Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Wednesday, September 30, 2015

Tanya Sama Pokok

Assalam

Hidup perlu diteruskan walaupun jerebu belum mahu pergi lagi. Pun begitu, saya dan suami, kami sempat ke sana dan ke sini. Pergi tengok kebun ini dan melawat pula ke kebun itu. Berkenal-kenalan dengan pokok-pokok terutama dengan pokok yang kami kurang biasa. Sebenarnya memang seronok.

Sibuk di sana sini orang berbincang tentang bagaimana mahu mengelak jerebu yang tebal ni. Hmm... macam-macam cara yang dikatakan baik termasuk menyidai tuala basah di keliling rumah untuk menyerap jerebu di luar rumah daripada masuk ke dalam. Aduh... kalau besar kawasan, pengsanlah nak beli tuala banyak-banyak pulak.

Sebenarnya itulah bagusnya ada banyak pokok di keliling rumah atau di kawasan tempat tinggal kita, kerana pokok-pokok ini akan menjadi penahan jerebu masuk ke dalam rumah. Lebih banyak pokok, lagilah baik jadinya. Jadi manusia... janganlah anti pada pokok, kerana sudah dinyatakan dalam al-Quran bahawa kehidupan termasuk pokok dan tumbuhan adalah penting untuk kita manusia. Janganlah kita abaikan dan janganlah kita membenci tumbuh-tumbuhan. Tapi... respect!

Banyak orang sakit itu dan ini dan hari ini, ramai yang ambil berat tentang pokok dan tumbuhan kerana di situ ada ubatnya. Tanyalah sama pokok, apakah kebaikan kamu? Semestinya tumbuhan dan pokok mempunyai banyak kebaikannya untuk kita manusia. Wallahuaklam.

Wassalam.

                                                             Pokok di keliling rumah

Tuesday, September 29, 2015

Mungkin Yang Sakit Itulah Yang Terbaik

Assalam

Alhamdulillah, walaupun masih berjerebu, Allah swt berikan kesihatan yang baik. Semoga terus baik, insyaa-Allah. Maklumlah, saya merupakan seorang insan yang mempunyai penyakit asthma, namun alhamdulillah, setakat ini saya okey. Semoga dapat bertahan, insyaa-Allah.

Sudah berkali-kali saya bicarakan di blog ini tentang kehidupan kita sebagai manusia. Sentiasa ada turun naiknya. Kadang-kadang, baru terasa lega dan puas hati, tiba-tiba sahaja datang cabaran atau ujian. Kita pun mula mengeluh, seolah-olah terlupa yang baru tadi kita sangat berpuas hati. Memang itulah jiwa manusia, kan? hanya mahu rasakan kesenangan dan takut pada ujian dan dugaan. Kita terlupa bahawa turun naik dalam hidup itulah satu kesempurnaan, bukan hanya dengan kesenangan tanpa sebarang dugaan. Hidup senang tanpa rasa kesukaran sebenarnya adalah satu kehidupan yang palsu atau penuh kepura-puraan.

Ada seorang teman mengadu pada saya. Katanya dia tak tahu nak buat macam mana kerana tiba-tiba sahaja dia rasa pening kepala. Dia tercebak lalu menikah dengan suami orang. Sebabnya mahu bantu si lelaki mengenali agama kerana kebetulan si lelaki itu hidup dengan kejahilan. Namun perkahwinan dilakukan tanpa pengetahuan isteri pertama (memang satu trend pun buat lelaki). Lepas kahwin dua bulan, si isteri pertama mula bau sesuatu, lalu mula menjejaki suaminya yang sedang berbulan madu. Teman tadi kata dia sudah pun mengandung dan bila suaminya tahu yang isteri pertama pun sedang mengandung, dia jadi serba salah dan rasa bersalah. Kini, suaminya itu mahu dia keluar sahaja kerana dia tak mahu isteri pertama tahu tentang hal itu. Nauzubillah min zalik.

Jadinya... bahagia hanya buat seketika sahaja. Bahagia pun kerana berjaya menipu sana sini. Akhirnya bila diminta pilih, suaminya itu memilih yang pertama juga. Teman saya pening kepala dan tak tahu bagaimana mahu mengatasi masalahnya.

