Assalam
Ramai yang sedang berkobar-kobar untuk menyambut Hari Raya, mungkin lebih bersemangat daripada untuk menyambut Ramadhan, mungin juga tak berasa sedih yang Ramadhan akan pergi tinggalkan kita. Mungkin inilah lumrah kehidupan banyak orang di dunia ini, kita lebih suka untuk mencari 'keseronokan' dan kerana itulah kadang-kadang kita jadi manusia yang alpa.
Ada bezanya antara 'seronok' dan 'bahagia' dan saya percaya ramai yang keliru dan merasakan bahawa kalau tak seronok, maka tak mungkin bahagia. Di sinilah letak silapnya kerana kita juga harus mengerti bahawa 'bahagia' itu tidak semestinya mempunyai keseronokan kerana biasanya 'bahagia' itu datangnya dengan kesederhanaan. Islam menggalakkan kesederhanaan dan kalau kita hidup di dunia mencari keseronokan, barangkali kita akan sukar untuk temui kebahagiaan kerana 'seronok' itu lebih dekat dengan 'syaitan' kalau dibandingkan 'bahagia' yang sebenarnya.
'Seronok' biasanya akan membawa kita lupa daratan dan mungkin juga mampu untuk jauhkan kita daripada Tuhan kerana bila kita terlalu mencari keseronokan, pasti juga kita akan jatuh ke alam 'keburukan' kerana 'seronok' itu sekadar hiburan yang sementara dan bahagia tidak semestinya menghiburkan kita. Bahagia datangnya dengan ketenteraman dan ketenangan di jiwa. Kerana itulah banyak orang yang terperangkap dengan 'bahagia' yang tersalah tafsir. Bahagia yang bergantung pada keseronokan seperti 'gila harta', 'gila wang', 'gila judi', 'gila seks', 'ghairahkan material' dan segala hal yang boleh melekakan dan menyesatkan, mereka akan temui satu kegagalan dalam hidup. 'Bahagia' sekadar merupakan satu fenomena fatamorgana, ilusi yang cuba mempersendakan minda dan akal fikiran kita, akhirnya membuatkan kita tersesat di bumi ini dan kalau terus silap perkiraan, akan membawa kepada kesalan dan kesesatan hingga ke akhirat nanti.
Dalam hari baik dan bulan baik, jom kita muhasabah diri, perbaiki semua yang kurang dan luruskanlah hati dan jiwa untuk mencari 'kebahagiaan' yang asli, bukan sekadar ilusi. Wallahuaklam.
Wassalam
Fatamorgana di padang pasir
