Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Monday, August 31, 2009

Merdekakan Mentaliti...




Hari ini hari Merdeka... 52 tahun. Saya tak pernah tersasul tentang umur kemerdekaan negara kita, sebab dari kecil lagi saya memang tahu sangat-sangat. Semasa zaman saya dahulu, tak payah pun ada semangat Satu Malaysia yang perlu dipupuk dalam diri rakyat Malaysia, padahal ketika itu, ramai rakyat Malaysia ada yang masih tak fasih berbahasa Melayu. Tetapi, saya dan rakan-rakan pelbagai bangsa, kami tak pernah pun ada perasaan 'racialism', kami anggap diri kami sama sahaja kecuali keturunan dan agama mungkin berbeza. Kami meraikan pelbagai aktiviti perayaan bersama-sama dan kami belajar bersama-sama, malah ketika itu kami lepak pun bersama-sama. Sehingga sekarang, kami masih rapat walaupun generasi anak-anak kami sudah tak serupa lagi.

Di mana silapnya saya tak tahu, tetapi saya percaya memang ada silapnya. Negara hari ini dah lama tidak mempunyai rakyat yang mahu bertolak ansur, atau mahu bekerjasama antara rakyat yang pelbagai kaum. Betul kita duduk bersama-sama, tetapi kita tidak lagi mengenali orang lain yang bukan sekaum dengan kita. Mungkin kita tidak 'racist' tetapi kita mengamalkan 'racialism'... kita tak pedulikan kaum lain. Kita tak campur dengan bangsa lain dan kita tak ambil peduli dengan orang yang bukan sekaum dengan kita. Kerana itu juga, bagi mata orang luar (Bukan rakyat Malaysia), kita tidak mesra, sekalipun kita melabelkan bangsa kita sebagai bangsa yang berbudi bahasa.

Satu Malaysia? saya sering tertanya-tanya. Mungkinkah ini akan terjadi sedangkan orang kita tak mahu pun duduk atau berbual sekali. Kita tak mempunyai satu bahasa yang boleh dijadikan 'means of communication'. Antara orang Melayu pun sukar, inikan pula yang berbagai keturunan dan bangsa. Saya melihat Satu Malaysia mungkin lebih mantap di Sabah dan Sarawak. Cuba lihat orang di Sabah dan Sarawak bertutur bahasa Melayu. Mereka lebih fasih tak kira apa sekalipun keturunan atau etnik mereka. Mereka juga mempunyai bahasa Ibunda, namun bahasa Melayu merupakan bahasa yang digunakan oleh semua orang di sana. Mereka juga lebih fasih berbahasa Inggeris daripada orang Semenanjung.

Mungkin ada di antara kita tak suka dengan penulisan saya ini, tetapi bagi saya ini adalah sebuah realiti. Kita perlu merdekakan mentaliti dan sikap orang-orang kita hari ini. Kita perlu luaskan pandangan dan tingkatkan ilmu kita untuk menjadi satu bangsa yang hebat mentalitinya. Selagi mentaliti kita tak kita tingkatkan, maka tidak merdekalah kita ini. Mungkin Satu Malaysia yang disibuk-sibukkan ini hanya sekadar mimpi atau strategi yang tak bererti. Sekadar 'suka-suka' atau sekadar untuk berpura-pura.

Masuklah ke kampus-kampus dan perhatikan anak-anak kita. Mereka tidak duduk bersama-sama. Lihatlah di 'shopping mall', tak ada pun yang melepak bersama-sama. Masuklah ke kawasan perumahan, tak ada yang ambil kisah tentang jiran yang berbeza kaumnya. Masing-masing dengan hal masing-masing. Masuk pula ke sekolah... anak Melayu masuk sekolah biasa, anak Cina masuk sekolah Cina, anak India masuk sekolah India... di mana letaknya semangat Satu Malaysia kalau sejak kecil lagi tiada komitmen apa-apa? Berbeza keadaannya di Sabah dan Sarawak.

Lihat pula pada iklan yang sering dipaparkan... asyik-asyik Melayu, Cina dan India yang diberikan keutamaan sedangkan etnik lain diketepikan, malah dalam promosi Satu malaysia juga begitu, seolah-olah negara kita ini, itu sahaja yang ada... sekadar tiga keturunana sahaja. Masih kita nak cakap pasal Satu malaysia?

Saturday, August 29, 2009

Bila nak kata Insya-Allah



Dengan izin Tuhan, atau dengan izin Allah SWT... kerana itu kita katakan insya-Allah. Tetapi kenapa kita katakan juga macam tu kalau siang-siang lagi kita dah memang plan tak nak buat. Misalnya untuk menerima jemputan orang. Apabila orang menjemput, dengan pantas kita menjawab insya-Allah, padahal ketika itu kita dah tak ada niat untuk menerima. Apakah kita sengaja menggunakan perkataan insya-Allah kerana dengan berbuat demikian kita tidaklah perlu memberi sebab kenapa kita tak mahu menerima undangannya?

Bagi saya, memang pelik. Kalau dari awal lagi atau memang kita tak berniat untuk menerima undangan orang itu, buat apa lagi kita kata insya-Allah? Jawab terus terang yang kita memang tak dapat nak pergi. Berilah apa-apa sebab atau tak payah beri sebab. Lebih baik buat begitu kerana dengan cara itu, bolehlah orang tadi mengajak orang lain dan dari awal sudah tahu yang kita tak akan datang. Lebih baik daripada menunggu-nunggu atau mengharap-harap. Menghampakan harapan orang adalah suatu perbuatan yang tak baik.