Adoii...

Mungkin kita semua kena terima bahawa hidup ini tak akan hanya berbunga harum sahaja. Kita wajib belajar untuk bersyukur dan bersabar. Kalau kita bersyukur, kita tak akan lakukan perkara-perkara yang akan menyakitkan hati orang lain. Kalau kita bersabar, kita tidak akan putus asa. Malah, memang berdosa kalau kita pilih untuk berputus asa. Setiap masalah pasti ada jalan keluarnya dan kadang-kadang, jalan keluar yang mungkin menyakitkan itulah yang terbaik buat kita. Insyaa-Allah.

Wassalam.


                                                 Mencari ketenangan di tempat seperti ini

Monday, September 28, 2015

Menyesal Atau Tidak

Assalam

Pagi ini cuaca agak dingin di Nilai. Tadi hujan, walaupun berjerebu, tidaklah panas, alhamdulillah.

Hari ini saya mengemas dan mengumpul segala macam sabun, syampu, lotion, sikat, berus gigi dan macam-macam lagi yang saya rajin ambil dari hotel setiap kali saya berjalan-jalan. Saya jarang guna barangan yang disediakan hotel kerana biasanya saya bawa semua kelengkapan untuk diri saya. Tapi saya suka ambil untuk dijadikan 'souvenir'.  Hari ini bila saya kumpul-kumpul, dapat berkotak-kotak. Banyak sungguh dan cadangnya saya nak bersedekah kepada yang memerlukan. Insyaa-Allah jauh lagi baik daripada saya simpan tak buat apa-apa.

Okeylah... beralih kepada judul entri kali ini. Nak berbual tentang rasa 'kesal' yang sering berlaku dalam diri seseorang yang telah melakukan kesilapan dan kesalahan. Banyak orang tak sedar yang dirinya sedang melakukan sesuatu yang 'tak baik' atau sesuatu yang Allah tak suka, atau mungkin sesuatu yang akan menghancurkan rumah tangga atau keluarga, atau mungkin akan merosakkan masa depannya... atau mungkin akan membawanya ke neraka jahanam! Namun apabila tersedar dan menyesal, pasti dirinya mahu lakukan sesuatu untuk menunjukkan rasa kesalnya itu. Paling afdhal, tentulah untuk bertaubat. Kalau sudah melakukan kesalahan atau kesilapan, tetapi tak mahu bertaubat, maknanya dirinya itu tidak menyesal! Nauzubillah min zalik.

Kita tahu kalau seseorang yang sudah melakukan kesilapan atau kesalahan dan mengaku menyesal, kita akan melihat perubahan pada dirinya. Yang penting, dia akan bertaubat. Bermakna dia rajin melakukan solat taubat, minta Allah swt mengampunkannya. Kerana sudah bertaubat, pasti dia tidak mahu mengulangi lagi kesilapannya itu. Malah, pasti dia akan berjaga-jaga. Kalau dulu tak kisah siapa kawannya, kini pasti dia ambil berat untuk memilih kawan. Pasti dia tidak mahu menjeratkan dirinya lagi.

Semestinya juga, ada yang menyesal tetapi tak mahu bertaubat kerana mungkin dirinya tak bersedia untuk tinggalkan perkara yang boleh merosakkan diri dan iman. Mungkin kesalnya tidak seserius mana, hanya mampu berkata di mulut sahaja, sedangkan di hatinya dia tidak rasa kesal sangat. Nauzubillah min zalik.

Kalau orang yang menyesal dan tunjukkan rasa kesalnya dengan bertaubat, maka kita yang di sekelilingnya seharusnya memberi sokongan agar dirinya akan berasa lebih yakin untuk teruskan perjuangan hidup. Manusia sering kali melakukan kesilapan, namun kalau sudah mengaku tidak akan mengulanginya lagi, semestinya kita kena 'respect'! Subhanallah.

Wassalam.


Sunday, September 27, 2015

Bila Hati Dan Jiwa Dekat Dengan Nya

Assalam

Masih berjerebu lagi. Tadi, ketika di Lenggeng, hujan sangat lebat, tapi masih juga berjerebu. Insyaa-Allah di Lenggeng taklah teruk sangat jerebunya. Apa-apa pun, ini adalah ujian buat kita semua, agar manusia menghormati alam dan tidak merosakkan alam hingga jadi sebegitu. Kerana tamak, manusia juga yang akan kerugian. Subhanallah.

