Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Monday, February 28, 2011

Jalan Lagi


Gambar cilok dari blog orang lain.


Salam

Saya masih penat lagi, tapi biasalah, kan? Bila berjalan dan lama duduk dalam kereta, terasalah penatnya. Tambah pula bila berjalan dengan si kenit-kenit tu. Tapi yang penting seronok. Hujung minggu tu, seronok sebab dapat jumpa kaum kerabat kami di Johor Bahru. Dapat raikan pengantin dan jumpa dengan semua yang datang, alhamdulillah. Malam tu pulak, kami pergi melawat abang ipar saya. Lepas tu, lepak di sebuah restoran 'happening' kat Jay Bee... Benafe. Kebetulan, kerabat suami saya memang baik dengan keluarga Benafe (Betty Benafe?). Si kenit-kenit tu pun suka melepak kat situ!

Lepas sarapan pada hari Ahad, kami pergi ke rumah kakak ipar saya, walaupun masih kenyang, tapi kerana kami dijamu soto dan bubur pulut hitam, kami pun hentam lagi! Lepas tu, dalam perjalanan balik, kami singgah di Nusajaya dan pergi ke Puteri Harbor... tengok projek suami yang sedang naik di situ. Itu adalah kali pertama anak-anak dan menantu ke tempat itu. Saya dah banyak kali dah.

Kami tiba di Nilai hampir enam petang. Menantu saya pula (suami Laila), terpaksa bergegas lagi untuk balik ke Pulau Pinang sebab dia bekerja di awal pagi Isnin (pagi ni). Kesianlah pulak. Terpaksa memandu lagi 3/4 jam.

Friday, February 25, 2011

Meraikan Tetamu



Salam

Esok saya akan ke Johor Bahru untuk meraikan anak saudara suami yang akan berkahwin. Hari ini ialah hari pernikahannya, tetapi kami tak dapat hadir. Esok baru dapat ke Jay Bee, insya-Allah kami akan pergi bersama Irfan, isterinya dan anak mereka Yusufia, dan anak perempuan kami, Laila Hana dan suaminya serta anak mereka Firas. Faiz dan isteri, juga anak mereka Ali tak dapat ikut sekali kerana Faiz sedang meraikan teman baiknya yang baru tiba dari Dubai. Temannya itu, keturunan Lebanon (kini rakyat Kanada) sangat rapat dengannya semasa Faiz belajar di United World College, di Wales hampir 13 tahun yang lalu. Malah, ketika Faiz ke Jordan, Syria dan Lebanon dulu, Suleiman (teman yang dimaksudkan) telah meraikannya.

Hari ini, kami sekeluarga akan meraikan Suleiman di rumah kami pula. Hehe... tahu-tahulah, saya ni bukannya rajin masak pun. Apa-apa sajalah, yang penting meja makan tu mesti penuh. Hah, kalau nak tahu, itulah cara orang Arab meraikan tetamu mereka. Meja mesti dipenuhkan dengan makanan, tak boleh kedekut-kedekut!

Mujurlah sekarang ini memang tak susah nak cari makanan yang sudah disediakan. Yang penting, beli saja!

Esok malam barulah Suleiman pulang ke Dubai (dia bekerja di Dubai sekarang ini).

Kalau nak tahu, Faiz memang banyak kawan semasa dia belajar di luar negara dulu. Ada yang berbangsa Peranchis, ada Belanda, Inggeris, Itali, Sepanyol dan juga rakyat Kanada keturunan Pakistan dan juga Arab. Ada juga kawan-kawannya itu yang rajin datang ke Malaysia untuk melawatnya. Setiap kali datang, kami pun meraikanlah. Alhamdulillah, ini merupakan satu pengalaman yang menarik.

Okeylah, saya nak ke bawah untuk siapakan meja saya tu... bye-bye!

PS: Lupa pulak nak cerita, anak bongsu kami juga tak ikut ke Jay Bee sebab ada kerja universiti yang perlu diuruskannya. Esok ialah hari jadi Nabil yang ke 19!

Selamat Hari Jadi, semoga dipanjangkan umur, teguhkan iman dan murahkan rezeki, amin.

Thursday, February 24, 2011

Bertemu, Berjumpa, Bermesra...



Salam

Pernah tak terjadi kepada anda, ketika berjumpa kawan lama, tiba-tiba sahaja semuanya sudah berbeza? Dulu dia mesra, tetapi kini tidak lagi. Dulu banyak bicaranya, kini hampir dah jadi bisu. Malah, kalau boleh dia mahu sahaja buat-buat tak tahu. Konon-konon tak pernah pun kenal diri kita ini.

Kenapa agaknya ini boleh berlaku? Hormon dia berubah ke? Atau ada benda yang terjadi padanya? atau mungkin ada sesuatu yang tak kena tentang kita?

Apa pun, perkara seperti ini sering terjadi. Terutama apabila kita dah lama sangat tak jumpa.

Pernah dulu semasa saya di kampus UM, saya rapat dengan seseorang. Selepas kami graduate dan selepas beberapa tahun, kami terserempak semula. Saya baru pulang dari England, tetapi teman yang saya berjumpa itu bercakap dengan saya mengguna bahasa slanga (Inggeris) yang terlebih-lebih. Pada hal teman saya tidak pula ke mana-mana, tetapi tinggal di Malaysia. Saya berasa pelik dengan kelakuannya. Tapi, selepas itu kami terus hilang mesra. Macam ada yang tak kena.

Jumpa lagi beberapa tahun selepas itu. Masih saya berasa janggal dengannya. Kalau difikirkan memang tak tahu kenapa boleh jadi begitu, kerana suatu ketika dahulu, kami memang rapat dan mesra teramat sangat.

Baru-baru ini, terdengar lagi cerita tentangnya. Tetapi entahlah kenapa, saya takut untuk beria-ia. Takut keadaan masih seperti itu juga. Sudah berubah jauh daripada apa yang pernah saya rasai.

Malah, ada juga seorang teman lagi. Pernah tinggal sebilik dengan saya. Saya dah kahwin lama dan dia masih lagi anak dara. Kini, pangkatnya besar, gelaran juga sudah ada. Tetapi, masih seperti teman yang seorang lagi, dia juga sudah berbeza. Kalau bercakap dengan saya, bahasanya terlalu formal.

Tidak seperti teman saya yang seorang ini. Malah, dua orang sebenarnya. Juga rakan semasa di Universiti Malaya. Kedua-duanya sudah berpangkat besar dan ada gelaran. Seorang berkahwin dan seorang lagi tidak. Namun, alhamdulillah... kedua-duanya masih rapat, masih mesra dan tidak pernah formal dengan saya.

