Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Thursday, October 01, 2015

Bila Aib Kita Dijaga

Assalam

Nampaknya mungkin kita terpaksa hidup dalam keadaan yang berjerebu dalam tempoh yang lama juga. Mungkinkah ini satu ujian buat negara dan rakyat di sekitar kawasan ini? Ujian yang meminta kita untuk kukuhkan iman? Wallahuaklam.

Apa-apa pun, biar saya bercerita tentang sebuah kisah yang ada kaitan dengan judul di atas. Sebenarnya kitalah yang paling bertanggungjawab untuk pelihara aib kita sendiri. Kalau kita sedar dan sayang pada diri, maka semestinya kita mengelak daripada melakukan sebarang maksiat termasuklah segala kejahatan yang lain seperti memakan dadah, mencuri, membohong, mengambil rasuah dan macam-macam lagi.

Ada seorang kawan bercerita tentang kejadian di pejabatnya. Katanya, ada seorang wanita (kita namakan dia S) sedang-sedang muda (taklah terlalu muda) yang merupakan ibu tunggal. Wanita ini bertudung litup. Semestinya bila kita memilih untuk berhijab, kita mahu orang di luar tahu bahawa kita merupakan wanita Muslimah, semestinya kita bertanggungjawab untuk menjaga maruah dan imej Islam. Tetapi malangnya kata kawan saya, S ni rupa-rupanya rajin betul berskandal sana sini. S tak kira sama ada lelaki itu bujang atau sudah berkahwin, janji sanggup melayan nafsunya, dia akan okey sahaja.

Mula-mula, rakan pejabat tak tahu tentang hal itu, tetapi bila salah satu skandalnya meletup, maka terbongkarlah rahsia aktivitinya selama ini. S menjadi judul 'hot' di pejabatnya yang besar itu. Masing-masing bergosip tentang diri S. Pada hal si S ini berjawatan yang agak okey-okey juga. Selepas meletup, maka tahulah rakan-rakannya bahawa S sebenarnya mempunyai perangai dan karakter yang menjijikkan. Masing-masing cuba jauhkan diri daripadanya. Hinggakan bila mesyuarat di pejabat pun, ramai yang tak mahu duduk dekat dengannya. Seolah-olah bau S sangat busuk!

Begitulah keadaan bila 'aib' kita terbuka di khalayak ramai. Memalukan.

Seharusnya kita perlu bersyukur kalau diri kita pernah tercebak dalam apa jua skandal atau keadaan yang memalukan, tetapi Allah melindungi aib kita daripada terbuka pada khalayak ramai. Dalam keadaan yang begitu, kita sepatutnya ambil ikhtibar untuk memperbaiki diri agar perkara buruk seperti itu tak berulang lagi.

Kalau orang ramai tahu kelakuan kita yang buruk itu, semestinya ia akan menjejaskan imej kita sebagai seorang Muslim dan semestinya kita akan rasa tertekan, kecualilah kalau kita memang jenis tak ada maruah dan berkulit muka tebal! Nauzubillah min zalik.

Sebaik-baiknya, kita cubalah yang terbaik untuk pelihara aib kita. Maruah kita sangat penting apatah lagi kalau kita merupakan 'perempuan'. Kalau maruah rendah, cantik pun tak guna, apa lagi kalau dah memang tak cantik. Bertambah tak guna! Nauzubillah.

Bila aib kita dijaga, bersyukurlah dan pastikan kita peliharanya sebaik mungkin. Semoga Allah melindungi kita dunia akhirat. Aamiin.

Wassalam.


                                                     Jadilah wanita yang tahu rasa malu