Assalam
Ilmu yang baik patut kita kongsi sama-sama. Pun begitu, bukan semua benda dalam dunia kita kena kongsi, biar kita pilih-pilih mana yang patut sahaja. Ada orang... mungkin terasa apa saja yang dia nak, dia pun nak ambil... tak payah fikir apa-apa. Terasa macam berhak apa saja.
Okeylah... semalam saya dapat satu message, yang bagi saya sangat interesting dan berilmu. Memang kita biasa terima message daripada kenalan kita, kadang-kadang sampai tak henti-henti. Macam-macam benda yang nak dipaparkan, tetapi bukan semuanya bagus untuk kita kongsi. Tetapi bila saya membaca message yang dikirim ini, saya terasa mahu kongsi dengan orang lain juga. Satu peringatan buat kita semua, semoga kita jadikan panduan perjuangan hidup di dunia ini.
Dalam surah 89, Al-Fajr, ayat 15 dan 16, Allah swt berfirman yang berbunyi, "Maka adapun manusia, apabila Tuhan mengujinya lalu memuliakannya dan memberinya kesenangan, maka dia berkata, "Tuhanku telah memuliakanku." Namun apabila Tuhan mengujinya lalu membatasi rezekinya, maka dia berkata, "Tuhanku telah menghinaku.""
Ayat di atas ini sebenarnya menjelaskan kepada kita bahawa dalam apa jua keadaannya, yang kaya atau miskin, manusia ini tetap diuji. Dalam kedudukan di atas atau di bawah, iman kita tetap diuji-Nya.
Mungkin kerana kebanyakan manusia tidak sedar, maka manusia sering menyoal bila mereka mendapat ujian berat seperti sakit, kehilangan, kurang rezeki dan macam-macam lagi. Bermakna, manusia sering merungut-rungut tak puas hati. Namun apabila Allah berikan kecemerlangan seperti kekayaan, kesihatan yang baik, rezeki yang melimpah-lipah, rumah besar, kereta besar dan macam-macam lagi, mereka sering tidak bertanya apa-apa lagi seolah-olah itu adalah haknya.
Bila dapat, kita kata itu hak kita, Bila diambil, kita marah pula.
"Sometimes you are not satisfied with your life, while many people in this world are dreaming of living your life."
Apabila kita terlupa untuk bersyukur, kita akan terus marah-marah dan mencari jalan untuk buat apa-apa sahaja asal kita dapat apa yang kita mahukan. Namun apabila kita diberi, kita terlupa untuk merasakan bahawa apa yang kita dapat ini masih tetap Tuhan yang punya.
Kerana itulah tak banyak orang kaya yang rasa bahagia walaupun duduk dalam rumah besar dan punyai semuanya. Mungkin ada yang lupa untuk bersedekah, membayar zakat dan menjaga orang tuanya. Tak semestinya orang miskin pula rasa seronok, kalau hidupnya asyik merungut-rungut. Asyik rasa tak puas hati.
Kebanyakan kita manusia punyai rasa sakit di hati bila melihat akan kehidupan orang lain, sedangkan kita terlupa bahawa apa yang kita punyai itu adalah yang terbaik buat kita.
Selagi kita manusia terlupa untuk berasa insaf dan terus bersyukur, selagi itulah semuanya tak akan memuaskan hati kita.
Pada hari yang mulia ini, jom kita kongsi ilmu ini agar kita terus jadi insan yang hidup bersyukur di atas segala ujian Allah swt.
Wassalam.
Sharing is caring