Beginilah kita. Bertemu, berjumpa, bermesra... satu hari nanti, tak tahu apa pula ceritanya.

Wallahua'lam.

Tuesday, February 22, 2011

Tip Untuk Yang Baru





Gambar hero-hero saya, yang berumur tiga bulan. Firas dan Ali (hehe macam Cerita KLB, kan?)


Salam

Bintang dan bulan, di manakah cahaya mu? Malamku malap tanpa kerlipan di langit. Siangku juga tidak bersinar, hanya mendung yang hadir, sayu lagi memilukan. Itulah bisikan hati apabila gundah gulana. Resah gelisah datang bertandang, merontakan jiwa dan raga.

Alamak... tulis kat blog aje weh... lupa!lupa! ingatkan tulis manuskrip tadi. Adoi... kadang-kadangkan sebagai penulis ni, kita nak cari stail yang berbeza semasa menulis manuskrip yang baru. Pembaca sekarang ni, kebanyakannya tak minat sangat kalau ayat-ayat yang diatur tu terlalu berbunga-bunga. Tapi dalam begitu, tak bolehlah semua ayat-ayat kita macam karangan budak sekolah. Kenalah ada bunga, ada perkataan yang 'bombastik' sikit... tapi jangan kerap sangatlah.

Ayat kita pun kadang-kadang tak bolehlah terlalu berbelit sangat, hinggakan pembaca tak faham. Banyak pembaca lebih senang dengan ayat-ayat yang tidak terlalu panjang. Saya selalu berbual dengan pembaca, itu yang saya tahu ni. Tapi, kadang-kadang saya terjumpa juga pembaca yang suka membaca ayat berbunga-bunga. Dia kata 'indah'. Betul tu. Tapi ialah, kalau asyik berbunga aje, letih juga kita membacanya. Jadi, eloklah kalau kita aturkan berjarak-jarak ayat bunga kita tu, jadi taklah jemu membaca manuskrip yang terlalu 'direct' sangat.

Kalau kebetulan pembaca kita banyak yang muda, mungkin dia orang senang dengan perkataan 'slanga' hari ini. Mereka akan terasa dekat dengan mereka. Pun begitu, janganlah terlalu santai sangat tulisan kita itu hinggakan tak nampak 'seni' nya. Ayat slanga kita boleh guna hanya dalam dialog bukan ayat naratif. Kita tak mahulah kalau orang kata tulisan kita macam tak ada 'standard' pulak! Jadi, yang itu pun kita jaga juga.

Ada pembaca suka dengan ayat-ayat humor. Kata mereka seronok. Okeylah, kita boleh aturkan ayat-ayat humor, asal jangan nampak macam ayat kita terlalu 'bodoh' sebab kita dah aturkan lawak bodoh. Sekali-sekala okey, tapi janganlah selalu buat macam tu, nanti pembaca jadi muak pulak.

Apa lagi yang boleh kita buat untuk cantikkan manuskrip kita? Mungkin aturkan puisi ke, tapi jangan banyak sangat. Sikit-sikit cukup. Bila terlalu kerap, pembaca akan jadi bosan. Begitu juga dengan lirik lagu, letak sikit-sikit aje, tak payah keseluruhan liriknya. Penat pembaca nak baca. Boleh juga aturkan pantun, mungkin juga seloka, apa-apa sahaja untuk tambahkan asam garam dalam penulisan kita, begitu juga quotation ayat-ayat suci, atau hadith, asal jangan dalam huruf Arabnya, hanya terjemahan sahaja. Kita juga boleh aturkan quotation orang-orang tertentu. Apa sahaja yang hendak kita letakkan itu mestilah berkaitan dengan apa yang kita tulis. Jangan main hentam letak. Nanti pembaca kata, "Apalah penulis ni... apa kaitan dengan cerita?"

Okeylah... setakat itu saja tip untuk hari ini. Esok-esok bila teringat dan bila rajin, saya akan berikan sedikit lagi panduan yang boleh digunakan bagi mereka yang baru belajar untuk menulis. Yang dah pandai tu, tak payahlah kita beri tip lagi. Hehe...

Monday, February 21, 2011

Dunia Internet dan Digital




Salam

Ya betul, kita semua tahu sekarang ini kalau ada yang tak pernah berada di alam maya, mungkin kita boleh anggap mereka ketinggalan. Hari ini, kebanyakan orang bernafas dengan Internet. Tak ada Internet, macam nak mati dah... hehe (Saya cakap untuk diri saya kot). Apa-apa pun, memang ramai yang suka melayari Internet. Paling kudi pun, guna Internet untuk beremel, kalau bukan untuk hal lain. Ramai yang gila blogging, ramai yang gila 'facebook' dan 'Twitter' dan macam-macam lagi. Saya juga suka membuat 'research' dan dapatkan maklumat baru melalui Internet. Baca surat khabar dan melihat apa-apa isu terkini. Malah, melihat sejarah juga melalui Internet. Macam-macam boleh, bah.

Sekarang ini, alat elektronik yang dicipta semakin canggih. Selain dari laptop dan desktop, orang dah mula gila-gila dengan ipad dan macam-macam lagi alat digital yang lain. Malah, telefon bimbit juga dah semakin canggih dan mampu menguruskan pelbagai hal Internet. Nak apa lagi, kalau kita bergerak ke mana-mana pun kita masih boleh melayari Internet? Di mana-mana pun dah ada WiFi.

Okeylah, dunia hari ini juga sudah melihat betapa kerajaan negara boleh ditumbangkan melalui perhubungan Internet. Tak payah ada mesyuarat, tak payah kenal dan berjumpa, tetapi rakyat mampu berinteraksi dan sepakat melalui hubungan Internet. Saya percaya juga, pihak Yahudi yang menggunakan kecanggihan Internet untuk mengumpul maklumat, kini di 'backfire', kerana tidak menyangkakan Internet mampu melakukan sesuatu diluar dugaan mereka!

Selepas ini kita tidak tahu strategi mereka apa pula.

Seperti yang saya katakan sebelum ini, kedai-kedai buku di negara Barat banyak yang dah tutup kerana kecanggihan teknologi digital kini, hinggakan orang tak perlu ke kedai untuk membeli buku secara fizikal, dan mereka juga senang membaca bahan secara alam maya atau dengan menggunakan digital sahaja!

Saya percaya, perkara ini akan merebak ke negara kita juga. Mana pernah Malaysia ketinggalan dalam hal-hal canggih seperti ini? Mungkin makan masa sedikit, tetapi akhirnya nanti akan tiba juga.