Tiga hari berturut-turut kami sibuk di Lenggeng. Masih ada projek yang belum siap. Insyaa-Allah sedang berjalan baik. Tapi bagi saya, apa yang penting ialah ikatan silaturahim kami berdua dan anak-anak. Kerana kesibukan di Lenggeng, anak-anak pun turut sibuk sekali. Bila hujung minggu, mereka akan ke Lenggeng untuk membantu kami. Syukur alhamdulillah. Semoga Allah swt permudahkan segala-galanya.

Dalam hidup, mungkin itulah yang kita cari. Kedamaian jiwa. Ada perkara atau hobi, atau aktiviti, yang mungkin akan membuat kita rasa tenang dan aman. Mungkin bukan sesuatu yang mewah, mungkin tidak rumit, tidak juga membebankan, namun sangat menyeronokan. Malah, ada ketika sesuatu yang simple itu mampu untuk buat kita rasa bahagia. Alhamdulillah.

Maka carilah.

Yang pasti, kita bahagia bila terasa hati dan jiwa dekat dengan-Nya. Subhanallah.

Wassalam.

                                                  Menuju ke destinasi yang aman

Friday, September 25, 2015

Saya Marah!

Assalam

Kita semua tahu kalau meninggal dunia di tanah Haram, maka ada ganjaran syahid buat yang terkorban. Namun, sebagai insan biasa, kita tak boleh biarkan kerajaan Saudi yang menguruskan Tanah Haram terus-menerus menjadi lemah dalam urusan mengendali jemaah haji yang berada di sana. Ada-ada sahaja kecuaian dan kemalangan dan tragedi kali ini agak membuat dunia luar mempersendakan kita sebagai umat Islam. Seolah-olah orang Islam masih berada di zaman kejahilan.

Apa yang saya katakan ini tiada kena-mengena dengan Tanah haram itu sendiri tetapi semestinya ada kena-mengena dengan kelakuan dan tindakan manusia, terutama mereka yang menjadi pengurus Tanah Haram. Akibat kelekaan merekalah maka tragedi terus menimpa jemaah yang sedang berada di tanah suci.

Arab Saudi memberi perhatian kepada bangunan yang tinggi, yang mewah, yang mahal dan yang canggih, berikan perhatian kepada shopping complex yang menjual barangan 'branded', mendirikan hotel dan apartmen mewah di kawasan Tanah Haram, namun melepas tangan pada keperluan asas seperti 'TANDAS', kebersihan, keselamatan dan segala yang lain yang jauh lagi penting untuk keperluan berjuta-juta jemaah yang datang setiap tahun, setiap masa ke Tanah Suci!

Sangat menyedihkan!

Janganlah kita berasa bangga dengan segala yang canggih yang cuba diadakan oleh kerajaan Saudi di Tanah Haram termasuk keretapi MRT, clock tower yang kelihatan seperti Jin, tetapi kita sepatutnya berasa sedih kerana kerajaan Saudi yang kaya-raya itu tak pernah ambil berat tentang keperluan dan keselamatan umat yang datang ke sana apatah lagi mereka yang miskin! Wallahuaklam.

Keteurunan kami berasal dari negara itu dan kami sangat sedih kerana kerajaan Arab Bedouin yang memerintah negara itu lebih menghormati negara Amerika Syarikat dan Israel daripada semua ummat Islam yang berada di dunia ini! Kerana itulah Mekah dan Madinah mula diubahsuai untuk dijadikan seperti Manhattan dengan kedai-kedai canggih Amerika bersepah di sana!

Apa jua alasan yang akan diberikan oleh kerajaan Saudi, semestinya merupakan alasan semata-mata!

Ya sungguh saya marah kerana saya berasa malu dengan apa yang sedang berlaku! Apakah mungkin Allah swt tidak marah dengan apa yang sedang berlaku ini?

Wassalam.