Kita bolehlah berkata insya-Allah kalau sememangnya kita berniat untuk menerima undangannya, tetapi pada waktu yang ditetapkan itu, dengan tidak sengaja kita terlupa dan tak dapat pergi. Itu memanglah tiada izin Tuhan untuk kita ke sana, atau pada waktu itu, sesuatu yang tak dapat dielakkan terjadi dan kita tak dapat datang. Seelok-eloknya kita beritahu pada orang yang menunggu itu. Jangan biarkan orang itu terus menunggu.

Apa-apa pun, janganlah mudah sangat kita keluarkan perkataan insya-Allah, kalau di dalam hati kita sudah buat keputusan tak akan menerimanya atau tak akan melakukannya. Jangan sengaja menghampakan harapan orang. Katakan insya-Allah sekiranya kita benar-benar berniat untuk menerima atau melakukannya. Hanya kuasa Tuhan sahaja yang akan menghalang kita daripada melakukannya.

Wallahua'lam.

Friday, August 28, 2009

Nak Jadi Tuan Puteri



Masih nak cerita pasal zaman kanak-kanak. Tak tahulah kenapa, mungkin sebab bulan puasa kot. Masa kecil dulu, bulan puasa memang meriah, maklumlah kan saya ni banyak adik-beradik? Ada-ada saja ceritanya. Tapi hari ni, bukan saya nak cerita pasal saya atau adik-bradik saya, tetapi pasal fantasi kanak-kanak perempuan.

Kebanyakan kanak-kanak perempuan yang berusia antara empat hingga 10 tahun atau lebih, suka berangan-angan nak jadi Tuan Puteri atau Princess. Bagi mereka 'princess' cantik, kaya, ada taman dan istana yang besar dan cantik, ada dayang dan yang penting, mesti ada putera yang akan jatuh cinta dengannya.

Sebenarnya, fantasi ini atau impian ini akan terus berada dengan mereka hinggalah dewasa. Sekalipun dah kahwin atau mungkin dah beranak-pinak, dan mungkin tinggal di rumah biasa-biasa sahaja, namun impian seperti itu tetap ada... cuma tak diluahkan saja. Mungkin kerana itu jugalah, ramai yang suka baca novel romantis, penuh dengan cerita-cerita yang seronok dan juga dengan benda yang cantik-cantik belaka. Memang tak salah pun. Ia merupakan satu terapi dan akan membuatkan seseorang itu rasa senang dan tenang. Kalau kita rajin membaca, tak kira apa sahaja, biasanya kita akan berfikir-fikir dan otak kita sentiasa berjalan dan itu adalah baik untuk kita. Elok kalau kita sentiasa pastikan anak-anak kita membaca sejak kecil lagi agar otak mereka sentiasa berkembang dan jiwa mereka sihat. Wallahua'lam.

Thursday, August 27, 2009

Crooked House!



Semasa saya kecil dulu, saya suka sangat baca buku kanak-kanak yang menceritakan kisah seorang yang 'crooked' yang tinggal di dalam 'crooked house'. Entah kenapa saya pun tak tahu, tetapi masa tu, saya selalu berangan-angan untuk tinggal di dalam rumah seperti itu. Crooked! geli hati bila teringat pasal tu. Mujurlah rumah saya tak pernah 'crooked'! Hehe... kalau tidak, jenuhlah pulak.

Tetapi, begitulah fantasi seorang kanak-kanak. Sebab itulah, apabila kita melakarkan cerita untuk kanak-kanak, kita kena fikirkan benda yang pelik-pelik, sebab kanak-kanak memang suka macam tu. Cara pemikiran mereka, kebiasaannya tidak terlalu normal. Tidak seperti orang dewasa. Sebab itulah cerita yang ala-ala 'merepek' itulah yang menarik minat kanak-kanak. Malah, mereka suka benda-benda yang baru dan ada 'adventure'.

Jadi, bagi mereka yang teringin menulis cerita untuk kanak-kanak, fikirkanlah perkara-perkara yang agak 'merepek' sedikit... biasanya, benda macam nilah yang disukai kanak-kanak. Mereka suka apa-apa yang mencabar minda mereka. Malah, banyak cerita Nabi-Nabi yang mempunyai kisah begitu... yang mencabar minda!

Wednesday, August 26, 2009

Be Happy!




Paling saya benci ialah kalau tak boleh tidur malam. Maklumlah apabila berusia begini, kadang-kadang memang ada problem pasal tidur ni. Saya tak suka terjaga malam, lepas tu payah nak tidur balik. Benci! benci! benci!

Tapi jarang-jarang saya macam tu. Biasanya okey saja, alhamdulillah.

Saya tak suka kalau terpaksa fikir yang bukan-bukan. Saya suka fikir benda yang baik-baik. Sebab itulah dalam penulisan saya, saya suka paparkan benda yang elok-elok, cantik-cantik, indah-indah dan yang menyenangkan. Apa-apa yang negatif tidak saya highlightkan sangat... sekadar bercerita sahaja.

Bagi saya, insya-Allah selagi Tuhan izinkan, hidup ini indah. Dan kerana itu, janganlah kita mengotorkan keindahan dalam hidup kita.