Saya tak sabar nak tengok budak-budak muda kita tidak melepak kosong. Mereka membaca melalui alat canggih digital mereka, mungkin di shopping complex, atau dalam LRT, Komuter, ERL, dalam bas, tren dan sebagainya. Mungkin juga mereka membaca di atas katil semasa tunggu untuk lena!

Sunday, February 20, 2011

Pelakon Yang Berlakon



Salam

Ada orang memang suka berlakon. Sejak kecil lagi dia sudah berangan-angan akan jadi seorang pelakon dan mungkin bila besar, tak juga dia jadi pelakon. Namun dalam jiwanya, masih ada sifat-sifat suka berlakon. Maka dia akan terus berlakon di pentas dunia ini.

Pernahkah anda terjumpa blog atau apa-apa profile di mana-mana laman sosial, yang tuan punyanya merupakan seseorang yang anda tahu sedang berlakon? Maksud saya ialah 'menipu'?

Dia berlagak seperti seorang yang sangat baik. Mungkin dia akan berlakon seolah-olah dia sangat cantik atau kacak, mempunyai latar belakang yang okey-okey, tetapi yang menariknya, dia juga pandai mencari simpati para pembaca blog atau akaun laman sosialnya yang lain. Konon-konon dia tak sihat, sedang mengidap sejenis penyakit, atau mungkin mempunyai masalah ibu bapa atau adik-beradik, atau mungkin sedang jatuh cinta dengan seseorang yang tidak mencintainya!

Maka ramailah berpusu-pusu untuk membaca entri-entri di blognya. Ramai juga akan jadi 'followers' nya. Dia pun akan terus bercerita lagi. Semakin ramai yang masuk, semakin sedihlah cerita yang dipaparkannya. Pada hal, dia sekadar seronok berlakon sahaja dan bertambah seronok jadinya, kerana ramai yang sudah termakan lakonannya itu dan tentulah tertipu. Mungkin ada yang bersedih semasa membaca entri-entri di blognya, pada hal dia sedangkan tertawa besar!

Adoi...

Tetapi, ada juga yang berlakon dengan cara menjadi penulis. Dia akan menulis dan mungkin bukunya juga akan diterbitkan, namun tak seorang pun tahu siapa dirinya yang sebenar. Pembaca akan terus berteka-teki, namun kita akan membuat teori sendiri. Yang hebatnya, dia mengguna nama samaran dan tiada latar belakang tepat dipaparkan. Namun dari gaya penulisannya, pembaca akan mengagakkan siapa dirinya itu. Pun begitu, dia mungkin seorang lelaki yang berpura-pura jadi perempuan, atau seorang perempuan yang buat-buat jadi lelaki. Dia juga membuat pembaca fikirkan yang dirinya itu berpelajaran tinggi. Apa-apa pun, dia hanyalah seorang pelakon!

Wallahua'lam.

Friday, February 18, 2011

Lihatlah Mereka Pula


Salam

Ada seorang teman yang bertanya, "Kak Aina... kenapa dengan saya ni? Saya selalu berasa sedih."

"Kenapa sedih?"

"Tak tahulah. Saya rasa hidup saya ni tak macam orang lain."

"Tak macam orang lain? Orang lain hidup macam mana?"

"Entahlah. Tentunya orang lain lebih bahagia daripada saya. Tak macam hidup saya ni, tak pernah rasa happy. Ada-ada saja."

Mungkin ramai di antara kita yang rasa macam tu, kan? Kita rasa diri kita tak bahagia. Kita rasa orang lain semua mempunyai sebuah kehidupan yang sempurna, betul tak? Kalau kita ada masalah, mungkin sekadar masalah kecil sahaja, kita akan rasa tertekan. Kita bayangkan orang lain tak rasa apa yang kita rasa tu.

Tapi, sayang oi... kenapa tak kita berbual-bual dengan orang lain, atau melayari blog, tengok TV, atau buatlah apa-apa, untuk melihat keadaan orang lain pula. Mungkin kita akan rasa terkejut bila kita tahu apa orang lain pula rasakan. Macam-macam! Ada yang lebih teruk dari kita.

Mungkin kita sedang fikirkan tentang keadaan kita yang kurang berduit. Tapi cuba bayangkan keadaan mereka yang sedang hidup dengan penuh hutang di sekeliling pinggang? Ada tu, siap berhutang dengan 'Ah Long' dan sedang diburu sana-sini.

Kalau kita rasa yang kita sedang tertekan kerana hidup tak berteman, cuba bayangkan mereka yang sudah berkahwin tetapi tak happy? Mempunyai suami yang suka pukul bini, atau mempunyai suami malas yang tak mahu cari rezeki?

Kita rasa tertekan kerana tak mempunyai ramai kawan, atau tidak tinggal di rumah yang okey-okey, sedangkan adik beradik kita yang lain hidup dalam keadaan yang mewah. Adoi... sebenarnya kita tak tahu apa pula masalah mereka di dalam, kerana kita hanya lihat di luar sahaja. Pasti, setiap kita ada masalah tersendiri.

Kadang-kadang saya melihat keadaan manusia yang tinggal di negara-negara Afrika, juga di Myanmar... tak mempunyai bumbung untuk melindungi mereka, tak mempunyai makanan untuk makan. Ada yang tidak boleh bangun lagi kerana terlalu lapar. Ya Tuhan... betapa mewahnya kita di sini. Betapa kita perlu selalu bersyukur, setidak-tidaknya kita tidak hidup seperti mereka.

Apa pun, memang biasalah kita sebagai manusia, kan? Ada ketika kita akan berasa tertekan, padahal mungkin, masalah itu hanya kecil sahaja.

Wallahua'lam.

Thursday, February 17, 2011

Cari Idea Yang 'Cool'



Salam

Kalau tak percaya, tanyalah kepada mereka yang menulis. Kadang-kadang bukan senang untuk mencari idea baru untuk dimuatkan dalam tulisan kita. Kali pertama, mungkin mudah. Yang kedua pun mungkin okey lagi. Masuk ketiga, dah mula ada masalah. Inilah yang terjadi kepada kebanyakan penulis. Ada tu, yang pertama saja yang mudah, nak masuk kedua pun boleh jadi susah. Buntu.

Ada juga penulis memang tak ada masalah menulis. Boleh saja. Tapi masalahnya, ceritanya macam nak sama saja. Mungkin ubah watak, ubah nama, tapi jalan cerita macam lebih kurang saja dengan yang dulu atau dulu-dulu.

