
Gambar Leila Trabelsi, isteri bekas Presiden Tunisia
Salam
Semalam, ada sebuah surat khabar Malaysia arus perdana 'menghighlightkan' tentang Leila Trabelsi, isteri kepada bekas Presiden negara Tunisia, Zine al-Abidine Ben Ali yang berkuasa di Tunisia selama 23 tahun, dikatakan telah lari bersama keluarga, pada 14 Januari, 2011 ke negara Saudi. Leila, seorang isteri yang sentiasa berada di belakang suaminya, akhirnya akibat cara hidup yang keterlaluan, telah menumpaskan kekuasaan suaminya itu!
Gaya hidup Leila, serta ahli keluarga bekas presiden itu, telah menghidupkan suasana tidak tenteram di Tunisia. Keadaan kemiskinan menjadi-jadi, korupsi bermaharajalela, dan rakyat terus-menerus hidup tertekan, sedangkan presiden dan kerabatnya hidup dengan segala kemewahan hasil rakyat dan negara!
Kisah Leila mengingatkan saya kepada isteri bekas presiden Filipina, iaitu Marcos. Imelda Marcos hidup dengan segala kemewahan sedangkan rakyat sengsara. Akhirnya, rakyat memberontak, lalu Marcos dan ahli keluarga terpaksa tinggalkan Filipina. Saya masih ingat akan istana Marcos yang menyimpan segala kemewahan keluarga termasuk beribu pasang kasut Imelda Marcos.
Saya juga teringat kepada Raja Iran suatu ketika dahulu. Shah Pahlevi dan isterinya Farah Diba, yang hidup dengan kemewahan tanpa pedulikan rakyat jelata. Akhirnya mereka diusir keluar. Akhirnya juga kedua-dua mereka serta anak-anak tiada tempat untuk berlindung!
Semalam, ketika mahu tidur, saya teringatkan Leila Trabelsi. Saya cuba bayangkan dirinya, yang hidup dengan kemewahan setinggi gunung, tiba-tiba suatu hari, terpaksa lari, mungkin cuba memujuk teman-teman untuk tumpangkan mereka. Akhirnya, segala harta tiada ertinya lagi, kerana Tuhan telah mengambil kebahagiaan hidup.
PS: Kini di Mesir, rakyatnya mula menunjuk perasaan dan mahu Presiden Hosni Mubarak, yang telah berkuasa selama 30 tahun, diusir dari segala kekuasaan kerana rakyat jelak dengan kemiskinan dan korupsi! Khabar angin mengatakan bahawa isteri dan anak-anak presiden Mesir sudah lari ke London!
Di Yemen juga sedang ada tunjuk perasaan protes presidennya yang tamak dan mengamal korupsi!
Wallahua'lam.