Assalam
Sudah jadi budaya kebanyakan orang kita, walaupun mungkin baik hati, tetapi suka sangat nak meminta-minta. Kalau boleh, nak buat kerja sikit sahaja tetapi nakkan hasil yang banyak. Kesabaran pula tak mahu dibina dalam diri dan kerana kurang sabar, itu yang suka cari jalan 'short cut'.
Semalam, seorang teman ceritakan pada saya. Katanya dia banyak berurusan di kaunter melalui 'runner' sahaja kerana tiada masa nak ke kaunter. Tapi malangnya, runner akan kenakan 'extra cost' kerana dia terpaksa membayar mereka yang jaga kaunter (saya tak nak sebut di mana ya). Maknanya orang kaunter tu, bukan setakat makan gaji, tapi juga 'makan suap'. Mungkin bagi orang berkenaan, itu perkara biasa sahaja, bukan satu perbuatan tak elok yang berdosa. Kerana dah biasa, setiap hari itulah yang dilakukannya, kutip hasil dari runner. Dari sepuluh ringgit hingga ke lima puluh ringgit untuk satu urusan. Bayangkan kalau runner yang datang tu ramai dan untuk banyak 'urusan'. Memang gemuklah perut! Mungkin hasil yang dikutip tu jauh lagi banyak dari gaji bulanan. Tapi yang pasti, apa yang si pungut di kaunter itu makan, adalah duit yang tak halal! Bayangkanlah jika duit itu diguna untuk beli makanan anak-anak, untuk suami atau isteri, untuk hal-hal lain. Bayangkanlah anak-anak yang macam mana yang kita besarkan nanti, sedangkan kita memang tahu dari mana hasil yang anak itu makan setiap hari!
Semoga kita fikir-fikirkanlah tentang hal 'besar' ini. Mungkin kita rasa kecil, tapi sebenarnya ia besar dan mampu untuk turun kepada keturunan kita.
Dalam Islam, Allah swt sentiasa meminta kita untuk rajin memberi (bersedekah) walaupun mungkin kita tak banyak harta dan wang ringgit. Walaupun sedikit, barakahnya besar. Tapi kalau kita makan duit yang tak halal, walaupun banyak atau sedikit, namun barakahnya tiada, yang dapat hanyalah bala! Astaghfirullah.
Semoga kita sentiasa peka dan jauhkan diri daripada budaya 'meminta-minta' ni kerana budaya ini mampu menjatuhkan kita ke kancah yang hina!
Wassalam.
Sekadar Hiasan