Assalam
Pagi yang dingin... rasa macam kat England pulak dah. Hanya 25 degree sahaja... kalau hari-hari macam ni, memang sedap. Apa-apa pun, saya tetap bersyukur kita berada di Malaysia. Sekalipun lebih cantik mungkin, lebih sejuk mungkin di negara orang, tetapi negara ini tetap negara kita. Alhamdulillah, syukur di atas nikmat-Nya.
Saya masih belum siapkan manuskrip saya. Sebab utama ialah kerana ada bahagian yang 'terhilang' di komputer lama. Masa transfer, ada pulak yang tercicir. Jadi sekarang ini kena elokkan semula komputer lama (desktop), nanti boleh sambung kerja di laptop. Alahai... dugaan.
Apa-apa pun, pagi ini nak bercerita tentang kebahagiaan. Betapa kita manusia sentiasa dahagakan kebahagiaan. Kita semua mencari kebahagiaan, kerana nilai itu sangat tinggi, tak sama pun macam nilai wang ringgit atau harta segunung. Kita semua mahu mencari 'happiness' dan kita semua mahu hidup aman. Pun begitu, kita juga perlu ingat bahawa sekalipun kita mahukan kebahagiaan, kita tak boleh jadi manusia yang tamak haloba dan pentingkan diri sendiri. Jangan hanya fikirkan diri kita sahaja, mahukan bahagia di hati tanpa ambil kira kebahagiaan orang lain. Jangan mahu bahagiakan hidup kita dengan memusnahkan kebahagiaan orang lain, kerana perbuatan seperti itulah yang dikatakan zalim, antara sifat yang dibenci oleh Allah SWT. Dalam al Quran, Tuhan sentuhkan hal ini berkali-kali, tentang sifat yang dibenci-Nya, ia itu sifat zalim.
Kadang-kadang kita fikir bahawa apa yang kita buat itu adalah perbuatan yang murni, kerana pada keadaan yang tertentu, kita fikirkan tentang kemahuan kita. Kita rasa kalau kita buat sesuatu itu, itu akan membahagiakan kita. Kita sedang mencari 'kebahagiaan' jadi kita pun lakukanlah perkara yang kita sangkakan akan membahagiakan kita. Tetapi malangnya, perbuatan mencari kebahagiaan itu sedang memunahkan kebahagiaan orang lain. Perbuatan kita itu tentu tidak disukai Allah SWT, maka mungkin akan ditarik apa-apa 'kebahagiaan' yang kita dapat dalam masa yang singkat itu. Tahu-tahu kita sudah tidak ada 'kebahagiaan' lagi. Tahu-tahu kita sedang melopong. Rasa kosong dan rasa dipermainkan. Mungkin rasa sakit hati. Tapi... mungkin kita terlupa bahawa kita sudah sakitkan hati orang lain. Kita sudah menzalimi hati orang lain dan kerana itulah kita pula sedang 'merana' dan sakit hati. Nauzubillah.
Semoga setiap apa yang kita lakukan di dunia ini, biarlah ia membawa kebaikan buat kita, bukan sekadar di dunia tetapi untuk akhirat jua. Jangan jadi manusia yang pentingkan diri sendiri. Walaupun kita rasa kita tak salah, tetapi sebenarnya kita 'bersalah'. Wallahuaklam.
Wassalam.