Wednesday, September 23, 2015

Doa Arafah

Assalam

Kalau kita sedang berada di Mekah untuk tunaikan fardu haji, pasti inilah hari yang terpenting buat kita kerana kita akan menuju dan berada di padang Arafah untuk wukuf dan kalau kita terlepas waktunya, maka tidaklah sah ibadah haji kita. Waktu inilah manusia akan berpusu-pusu ke padang Arafah dan ketika ini juga masing-masing berdoa sebanyak mungkin kepada Allah swt agar dosa-dosanya diampunkan dan segala apa permintaan ditunaikan. Waktu yang Allah suka dan kita sebagai umat Islam sepatutnya sangat suka juga. Apa yang Allah swt suka, kita wajib suka. Kalau kita tak suka, maka kita bukanlah merupakan insan yang pegang kuat pada agama, nauzubillah.

Saya masih ingat saat ini ketika berada di padang Arafah. Air mata menetes, hati dan jiwa meruntun, diri berasa kerdil dan ketika itulah seluruh tubuh dan roh diserahkan untuk dapatkan ekhsan Allah swt. Kita harapkan simpati Allah swt untuk ampunkan segala dosa-dosa kita. Betapa Besar-Nya Dia, betapa kecilnya kita.

Kalau anda belum tunaikan haji, usahakanlah untuk buat begitu kerana nikmat-Nya hanya kita akan tahu ketika berada di tanah suci Mekah. Tak serupa dengan buat umrah dan kita juga tahu tunaikan haji itu merupakan kewajipan kita sebagai umat Islam. Jangan tak ambil berat kerana itu akan merugikan kita.

Sama-samalah kita berdoa pada lewat petang ini hingga sebelas malam nanti, semoga Allah swt ampunkan segala dosa kita dan permudahkan perjalanan kita sebagai insan yang beriman. Aamiin ya Rabbal alamin.

Selamat menyabut Aidul Adha.

Wassalam.

Tuesday, September 22, 2015

Roh Korban

Assalam

Kita cuba berpuasa esok ok, agar Allah swt ampunkan dosa-dosa kita sepanjang tahun yang lalu dan sepanjang tahun yang akan datang. Insyaa-Allah. Esok ialah hari Arafah, antara hari yang terbaik dan hari yang Allah paling suka, insyaa-Allah.

Okeylah... dua hari lagi ialah hari raya korban. Semoga kita menghargai 'roh' pengorbanan yang sering kita sebut-sebutkan. Mungkin kita dah biasa mendengar hal 'korban' tapi mungkin juga ada yang tak pandai menghargai 'roh' nya. Biarlah kita amalkan semangat yang tinggi dalam hal korban dan biarlah kita korban apa jua sekalipun, untuk Allah swt. Kalau berkorban hanya untuk kepentingan diri kita tanpa libatkan 'roh' korban, mungkin kita tak dapat apa-apa pun, sekadar korban kosong!

Banyak orang sanggup berkorban, tetapi amalan korbannya hanya sekadar luaran yang tak bawa apa-apa erti, sekadar korban di bibir sahaja. Konon-konon korbankan masa, diri dan mungkin hidupnya, tetapi semuanya adalah kerana untuk kepentingan dirinya sahaja. Korbannya untuk mendapat keuntungan pada diri dari segi material. Banyak orang sanggup buat apa sahaja konon-konon atas tiket 'korban', tapi malangnya korbannya itu sekadar sesuatu yang tak bermakna kerana korbannya itu bukan kerana Allah swt.

Jadi... berjaga-jagalah, jangan sampai kita tak faham dan tak pedulikan apa erti korban yang sebenar. Janganlah keliru lalu pentingkan diri kita terlalu sangat hinggakan kita 'makan diri'. Itulah yang sering berlaku kerana ada di antara kita tak mengerti dan tak memahami 'korban' dalam Islam.

Semoga kita mengambil kesempatan untuk mempelajari dan menghargai roh korban.Aamiin.

Wassalam.

                                                                  bersedia utk korban

Monday, September 21, 2015

Bila Cinta Kedua Mendapat Tempat Pertama!

Assalam

Ada mood untuk update blog sekali lagi untuk hari ini. Malam ini, ada perkara sensasi yang ingin saya bualkan ia itu tentang cinta.

