Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Tuesday, July 16, 2013

Sepakat Indah


                       Sepakat Indah

Assalam.

Seperti biasa, hari Selasa di malam harinya, akan ada drama Selamat Malam Kekasih, yang diadaptasikan dari novel saya di TV Al Hijrah jam 10.00 malam. Malam ini ialah episod kelima. Kalau anda berkesempatan, sila tonton.

Pagi ini, saya nak bercerita tentang satu kawasan yang terletak di antara bandar Kajang dan Bandar Baru Bangi (tak jauh dari seksyen 7). Kawasan itu kami panggil 'Sepakat Indah', merupakan kawasan yang penuh dengan apartmen mencakar langit. Apa yang kelainannya tempat ini ialah kerana kawasan ini merupakan kawasan yang menarik minat mereka yang berketurunanTimur Tengah dan berdekatan dengan kawasan itu, seperti sebahagian Afrika, Turki dan juga Iran. Malah mereka yang berketurunan Pakistan, Aghanistan dan tentunya Arab, sangat suka dengan kawasan ini. Rata-rata, tempat ini didiami oleh mereka yang sedang menuntut pengajian di universiti-universiti dan kolej-kolej di sekitar kawasan itu seperti UKM, UPM, Uniten dan lain-lain.

Kerana itu juga, kedai-kedai di kawasan itu kelihatan seperti di negara-negara Arab. Ada banyak restoran Arab dan juga kedai runcit Arab. Kalau anda perlukan bahan-bahan untuk masak masakan Arab, memang eloklah kalau ke kawasan itu. Semuanya ada. Malah, makanan kering seperti kurma, buah tin, buah zaitun, minyak sapi dan macam-macam lagi sangat muarh di situ. Air jus (kotak atau tin dan botol) pelbagai rasa juga sangat murah dan sedap, tidak seperti di pasar raya. Sekali-sekala saya suka ke sana. Sangat mudah nak cari roti Arab,bukan sekadar murah. Saya juga suka beli kacang humus yang dah siap selain daripada air jus yang macam-macam ada.

Saya sekadar mencapaikan maklumat bagi mereka yang tidak tahu tentang tempat ini. Kalau anda tinggal di sekitar kawasan Bangi, Serdang atau Kajang, malah Putrajaya pun okey lagi, mungkin anda boleh cuba pergi ke kawasan Sepakat Indah ini. Wallahukalam.