Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Sunday, April 06, 2014

Ke Mana Hilangnya MH370?

Assalam

Seorang teman baik menyuruh saya membaca sebuah blog ini, yang menyampaikan teori kehilangan MH370. Memang menarik teori-teori yang dipaparkan. Malah, memang banyak teori yang dikemukakan oleh pelbagai pihak. Semuanya menarik belaka, boleh buat kita semua berfikir. Bagi saya, yang penting ialah biar rakyat Malaysia menjadi manusia yang rajin membaca dan berfikir, bukan manusia yang bengap yang tidak tahu apa-apa, hanya fikirkan hidup di dunia dan nafsu mereka! Alhamdulillah kalau lebih ramai rakyat Malaysia, terutama orang Melayu Islam, lelaki dan perempuan, yang kini mula buka matanya, berfikir tentang apa yang berlaku di dunia. Paling penting, insyaa-Allah kita sama-sama beringat bahawa dunia ini kemungkinan besar sudah berada di akhir zaman. Membawa maksud, kiamat sudah hampir dekat. Semoga kita sama-sama ingatkan Allah SWT, bukan hanya tekak, perut dan nafsu untuk berseronok-seronok sahaja!

Pun begitu, bila kita membaca cerita dan teori orang, janganlah pula kita jadi lemah lalu menerima segala apa yang dipaparkan sebagai benar, tiada yang salah. Janganlah menjadi manusia yang tak mampu berfikir apa-apa, sekadar hanya mampu untuk mengikut dan taksub pada teori orang. Biarlah kita buka mata, buka hati dan buka fikiran. Biarlah kita lebih banyak membaca lagi, 'explore' dan faham dengan apa yang sedang berlaku di bumi ini. Biarlah kita tahu apa yang sedang terjadi di negara orang, bukan hanya tahu apa yang berlaku di negara kita. Yang penting, biarlah khazanah akal yang tersirat di dalam kita suci al-Quran menjadi pedoman kita, agar kita tidak menjadi manusia yang tersesat di bumi ini. Wallahuaklam.

Saya bersetuju yang kemungkinan besar kita sedang berada di penghujung zaman. Lihatlah apa yang terjadi di sekeliling kita. Kalau anda ke tanah suci Mekah dan Madinah, lagilah anda akan terasa betapa dunia ini mungkin sedang berada di langkah-langkah akhirnya.

Tentang MH370, pastinya terus akan menjadi teka-teki. Tetapi yang menghairankan kebanyakan orang (yang berfikir), apakah mungkin syarikat Boeing tidak tahu ke mana hilangnya penerbangan MH370 itu? Hampir mustahil, kerana setahu kami, setiap penerbangan boeing yang ada di bumi ini, akan dimonitor oleh satelitenya. Jadi... macam mana Boeing tak tahu tentang MH370? Memang yang itu sangat tak logik. Mungkin Boeing mahu padamkan kelemahan mereka, itu juga merupakan satu teori yang sedang berlegar-legar. Tetapi... kenapa tiada yang memaksa Boeing untuk berterus-terang?

Saya bersetuju, mungkin banyak yang tersirat dalam kejadian kehilangan MH370. Tetapi apa sekalipun yang sedang berlaku, kita perlu ingat pada Allah SWT dan Kekuasaan-Nya. Biar canggih mana pun, biar hebat mana manusia ini, tiada yang lebih hebat daripada-Nya. Hanya Allah SWT yang tahu apa yang sedang berlaku dan dalam pada itu, biarlah kita manusia ini guna akal dan fikiran, serta jalankanlah kebijaksanaan kita untuk terus berfikir, jangan jumudkan otak kita, lalu menjadi ummat yang hidup dalam dunia koma! Wallahuaklam.

Wassalam.