Kalau kita menulis, elakkan daripada melakukan benda yang sama, walaupun mungkin buku kita yang dulu tu meletup-letup. Tapi, kalau meletup sekalipun, janganlah kita ambil jalan cerita yang serupa untuk buku kita yang seterusnya kerana merasakan itu lebih selamat! Sebenarnya selamat atau tidak, akan menjadi sementara sahaja. Selepas itu nanti, pembaca akan tahu bahawa kita sebenarnya tak banyak idea!

Jangan takut untuk tulis benda yang berbeza walaupun kita tahu pembaca suka yang dulu-dulu. Sebenarnya sebagai penulis, kita kena sentiasa kena cari kelainan dan membawa pembaca mengalami perkara dan cerita yang berbeza. Bukan sekadar lain daripada cerita orang lain, tetapi lain juga dari cerita kita yang dulu-dulu. Tak sama. Biar bila pembaca membacanya, mereka akan berasa lain dan berbeza. Mungkin ada yang masih suka buku lama kita, tetapi mereka tidak terasa tertipu bila membaca buku baru kita. Jangan sampai pembaca merasakan tiada apa-apa sangat yang berbeza dengan buku baru kita.

Jangan takut kalau ada pembaca yang tak suka 'kelainan' yang kita bawa. Kadang-kadang, ada pembaca memerlukan sedikit masa untuk biasakan diri dengan sesuatu yang luar biasa atau yang 'cool'. Dan ramai pembaca, memang suka pada sesuatu yang berbeza dan ada kelainan. Itulah 'cool', beb!

Pengalaman saya - Alhamdulillah, walaupun rata-rata pembaca saya suka akan karya saya, saya tetap akan menerima komen dari pembaca yang tak suka pada karya saya yang tertentu. Relaks lah, beb... takkan kita ni 'perfect' kan? Biasalah tu, tak mungkin kita boleh puaskan hati semua orang. Tetapi yang penting, ramai yang suka dengan apa yang kita buat. Insya-Allah, pembaca kita akan dapat menjiwai sebarang pembaharuan yang kita bawa. Lagipun, sebagai penulis, jangan lupa, kita memang bertanggungjawab untuk memberi kelainan itu, walaupun ia adalah cabaran untuk kita.

Habis tu, macam mana nak cari idea baru?

Bukanlah susah sangat, kan? Kita kenalah rajin mencarinya, jangan tunggu ilham datang. Ilham tak datang kalau kita duduk-duduk goyang kaki sahaja. Cuba buat research, bertanya-tanya orang, perhatikan di sekeliling kita, dan kadang-kadang memang kita perlu jadi 'busy body' sikit. Tapi untuk tujuan menulis sajalah. Rajin-rajin baca buku luar, rajin mencari bahan tentang pelbagai isu.

Selamat memulis dan teruslah menulis!

Wednesday, February 16, 2011

Baik Dulu Senang Kemudian


Salam

Remaja rasa tertekan kerana mereka kata ibu bapa mengongkong. Ibu bapa pula tertekan kerana berkata yang anak-anak tak dengar nasihat. Pandai-pandai sendiri. Remaja terus rasa bosan kerana macam-macam tak boleh buat, kebebasan mereka dikawal. Ibu bapa sakit kepala memikirkan rakan anak-anak yang entah siapa-siapa! Adoi. Beginilah keadaannya.

Saya tak tahulah anda macam mana, tetapi semasa saya remaja dulu, memang tak banyak songeh. Saya tak beri masalah kepada ibu bapa, sebab saya tak nakal. Jarang-jarang keluar, kalau keluar pun mesti kerana hal sekolah. Saya tak pandai melepak, tak pandai 'hu-ha'. Emak dengan ayah saya memang tak pening dengan saya.

Semasa saya membesar anak-anak saya, saya juga kurang berdepan dengan masalah yang besar. Alhamdulillah. Biasa-biasa saja. Anak-anak saya juga bukan jenis yang nakal. Mereka tak melepak di luar, tak reti juga untuk 'hu-ha' sana sini. Siapa kawan mereka, saya kenal semuanya. Biasanya mereka bawa kawan-kawan ke rumah, jadi saya kenal kawan mereka. Kalau saya cakap, biasanya mereka dengar. Saya pun bukan jenis yang menengking anak. Saya cakap baik-baik. Alhamdulillah.

Tapi, saya tahu ramai yang berdepan dengan macam-macam masalah bila membesarkan anak-anak. Saya teringat adik-adik saya dulu. Walaupun saya tidak nakal, tetapi adik-adik lelaki saya, semuanya nakal-nakal belaka. Ibu saya macam nak pengsan membesarkan mereka semua!

Apa pun, sama ada kita remaja atau ibu bapa, berbincanglah baik-baik. Jangan menipu, berterus terang dan jangan tuduh-menuduh. Kalau ada masalah, cakap aje, jangan simpan-simpan. Sebagai ibu bapa, kita kena faham anak-anak, dan sebagai anak, kita kena tahu bahawa satu hari nanti kita juga akan jadi seperti mereka. Sebagai ibu bapa. Senangkan ibu bapa anda, supaya esok-esok anak-anak akan senangkan anda pula! Insya-Allah.

Monday, February 14, 2011

Jadi Pelajar Lagi Seronok Kot


Salam

Saya teringat dulu-dulu, zaman saya masih belajar, terutama semasa di Universiti Malaya. Itu mungkin merupakan salah satu zaman yang paling 'interesting' buat saya. Ketika itu, saya tak berduit, maklumlah... hanya bergantung pada pinjaman negeri Perak (yang tak besar jumlahnya dan dah lama habis membayarnya), juga apa-apa sahaja yang kakak (masa tu dia kerja kat KL) atau ibu dari kampung hulurkan. Abang saya (lain emak) juga rajin memberi saya wang saku. Kalau dibandingkan dengan anak muda zaman sekarang, masa kami dulu memang jauh lagi susah. Tapi, alhamdulillah. Kami tetap bahagia!

Masa tu, kami hanya bergantung pada telefon awam kalau nak hubungi siapa-siapa. Di rumah pun (di kampung), tak ada telefon. Jadi, kalau nak contact ibu kat kampung, kena buat panggilan di 'public phone' kat kampung. Siapa sahaja yang berlalu-lalang dan angkat 'phone', dialah kena hantar mesej pada ibu saya... hehe. Kalau tak silap saya, masa tu mungkin saya anak kampung yang kedua masuk universiti.

Walaupun tak berduit kerana tak bekerja, tapi rata-rata pelajar di kampus tu macam 'happy' saja. Kami semuanya tak cerewet walaupun hari-hari kena makan nasi kawah yang tak sedap! Masa tu, saya memang kurus... sebab tak lalu nak makan makanan yang sama setiap hari. Kerana tak mampu nak makan di luar, saya selalu makan mi segera. Biasanya mi segera yang saya makan tu, separuh sahaja. Separuh siang dan separuh lagi malam! Adoi!