Banyak pembaca sangka yang saya ini orang kaya. Ramai yang menulis kepada saya dengan fikiran yang begitu. Mungkin kerana ada ketika saya bercerita tentang kedaaan hidup orang kaya. Sebenarnya saya bukanlah orang kaya, sederhana sahaja hidup saya ini. Syukur alhamdulillah, saya tiada kekurangan dari segi makan minum, tetapi bukanlah boleh dikategorikan sebagai mereka yang kaya-raya. Saya pernah hidup susah dan keadaan seperti itu juga saya gambarkan dalam novel saya. Ingat Kau Laksana Bulan?, begitu juga kisah Adil dalam Hanya Kita Berdua. Bukan semua yang saya cerita kisah orang kaya. Begitu juga dengan Nuraina dalam Sesuci Cinta. Dia juga bukan berasal daripada orang kaya. Nama Aku N semestinya kisah hidup anak gadis yang datang dari keluarga yang miskin.

Pun begitu, ramai juga kenalan saya orang kaya dan saya biasa melihat kehidupan orang kaya. Malah, ada ahli keluarga saya yang memang kaya-raya dan dari situlah datangnya inspirasi untuk saya bercerita.

Bagi saya, tak kisahlah kita kaya atau susah, yang penting hidup mesti positif. Ingat pada dunia dan juga akhirat. Dunia itu penting tetapi akhirat lagi penting, sebab itu semasa kita hidup, kita kena buat benda baik, fikir yang baik-baik, supaya hidup kita jadi baik untuk bekalan di akhirat nanti.

Hati mesti baik ma!

Be happy! itulah yang sering saya katakan kepada anak-anak. Kalau kita happy, perkara susah akan jadi senang. Baik kepada orang lain agar orang lain akan buat baik kepada kita. Jangan takut kepada tohmahan orang, hidup dalam dunia memang begitu. Mesti ada orang yang benci pada kita. Asal kita berniat baik, Tuhan akan sentiasa peliharai kita, insya-Allah.

Tuesday, August 25, 2009

London, England, United Kingdom... Yang Mana Ni?


Saya tak tahulah kenapa, tetapi ramai yang keliru. Banyak yang sangkakan bahawa London itu serupa dengan England dan sama juga dengan United Kingdom. Saya pernah terbaca novel yang menyebut Manchester di London. Ada pula tu bercerita konon-kononnya Si A, belajar di 'Overseas' (bukan oversea, ya)... tempatnya di Manchester, tetapi kemudian sudah dikatakan London pula. Aduhai... memang keliru.

Ada sekali tu pula (dah lama dah) saya membaca novel yang menceritakan kisah 'couple' ini yang bertemu di Wales. Alih-alih di bahagian belakang pula, tempat yang di sebut ialah United States? alamak! macam mana ni? Kantoi!

Sebagai penulis, kita kenalah semak dulu dan betul-betul tahu tentang tempat-tempat ini sebelum kita menulis dalam manuskrip kita. Tolonglah... London itu adalah ibu negara England dan United Kingdom. Macam Kuala Lumpur. Takkan kita nak bercerita tentang Ipoh dan kita kata yang Ipoh itu berada di Kuala Lumpur kot?

Kalau kita sebut tentang tempat seperti Manchester, Liverpool, Newcastle, Bath... semua tu memang di England, atau boleh juga kita kata di United Kingdom. Tapi bukan di London!

Kalau kita menyentuh tempat-tempat seperti Cardiff, Swansea... itu adalah di Wales atau United kingdom, tetapi sekali lagi tempat itu bukan di London atau England. Begitu juga tempat-tempat di Edinburgh, Aberdeen atau Glasgow. Tempat-tempat ini di Scotland, atau kita boleh katakan di United Kingdom. Jangan keliru. Bukan semua tempat di United Kingdom itu letaknya di London.

Sebaik-baiknya, kalau kita hendak bercerita tentang temapt-tempat yang kita tak tahu atau kurang tahu, elok kalau kita semak di Internet dulu. Sekarang ini memang tak susah. Tengok di google! Tempat macam Gong Kedak pun kita boleh jumpa.

Kalau kita buat silap tentang tempat-tempat seperti apa yang saya katakan tadi, pembaca akan terkilan. Kalau pembaca yang tak tahu, tak apalah... tapi yang tahu, macam mana?

Saya sekadar mengingatkan kerana terlalu kerap kita melihat kesilapan seperti ini.

Monday, August 24, 2009

Jangan Berdendam


Dalam bulan yang mulia ini, ada satu perkara yang ingin saya ingatkan anda semua termasuk diri saya juga.Ini adalah tentang 'berbalas dendam'. Kalau kita terasa marah atau benci kepada seseorang kerana apa yang telah dilakukan kepada kita, janganlah kita memutuskan untuk membalas dendam, kerana biasanya yang akan terkorban nanti adalah diri kita sendiri.

Hak untuk mendenda seseorang insan kerana kesalahan yang telah dilakukan ialah hak Tuhan. Kalau kita terlalu mengikut hati yang sakit, macam-macam perkara buruk yang akan kita lakukan. Paling baik, kita amalkan sahaja sikap toleransi. Memang payah, tetapi kalau kita jangan terlalu fikirkan sangat tentang perasaan marah dan geram kita itu, pasti kita akan berjaya untuk mengawalnya. Kalau kita berjaya untuk mengawal, kitalah yang akan menang. Tuhan sentiasa menganugerahkan sesuatu yang baik buat orang yang bersabar.

