Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Wednesday, January 07, 2009

Apa yang Saya Pelajari




Semasa saya berada di Yemen, banyak perkara yang saya pelajari atau cuba hayati. Salah satu ialah semangat untuk mengalukan tetamu. Sekalipun Yemen merupakan sebuah negara yang tidak maju (sekarang ini) kalau dibandingkan dengan kebanyakan jiran-jirannya, dan ramai rakyatnya hidup dalam kemiskinan, tetapi mereka kaya budi bahasa. Mereka pastikan tetamu mereka sentiasa diraikan. 'Hospitality' mereka memang 'first class'! Mereka pastikan tetamu mereka sentiasa dijaga dengan baik, makan makanan yang baik-baik, selesa dan mempunyai kenderaan yang terbaik. Mereka menyambut kami di lapangan terbang dan menghantar kami pulang apabila sampai masanya. Malah, semasa saya di Mukallah dan mahu membeli-belah, barang yang saya beli itupun mahu dibayarnya! Mujurlah saya berkeras dan terus menolak! Apabila kami makan di luar(di kedai makan) mereka berkeras mahu membayar. Bagi mereka, tak boleh tetamu membayar makanan sendiri dan tak boleh kami belanja mereka makan. Masya-Allah.

Saya sempat juga beramah-mesra dengan wanita-wanita muda mereka. Sekalipun saya tidak dapat melihat wajah mereka(semasa berada di luar), saya dapat merasakan hati mereka. Mereka sungguh lembut dan berbudi bahasa. Mereka berbual-bual dengan saya. Rata-rata, saya difahamkan bahawa wanita mereka berkahwin dalam usia yang sangat muda. Ramai yang sudah kahwin dalam usia 16 tahun, cuma mereka yang berpelajaran tinggi sahaja yang kahwin sedikit lewat daripada itu. Rata-rata juga, mereka mempunyai keluarga yang besar. Jumlah anak sembilan atau dua belas orang merupakan perkara biasa sahaja. Tidak macam orang kita yang begitu takut untuk meningkatkan zuriat. Apa yang saya perhatikan ialah mereka tidak 'sematerialistik' macam kebanyakan kita. Apa sahaja yang kita lakukan, kita fikirkan tentang perbelanjaan dan kita paling takut untuk tidak hidup dalam suasana yang selesa.

Sekalipun kebanyakan mereka tidak senang atau kaya macam kita, namun kebanyakan mereka berhati mulia. Semasa saya di Sana'a dan kami menaiki teksi untuk meronda-ronda, percaya tak, pemandu teksi tidak mahu mengambil wang yang kami berikan lebih daripada yang tercatat di meternya. Kami beritahunya yang kami mahu memberinya wang lebih, tetapi dia tetap menolak. Dua kali kami bertemu dengan pemandu teksi yang begitu. Masya-Allah.

Mungkin kehidupan seperti itulah yang membuat hati-hati tertentu untuk menerima Yemen seadanya. Kami mempunyai seorang teman berketurunan Cina, asalnya dia bukan Islam, tetapi kemudian dia memeluk agama Islam dan mengawini seorang wanita Melayu. Seterusnya dia telah pergi ke Yemen untuk mempelajari bahasa Arab. Sehingga kini(lebih lima tahun)dia dan keluarganya masih di Yemen, hanya pulang ke Malaysia sekali-sekala. Katanya dia seronok tinggal di sana!