Assalam
Saya orang Perak dan buat masa ini saya bangga dengan Sultan negeri saya. Baginda adalah orang yang berilmu dan saya sangat hormati mereka yang ada ilmu. Biasanya juga, orang yang mempunyai ilmu adalah lebih prihatin dan bertimbang rasa, apatah lagi seorang raja kepada rakyatnya. Insyaa-Allah biarlah begitu hendaknya kerana pada zaman sekarang, kadang-kadang manusia jadi melampau lupa daratan hinggakan tak ingat lagi pada Tuhan. Hari ini ialah pertabalan baginda sebagai Sultan Perak. Daulat Tuanku!
Saya memang seronok sentuh tentang ilmu kerana bagi saya, ini merupakan sesuatu yang sangat penting dalam hidup kita. Kalau hidup tak punyai cukup ilmu, mungkin hidup tak membawa banyak erti. Kalau sekadar pergi sekolah atau masuk universiti, tetapi dada tak punyai cukup ilmu pengetahuan, maka tak jadi juga dan bukan bermakna kalau tak pergi sekolah tinggi kita tak mampu jadi orang yang berilmu. Dalam erti kata yang lain, kadang-kadang ilmu datang melalui pengalaman dan kebijaksanaan kita untuk mengguna ilmu akan membuat kita jadi insan yang berakal, insyaa-Allah.
Bila manusia tak punyai ilmu, mungkin mudah menjadi manusia yang tak berhati perut. Mudah membunuh sana-sini sekalipun membunuh sebangsa dan agama. Tak kisah pun untuk membawa kecelakaan kepada orang lain kerana baginya 'apa salahnya?' Konon-konon nak berseronok tetapi mampu membuat orang lain menderita. Itulah padahnya bila manusia tak punyai ilmu.
Biasanya juga bila ada cukup ilmu, maka manusia jadi lebih berakal kerana mampu mengguna akal dengan baik tanpa beremosi atau terpedaya dengan rasa di hati. Kadang-kadang orang yang berpelajaran tinggi juga mampu goyah kerana terasuk dengan godaan syaitan, apatah lagi kalau syaitan bertopengkan agama. Tanpa sedar, pelajaran tinggi akan jatuh bergolek lalu otak dan hati mula berubah dan mengajak maksiat menghinggap diri. Betapa ceteknya ilmu yang ada! nauzubillah.
Maka berjaga-jagalah kita agar kita tidak dibohongi oleh mereka yang kaki kelentong dan mereka yang menyorok di balik tirai penipuan, supaya kita tidak terbelit dengan tipu helah manusia jahil. Allahuakbar.
Carilah ilmu, hiasailah dada dengannya, gunalah ia untuk akal kita, agar kita jadi manusia yang berguna dan beriman untuk dunia ini dan juga akhirat nanti. Aamiin.
Wassalam
PS:
Saya sangat kagum dengan titah ucapan baginda yang saya dengar di TV tadi. Alhamdulillah, semoga negeri Perak diberkati Allah swt, semoga rasuah tidak menjadi amalan mereka yang berada di pihak pemerintahan. Insyaa-Allah.