Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Friday, February 05, 2010

Life Goes On



Petang semalam, saya bersembang-sembang dengan seorang teman yang baru kehilangan suami. Saja nak tanya khabarnya. Kami berbual-bual dan sebelum mengakhiri perbualan, saya bertanya dengannya. Saya agak rapat juga dengan dia tetapi sebelum ini tidak tergamak pula hendak bertanya. "Yang lagi satu tu macam mana? datang tak masa hari arwah meninggal?" Itulah soalan saya. Sebelum itu, saya minta maaf dulu, takut-takut kalau soalan saya akan melukakan hatinya.

"Datang. Anak saya yang panggil dia. Takkan tak bagi tahu, abang pun suami dia juga. Walaupun saya menyampah dengan dia, tapi dia ada dua orang anak dengan abang. Masih kecil pulak tu. Tak sampai hati pulak kalau tak bagi tahu. Berdosa nanti." Itulah jawapannya tentang madunya. Madunya itu merupakan pembantu rumahnya dahulu. Tiba-tiba berkahwin dengan suaminya dan sudah mendapat dua orang cahaya mata, seorang lelaki dan seorang perempuan.

"Sekarang ini macam mana? siapa yang tanggung dia?" masih saya menyibuk hendak tahu.

"Dia kerja jaga anak-anak orang. Saya dengan anak saya membantu juga. Kesian pulak tengok anak-anak dia tu. Budak-budak tu adik-adik anak saya. Waris kami juga." Kata teman saya.

"Baguslah tu." Kata saya lagi. "Biarlah awak buat baik kepada dia dan anak-anak dia. Kita hidup di dunia ini sementara sahaja. Sampai masa kita akan pergi jua. Semua yang ada akan kita tinggalkan."

"Ya. Sebab tu lah saya tak nak cari dosa. Apa hak dia, saya berikan. Saya bukannya tamak. Apa saya nak buat dengan apa-apa yang ada ni. Nanti saya juga akan pergi. Budak-budak tu masih kecil."

Saya melepaskan nafas panjang. Begitulah hidup kita. Kita tak tahu perjalanannya. Mungkin hari ini segala-galanya terang-benderang, esok pula ribut taufan atau mungkin dilanda tsunami. Wallahua'lam. Apa-apa pun, biarlah kita memberi bunga sekalipun kita diberi segala yang busuk. Kerana dengan memberi bunga yang harum itu, kita akan berjaya untuk melangkah ke depan. Life goes on, kata orang putih. Apa sekalipun yang terjadi, kita kena reda dan terpaksa terus melangkah juga. Biarkan sejarah dilipat dalam peti memori dan yang di hadapan kita mencapainya dengan perasaan bersyukur dan pasrah. Semoga Tuhan memberkati hidup dan akhirat kita. Insya-Allah.