Berdendam ialah suatu sifat yang tidak sihat. Lagi kita rasa hendak membalas dendam, maka lagi tertekanlah diri kita ini. Tidak baik untuk jantung dan juga tidak elok untuk tekanan darah kita. Buat apa kita buang masa? terutama kalau apa yang kita marahkan itu adalah perkara biasa atau perkara kecil sahaja. Memang tidak berbaloi. Belajarlah untuk relakskan hati dan jiwa.

Wallahua'lam.

Sunday, August 23, 2009

Merantau Membawa Hati?



Seperti penulis lain juga, kadang-kadang saya berdepan dengan kebuntuan. Ada idea tetapi tak tahu macam mana nak mengaturnya. Dalam keadaan yang begitu, saya berasa seronok apabila tiba-tiba sahaja ada panggilan dari kejauhan. Katanya panggilan itu dari luar negara dan katanya lagi yang memanggil itu adalah peminat novel saya.

Ah, macam tak percaya! tapi tentunya saya percaya. Saya juga pernah tinggal di sana, tak sama tempat, tapi taklah jauh mana. Apa sekalipun, saya memang seronok berbual dengan pembaca itu. Maklumlah, dia sangat mesra dan banyak pula ceritanya. Kali pertama berbual dah rasa macam lama dah kenal. Apatah lagi kali kedua... rasa macam ada pertalian yang sangat rapat.

Dia bercerita kepada saya macam mana dia berada di negara itu. Pun begitu, saya tetap tertanya-tanya. Saya mahu memahami hatinya. Tentu ada sesuatu yang membuat dia begitu cekal untuk ke sana. Mungkin teringin, tetapi saya tetap percaya... ada sesuatu yang membawanya ke sana.

Bawa hatikah dia? atau mungkin dia ingin menghiburkan perasaan yang mungkin terasa kosong pada ketika itu. Entahlah. Nanti saya akan bertanya lagi.

Bukan mudah untuk kita luahkan hati kepada orang lain. Mungkin kita akan mencuba, tetapi biasanya kita akan berkata sesuatu yang lebih mudah untuk orang menerima. Namun, yang terperap dan mungkin yang menggoreskan hati kita, masih terselit dan payah untuk kita luahkan.

Apa pun, saya tabik padanya. Dia berani untuk merantau walaupun tak ada sesiapa di sana (yang boleh dikatakan saudara sedarahnya). Saya juga percaya, segala pengalaman yang dilalui akan dikenangnya buat selama-lamanya. Hidupnya di sana tak mungkin dapat ditanding dengan mana-mana pengalaman yang lain. Seorang diri, namun dia tetap 'happy'.

"Tak rasa nak balik ke?" saya menyoalnya.

"Ada juga. Tapi saya nak tunggu dulu." Itulah katanya.

Ah, tentunya ada sesuatu, kan?

Mungkin kalau dia membaca blog saya ini, dia akan menghubungi saya lagi dan mungkin kali ini, dia akan meluahkan lagi. Mungkin apa yang terselit nun jauh di hatinya akan dikongsi sama dengan saya. Biarlah seorang penulis seperti saya memahami hatinya itu.

Friday, August 21, 2009

Marhaban Ya Ramadhan

Selamat menyambut bulan yang mulia ini, semoga kita sama-sama menikmatinya. Makan serba sedikit semasa berbuka. Jaga-jaga makanan, agar tidak memudaratkan kita semua.

Thursday, August 20, 2009

Gambar Majlis Perkahwinan Faiz dan Zafirah




Di atas permintaan, saya letakkan beberapa imej majlis perkahwinan Faiz dan Zafirah.

Gambar Majlis Perkahwinan Faiz dan Zafirah2



Gambar Majlis Perkahwinan Faiz dan Zafirah 3


Cantik vs Hipokrasi


Sukar untuk kita mengandaikan. Payah untuk kita menyukat, tetapi itulah hakikatnya. Rata-rata kita sebagai manusia biasa, jarang mengambil kira tentang apa yang ada dalam hati. Fizikal lah yang biasanya menjadi alat untuk kita menyukat. Kalau cantik di luar, maka indahlah bagi mata kita. Jarang-jarang kita melihat apa yang tersorok di dalam hati, kerana itu mengambil masa untuk kita menilainya.

Mungkin kerana itu juga, kita tak sedar apabila kita berdepan dengan suatu hipokrasi. Fizikalnya membuat kita menjadi buta hati. Keindahan di depan sering mengaburi mata kita hinggakan kita tidak melihat kelemahannya.

Tentu sekali! manusia banyak kekurangan. Pun begitu, janganlah kita menjadi lemah hanya kerana kecantikan yang mempesonakan. Cantik itu sangat subjektif. Hari ini mungkin kita melihat sesuatu itu indah, tetapi esok-esok mungkin ia berubah menjadi buruk. Perubahan itu berlaku apabila kita mula menilai hatinya.

Betapa bagusnya kalau dari awal lagi kita cuba beri tumpuan kepada apa yang ada dalam hati. Memang sukar, tetapi itulah yang boleh menyelamatkan kita, itulah yang akan memberi kebahagiaan kepada kita.

Tak salah memilih yang cantik paras rupa asal hatinya juga turut cantik dan menawan!

