

Pernahkah anda berada di dalam situasi di mana anda akan berusaha untuk hadirkan diri dalam apa-apa jemputan yang dihulurkan oleh orang-orang yang anda kenali? Tetapi, sebaik sahaja anda pula aturkan sebuah majlis dan menghulurkan jemputan kepada mereka, tahu-tahu mereka memberi pelbagai alasan atau tanpa memberi apa-apa alasan, tidak dapat hadir dalam program anda itu?
Apakah yang anda lakukan?
Merajuk dan berkecil hati?
Lain kali, anda pastikan anda juga tidak hadir lagi dalam apa-apa jemputan mereka pula?
Biasalah, kan... kita akan terasa hati. Kita akan tertanya-tanya, kenapa mereka buat begitu? apakah mereka tidak pernah menghargai usaha kita selama ini?
Seelok-eloknya sebagai teman, atau mungkin jiran, atau saudara-mara, kita menghargailah apa-apa sahaja undangan teman, jiran dan saudara itu. Mungkin ini giliran mereka, suatu hari nanti, giliran kita pula. Janganlah berkira-kira dan janganlah suka mencipta alasan, kecuali kalau kita betul-betul uzur.
Sebaik-baiknya, kita penuhi permintaan teman dan rakan ini, kerana dengan penglibatan kita, maka akan meriahlah lagi apa-apa majlis yang diaturkan itu. Kita tentunya membuat tuan rumah seronok. Janganlah kita fikir... 'Ah, aku sorang yang tak datang, takkan rosak majlis kot?' Apa pula akan terjadi kalau semua yang dijemput berfikir begitu? Tentu majlis tuan rumah akan rosak, betul tak?
Okeylah, saya tak berniat untuk membebel pagi ini, cuma teringat kepada 'mereka' yang suka sangat mengelak diri daripada menyambut jemputan orang.