yang dijadikan buku teks? Kenapa pelajar kita masih tak suka membacanya? Entahlah... saya tak mahu peduli!

Thursday, February 21, 2008

Cita Rasa Orang Melayu

Kalau kita mahu menjual barang, tak kiralah apa sahaja barangan kita itu, kita mesti tahu kepada siapa mahu kita jual barang kita itu. Secara mudah, siapa 'pasaran' kita itu. Sekiranya target group kita adalah orang Melayu, kita harus faham apa yang orang Melayu suka. Kalau kita cerita tentang pakaian, kita kena tahu apa cita rasa orang Melayu. Tengok kepada wanita Melayu kita, apakah design dan warna yang menjadi kegemaran orang kita?

Semasa saya di England dulu, saya perhatikan, orang Inggeris tidak suka pakaian yang mempunyai banyak warna. Sekalipun warna yang terang, orang Inggeris suka pada corak yang simple, tidak macam kebanyakan orang kita yang suka pakai pakaian yang berwarna warni. Begitu juga dengan hiasan rumah, pinggan mangkuk, apa yang digemari oleh orang kita tidak sama seperti orang Barat, juga tidak sama dengan mereka yang berketurunan Cina atau India di negara ini.

Mungkin kerana cita rasa yang berbeza inilah, bila kita mahu menjual buku dan target group nya orang Melayu, kita harus faham apa yang orang Melayu suka untuk melihat pada kulit buku dan di dalamnya. Mungkin kerana itu juga, kalau kita 'design' buku kita ala-ala buku Barat, buku kita payah untuk dijual kerana yang membeli buku kita bukan orang Barat tetapi orang Melayu! Sekalipun ramai orang Melayu hari ini lebih elegan dan canggih daripada dulu, rata-rata, orang Melayu hari ini tak banyak berbeza dengan orang Melayu yang dulu. Jadi, kita kena berjaga-jaga untuk memahami cita rasa orang yang mahu membeli produk kita!

Tuesday, February 19, 2008

Apa Itu Bahagia?

Apabila soalan ini diajukan kepada kita, apakah agaknya jawapan yang kita hendak berikan? Bahagia itu bila ada duit banyak? Rumah besar? Kereta besar, mewah dan banyak? Anak banyak? Ada orang kata, kita akan mengecap kebahagiaan bila semuanya kita ada, termasuk sebuah kejayaan. Kejayaan pula disukat dengan melihat kecemerlangan pada diri, seperti kelulusan akademik, besarnya syarikat milik kita, tingginya jawatan yang kita pegang, kuasa besar yang kita ada dan macam-macam lagi. Ada juga yang merasakan kebahgiaan itu ada pada kita bila kita duduk di masjid lebih banyak daripada di rumah, memberi ceramah sana sini, menasihati orang tentang kehidupan, bila semua orang menghormati kita, bila orang semua kenal kita dan macam-macam lagi.
Sebenarnya saya tidak mempunyai satu jawapan untuk diri ini. Mungkin kalau saya dapat tidur lena dan tak ada apa-apa yang mengganggu fikiran, saya sudah merasakan sebuah kebahagiaan, atau mungkin kalau saya tahu saya tak punyai hutang di mana-mana, atau mungkin bila saya ke luar pintu bilik saya dan melihat air tasik yang tenang dan angin meniup sepoi-sepoi bahasa dan saya berjaya untuk melemparkan sebuah senyuman... saya dapat merasakan kebahagiaan itu? Entahlah, saya betul-betul tak tahu.

Thursday, February 14, 2008

STRATEGI HIDUP GEMILANG

Dalam dunia bisnes, atau dunia apa sekalipun, kita sentiasa kena memasang strategi tertentu untuk pastikan bisnes kita, atau apa sahaja yang kita lakukan itu, berjalan dengan baik. Dalam hal ini, sebagai orang Islam, strategi yang digunakan mestilah sesuai dengan garis panduan agama kita. Kita tak boleh main redah sahaja, kerana kalau tak betul cara, pintu neraka akan terbuka luas menunggu kita.

Setiap apa yang kita lakukan di dunia ini, pastikan kita melakukannya dengan niat yang baik. Janganlah bila kita berkuasa besar, maka kita gunakan kuasa itu untuk memerah orang lain. Janganlah kita menikam kawan kita di belakangnya. Sekalipun kita mahu bermusuh, bermusuhlah secara bersih. Kalau kita nak cepat kaya, lakukanlah dengan cara yang mulia, jangan sebabkan kita yang hendak kaya, maka kita pastikan orang lain jadi papa! bangsa merana!


Antara sifat yang paling dibenci Tuhan ialah sifat menyombong! Ramai di antara kita, bila sudah terasa bagus, kita juga akan menyombong diri. Janganlah begitu, kerana suatu hari nanti, kita juga akan pergi. Kalau kita mengamalkan sifat merendah diri, bila kita pergi nanti, akan ramailah yang terasa hati. Bersedih kerana kehilangan.

Sebagai manusia, lakukanlah yang terbaik, muhasabah pada diri, ingat-ingatlah selalu. Kita hanya sekadar menumpang dunia yang fana. Bila sampai masa untuk pergi, janganlah strategi untuk menggemilangkan kehidupan dunia kita akan membawa kita terus ke pintu neraka!

