Assalam
Saya tak tahu kenapa tetapi memang ramai yang jadi malas untuk bekerja bila masuk bulan Ramadhan. Konon-konon badan letih dan tak bermaya. Nauzubillah min zalik. Maknanya 'defeat the purpose' lah ni...
Allah hadiahkan kita bulan Ramadhan untuk jadikan diri lebih baik daripada biasa, kerana di bulan ini, sepatutnya kita kerjakan amal ibadah yang lebih untuk pungut pahala juga yang lebih, bukan untuk kurangkan kerja. Kerja itu juga adalah amal ibadah, kecuali kalau kita bekerja di tempat yang tidak sepatutnya atau buat kerja-kerja yang haram.
Jadi, kenapa boleh jadi malas untuk buat kerja?
Kalau dah malas buat kerja di siang hari, takkanlah rajin nak buat ibadah di malam hari? Selalunya kalau orang yang malas ini, pasti tumpuannya ialah pada makanan. Maknanya bila buka puasa mahu makan yang enak dan lebih-lebih. Lepas tu, pasti terbongkang! Esok... pergi kerja masih malas. Mungkin bertambah malas. Kerja sampai pukul sepuluh, dah hilang mood. Pukul dua dah fikir untuk balik rumah. Astaghfirullah...
Betapa ruginya kita kalau itu yang kita jadikan amalan di bulan Ramadhan. Sudahlah tak amanah kerana buang masa tapi dibayar gaji.
Semalam saya dengar anak-anak saya merungut kerana semua meeting yang diaturkan selepas jam 3.00 petang dibatalkan, kerana pihak sana tak mahu kerja lepas pukul tiga. Konon-konon minda mereka tak berjalan akibat keletihan! Nauzubillah.
Betapa ruginya kita bila kita jadikan ini tabiat untuk bulan yang sepatutnya menjadi gilang-gemilang untuk kita.
Janganlah jadi malas di bulan Ramadhan.
Rugi sungguh kalau kita tidak tingkatkan amal ibadah termasuk waktu bekerja. Janganlah guna waktu pejabat untuk bershopping di dalam ofis atau bersembang-sembang kosong bercerita tentang nak raya atau bergosip tentang selebriti yang baru bercerai!
Janganlah rugikan diri kita.
Ringgit Malaysia semakin meruncing, bermakna kita akan berdepan dengan masalah ekonomi yang teruk. Jadi... janganlah sibuk nak goyang kaki!
Wassalam.