Cerita
2
Bahagian
5
Bersambung:
LIMA
KALI LIMA
“GILANYA!
Takkan
aku dah sampai syurga kot?” Aminullah tersenyum lebar, masih memandang gambar
yang berada di tangannya.
“Eh kau ni!” Rizal turut tergelak, “baru tengok gambar,
kau dah macam meroyan! Relaks lah beb. Slow
slow okey.” Mulalah Rizal menjelaskan sesuatu kepada Aminullah. Ustaz Ammar
berada di sisinya. “Sebab tu lah kami ajak kau datang sini. Bukan nak rasa mi
kari aje tau…”
“Tapi kan… memang kawlah mi kari ni. Aku tak pernah rasa
mi kari sedap macam ni. Orang Cina pun tak boleh buat macam ni tau…” masih
Aminullah tersenyum sambil menghirup kuah mi kari yang berada di depannya.
“Itu lagi satu halnya…” Rizal teruskan ceritanya.
“Wah… sampai lima orang anak daranya?”
“Aah… muka pun macam nak serupa. Lima-lima nak sama. Tapi
dua orang dah kena booking… tinggal
lagi tiga. Kalau kau book satu… ada
lagi dualah.”
Selepas itu, Ustaz Ammar pula mula memanjangkan cerita
dan penjelasan. “Kau Aminullah… jangan ingat senang tau. Memang tak mudah
dengan Mak Nun ni. Tapi memang elok kalau kau pun ikut kami, berangan dulu.
Kalau tak, mungkin kita tak bersemangat kot!”
“Ada ke macam tu pulak?” gelak Aminullah. “Okey… kau
cakap kat aku apa yang aku boleh buat untuk bantu. Aku tak pernah rasa teruja
macam ni tau.” Sekali lagi dia memandang wajah yang tersenyum di tangannya. “Masya-Allah.”
Dengan pantas Ustaz Ammar menarik gambar yang berada di
tangan Aminullah. “Kau bawak bersabar… jangan gelojoh sangat. Belum tau kau
boleh dapat pun! Kami pun sama.” Ammar menarik nafas panjang. “Mak Nun mencari
keikhlasan dalam diri bakal menantunya. Kalau tak jujur dan tak ikhlas, dia
akan tolak kita semua.”
PUAS
mereka berbincang dan berpakat. Bagaimana mahu lihatkan keikhlasan di hati mereka?
Bukannya mudah, apatah lagi masing-masing adalah manusia biasa yang terlalu
banyak kelemahannya.
“Aku dapat rasakan yang Mak Nun tu tak mahu kita
menunjukkan kesungguhan hanya kerana nak kahwin dengan anak-anak dia. Dia mahu
kita jadi baik dan buat amalan kerana Allah swt.” Tekan Ustaz Ammar. “Orang
yang dah ada ilmu macam aku pun sangat lemah. Bukan senang nak jadi orang yang
ikhlas pada agama. Kita terlalu mengikut kebendaan. Wanita pun masalah besar
kalau kita lemah padanya. Itu yang Mak Nun tak mahu ada pada kita.”
Mereka terus berfikir lagi.
DALAM
pada itu, Zainun sedar yang Mat Isa dan isterinya Wan Esah, kerap datang ke
gerainya. Agaknya bimbang sekiranya Suraya terlepas ke tangan orang lain.
Zainun sekadar memerhatikan sahaja reaksi mereka. Baginya, dia tidak mahu
membuat andaian kerana setiap manusia perlu diberikan peluang bila peluang itu
mungkin ada. Terpulanglah pada Rizal bagaimana mahu menguruskannya.
Pun begitu, Zainun juga sedar dek kerana makanan yang
jadi popular di gerainya, maka ramai pula suami-suami orang yang berada dalam
pertengahan umur mula berlonggok di gerainya itu.
“Aku tak minat dan tak mahu tercebak dengan suami orang
ni. Biar aku macam ni aku tak kisah. Rezeki dah Allah bagi cukup,
alhamdulillah. Dapatlah aku jumpa arwah suami aku bila akhirat nanti.” Katanya
dengan keyakinan. Ketika itu dia sedang bercakap-cakap dengan pembantunya Sanah.
Kini, selain daripada Sanah, ada juga ‘Mat Seringgit’ yang bekerja di gerainya.