Apa pun, saya masih 'happy'.

Selepas dah lama graduate, barulah saya bekerja. Sebabnya, masa pelajar lagi (tahun akhir) saya dah kahwin. Sebaik sahaja graduate, saya ikut suami ke luar negara selama dua tahun. Saya dapat anak sulung di England dan lepas tu bila balik, saya tak terus kerja, sebab payah nak tinggal anak yang masih kecil. Anak saya dah dekat dua tahun, barulah saya bekerja.

Tentunya suasana kerja sangat berlain daripada suasana belajar. Walaupun semasa bekerja kita dah ada gaji dan boleh buat macam-macam dengan gaji, tapi hidup sebagai pelajar lagi 'interesting' kot!

Apa pun, saya bersyukur kerana telah melalui pelbagai proses kehidupan. Mungkin saya jenis manusia yang suka akan kebebasan, tak suka disuruh buat itu dan ini! Hehe.

Anda macam mana? Suka ke dengan kehidupan anda hari ini?

Sunday, February 13, 2011

Lupa Daratan di JCO



Salam

Hujung minggu ini, saya bersantai-santai sahaja. Semalam, saya dan suami, kami ke Selesa Hillhomes (pergi ambil bil elektrik - dah lama tak ke sana), lepas tu kami naik ke Genting Highlands dan makan tengah hari di Hotel Awana. Hujan renyai-renyai meniupkan angin dingin sepoi-sepoi bahasa. Saya makan Chinese, suami pula makan Indian. Lepas tu, kami turun ke KL dan pergi ke Pavilion, shopping sikit-sikit. Lepas tu, pergi ke JCO Donuts, minum kopi dan makan donut.

Masa di JCO, saya perhatikan banyak betul 'couple-couple' muda Melayu yang duduk berdua-duan sambil minum-minum dan makan-makan. Tapi, dalam ramai-ramai ni, ada satu 'couple' memang sahlah Melayu (saya dengar mereka cakap Melayu), stail dan caranya melebihi 'Mat Salih'. Macam lupa daratan lah pulak. Sudahlah si minah pakai baju seksi, terdedah lebih-lebih kat bahagian depan, lepas tu dengan berasa tak malu langsung, menghulurkan mukanya untuk berciuman di depan orang ramai! Hebat betul lah Melayu! Memang dah tak ada rasa segan-silu.

Saya pasti mereka belum kahwin lagi, sebab tengok cara memang bukan macam dah kahwin. Biasanya orang dah kahwin, tak buat macam tu di depan orang ramai. Lagi satu, sekalipun dah kahwin, tak payahlah nak menunjuk kat depan orang. Bukannya seorang dua aje di tempat tu. Tapi iyalah... saya bukan nak mengata, tapi bila 'pasangan' dah lupa akan tingkah laku mereka, di mana-mana sahaja mereka akan buat sesuka hati, seolah-olah mereka adalah orang Barat dan berada di Barat.

Alahai, beb... baru duduk-duduk kat JCO tu... bukannya kat tepi pantai Mediteranean atau Hawaii, atau lepak kat Cafe di kota Paris!

Okeylah... kadang-kadang itu yang buat saya malas nak lepak-lepak kat KL. Lebih seronok lepak kat rumah aje. Tetapi kebetulan, anak-anak saya dan famili mereka semua tak ada. Mereka ke Cherating bersama-sama staf KarnaDya... berehat di sana. Itu yang saya dan suami mati kutu. Sebab kami selalu berjalan, jadi kami 'volunteer' untuk jaga rumah. Emak saya tak sihat sangat.

Hari Ahad ni, saya akan duduk di rumah, uruskan garden saya... hehe.

Saturday, February 12, 2011

Akhirnya...




Salam

Tahniah kepada rakyat Mesir kerana akhirnya berjaya menumbangkan kerajaan zalim yang memerintah mereka selama 30 tahun. Semoga kejayaan ini membawa erti kepada rakyat Mesir dan semoga mereka menjadi umat Islam yang taat kepada perintah Allah. Selagi pemerintahan mana-mana kerajaan mengamalkan rasuah, tidak menjaga kebajikan rakyat, mengguna kekayaan dan hasil negara untuk kepentingan sendiri, maka pemerintahan itu patut ditumbangkan. Begitu juga dengan pemerintah dan ketua negara mana-mana negara di dunia ini. Apabila kita mahu menjadi ketua negara, perlulah kita amanah dan menjalankan tanggungjawab dengan betul, tidak kira rakyat kita siapa.

Akhirnya Hosni Mubarak tak tahan juga...

Negara mana pula selepas ini? Yemen? Syria? Jordan? Algeria?

Friday, February 11, 2011

Susah Ke Nak Bincang?




Salam

Dah lama saya tak tulis tentang penulisan. Pagi ini, mood saya mengajak saya untuk bicarakan hal ini. Isunya ialah 'perbincangan', iaitu antara penulis dan editor (atau pihak penerbit).

Saya tak tahulah cara orang lain, tapi kalau tanya saya, saya memang suka tanya dulu pihak penerbit tentang subjek yang saya boleh tulis. Seperti yang kita sedia maklum, bukan semua yang kita suka tulis, orang suka baca. Tentunya juga, pihak penerbit tak mahu ambil risiko untuk mencetak bahan yang tak boleh dijual. Rugi, beb! Yang ini, penulis kenalah tahu. Kalau tak guna modal, tak apalah... gasaklah nak tulis apa saja. Kalau tak payah ada duit, kita boleh ambil risiko untuk cuba sesuatu yang luar dari kotak fikiran kebanyakan orang.

Okeylah, berbalik kepada apa yang saya bincangkan ini. Tentang apa yang hendak kita tulis. Seelok-eloknya, kita dah dapat 'green light' dari pihak penerbit. Kita berikan idea kita dulu, dan kalau penerbit kata 'okey', kita pun tulislah. Atau mungkin, kita tanya pihak penerbit, apa yang mereka rasakan 'boleh jual' dan orang suka baca. Lepas tu, kita tulislah.

Kadang-kadang, memang ada benda baru yang penerbit nak cuba jual. Jadi, kita gunalah peluang ini. Cuba sesuatu yang lain. Mencabar daya penulian kita. Tidaklah asyik tulis benda yang sama aje!

