Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Friday, July 15, 2011

Aku Berada Di Sini Buat Seketika Waktu Sahaja


Salam

Ada seorang kenalan berkata kepada saya, "Kenapa agaknya ada orang lebih suka melihat orang lain kurang daripada dia, tak suka lihat orang lebih daripada dia? Saya berasa pelik, sebab orang macam ni tak nak serahkan pada Tuhan tentang rezeki ni. Kan rezeki kita ditentukan Tuhan?"

Iyalah... kita berusaha dan kerjalah kuat-kuat. Kalau ada rezeki, insya-Allah, kalau kurang, tak apa, kita boleh berusaha lagi. Lagipun, hidup dalam dunia ni bukannya kerana nak cari duit sahaja. Banyak hal lain yang kita kena ambil peduli, kerana bukan duit yang tentukan kita bahagia atau tidak.

Semalam, saya melihat satu program (luar negara)yang menceritakan tentang seorang selebriti (penulis dan pengacara program TV) yang pernah menjadi popular dan kaya-raya. Setelah mengecapi segala kejayaan, dia jatuh tergolek-golek, terus hilang kesemua hartanya, termasuk rumah, pendapatan, segala aset yang ada, malah dia juga hilang suaminya (kerana bercerai) dan akhirnya, anaknya yang sakit turut meninggal dunia. Bertahun-tahun lamanya dia terpaksa teruskan kehidupan seperti orang yang sudah tiada apa-apa. Kini, dia sedang belajar untuk bangkit semula.

Begitulah kita manusia. Kita belajar untuk mencapai kejayaan daripada segala kerumitan dan cabaran. Tanpa itu semua, kita tak dapat menilai apa itu 'baik' dan apa yang tidak. Kita tak tahu menghargai sesuatu yang bermakna untuk hidup kita. Kita akan terus 'take things for granted', seolah-olah itulah hak kita.

Turun naik dalam kehidupan adalah perkara biasa. Namun, tak usahlah kita berasa hampa kalau kita sedang dicabar, kerana tiada manusia yang hidup di dunia ini tanpa cabaran. Pun begitu, setiap apa yang kita ada, bersyukurlah.

Berulang-ulang kali saya tuliskan hal ini dalam blog saya ini, kerana berulang-ulang kali juga teman-teman berkata-kata tentang benda yang sama. Apa pun, sebagai manusia, kita kena selalu beringat bahawa kita hanya tumpang di dunia ini. Sampai masa nanti, kita akan pergi jua. Sementara waktu yang ada ini, janganlah bersikap dengki pada teman-teman dan kenal-kenalan kita. Tidak juga pada adik-beradik kita. Sentiasalah kita beringat-ingat, bahawa bila-bila masa pun Tuhan boleh ambil segalanya daripada kita, termasuk nyawa kita.

Bila saya melihat program semalam tu, terdetik di hati saya, 'Adakah aku menghargai segala apa yang Tuhan beri padaku? Adakah aku terlalu pentingkan harta di dunia ini hinggakan aku terlupa untuk menikmati hidup seadanya? Adakah aku merupakan manusia yang tamak, aku hanya ingat perutku sahaja hinggakan aku sanggup pijak orang lain untuk cuba mencapai 'kebahagiaan'?'

Bagi saya, biarlah saya fikirkan semua ini daripada biarkan diri tak pernah fikirkan hal-hal ini. Siapalah saya ini, hanya makhluk yang diciptakan Tuhan untuk berada di bumi ini buat seketika waktu sahaja.