
Salam
Petang semalam, memang merupakan 'a busy evening'. Saya telah ke UKM (balik kampung hehe) dan berjumpa dengan teman-teman lama. Sebelum tu, saya ke kedai buku UKM dan sempat beli lima buah buku (tiga darinya buku Allahyarham Prof Datuk Anuar Mahmud). Alhamdulillah, apabila kawan-kawan saya tahu yang saya berada di bahagian pentadbiran (ofis lama), ramai yang mengajak saya ke bilik mereka (Hehe... teman-teman saya semuanya dah berpangkat tinggi - masing-masing ada secretary). Alhamdulillah juga saya bertemu dengan staf-staf lama yang berkata kepada saya yang saya tidak banyak berubah (umur sahaja, dong). Jenuh juga saya mendengar rungutan teman-teman, kerana stres bekerja. Macam-macam cerita yang buat kita terasa stres sama. Adoi!
Okeylah... terus terang saya katakan bahawa saya sangat seronok tidak berada di alam seperti itu lagi. Terus terang juga, alhamdulillah saya berasa lebih bahagia menjadi seorang penulis, sebab mungkin tak ada bos yang boleh mengarah-arah saya! Saya buat apa yang saya suka, tulis apa yang saya mahu dan dekat dengan hati... dan tak ambil peduli tentang apa orang nak kata pasal saya. Suka hati!
Apa pun, bagi saya... hidup di dunia ini bukan untuk mengejar wang. Kalau anda berada di dalam keadaan seperti itu (mengejar wang), saya rasa simpati buat anda. Bagi saya, wang itu adalah rezeki yang Tuhan beri. Kita sebagai insan, harus bekerja kuat dan bekerja dengan ikhlas, niat bekerja juga kerana Allah SWT. Kalau semuanya kita lakukan dengan baik, insya-Allah Tuhan berikan rezeki. Yang penting ialah hati dan jiwa terasa bebas dari cengkaman orang lain, terasa puas dan terasa nyaman. Insya-Allah, kita cuba lakukan terbaik agar kita berasa tenang dan aman dunia dan akhirat.
Detik waktu - jangan kita biarkan berlalu begitu sahaja. Masa adalah seperti air sungai yang mengalir, ia tidak akan berulang lagi.
Bagi orang yang matang seperti saya, saya cuba tidak terlalu fikirkan tentang masalah kerana mustahil masalah tidak datang dan timpa pada diri. Namun, apa sahaja yang datang kepada kita, pasti akan pergi jua. Itulah fitrah alam. Yang paling bahagia ialah kerana kita tahu bahawa Tuhan itu wujud dan sentiasa berada dengan kita, apa sekali keadaannya. Alhamdulillah, ya Tuhanku.