Walaupun mungkin, kita merupakan penulis bernama besar, itu tak bermakna apa sahaja yang kita tulis, orang suka nak baca. Kadang-kadang, sekalipun dah ada nama besar. kita juga boleh jadi buntu. Atau mungkin tak perasan dengan apa yang kita tulis. Kita rasa macam best, tapi orang lain kata tak best.

Tapi... iyalah, best atau tidak, masih merupakan subjektif. Ada orang kata best, tapi ada juga yang tak suka dengan penulisan kita tu. Bagi saya, yang penting ialah bila kita dengar ramai yang suka pada penulisan kita itu. Kalau nak tunggu semua orang kata best (100%), payah kot. Jadi, kita ambil 'over all', majoriti kata apa? Kalau rata-rata orang suka, maknanya okeylah tu.

Kita jangan lupa, kadang-kadang kita jadi ralit. Bila rasa dah ada nama sikit, kita pun ambil ringan dengan isu yang kita bangkitkan. Asyik-asyik benda yang sama. Berulang-alik soalan yang serupa juga. Plot pun macam nak sama. Dah boleh agak dah. Pembaca tentu tahu, terutama kalau mereka merupakan 'die hard fans'... tentu mereka dapat rasakan yang penulis mereka itu dah kekurangan idea!

Satu lagi cara yang baik, ialah rajin-rajin bertanya kawan dan mungkin juga pembaca kita. Tapi jangan buat silap tahu? Ada orang memang suka baca benda yang macam nak sama. Kalau lain aje sikit, dia kata tak sedap. Aduh!

Carilah mereka yang betul-betul ikhlas nak tolong kita. Ikhlas nak lihat kita terus berjaya. Insya-Allah, sebagai penulis, kita cuba yang terbaik. Segala-galanya ditentukan Yang Maha Esa. Semoga anda penulis semua (termasuk diri saya juga) akan terus maju jaya dan bersemangat tinggi untuk mencari idea.

Apa pun, rajin-rajinlah berbincang.

Wallahua'lam.

Thursday, February 10, 2011

Burung Yang Berkicauan


Salam

Pagi-pagi, kawasan rumah saya ni dah jadi macam Kuala Gula. Hah, mungkin ada yang tak tahu Kuala Gula tu di mana, kan? Kalau nak tahu, Kuala Gula terletak di utara negeri Perak, di persisiran pantai, berdekatan dengan Kuala Kurau, sebuah perkampungan nelayan. Kuala Gula popular kerana ia merupakan santuari burung, termasuk burung migrasi yang berpindah sementara dari 'north hemisphere' dan 'south hemisphere' ketika musim sejuk. Ada yang berpindah sejauh 10,000 kilometer, sejauh Siberia. Ada yang datang dari China, Jepun dan New Zealand! Bayangkanlah, beratus-ratus spesies dan beratus ribu jumlah burung yang bertapak di Kuala Gula, sebuah kawasan hutan paya bakau.

Okeylah... yang ada kat depan rumah saya ialah sekadar sebuah tasik kecil sahaja, tetapi dikelilingi hutan kelapa sawit dan pohon-pohon yang ditanam pihak pemaju. Namun, setiap pagi, kawasan rumah saya ceria dan meriah kerana kecoh dengan lagu-lagu yang dinyanyikan burung-burung tempatan dan kicauan burung migrasi. Di tepi tasik, saya selalu melihat burung-burung bangau pelbagai warna. Hitam, putih dan kelabu. Mereka menyinggah untuk minum air. Saya tak pasti spesiesnya tetapi kadang-kadang saya terjumpa burung-burung pelbagai warna, biru kuning, hijau merah yang saya jarang-jarang jumpa sebelum ini. Kalau hujan, kawasan saya jadi senyap-sepi kerana burung-burung menyorokkan diri.

Bukanlah saya nak promosi tempat tinggal saya ini tetapi terus terang saya bangga tinggal di sini dan sentiasa panjatkan kesyukuran kerana Tuhan izinkan saya tinggal di tempat ini, memang sesuai dengan jiwa saya. Alhamdulillah.

Ada kala, saya terlupa akan segala bencana yang terjadi di dunia bila hati sedang dihiburkan burung-burung yang berkicauan ini. Betapa luasnya anugerah Ilahi buat umatnya.

Wednesday, February 09, 2011

Protes!



Salam

Ada kala, kita payah nak bercakap kerana orang tak nak faham-faham atau buat-buat tak faham. Ada perkara yang membuat kita rasa marah dan tak puas hati, tetapi malangnya kita tak dapat nak luahkan kemarahan kita melalui kata-kata. Kerana itu mungkin kita protes!

Kita boleh protes dengan macam-macam cara. Dengan cara yang tak baik dan yang baik.

Yang tak baik ialah dengan cara yang negatif, mungkin lari dari rumah. Biasanya inilah yang dilakukan oleh remaja apabila terasa diri mereka tidak diendahkan. Paling malang, apabila keadaan marah mereka tidak dapat dikawal. Ada remaja yang protes dengan membunuh diri!

Kalau isteri protes, mungkin dia mendiamkan diri. Tak nak bercakap apa-apa, atau mungkin boikot segala-galanya, termasuk servis malam. Kalau si suami masih tak faham, entahlah... mungkin terlalu 'beku' agaknya... hehe

Begitu juga dengan rakyat jelata. Kalau dah tak tahan dengan keadaan yang mereka alami setiap hari, mereka juga akan protes!

Jangan kita ingat negara yang kaya-raya, rakyatnya tak protes, kerana bukan soal gaji yang menjadi perkara utama, tetapi keadilan, soal rasuah dan macam-macam lagi yang boleh dipertikaikan. Kadang-kadang, negara yang dianggap maju jaya juga menjadi tempat protes rakyatnya. Hari ini, macam-macam sebab boleh dijadikan isu, apatah lagi kalau rakyat sedang kurang makan, kurang riadah, kurang tempat tinggal, kurang pakai, sedangkan menteri kabinetnya, setiap seorang mempunyai berbilion-bilion dollar. Kadang-kadang, kita berasa hairan apabila menteri hidup kaya raya. Lebih menghairankan kalau kita tahu asal usul mereka yang datang daripada keluarga biasa-biasa sahaja. Itulah sebabnya ada tempat, rakyatnya protes kerana merasakan mereka sedang ditipu oleh pemerintah!

Apa pun, memang hak kita untuk protes apabila kita berasa bahawa suara kita tidak dipedulikan. Apabila kita tak puas hati! Tak kiralah di mana sahaja. Di rumah, di pejabat, atau di negara masing-masing!

