Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Monday, May 30, 2011

Mahu Sihat


Salam

Hujung minggu yang agak sibuk buat saya dan keluarga. Apa pun, alhamdulillah kerana telah sempat menghadirkan diri untuk majlis-majlis perkahwinan seperti yang saya nyatakan sebelum ini. Semalam, sehari suntuklah kami di Johor Bahru termasuk perjalanan pergi dan balik. Mujurlah jalan raya tidak sesak sangat. Jam lapan malam, kami sudah pun berada di Nilai.

Kebetulan, pada malam Sabtu itu, saya telah melawati beberapa blog (biasanya followers saya) dan kebetulan juga, saya memasuki blog X yang sedang meluahkan perasaan kerana baru sahaja kehilangan teman baik kerana penyakit barah. Dari situ, saya memasuki pula link ke blog 'arwah' yang dimaksudkan. Sekali lagi saya membaca luahan hati seorang insan yang sedang berdepan dengan penyakit (ketika itu masih ada hayatnya)dan ketika membaca entri-entrinya itu saya berasa sedih kerana sudah tahu yang dia sudah pun tiada lagi di alam fana ini. Al Fatihah buat insan yang bernama Lyn.

Dia pergi kerana barah walaupun usianya masih terlalu muda (Kalau tak silap hanya 20 tahun) dan tiada apa-apa yang boleh teman atau sauadara-maranya lakukan. Sudah suratannya begitu. Ajalnya tiba dan usia yang diberikan hanyalah setakat itu.

Kita tidak tahu bila kita akan tinggalkan dunia ini buat selama-lamanya, tapi kita tahu yang satu hari nanti kita semua akan pergi jua. Dunia ini hanyalah sementara sahaja dan kita tak mampu berteka-teki bila ajal kita akan tiba. Kadang-kadang, ada orang sedang sakit tenat, namun kalau ajalnya belum sampai, dia akan terus jadi segar. Hanya Tuhan yang tentukan.

Kebetulan juga, ketika berada di Johor Bahru, saya berjumpa dengan seorang insan yang dekat dengan saya dan katanya kepada saya yang dia sedang diserang barah payu dara. Tentunya saya terkedu juga, namun saya terus berikan dia semangat. Insya-Allah, sekarang ini, sudah ada pelbagai cara untuk pulihkan penyakit yang berkaitan dengan apa yang sedang menimpanya. Semestinya kita harus berubat dan seraya itu kita pohonlah pada Allah SWT agar kita diberikan kesihatan kembali. Insya-Allah, setiap musibah ada hikmahnya. Tuhan mahu kita dekatkan diri kepada-Nya.

Ketika itu, tentunya saya fikirkan tentang kesihatan. Tiada wang atau harta yang mampu bertanding dengan kesihatan kita. Kalau ada duit segunung sekalipun, tiada maknanya kalau kita sedang sakit. Cumanya, wang dapat membantu untuk kita berusaha mencari ubat. Insya-Allah.

Syukurlah di atas segala nikmat yang Tuhan berikan. Sekalipun sakit, hargailah pengalaman itu kerana setiap saat masa kita, ada harganya. Setiap detik umur kita tetap ada nilanya. Carilah suria dicelah-celah pohon tebal, agar mentari dapat mewarnai jiwa kita.

Kepada mereka yang sedang berdepan dengan sebarang penyakit, carilah ubatnya dan kuatkanlah semangat. Insya-Allah, setiap sakit ada ubatnya. Namun, semua yang hidup akan mati jua. Kalau sudah sampai ajal kita, tak usahlah kita berkira-kira. Ketika hidup lakukanlah segala amal, semoga ia dapat menolong kita menjadi insan yang saleh dan salehah. Amin.