Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Thursday, February 05, 2009

Pilih Suami

Semasa zaman saya dulu, ramai anak gadis yang berkahwin di usia yang muda. Ada di antara kawan baik saya bernikah sebaik sahaja tamat LCE (sekarang ini kita panggil PMR). Dalam usia 15 tahun dia sudah pun bersuami. Kawan saya itu sekarang ini adalah seorang pelakon drama dan setelah berpisah dengan suami pertamanya, dia sudah berkahwin dua kali lagi!

Rata-rata semasa zaman saya dulu, anak gadis berkahwin dalam usia 20, 21 atau 22. Ada juga yang lebih daripada itu (Kalau ke universiti, biasanya sebaik sahaja tamat pengajian, mereka berkahwin) tetapi ketika itu, itu bukanlah trend masyarakat. Saya sendiri berkahwin dalam usia 21(masih belajar di UM lagi).

Semasa di kampus dulu, semasa kami baru masuk, kami digelar freshy dan budak lelaki meletakkan posisi gadis2 freshy sebagai 'buku red spot'(Menjadi rebutan). Bila dah masuk tahun dua, kami sudah duduk di atas shelf (Ada ketika masih jadi rebutan juga). Tapi bila masuk tahun yang penghujung, anak gadis yang belum berpunya dikatakan berada di 'shelf majalah'(ambil, tengok-tengok lepas itu letak balik). Begitulah kami kerana bergelar 'perempuan'.

Masa itu juga, apabila anak gadis yang masih tidak ada 'teman' dan tiba-tiba sahaja cuba bergaya dan tukar imej, akan dipanggil 'strata' - konon-kononnya sedang memasang strategi untuk mencari bakal suami! kalau diingatkan memang lucu, tetapi itulah keadaannya semasa di kampus dulu! saya tak tahulah trendnya sekarang, kerana orang sekarang tak ambil kisah sangat pasal hal itu semua. Rata-rata gadis sekarang berkahwin pada umur yang lebih lanjut daripada kami di zaman saya dahulu.

Apa pun, saya ingin mengingatkan anak gadis zaman sekarang, agar pilihlah suami yang beriman, yang mencari rezeki cara halal. Janganlah kita tergila-gilakan mereka yang ada harta sahaja! Jangan risau kalau dia bukan jenis yang berduit. Rezeki Tuhan berikan kepada mereka yang rajin dan Tuhan juga berikan zuriat yang baik-baik bagi mereka yang mencari rezeki secara halal!