Tuesday, February 08, 2011

Kekasih Lama



Gambar sekadar hiasan


Salam

Ada orang memang payah nak lupa kekasih lama, terutama sekali yang 'first love'. Walaupun tak menjadi, mungkin ada yang berpisah dengan cara yang paling menyakitkan, tetapi setelah bertahun-tahun lamanya, masih tak boleh nak lupa.

Ada yang terus tak kahwin-kahwin kerana teringatkan kekasih lama. Ada pula tu, dah kahwin, tapi yang lama tu masih diingat lagi. Masih dekat di hati. Ada yang dah kahwin, tetapi akhirnya berpisah kerana hatinya masih teringat pada kekasih lama. Ada juga, setelah berpisah dalam perkahwinan, akan mencari kekasih lamanya!

Adoi...

Mungkin kita dengar macam satu kisah dongeng, tapi ini selalu terjadi. Memang kerap saya dengar kisah-kisah yang begini. Terikat dengan memori dan nostalgia cinta lama. Kadang-kadang, cinta lama tidaklah hebat mana, tetapi hati tetap cair apabila sahaja namanya disebut-sebut. Kenapa agaknya?

Saya teringat kepada kawan-kawan saya yang banyak terikat begini, walaupun dah bertahun-tahun lamanya.

Saya tak tahu kenapa tetapi mungkin boleh membuat andaian. Teori saya, mungkin ketika jatuh cinta, hati masih lembut, jiwa masih kosong, perasaan sayang cepat terbina dan pengalaman bercinta buat pertama kali itu sungguh mendalam. Terkesan. Kerana itu, apabila berpisah, cinta itu tetap ada.

Adoi...

Namun nasihat saya bagi mereka yang sudah berumah tangga, janganlah dikenang-kenangkan lagi. Lupakan sahaja. Katalah kepada diri, 'Aku bersyukur dengan apa yang aku ada ini'.

Wallahua'lam.

Monday, February 07, 2011

Silaturahim



Gambar di atas sekadar hiasan, tiada kaitan dengan saya.

Salam

Pernah tak anda fikirkan tentang kaum kerabat anda, terutama mereka yang duduk jauh daripada anda?

Okeylah, saya memang datang dari sebuah keluarga yang besar. Dari sebelah ayah dan juga dari sebelah ibu. Dan ramai juga daripada mereka yang tinggal berjauhan daripada kami. Semasa saya kecil, kadang-kadang memang payah nak jumpa saudara-mara kami terutama yang tinggal jauh. Bila berjumpa, memang menyeronokkan.

Sejak dulu lagi, saya memang ambil berat tentang kaum kerabat ni. Tak kiralah mereka kaya atau miskin, mereka orang berada atau tak ada apa-apa. Bagi saya, mereka serupa sahaja, kaum kerabat saya.

Setiap kali ada majlis perkahwinan, semasa itulah kami berjumpa. Kalau majlis itu majlis sebelah ibu, maka kaum kerabat ibulah yang saya bertemu. Kalau sebelah ayah saya, kaum kerabat ayahlah yang kami jumpa. Kebanyakan saudara-mara sebelah ayah saya berada di kejauhan, sejauh Amerika Syarikat, Timur Tengah, Indonesia (paling banyak) dan juga Singapura. sebelah ibu pula, hampir semua berada di Utara Malaysia, ada segelintir di Selatan dan juga Sumatera. Ayah ibu saya berasal dari Aceh, berketurunan Arab Yemen.

Mungkin kerana itu juga, biasanya bila ada majlis keluarga, saya akan cuba ke sana, kerana hanya di sana sahaja saya akan bertemu dengan kaum kerabat saya. Yang penting, kita cuba rapatkan silaturahim dengan ahli-ahli keluarga kita. Kita berusaha mana yang mampu. Kadang-kadang, setelah kita beria-ia, tidak menjadi juga. Bukan semua orang sama. Rambut sama hitam mungkin, tapi hati tetap lain-lain. Apa pun, saya akan terus berusaha untuk kekalkan ikatan silaturahim dengan kaum kerabat saya, walaupun kami tinggal berjauhan.

Untuk makluman anda sekelian, saya berbangga dengan saudara-mara sebelah ibu saya, kerana kalau saya buat majlis, mereka akan berusaha untuk datang walaupun tinggal jauh dari saya. Saya bersyukur. Alhamdulillah.

Sunday, February 06, 2011

Adil Itu Indah




Salam

Tahun lepas, masa musim percutian Tahun Baru Cina, kami ke Pulau Pinang kerana majlis sambut menantu anak perempuan kami. Sekarang ni, kami dah pun ada cucu. Tahun ini pula, kami sibuk juga masa percutian Tahun Baru Cina, kerana anak sepupu kami berkahwin. Anak sepupu kami lelaki dan berkahwin dengan orang Melaka. Jadi, ke Melakalah kami pergi. Semalam kami berada di Melaka dan masa balik tu, apa lagi, tersangkut dalam jam yang panjang. Saya keletihan bila sampai di rumah. Hari ini, majlis sambut menantu pula, di rumah sepupu saya yang terletak di Bandar Baru Salak Tinggi. Mujurlah dekat dengan rumah kami.

Apa pun, pagi ini saya ingin bercakap tentang keadilan. Tak kiralah sama ada hal negara, hal keluarga, hal suami isteri... apa-apa sahaja. Apa sahaja yang kita lakukan, pastikan kita berlaku adil. Saya selalu mengingatkan diri saya sendiri supaya jangan terlupa.

Kalau anda seorang suami dan mempunyai lebih dari seorang isteri, pastikan anda sentiasa amalkan untuk berlaku adil kepada semua isteri-isteri anda. Jangan ambil ringan. Begitu juga kepada anak-anak. Jangan pilih kasih, hanya sayang yang lelaki atau perempuan, atau yang cantik, atau yang berduit sahaja. Anak kita semuanya serupa walaupun tak sama.

Begitu juga kalau kita merupakan seorang anak. Berlaku adillah juga kepada ibu bapa kita, terutama kalau ibu kita sudah tidak bersuami lagi. Berilah peluang kepada ibu kita untuk mendapatkan kasih sayang kita. Jangan kita terlalu pentingkan keluarga kita (anak dan isteri) hinggakan ibu kita terabai.

Okeylah... saya sekadar mengingatkan sahaja agar kita semua jangan terlupa.

PS: Ini gambar Sharifah Yusufia, cucu saya yang pertama. Sudah enam bulan umurnya dan semakin 'interesting' perangainya.

Friday, February 04, 2011

Power Yang Siber Punya



Salam

Yalah, ini yang ingin saya katakan kali ini. Mana-mana kerajaan pun boleh kelentong apa sahaja melalui media yang mereka punya, namun hari ini ada kuasa siber yang payah hendak ditepis-tepis! Buatlah apa pun, orang ramai akan tahu juga. Itulah kuasa yang ada pada alam siber.

