Sepuluh hari di tapak pesta. Berhari-hari sebelum itu lagi, sibuk dengan persiapan. Tentulah penat. Macam orang balik haji. Sampai sahaja di Malaysia, terus kepenatan. Malah, di tanah suci lagi dah mula sakit, maklumlah orang terlalu ramai. Begitu juga dengan pesta buku. Saya sudah menduga yang saya akan jatuh sakit sebaik sahaja selesai pesta buku kerana dua hari sebelum habis, saya dah mula sakit tekak dan demam. Tetapi kerana sayangkan pembaca dan penyokong saya, saya terus berada di tapak pesta. Selesai sahaja, saya pun tumbang! Hilang suara, batuk-batuk, demam panas dan asma saya datang mengganggu pernafasan. Hikmah Tuhan. Saya terima dengan redha. Apalah sakit sikit-sikit macam tu.
Teringat masa saya pergi buat haji dulu. Kata doktor, darah saya kurang (anaemic) dan tidak sihat untuk ke tanah suci, tetapi kerana saya bersungguh-sungguh nak pergi mengerjakan hukum Tuhan itu, doktor tu pun meluluskannya. Sebelum saya ke sana, saya telah mendoa agar saya akan terus kuat untuk buat amalan haji itu. Alhamdulillah, sepanjang tempoh saya di sana, tak sekalipun saya sakit. Selsema pun tidak, demam sikit-sikit pun tidak. Bagi saya, itulah Kuasa Tuhan. Bila kita berdoa dan kalau Tuhan mahu makbulkan doa kita itu, akan disampaikannya. Malah, bila balik dari tanah suci, saya masih sihat cuma keletihan. Saya asyik tidur.
Begitulah bila tiba untuk Pesta Buku. Maklumlah, umur saya bukan muda lagi. Tetapi semangat saya tetap kuat untuk berjumpa dengan pembaca saya sekelian. Saya tak mahu hampakan harapan pembaca saya. Sepanjang tempoh pesta buku, ramai yang saya temui yang sempat meluahkan perasaan mereka kepada saya. Mungkin umur saya membuatkan mereka mesra dengan saya. Saya jadi kakak, saya jadi ibu dan saya juga jadi rakan mereka.
Saya teramat sedih bila seorang pembaca saya menceritakan tentang kemalangan yang menimpa anak daranya. Saya dapat rasakan perasaan anak daranya itu. Begitu juga dengan sepasang suami isteri, yang meluahkan perasaan mereka tentang kemelutan yang melanda mereka. Seorang isteri pula mengisahkan tentang hal suaminya yang suka berprasangka kepadanya. Seorang remaja perempuan pula, mengkhabarkan kepada saya tentang masalah sekeliling di sekolahnya yang terletak di kawasan bandar. Katanya, remaja sekolahnya mempunyai masalah disiplin yang teruk. Merokok, masalah sosial dan melepak dan macam-macam lagi. Beberapa orang guru juga meluahkan perasaan mereka tentang masalah yang mereka hadapi di sekolah mereka.
Sekalipun saya sentiasa sibuk, saya tetap akan luangkan masa sekiranya ada yang mahu berkongsi cerita mereka. Saya ada di sini untuk mendengar dan di mana-mana patut, saya cuba membantu. Yang penting, jangan simpan masalah dalam hati. Luahkanlah. Bagi mereka yang mempunyai sesuatu yang terpendam dan kalau tak tahu ke mana hendak ditujukannya, luahkanlah kepada saya. Hubungi saya melalui e-mel saya, emir_aina@yahoo.co.uk