Tuesday, August 18, 2009

Percayalah...



Percayalah...

Dalam perasaan yang gundah gulana, DIA ada.
Dalam hati yang resah gelisah, DIA ada.
Dalam perasaan yang sedih, DIA tetap ada.
Di mana-mana sahaja, dalam apa jua keadaannya, DIA ada.
Ada ketika, aku tidak percaya mampukah sesuatu keadaan berubah jadi seperti suatu magis?
Aku gelisah kerana aku tak tahu apa yang akan berlaku.
Kecut perutku.
Berdebar dadaku.
Namun DIA terus ada untuk memberi semangat dan keyakinan.
Dalam hati yang bercelaru, air mata yang tak berhenti mengalir, aku panjatkan doaku.
KepadaMU aku berserah, kerana aku tahu siapalah aku.
Aku yang tak mampu berbuat apa-apa lagi.
TUHANKU, betapa KAU tidak pernah tidak menyayangiku,
Aku tahu...
Segala cintaku, kasihku, sayangku...
Tidak pernah sama seperti cintaku kepada-Mu.
Hanya Engkau sahaja yang mampu memberikan apa yang aku mahu.
Tiada usaha dan kuasa lain yang dapat aku guna, hanya kuasa-Mu sahaja yang mampu memberinya.
Betapa aku bersyukur, dalam keadaan yang resah, keadaan yang tak menentu itu,
Kau Tuhanku, Kaulah yang memberi segala-galanya.
Kau Limpahkan kepadaku.
Aku bersyukur...
Aku sentiasa percaya...
Kau ada dengan-Ku
Dalam masa aku gembira,
Dalam masa aku bersedih,
Dalam apa jua keadaan sekalipun,
Kau tak pernah menghampakanku.
Ya Tuhanku... betapa aku mencintai-Mu.
Hanya Kau sahaja yang mampu memberikan aku kebahagiaan ini.
Alhamdulillah... aku bersyukur ya Tuhanku.

Thursday, August 13, 2009

Si Merak dan Si Pipit



Betapa untungnya jadi seekor merak. Semua orang suka. Maklumlah, besar, cantik dan berwarna-warni. Pipit pula, siapalah yang peduli. Dahlah biasa-biasa saja, kecil pula tu... tak penting langsung!

Kalau merak buat majlis, semua orang datang. Sebabnya, kan merak tu penting? masa ni lah nak kipas merak. Kalau nak berkawan pun, mesti nak pilih merak. Orang semua suka tengok merak, jadi kita pun tumpang semangkuk. Bila orang tengok merak, harap-harap orang pun nampaklah kita, sebab kita duduk di sebelah merak.

Pipit pula, kalau dah tak ada apa-apa majlis lain, bolehlah kot pergi majlis pipit. Itu pun tengok dulu. Bukan untung pun. Maklumlah majlis pipit, tak mungkin glamor macam majlis merak. Kalau berjalan di sebelah pipit, tak ada yang nampak pun.Buat penat je!

Tapi kalau kita dalam kesusahan, kenapa kita cari pipit? mungkin sebab kita tahu masa tu, merak pun tak nak kawan dengan kita. Takkan merak nak kawan dengan orang yang dalam kesempitan? kalau kita sakit pun sama, kelam-kabut kita panggil si pipit. Kita tak panggil pun si merak. Kita tahu pipit je yang akan layan kita, si merak tak ada masa.

Saja saya bercerita tentang kedua-dua burung ini. Sebenarnya di dunia ini memang ramai benar yang suka pilih bulu. Bagi mereka, berkepit dengan merak menguntungkan, pipit pula tak bawa apa-apa keuntungan. Itu masa kita senang dan bahagialah. Bila kita susah atau dalam kesakitan, kita akan cari orang yang macam pipit untuk mengadu. Huh, pelik sungguh!

Wednesday, August 12, 2009

Perempuan Tak Apa Seksi!

Agaknya kawan saya tu membaca entri blog saya yang sebelum ini. Bukankah saya membangkitkan beberapa soalan tentang agama Islam dan orang kita? Dia pun sibuk nak beri komen. Tapi cerita dia lain sikit.

Kata dia (kawan saya ni lelaki),"Aku sampai sekarang masih tak faham lagi dengan negara kita ni."

"Apa yang kau tak faham sangat?"

"Kau ingat tak pasal kisah ada seorang penyanyi lelaki yang kena ban tu? sebabnya dia bukak baju dia masa menyanyi."

Saya tak kenal sangat dengan penyanyi ni, tambah yang baru-baru, tapi masih ingat tentang kes yang dibangkitkan kawan saya ni. Saya dah dapat agak apa yang ingin dia bangkitkan, tapi saya biarkan dia meluahkan perasaannya.

"Aku memang hairanlah... kenapa dia kena ban. Dia tu kan lelaki? asal tak nampak pusat, tak apa kalau dia tak pakai baju. Seluar dia pakai."

"Sambunglah lagi." Masih saya biarkan dia bercakap.

