Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Wednesday, July 28, 2010

I Will Always Love You...

Esok 29 Julai, genaplah perkahwinan saya selama 32 tahun. Huh, lama juga ya. Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT kerana mengizinkan saya dan suami untuk terus hidup sebagai suami isteri dan insya-Allah, terus diizinkan lagi hingga akhir hayat dan hingga ke syurga, Amiin.

Kalau bertanya kepada saya, alhamdulillah, memilih suami saya merupakan sesuatu yang 'the best' buat diri saya ini. Dialah teman, dialah kawan, dialah kekasih dan kadang-kadang dialah tukang dengar segala perit dan sakit yang saya rasai. Kalau saya sakit, walaupun sikit sahaja, dialah yang paling 'concerned'.

Antara dia dan saya, sayalah yang lebih bercakap dan dia lebih mendengar. Tapi kalau saya merajuk dan tak mahu bercakap, dia pulak yang risau. Dia selalu berkata kepada saya, "I lagi suka you cakap banyak daripada tak cakap apa-apa!" Kelakar kan, tapi dia tahu sangat perangai saya, begitu juga saya, faham sangat dengan apa yang dia suka dan tidak suka.

Suami saya suka makan benda yang macam 'rojak-rojak'. Suka sambal tumis dan kalau makan sambal tumis, dia suka sayur masak lemak. Dia juga sangat suka makan kambing. Anak-anak saya pun macam tu, semua suka makan kambing. Saya pula, lagi suka makan ikan dan sayur. Saya kurang makan 'makanan berdaging merah' dan kurang juga makan ayam.

Alhamdulillah, saya dan suami memang kaki berjalan. Ada-ada sahaja tempat yang kami ingin pergi, cumanya suami saya ni tak berapa suka kalau tempat tu macam hutan... hehe... dia gerun. Saya pulak, lagi hutan lagi bagus. Sebab tu kalau saya masuk hutan, saya pergi dengan anak-anak. Insya-Allah, sejak kebelakangan ini, dia sudah berjinak-jinak dengan kawasan pedalaman. Saya selalu ajak dia naik bukit dan masuk hutan (sikit-sikitlah). Suami saya ni dilahirkan di Singapura... dan dibesarkan di Johor Bahru (arwah mak ayah dia duduk dalam pekan), tak macam saya. Saya dilahirkan dan dibesarkan di Kuala Kangsar... kawasan kampung.

Tapi orang kata, kalau dah jodoh... satu di lautan dan satu di darat, akhirnya bertemu juga. Alhamdulillah... bagi saya, dialah penghibur hati saya dan dialah yang banyak memberi saya inspirasi dan motivasi, menjadi seorang isteri, seorang ibu untuk anak-anak dan girlfriend dia forever and ever.

Esok malam juga, dia akan ke luar negara dan saya doakan agar kami akan terus berkekalan sebagai 'couple yang happy' dunia dan akhirat. Amiin.