
Salam
Sungguh, saya teringat zaman kanak-kanak saya. Satu nostalgia yang payah saya lupakan. Rumah saya di Kuala Kangsar terletak berdekatan dengan kebun-kebun getah. Malah, kebanyakan penduduk kampung saya merupakan mereka yang mempunyai kebun getah dan dengan itu mereka juga bergantung pendapatan dari getah. Tapi, ketika itu harga getah sangat rendah dan rata-rata, penduduk yang bergantung pada getah adalah golongan yang agak miskin. Ketika itu, gelaran 'penoreh getah' bukan merupakan sesuatu yang membanggakan!
Saya teringat di zaman itu. Saya dan adik-adik kerap menghabiskan masa dalam kebun getah, berlari-lari dan bermain seolah-olah kebun getah ialah taman yang indah. Ada ketika, kami masuk hingga ke kawasan kebun getah yang berhampiran dengan hutan dan kadang-kadang, ketika bermain kami mendengar bunyi harimau mengaum! Tunggang-langganglah kami berlari untuk pulang.
Apa pun, itu merupakan satu kenangan manis. Cuma... saya tak pernah mencuba untuk menoreh pokok getah. Kebetulan kami tak pernah ada kebun getah.
Hari ini, 'penoreh getah' lebih glamor kerjayanya kerana harga getah sudah naik tinggi melambung dan dianggarkan harga akan terus naik lagi. Jadi, kalau ada kebun yang luasnya sekitar 2 1/2 ekar, pendapatan mungkin lebih dari RM3,000 sebulan atau lebih!
Bukan sekadar getah sahaja naik harga, tetapi di kampung-kampung, rumah juga murah kerana banyak rumah kosong yang ditinggalkan tanpa penghuni.
Jadi... kalau kita rasa hidup di bandar sangat menyusahkan, kenapa kita tak pindah ke kampung sahaja? Mungkin orang muda boleh fikirkan hal ini.
Sekadar kenangan tentang pokok getah. Kalau nak tahu, pokok getah yang pertama telah ditanam di pekan Kuala Kangsar dan pokok itu masih ada lagi di situ!