"Aku tak adalah minat pun penyanyi tu, cuma aku rasa hairan sangat dengan cara kita buat peraturan ni. Yang lelaki tak pakai baju kita marah, tapi perempuan Islam pakai terdedah kita tak kata apa pun. Bukankah pelik namanya? Kau tengok dalam surat khabar atau majalah. Perempuan pakai baju terdedah, kadang-kadang atas bawah terbukak, tak ada sesiapa pun yang marah. Tak ada pulak peraturan yang boleh menyekat dia orang ni. Menyanyi pun sama, kadang-kadang hampir separuh badan terdedah.Tak ada siapa ban mereka ni. Tak siapa kata apa-apa. Berlakon pun sama. Iklan pun sama. Bergambar sedang mandi, tak pakai apa-apa di sebelah atas badan. Kau tak rasa pelik ke dengan cara kita buat peraturan ni?"

Dia marah sebab kata dia, "Lelaki tak boleh seksi, perempuan tak apa."

Saya sekadar tersenyum sinis sahaja. Apa yang boleh saya katakan? bukan saya yang buat peraturan macam tu. Yang membuatnya ialah orang yang bijak pandai. Mereka yang mentafsirkan agama begitu.

Fikir-fikirkanlah komen kawan saya ini.

Tuesday, August 11, 2009

Babi Tak Okey Tapi Dadah Okey

Kadang-kadang, saya terasa pelik. Mengapakah agaknya orang kita lebih takut untuk makan babi, tapi tak takut melakukan zina, minum arak atau makan dadah. Orang kita macam tak boleh sebut tentang babi, seolah-olah babi itulah yang menentukan seseorang itu Islam ataupun tidak. Apabila merebaknya penyakit H1N1 ini, babi dipersalahkan seratus peratus dan kerana itulah orang kita sangat yakin mereka tak akan diserang penyakit itu, sebab mereka tak makan babi.

Memang tepat, pada asalnya penyakit itu telah datang kepada haiwan yang bergelar babi, tetapi apabila dihinggap manusia, virus itu sudah ada di udara dan bila-bila masa sahaja boleh menghinggap sesiapa sahaja. Segala penyakit datangnya daripada Allah SWT, dan segala ubat dan sembuh juga datang daripada-Nya. Janganlah kita melatah lalu menuduh segala macam penghinaan kepada haiwan yang bergelar babi, kerana sekalipun jijik kepadanya, binatang itu tetap wujud kerana Tuhan jadikannya. Kita haram makan babi, begitu juga haram minum arak, haram berzina dan haram juga makan dadah. Namun, kedudukan babi tetap diletkakan paling rendah oleh orang kita, dan kerana itu juga, sejak kecil lagi orang kita menjadi keliru dan beranggapan bahawa asalkan tak makan babi, kita ini okey. Kita ini Islam yang tulen.

Kerana itu juga, ramai orang kita yang 'MELANTAK' dadah, MINUM Arak dan Melakukan Penzinaan, tanpa rasa berdosa atau malu. Sudah ada di kepala kita yang mengatakan asalkan tak makan babi, kita okey saja!

Lagi satu perkara pelik yang saya lihat ialah tentang pembayaran mahar kepada wanita yang dinikahi. Kebanyakan negeri di Malaysia meletakkan pembayaran mahar untuk wanita di atas kadar yang agak rendah. Ada yang RM50, ada yang RM80 .... tetapi pembayaran untuk jurunikahnya dan pengurusan pernikahan, jauh lebih tinggi. Ada yang RM200, ada yang hampir RM300. Ini bermakna, kalau seorang lelaki dan perempuan itu berniat untuk menikah dan mampu membayar mahar, mungkin tak jadi berkahwin kerana upah menikah itu jauh lebih tinggi dan membebankan!

Ada pula tu, untuk menikah... mesti diletakkan gambar lelaki yang wajib pakai songkok. Tak tahu datangnya daripada mana syarat seperti itu. Songkok itu melambangkan kita orang Islam ke? Setahu saya, orang Batak di Indonesia dan juga orang Nepal di Nepal, mereka juga memakai songkok sebagai pakaian mereka. Tapi, mereka bukan orang Islam pun!

Sama juga dengan wang zakat yang kita salurkan ke pusat-pusat pengutipan zakat. Wang zakat ada juga yang dilaburkan. Boleh ke buat macam tu? bukankah wang zakat perlu dibahagi-bahagikan kepada mereka yang memerlukan?

Maaflah kalau ada perkara yang saya tulis ini sensitif atau tidak tepat. Saya sekadar berfikir-fikir tentang apa yang berlaku di sekeliling saya setiap hari. Saya sekadar mengingatkan diri saya tentang apa yang berlaku dan sebagai orang Islam, saya ingin melakukan yang terbaik untuk-Nya.

Thursday, August 06, 2009

Tak Usah Berkira-Kira


Sejak dulu lagi, saya tidak pernah abaikan untuk membayar zakat. Insya-Allah. Ini adalah kerana Allahyarharm ayah saya mengajar untuk kami lakukan begitu. Apabila saya kahwin pula, suami saya memang jenis yang 'strict', tak pernah abaikan tanggungjawabnya yang itu.

Pun begitu, saya juga sedar bahawa kita sebagai umat Islam, janganlah kedekut. Janganlah berkira-kira dan jangalah tanam semangat untuk menjadi seorang yang tamak. Percayalah, bahawa setiap kali kita memberi, akan ada balasan yang diberikan Allah SWT. Tak payahlah kita tertunggu-tunggu atau ternanti-nanti untuk dibalas-Nya. Yang penting, doakan agar kita murah rezeki dan berusahalah ke jalan yang baik-baik.

