Sekadar Hiasan
Salam semua
Mula-mula, saya nak bercerita tentang trend orang suka pakai pelbagai benda untuk cantikkan wajah atau tegangkan wajah (cara pakai botox atau inject benda-benda lain, termasuk buat plastic surgery). Ini terjadi kerana mereka tak suka dengan apa yang ada pada wajah, maka ingin diubahsuaikan. Malah, ada juga yang takut untuk tua atau kelihatan tua. Takut muka berkedut. Hahaha... sampai bila nak hidup dalam trauma begitu, kan? Suka atau tidak, pasti kita akan tua juga. Sekalipun nampak muda, kalau tua tetap tua dan sebenarnya tak salah pun jadi tua, kerana biasanya orang tua lebih matang dari yang muda dan orang tua lebih banyak pengalamannya. Cuma dalam hal ini, saya sangat risau melihat ada wajah-wajah orang kita yang berubah dengan ketaranya dan ada ketika wajah itu kelihatan sangat pelik kerana telah dilakukan sesuatu untuk diubah. Bagi saya, sebenarnya tak perlu kita takut kalau ada kedutan di wajah, dan tak perlu kita ubahkan wajah yang dianugerahkan Allah SWT, kerana ciptaan Tuhan tiada bandingannya dan tiada sesiapa pun yang boleh buat lebih baik daripada apa yang dilakukan Allah SWT.
Hal lagi satu pula, sejak kebelakangan ini, memang terlalu ramai selebriti wanita yang memilih untuk memakai hijab. Alhamdulillah. Kalau mereka menuju ke arah itu, semoga segala yang mereka lakukan itu juga turut akan mengikut syariat agama kita. Ini menunjukkan ramai yang tidak bimbang rezeki akan berkurangan sekalipun memakai hijab. Semoga ia bukan sekadar trend tetapi sesuatu yang menggerakkan hati mereka untuk ke arah yang lebih positif. Semoga semua yang dilakukan itu baik-baik belaka. Insya-Allah.
Beralih kepada hal ekonomi pula. Saya tersangat bimbang melihat keadaan di mana harga rumah kini naik melambung, hinggakan ia menjadi bukan-bukan. Rumah link di sekitar Lembah Kelang ada yang mencecah 700K, ada itu lebih mahal lagi (tengok pada kawasan). Rumah apartmen pun ada yang cecah 500K dan lebih, pada hal kecil sahaja saiznya. Saya bimbang kalau ini terus berlaku, orang-orang muda akan terperangkap dengan hutang yang tinggi kerana ingin perolehi rumah. Bagi saya, kalau anda bimbang sekiranya nanti anda tak ada rumah kalau tak beli sekarang ini, mungkin elok kalau anda cari tanah pertanian atau tanah kampung dulu. Beli dan simpan.
Dijangkakan, harga makanan akan naik melambung pada tahun hadapan. Bila makanan naik harga, segala-galanya akan naik juga. Ini akan timbulkan masalah buat kita semua. Dijangkakan juga harga minyak akan naik dan menjadi beban untuk kita semua. Jadi... kita harus berjaga dari sekarang. Mungkin lebih selamat anda menyewa dulu daripada terbeban dengan hutang kerana memiliki rumah sendiri. Wallahua'lam.
Wassalam.