Bila saya sebut sahaja tentang cinta, pasti anda tertanya-tanya kan? cinta apa yang hendak Kak Aina bincangkan ni? Haha... ini adalah tentang cinta pertama dan cinta kedua. Pasti anda pernah jatuh cinta buat pertama kali, kan? Tapi apa yang saya nak bualkan ialah tentang cinta pertama dan kedua yang berubah posisi. Cinta kedua menjadi cinta pertama dan cinta pertama pula ambil tempat yang kedua!

Mesti ada yang berasa gerun, kan? Inilah yang sedang berlaku pada saya.

Hah? Anda tertanya-tanya ke?

Sebenarnya sejak dulu lagi, saya mempunyai minat yang mendalam dalam hal menulis ni dan kerana itulah penulisan menjadi cinta pertama saya. Sementara itu, saya juga suka menanam atau bercucuk tanam atau 'gardening' dan buat sekian lamanya 'gardening' telah mengambil tempat kedua dalam hidup saya selepas menulis. Tapi sejak akhir-akhir ini, kedua-duanya sudah bertukar tempat. Fokus saya lebih kepada 'gardening' dan menulis sudah berada di tempat kedua!

Boleh jadi macam tu ke?

Kenapa tidak?

Kita semua adalah sekadar manusia sahaja. Kadang-kadang, itulah yang terjadi. Mungkin selera kita berubah, minat kita juga dan mungkin juga kita mahukan sesuatu yang lebih mencabar dan menyeronokan. Dalam pada itu, saya akan terus menulis selagi diizinkan Allah swt. Malah, saya sedang menulis lagi, cuma 'gardening' sangat menyeronokan saya. Sebelum saya menjadi penulis, saya pernah memberi fokus kepada 'gardening', dan kini saya kembali berseronok dengan 'gardening'.  Bertambah seronok kerana cik abang saya pun enjoy gardening. Jadi kami sama-sama habiskan masa dengan gardening.

Apa-apa pun, kedua-duanya akan kekal menjadi cinta hati saya, insyaa-Allah.

Wassalam.


                                       Cinta kedua yang sedang mendapat tempat pertama

Rahsia Murah Rezeki

Assalam

Dah hari Isnin semula dan banyak negeri di Malaysia yang memulakan minggu kerja pada hari Isnin. Selamat bekerja buat anda yang terpaksa pergi kerja. Biarlah kita bekerja dengan hati yang ikhlas. Setidak-tidaknya, ada juga rezeki kita kan? Bandingkanlah diri kita dengan mereka yang terpaksa mencari tempat untuk berlindung. Negara sedang berperang dan macam-macam musibah yang datang. Jangankan untuk bekerja, untuk tinggal pun tak ada bumbung, nak makan pun terpaksa tunggu bantuan. Jadi... biarlah kita bersyukur di atas segala nikmat anugerah Ilahi buat kita semua. Alhamdulillah.

Hah... kata orang kalau nak murahkan rezeki, pastikan kita bahagiakan hati ibu bapa kita. Bukan membohongi mereka atau berlaku zalim kepada mereka. Banyakkan juga bersedekah. Jangan kedekut. Walaupun kita mungkin tak banyak duit, jangan risau kerana Allah yang berikan rezeki buat kita. Lebih banyak yang kita hulur, banyak lagi yang akan datang, insyaa-Allah.

Lepas tu, pastikan bangun awal. Jangan bangun lambat. Lagi awal bangun, lagi murah rezeki kita insyaa-Allah. Sebenarnya di awal pagilah kita paling segar. Otak pun berjalan baik, insyaa-Allah.

Pastikan banyak berdoa dan buatlah solat Dhuha. Bukan susah pun, bila matahari terbit solatlah dua rakaat. Dan waktu Dhuha itu juga panjang. Insyaa-Allah, Allah permudahkan rezeki kita.

Lagi satu rahsia murah rezeki, rajinlah berikan menafaat dan kebaikan buat orang lain. Maknanya rajin-rajinlah menolong dan menghulur bantuan. Bukan hanya dengan duit ringgit, tapi dengan segala usaha lain, misalnya tumpangkan kenderaan, tolong buangkan sampah, pimpinkan orang yang tak larat untuk berjalan, temankan rakan-rakan, mungkin juga memberi motivasi pada orang lain. Buatlah apa-apa kebaikan, pasti akan Allah murahkan rezeki kita pula.