Sunday, February 03, 2008

Pulangnya Panaharjuna

Pertama kali saya bertemu dengan penulis ini ialah semasa saya menghadirkan diri di sebuah bengkel PTS. Ketika itu, saya tidak mengenali sesiapapun kecuali Puan Ainon Mohamad. Saya terlihat jejaka ini yang membawa sebuah laptop dan dia memakai songkok. 'First Impression' saya ialah dia bukan merupakan seorang yang peramah, kerana bagi saya ketika itu dia kelihatan serius. Namun, andaian saya tidak tepat. Saudara Ahmad Zafran ramah orangnya. Dari situlah saya mengenali beliau. Saya menghormatinya kerana dia rajin membantu kami dengan berkongsi idea-idea bernas dan dia tak pernah lokek ilmu. Malah, dia rajin memasuki ruang forum KarnaDya dan berkongsi ilmu untuk disebarkan kepada penulis lain.

Bila saya mendapat berita bahawa Saudara Ahmad Zafran a.k.a. Panaharjuna meninggal dunia pada hari ini, saya terkejut dan berasa sedih teramat sangat. Dia rajin menghadirkan diri semasa kami baut bengkel dan dia sentiasa memberi nasihat kepada kami tentang perkara-perkara yang kami kurang faham. Sebagai rakan penulis, saya menghormatinya kerana dia tidak pernah memandang rendah kepada penulis seperti saya ini. Saya amat terasa akan kehilangan jejaka muda ini, semoga Allah SWT ampun segala dosanya dan mencucuri rahmat ke atas rohnya. Al- Fatihah.

Saturday, February 02, 2008

Sastera vs Penulisan Kreatif

Apabila perkara sastera dibincangkan, akan ada yang 'terasa' kerana selalunya masing-masing mempunyai tafsiran sendiri. Mungkin kerana ini juga, maka wujudlah 'label-melabel' tentang produk-produk atau karya ada ada di negara ini. Maka adalah karya yang dilabel sebagai 'sastera popular' atau 'novel popular' ada pula 'novel picisan', ada 'sastera berat' ada juga dikategorikan sebagai 'satera ala Dewan Bahasa' dan macam-macam lagi kategori yang mengelirukan.

Apabila perkara ini dibincangkan dan dibentangkan, masing-masing keluarkanlah teori masing-masing untuk menguatkan hujah. Perkara ini menjadi bertambah sensitif bila soal pemilihan buku teks sastera menjadi isu yang dibangkitkan. Ada orang kata 'buku' ini tak sesuai kerana penulisnya bukan orang sastera, 'buku' ini juga tak sesuai kerana penerbitnya bukan Dewan Bahasa atau penerbit yang 'ala-ala sastera'. Masing-masing berentap dan ramai yang tersinggung. Soal utama dalam hal ini kerana masing-masing hanya lihat pada 'mata wang ringgit' yang akan mereka perolehi bila 'buku' mereka dipilih. Bertambah menjadi-jadi, bila ada kem-kem tertentu yang cuba berkempen untuk 'buku-buku' tertentu dipilih oleh pihak Kementerian Pelajaran. Timbullah isu sogok-menyogok yang masih kabur-kabur. Maka tersiarlah macam-macam cerita sensasi.

Memang pelik lagi menghairankan, kerana buku-buku yang menjadi isu adalah buku-buku orang Melayu. Kita sanggup tikam-menikam kerana perkara-perkara yang menjadi rebutan orang Melayu. Kenapa kita tak rebut benda lain yang menjadi rebutan orang bangsa lain? Kita sanggup 'biar semua tak dapat' daripada 'kita yang tak dapat'. Masing-masing nak rebut pemilihan buku teks ini, macam nak minta menang loteri. Kita tak nak kerja susah. Kita nak cari kerja mudah. Tidakkah kita tahu bahawa lagi susah kerja kita itu, lagi banyak barkatnya? Tuhan akan beri rezeki yang lebih baik kepada mereka yang berusaha dan buat kerja dengan jujur dan ikhlas.

Apa yang remaja di sekolah perlukan ialah pengetahuan tentang penulisan kreatif, bukan lagi soal sastera itu atau sastera ini. Selagi kita masih kekal dengan pemikiran untuk kekalkan sastera seperti apa yang ada, janganlah kita terkejut bila satu hari nanti, sudah tidak ada lagi bidang sastera (literature) dimuatkan di sekolah seperti apa yang kita dok sibuk berentap!

Sama-samalah kita fikirkan soal ini. Penulisan kreatif dapat membantu anak Melayu kita untuk minat membaca dan menulis. Kalau pandai menulis, luas pilihan mereka bila sudah berada di alam pekerjaan. Kalau minat membaca, anak-anak kita akan terus membaca pelbagai jenis buku yang ada di pasaran. Jadi, berjaga-jagalah kita tentang apa yang kita mahu untuk sekolah hari ini. Kekalkan sastera seperti apa yang ada sekarang ini dan biarkan anak-anak kita hilang minat dan akhirnya mematikan subjek itu, atau berubahlah ikut peredaran zaman dan beri peluang agar remaja sekolah kita lebih kreatif!