Sebagai orang Islam, kita janganlah takut sangat duit kita habis. Jangan risau kalau ada ketika rezeki kita kurang sedikit. Asalkan kita sentiasa berusaha, kita jangan bimbang. Percayalah Tuhan lebih Mengetahui.

Kita jangan risau kalau ada ketika kita kehilangan wang. Dalam peringkat umur yang matang, saya sudah tidak kisah sangat kalau ada ketika saya kerugian, kerana setiap musibah itu ada hikmahnya. Tuhan yang lebih tahu.

Bagi saya, memang penting untuk sentiasa ikhlas memberi. Rezeki kita Tuhan berikan agar kita juga dapat menjadikan ia ganjaran untuk kita nanti. Apabila kita mempunyai rezeki yang lebih, hulur-hulurkan. Apabila rezeki kurang, jangan takut untuk hulur-hulurkan juga.

Rezeki kita datang daripada-Nya. Jadi, jangan gusar untuk berkongsi apa yang Tuhan berikan itu. Insya-Allah, kalau kita tak berkira-kira, Tuhan juga akan membalasnya.

Wallahua'lam

Wednesday, August 05, 2009

Kalimat Cinta



'Cinta itu memiliki banyak sifat dan sifat yang dicintai perlu dicari pada pencinta. Kerana cinta, pencinta memiliki hati. Hanya manusia yang hatinya dipenuhi dengan cinta akan hidup. Maka sesiapa yang tidak memiliki cinta, sukar untuknya hidup dan umurnya habis dengan sia-sia.'

'Sesiapa yang tidak mempunyai perasaan usah berbicara tentang cinta kerana cinta adalah jambangan dari pohon perasaan.'

'Cinta merupakan luapan hati yang merindukan penyatuan dengan yang dicintai.'

'Sesiapa hati yang lalai mengingati-Nya, nescaya Allah SWT akan meletakkan kecintaan kepada selain daripada-Nya di dalam hati-hati tersebut.'

'Dalam menghuraikan cinta, akal terbaring tak berdaya.'

'Akal bukan sahaja tidak seiring dan tidak membantu cinta, malah akal juga tidak mampu memikul rahsia cinta. Untuk mengetahui rahsia cinta, ruyung cinta perlu dipecahkan.'

Tuesday, August 04, 2009

Hati dan Jiwa Tidak Cacat



Aku cuba mengintai wajahnya. Aku lirikkan mataku buat seketika, tak mahu dia sedar yang aku sedang memerhatikannya. Jalan terhincut-hincut. Bukan kerana kemalangan atau apa-apa, tetapi sudah ditakdirkan dia dilahirkan begitu. Kedua-dua kakinya cacat. Bengkuk. Cacat teruk, hinggakan payah untuk bergerak, tetapi dengan izin Tuhan, dia masih mampu berjalan. Sekalipun lambat, namun hatinya tegar dan kuat untuk melakukan sesuatu yang mungkin sakit dan perit. Aku perhatikan lagi.

Aku melihat pula pada diriku ini. Tidak cacat sepertinya. Betapa aku bersyukur kerana Allah SWT tidak menjadikan aku seperti lelaki cacat itu. Allah lebih mengetahui. Mungkin aku tak mampu menjadi seperti lelaki itu. Mungkin aku tak kuat seperti lelaki itu. Pun begitu, aku tahu semestinya ada keistimewaan dan kelebihan pada lelaki cacat itu. Mungkin semangatnya jauh lebih tinggi daripadaku, mungkin hatinya jauh lebih lembut daripadaku. Mungkin kelemahan yang ada pada dirinya itu membuat dia menjadi manusia yang disukai orang lain. Segala-galanya menjadi kemungkinan, hanya Tuhan yang tahu.

Aku teringat pula kepada beberapa orang insan yang aku kenali. Mereka dilahirkan sebagai 'khunsa', tak pasti kelakiannya atau keperempuanannya. Aku bukan orang yang bijak tentang hal ini dan aku tak berani untuk membuat komen. Dalam begitu, yang pasti mereka tetap merupakan makhluk Tuhan. Siapalah kita untuk mentertawakan mereka? siapalah kita untuk menghina mereka? Kalau mereka dijadikan begitu oleh Tuhan, tentu ada hikmah dan sebabnya. Setiap kita pasti menerima pelbagai dugaan dan setiap kita akan diuji keimanannya.

Aku sekadar membawa persoalan ini, siapalah kita untuk merendah-rendahkan manusia lain? siapalah kita untuk mengaibkan orang lain? setiap keburukan yang kita lakukan pasti ada balasan.

Sepatutnya kita bersyukur kerana dilahirkan tanpa cacat cela fizikal. Pun begitu, pastikan hati budi kita juga turut tidak cacat. Jangan biarkan fizikal sempurna tetapi hati dan jiwa penuh segala cacatnya.

Wallahua'lam

Monday, August 03, 2009

Blogger... berjaga-jaga!



Apabila seronok berblogging, kadang-kadang ada juga yang terlupa untuk menjaga tatasusila berblogging ini. Ada yang suka menghentam sana sini, ada juga yang mengambil kesempatan untuk menabur fitnah, ada yang sengaja menikam belakang... ada macam-macam cara di mana blog digunakan tanpa tertib dan etika yang sihat.