Amalkanlah segala yang baik untuk murahkan rezeki kita.

Semuanya menjadi rahsia, tetapi rahsia yang perlu dibongkarkan dan dikongsi sama. Semoga Allah permudahkan rezeki buat kita semua. Aamiin ya Rabbal alamin.

Wassalam.



Sunday, September 20, 2015

Bercucuk Tanam

Assalam

Cuti sekolah sekali lagi walaupun hanya untuk seminggu. Kami tak ke mana-mana tetapi sibuk ke hulu dan ke hilir. Hari Sabtu, sempat pergi ke Bangi kerana ada urusan dan sempat pergi ke rumah jiran lama. Seronoknya dapat bersembang dengan mereka semua. Kami dah macam adik beradik dan kebetulan ketika menziarah mereka, anak-anak jiran semua ada di situ. Macam-macamlah yang kami bercerita, maklumlah agak lama juga tak jumpa. Kalau jumpa pun tak sempat nak berbual. Alhamdulillah, masih kukuh silaturahim kami.

Hari ini, sempat juga kami ke nursery pokok dan membeli pokok-pokok buah-buahan. Lepas tu, sibuk pula berkebun. Hari ini, Faiz juga turut membantu kami. Seperti biasa, pembantu-pembantu kami turut berada untuk membantu. Alhamdulillah.

Malam ini, kami berehat sahaja. Penat sungguh! Walaupun keletihan namun kami rasa lega sebab banyak urusan dah kami selesaikan.

Esok, saya bercadang untuk ke kampus UKM kerana ada urusan dengan teman.

Semoga berjumpa lagi insyaa-Allah. Wassalam.

                                                                         Cantik kan?

Friday, September 18, 2015

Jangan Terputus Silaturahim

Assalam

Semoga hari baik seperti hari ini membawa rahmat dan barakah buat kita semua, aamiin.

Pagi ini saya agak relaks sikit, tak payah kelam kabut. Sekejap lagi nak hantar serai pada jiran-jiran di Laman rumah saya ni. Serai ini saya beli di Lenggeng tetapi mereka beri berlambak-lambak memang tak boleh habis. Jadi, lebih baiklah saya bersedekah pada jiran-jiran.

Semalam, semasa melawat jenazah suami rakan ofis saya dulu, saya sempat berbual-bual dengan R. Banyak ceritanya terutama tentang keluarga. Allah swt sentiasa mengingatkan kita hamba-Nya untuk sentiasa mengambil berat tentang kaum kerabat kita, terutama mereka yang dekat seperti ibu bapa, isteri dan suami, anak-anak, adik-beradik, sepupu-sepupat dan semua yang lain. Kalau kita tak ambil peduli, maka kita merupakan orang jahil yang tak ada akhlak dan tak tahu apa itu amal ibadah.

Dalam pada itu, biasanya memang beginilah keadaan kaum keluarga. Ada-ada sahaja. Dalam ramai-ramai, mesti ada yang luar biasa. Mungkin jenis kaki kelentong, mungkin juga jenis tamak haloba, ada juga jenis suka ambil kesempatan dan macam-macam lagi. Dalam pada itu, semestinya ada juga yang baik budi, yang ada budi pekerti. Kalau kita tahu agama, kita akan cuba buat yang terbaik untuk semua. Tak perlulah berkira-kira, jangan sekali-kali ambil kesempatan lalu menipu kerabat sendiri, apatah lagi memakan yang bukan hak kita tetapi kita memang tahu hak orang lain. Nauzubillah minzalik.

Jagalah adab kita sebagai insan yang mulia. Biar kita rugi sikit jangan sampai hilang semuanya. Kalau kita punyai niat songsang, Allah swt akan pastikan hala tuju kita yang mungkin juga jadi sonsang. Nauzubillah min zalik.

Jagalah tali silaturahim, jangan sampai terputus kerana dosanya besar.