Kuasa ada pada tangan blogger, ada juga pada mereka yang bertwitter, berfacebook dan apa-apa sahaja. Ini yang kita lihat sedang berlaku di negara-negara di Afrika Utara atau di dunia Arab. Mula-mula di Tunisia, kemudian di Mesir, sudah ada di Yemen, di Jordan, mungkin juga akan ada di tempat-tempat lain di mana kerajaannya sama duduk dengan Firaun! Sekalipun dunia moden, masing-masing laungkan demokrasi, namun rata-rata kita tahu bahawa terlalu banyak negara dan negeri di dunia ini diketuai oleh mereka yang tidak adil, tidak amanah, haloba, tidak pentingkan rakyat dan macam-macam lagi. Paling sedih apabila ini terjadi di negara yang sepatutnya merupakan negara Islam.

Mungkin ada di antara kita yang merasakan bahawa huru-hara itu berlaku jauh dari kita, dan tak ada kena-mengena dengan kita, tetapi kita kena tahu bahawa apa yang berlaku di sana, bila-bila masa sahaja boleh juga terjadi di tempat kita juga!

Memang kita tak nafikan bila seseorang itu mula menerajui negara, pada mulanya mereka mungkin cuba lakukan yang terbaik. Tetapi apabila terlalu lama menjadi ketua, mereka mula berubah. Kalau dulu baik, lama-lama tukar peranan. Seorang Muslim sanggup berbaik dengan Yahudi hanya kerana mahu lebih. Itulah yang terjadi kepada Hosni Mubarak. Dulu (30 tahun lalu), dia merupakan okey-okey. Tetapi, lama-kelamaan dia berubah dan bertukar haluan. Dia berunding dengan Yahudi dan Amerika Syarikat, kerana mahukan habuan yang besar buat diri sendiri.

Hari ini, segala-galanya terbongkar dek kuasa yang ada di alam siber. Negara Mesir bukanlah merupakan negara yang canggih, namun kecanggihan dunia siber mampu membuka mata rakyatnya!

Kali ini saya memang sokong kuasa yang ada pada dunia siber!

Wednesday, February 02, 2011

Fobia




Salam

Kenapa agaknya orang luar takut apabila disebut sahaja tentang 'Islam'? Dalam hal ini saya sedang fikirkan tentang Mesir dan pergolakannya. Rakyat mahu Hosni Mubarak berambus. Mereka telah hidup dalam satu pemerintahan 'tyrant', yang hanya pentingkan diri dan kaum kerabat. Segala bantuan kewangan setakat ini(terutama US), hanya disalurkan di bahagian atas dan militari sahaja, sedangkan rakyat jelata tak merasa apa-apa! Dikatakan sebanyak 40% rakyat Mesir hidup di bawah paras kemiskinan. Pendapatan mereka tak sampai RM200 sebulan.

Tapi sekarang, bila rakyat protes, negara Barat takutkan kebangkitan Islam di sana. Mereka fobia. Seolah-olah Islam akan 'menjahatkan' rakyat Mesir. Pada hal, sudah terbukti, kerajaan yang amalkan Islam, tidak menindas rakyat. Apa pun, kita tunggu dan lihat sama ada negara luar (termasuk Barat) boleh terima kewujudan sebuah kerajaan yang ada kepentingan Islam di dalamnya. Mungkin US pentingkan Israel dan sebab itulah bimbang kalau negara Islam menghampiri Israel.

Kebetulan, salah seorang adik saya (dan isterinya) sedang berada di Mesir (bercuti). Tentunya mereka terperangkap. Tapi, alhamdulillah, kami dapat berita daripada mereka melalui SMS. Setakat ini, mereka okey.

Bagi saya, sebagai umat Islam, kita perlu hapuskan 'fobia' yang ada pada orang lain. Cara yang baik ialah buat 'baik' kepada semua. Amalkan benda-benda baik. Tidak menindas, tidak rasuah, tidak pentingkan diri dan keluarga sahaja, jadi ketua yang baik dan bijak, ikhlas, adil kepada semua, tak kira bangsa dan agama. Insya-Allah, orang luar akan hilang fobianya.

PS: Setakat ini, Hosni Mubarak sanggup tebalkan muka dia. Orang dah benci giler, tapi dia masih nak tunggu lagi! Mungkin lebih baik dia mati!

Tuesday, February 01, 2011

Post 800 - Nostalgia Bergetah



Salam

Sungguh, saya teringat zaman kanak-kanak saya. Satu nostalgia yang payah saya lupakan. Rumah saya di Kuala Kangsar terletak berdekatan dengan kebun-kebun getah. Malah, kebanyakan penduduk kampung saya merupakan mereka yang mempunyai kebun getah dan dengan itu mereka juga bergantung pendapatan dari getah. Tapi, ketika itu harga getah sangat rendah dan rata-rata, penduduk yang bergantung pada getah adalah golongan yang agak miskin. Ketika itu, gelaran 'penoreh getah' bukan merupakan sesuatu yang membanggakan!

Saya teringat di zaman itu. Saya dan adik-adik kerap menghabiskan masa dalam kebun getah, berlari-lari dan bermain seolah-olah kebun getah ialah taman yang indah. Ada ketika, kami masuk hingga ke kawasan kebun getah yang berhampiran dengan hutan dan kadang-kadang, ketika bermain kami mendengar bunyi harimau mengaum! Tunggang-langganglah kami berlari untuk pulang.

Apa pun, itu merupakan satu kenangan manis. Cuma... saya tak pernah mencuba untuk menoreh pokok getah. Kebetulan kami tak pernah ada kebun getah.

Hari ini, 'penoreh getah' lebih glamor kerjayanya kerana harga getah sudah naik tinggi melambung dan dianggarkan harga akan terus naik lagi. Jadi, kalau ada kebun yang luasnya sekitar 2 1/2 ekar, pendapatan mungkin lebih dari RM3,000 sebulan atau lebih!

Bukan sekadar getah sahaja naik harga, tetapi di kampung-kampung, rumah juga murah kerana banyak rumah kosong yang ditinggalkan tanpa penghuni.

Jadi... kalau kita rasa hidup di bandar sangat menyusahkan, kenapa kita tak pindah ke kampung sahaja? Mungkin orang muda boleh fikirkan hal ini.

Sekadar kenangan tentang pokok getah. Kalau nak tahu, pokok getah yang pertama telah ditanam di pekan Kuala Kangsar dan pokok itu masih ada lagi di situ!