Mat Seringgit memang cekap buat air minuman dan biasa bekerja di gerai-gerai
sebelum bekerja dengan Zainun. Orangnya sudah 40-an tetapi kerana keadaannya
yang kurang sempurna dari segi akal fikiran, dia masih bujang trang-tang tang
dan kelihatan seperti 20-an sahaja.
“Buat apa nak tambah tanggungjawab kalau tanggungjawab
yang ada itu tidak terurus sempurna? Buat apa nak tolong ibu tunggal kalau
isteri di rumah disakiti hatinya? Tak berbaloi pun. Berdosa lagi.” Dengan
prinsip begitu, Zainun pastikan dia mampu mengelak daripada tercebak dengan
‘suami orang’ yang sentiasa datang ke gerainya macam ulat yang mahu makan benda
busuk. Mat Seringgitlah yang banyak membantu Zainun untuk pastikan gerainya
ceria dan tidak dijadikan ‘pot’ lelaki-lelaki yang mahu ambil kesempatan.
“Oi oi… aku kan ada? Tak nampak ke? Sedap aje cakap kat
sini tak ada lelaki. Memanglah aku tak cerdik sangat, tapi aku bukan kayu!”
bebel Mat Seringgit bila Haji Isnin berseloroh dengan kawan-kawannya di gerai
Zainun dengan mengatakan bahawa gerai Zainun tak ada kumbang, hanya ada bunga
sahaja.
“Alah… kamu tu bukan boleh pakai sangat…” reaksi Haji
Isnin. Memang Zainun meluat betul dengan lelaki separuh usia yang buat-buat
macam alim sangat. Kopiah di kepala tak pernah lekang, tetapi gatal nya hanya
Allah sahaja yang tahu. “Takat pandai buat teh, buat kopi tongkat ali aje, buat
apa?”
“Lagi baik dari goyang-goyang kaki kat sini… pastu kacau
Kak Nun tu. Kesian dia… ingat dia suka ke? Dia tak sukalah. Dia tak suka pada
lelaki yang dah kahwinlah… buat menyusah kata dia.” Mat Seringgit buat-buat
seronok mengatur ayatnya sambil menepuk belakang Haji Isnin. Terbahak-bahak
juga dibuatnya. Bukannya apa, ayat Mat Seringgit telah membuat Haji Isnin
terasa. ‘Agaknya Si Zainun ni memang tak teringin kat aku ni kot. Aku bukannya
apa… saja nak cuba-cuba. Manalah tahu kot boleh tersangkut.’ Dalam hati dia
juga tahu kalau terjadi hal seperti itu, pasti akan terjadi perang dunia
ketiga!
Sebenarnya Haji Isnin memang takutkan isterinya Fatimah.
Cik Timah adalah orang Melaka yang bijak berkata-kata. Kalau tak betul gaya,
pasti Haji Isnin akan kena tembakannya. Yang itu, Haji Isnin memang tak
sanggup.
“Adoii… Nun… mi kari kau ni yang selalu buat aku
mengigau-igau. Aku bukannya apa…” itulah ayat pelindungnya, seolah-olah dia
tidak mempunyai niat ‘merenyam’.
Seperti biasa, Zainun akan buat tak tahu. Baginya, tugasnya
di situ adalah sekadar mencari makan secara halal. Dia mahu pastikan yang
anak-anaknya hidup dalam keadaan yang dirahmati Allah swt. Dulu, itulah pesan
arwah suaminya, agar mereka sentiasa lakukan perkara yang baik-baik, supaya
tiada yang membenci.
“Tak usah sakitkan hati orang sebab Allah tak suka.”
Masih terngiang-ngiang pesanan suaminya itu. “Biar kita tak ada tak apa… kita
usaha dengan baik…adalah nanti.”
Menetes juga air mata Zainun setiap kali teringat pada
arwah suaminya. Kini dia tahu, bukan mudah untuk memikul amanah. Lima orang
anak dara merupakan amanah berat untuknya.
-BERSAMBUNG-
PERINGATAN:
Tulisan
ini adalah hak cipta penulis ini dan tidak boleh di ciplak dengan apa jua cara
termasuk semua bentuk digital walaupun sekadar paragraf atau ayat. Tulisan ini
juga adalah dalam bentuk ‘raw’ dan belum diedit lagi. Terima kasih.