Wassalam




Thursday, September 17, 2015

Dua Kematian

Assalam

Semalam, kami kesibukan kerana hari cuti. Memang penuh aktiviti kami. Hari ini pula, awal pagi lagi saya dimaklumkan tentang dua kematian. Mula-mula ialah tentang suami kawan saya yang pulang ke rahmatullah jam satu pagi dengan tiba-tiba sahaja. Kemungkinan akibat serangan jantung. Sebaik sahaja selesai 'first game' mainan badminton yang dimainnya selepas solat isya', dia tumbang dan dibawa terus ke hospital. Sebaik sahaja ahli keluarga tiba, dia sudah tiada. Al-Fatihah untuk arwah Azhar. Masih muda lagi usianya.

Kemudiannya pula, saya dapat info daripada sepupu suami saya bahawa isteri arwah seorang lagi sepupu suami saya telah pulang ke rahmatullah (berketurunan mat salih) sekitar jam lapan pagi akibat masalah paru-paru. Jadi hari ini, masa saya padat kerana menziarahi kedua-dua jenazah yang pulang ke rahmatullah. Semoga Allah swt mengampuni segala dosa-dosa mereka.

Al Fatihah.

Tuesday, September 15, 2015

Cepat Bersangka Buruk

Assalam

Mungkin hari ini jerebu agak berkurangan sikit kerana tadi pagi hujan renyai-renyai, tapi di Negeri Sembilan, budak-budak cuti sekolah. Tadi pagi pun, kami ke kebun nenas Encik Don sekali lagi untuk beli nenas. Ramai juga yang berada di sana. Petang ni saya bercadang untuk beri jiran-jiran rasa nenas Crystal Honey ni.

Okeylah... hari ini ialah hari pertama buat bulan Islam Dzulhijah. Sebaik mungkin biarlah kita cuba pungut pahala di hari baik bulan baik. Semoga Allah swt ringankan segala dosa-dosa kita insyaa-Allah.

Satu hal yang saya suka berbicara di entri kali ini, ialah tentang hal 'salah sangka'. Selalu tak kita macam tu? Kadang-kadang kita cepat buat andaian dan anggapan. Kadang-kadang tu, kita tengok muka sahaja kita dah buat keputusan. Kalau keputusan positif tak apalah, tapi kalau negatif sedangkan si mangsa tak bersalah, pasti kita akan menyesal, kan?

Ada ketika, kita sangat percaya pada seseorang hinggakan kita pula diperdayanya.

Tapi... kali ini saya nak bercerita tentang 'salah tafsir' atau 'buat prejudgement', maknanya kita dah menghukum seseorang terlebih dahulu hanya dengan andaian kita. Tapi bila kita periksa betul-betul, sebenarnya kita yang tersilap. Mungkin kita salah dengar atau kita terlalu pantas untuk menghukum orang sedangkan orang berkenaan tidak bersalah.

Tak kisahlah dengan siapa yang kita buat macam tu. Kadang-kadang dengan ahli keluarga sendiri, termasuk anak-anak kita, adik-beradik kita atau mungkin pasangan kita. Sesuatu terjadi dan kita pun terus melatah! Kita terus buat andaian dan menghukum orang itu, sedangkan selepas itu baru kita tahu yang sebenarnya kita tersalah!

Sebenarnya kadang-kadang perkara seperti ini memang mudah sangat terjadi. Mungkin kerana kita bimbang untuk terlalu berlaku positif tentang sesuatu hal itu. Kita takut kalau kita dikelentong orang. Jadi... kita lebih selesa untuk membuat keputusan yang negatif mungkin untuk lindungi diri kita. Misalnya, ada orang yang kita tak kenal datang menghampiri kita dan menyoal kita tentang hala tuju jalan yang dia tak berapa tahu. Kita tak mahu layan, lantas terus masuk ke dalam kereta. Kemudian kita menuju ke destinasi dan di situ kita bertemu semula dengan orang tadi yang sememangnya mahu ke tempat yang sama dengan kita dan dia memang betul-betul tak tahu jalan. Ketika itu pasti kita akan berasa malu kerana kita bersangka buruk padanya.

Okeylah... itu hanyalah sekadar contoh yang simple sahaja. Tetapi memang selalu benar kita begitu. Kalau tak begitu, pasti juga kita selalu kena tipu! Nauzubilah minzalik.