Saja saya membangkitkan hal ini apabila seorang kawan menceritakan bagaimana seorang selebriti mengumpat selebriti yang lain terang-terangan dalam blognya. Siap bermaki hamun dan siap menyatakan nama orang yang dia memaki hamun itu. Ramailah yang membaca artikel itu di dalam blognya. Mungkin dia terasa hebat kerana dapat meluahkan hati yang geram dalam blog kepunyaannya itu. Malangnya, dia tidak sedar akan akibat yang terpaksa ditanggungnya. Terang-terangan orang akan tahu hati budinya. Terang-terangan orang juga tahu mentalitiny. Dia juga tidak sedar bahawa orang yang dia mengata dan memaki hamun itu semakin disukai orang lain dan semakin mendapat sokongan dan simpati orang lain. Yang penting, kini orang ramai sudah tahu hati budi orang-orang yang digelar selebriti. Ada yang okey, yang pasti ramai juga yang busuk hati.

Biasanya memang begitu. Kita beranggapan bahawa blog kita adalah kepunyaan kita. Suka hatilah nak kata apa pun. Memang betul. Tetapi begitu juga dengan orang yang membaca blog kita. Mereka juga berhak untuk berfikir-fikir dan membuat andaian. Semestinya apabila kita berlagak dan berkelakuan seperti orang yang tidak mempunyai akal, maka orang lain semestinya akan menganggap kita sedemikian. Akhirnya, kita dan blog kita itu sudah menjatuhkan maruah kita sendiri. Kalau dulu orang tak tahu tentang sifat kita yang buruk itu, kini kitalah yang menjajanya.

Dengan itu, kalau kita nak berblog ini, biarlah kita berjaga-jaga. Buatlah secara satira... janganlah ikut sedap tulis sahaja. Kadang-kadang tulisan kita itulah yang akan memusnahkan diri kita.

Wallahua'lam.

Sunday, August 02, 2009

'Complacent', Risiko dan Bersaing.



Adakah kita jenis manusia yang berani mengambil risiko atau kita sekadar jenis yang 'complacent' atau berpuas hati dengan apa yang ada pada diri kita kini? Tak mahukah kita menaikkan taraf ekonomi kita atau ilmu yang ada pada diri kita? Tak mahukah kita melakukan sesuatu luar dari kotak kebiasaan? Tak mahukah kita bersaing dengan orang lain yang lebih maju daripada kita? takutkah kita untuk melakukan sesuatu yang pelik atau luar biasa?

Risiko adalah merupakan sesuatu yang dilakukan tanpa ambil peduli tentang kemungkinan-kemungkinan bahaya. Bahaya kerugian atau bahaya lain-lainnya. Orang yang tak takut dengan risiko adalah jenis orang yang sememangnya berani. Ada kala, kita perlu mengambil risiko untuk maju ke depan. Kalau kita berada dalam dunia bisnes, kita perlu buat perkiraan tentang hal ini. Kalau kita jenis yang tak mahu mengambil apa-apa risiko, maka bisnes kita akan berada di takuk lama sahaja. Masa dan keadaan berubah, tetapi kalau kita sekadar 'complacent' atau berpuas hati dengan keadaan yang ada, maka kita tak akan ke mana-mana. Di situ sahaja.

Dunia bisnes adalah sesuatu yang berubah. Kalau kita mahu berjaya dalam bisnes, kita kena perhatikan apa yang berlaku dalam dunia itu. Kita tidak boleh sekadar berpuas hati dengan apa yang ada pada bisnes kita. Kita perlu pandang jauh. Tentang trend, tentang pasaran, tentang perubahan statistik, tentang apa yang berlaku secara global, tentang mentaliti masyarakat dan macam-macam lagi yang ada. Kita perlu berikan perhatian. Sekalipun kita berada lama dalam dunia bisnes itu, itu tidak bermakna yang kita juga merupakan pakar dan tahu segala-galanya. Dunia berubah dan mungkin dalam keadaan yang 'complacent' kita akan ketinggalan.

Perhatikanlah betul-betul. Banyak syarikat yang dianggap maju dan gah, boleh jatuh dengan mudah. Ini adalah kerana mereka terlalu 'complacent'. Mereka berasa yang mereka pakar dan kerana itu mereka tak perlu berubah strategi. Bagi mereka, 'Buat apa buat perkara baru? buat apa sibuk-sibuk tentang benda yang belum tahu ada potensinya?' Tambah pula kalau mereka berasakan yang mereka sudah maju jaya, bertambahlah mereka tak mahu berubah. Biar sahaja duduk di takuk lama.

Bertambah bahaya, kalau mereka merupakan syarikat yang suka menikam orang lain dari belakang. Kerana takut hendak berubah, mereka akan lakukan apa sahaja. Memang ada syarikat yang menjalankan bisnes, takut untuk bersaing. Mereka tidak melihat persaingan sebagai sesuatu yang sihat dalam dunia bisnes dan kerana itu, mereka akan berusaha untuk menyekat pesaing mereka. Ini adalah bahaya. Bisnes perlukan persaingan, kerana persaingan mewujudkan pilihan bagi pembeli. Kalau kita takut untuk bersaing, sebenarnya kita sedang membunuh bisnes kita itu.

Akhir sekali, untuk memajukan bisnes kita, kita perlulah ikhlas dalam mengendalikannya. Setiap niat yang baik akan dibalas baik. Untuk pastikan kita ke depan, jangan sengaja menghalang orang lain untuk ke depan sama. Kalau kita buat baik, pasti kita akan dibalas berganda-ganda, insya-Allah.