Wassalam.




Monday, September 14, 2015

Rahmat Dalam Dugaan

Assalam

Selamat pagi yang berjerebu!

Pun begitu saya tetap bersyukur kepada Allah swt kerana memberi kesihatan yang baik buat saya walaupun cuacanya tidak baik. Beginilah kita sebagai manusia, kan? Allah berikan yang terbaik, namun ramai yang tak bersyukur dan tamak haloba maka cuaca yang sepatutnya baik telah jadi tak baik akibat kezaliman manusia sendiri. Rakyat jelata sengsara di mana sahaja.

Hujung minggu lepas, saya banyak aktiviti dan salah satu ialah berkumpul dengan teman-teman sekolah ketika di Kuala Kangsar dulu. Ada yang dah lama benar tak pernah jumpa, berpuluh-puluh tahun dah, namun alhamdulillah dapat berjumpa kembali. Ada teman-teman yang bersama saya dari darjah satu hinggalah ke universiti dan buat satu course. Masya-Allah. Tidak apa-apa kata yang mahu saya luahkan kecuali untuk bersyukur ke hadrat Ilahi di atas segala anugerah dan Nikmat-Nya.

Masa kami berkumpul, makan-makan, bertukar-tukar hadiah, bersembang-sembang, masing-masing tak kira gelaran Dato' atau Datin, semuanya relaks belaka dan kami panggil nama macam biasa sahaja. Alhamdulillah di atas izin-Nya. Semoga Allah izinkan kami untuk berjumpa lagi. Aamiin.

Hari ini, siapa yang follow Bunga-Bunga Kemboja di TV1, jangan lupa ya... episod terakhir pada jam 3 petang ini. Yang follow di TV2, saya tak pasti... tapi katanya ada dua kali masa yang sedang diulangtayang buat kali ini.

Semoga Allah swt melindungi kita dunia akhirat. Al Fatihah buat mereka yang terkorban di tanah Haram Mekah. Semoga Allah permudahkan usaha mereka yang mahu kerjakan ibadah Haji tahun ini dan jangan lupa, setiap dugaan itu, ada hikmah dan rahmah-Nya.

Wassalam

                                Bersama Datin Teh Fauziah. Dulu2, kami selalu lepak bersama.
      Inilah BFF saya, Dato' Sal (orang kuat MARA). Forever and ever, insyaa-Allah
                                     Dengan Wan Faridah. Dulu dia kerja di Arkib Negara.
                                          Dengan Datin Zaimi. Kami bertukar-tukar hadiah.
 Dengan kawan2. Faridah, Datin Rohani Musa, Niamatik, Mariani, Zaharah, Hasifah, Sharifah Ainon dan Hayani.
                                  Bersama Hasifah, Mariani, Raja Fuzaimah dan Rohani Said.
             Bersama Wan Faridah, Datin Zaimi, Yan Zul, Dato' Sal, Sal UK dan Datin Teh

Friday, September 11, 2015

Biar Jadi Macam Malaikat, Jangan Jadi Macam Haiwan

Salam Jumaat yang penuh rahmat buat anda semua.

Lambat sikit update blog sebab ada appointment tadi. Hari ini berjerebu lagi dan saya takut nak keluar sangat-sangat. Tapi... rumah orang yang perlu saya lawat sekejap lagi. Tak apa kot sebab dalam rumah bukan di luar.

Esok... saya ada gathering dengan kawan-kawan sekolah. Alhamdulillah dan insyaa-Allah, Allah izinkan kami untuk berjumpa lagi. Masing-masing berkobar-kobar. Ini merupakan batch kami sahaja. Cik Abang saya akan busy di Lenggeng nampak gayanya. Hari Ahad baru boleh join dia di Lenggeng!

Hari ini sajalah nak berbual tentang hal akal dan nafsu. Akal bermaksud bijaksana. Malaikat dijadikan Allah dengan akal yang bijaksana atau intellek tanpa ada nafsu, tetapi Allah jadikan haiwan dengan nafsu tanpa akal yang bijaksana.

Namun Allah jadikan manusia dengan kedua-duanya, akal yang baik dan juga nafsu. Kalau manusia itu mempunyai tahap akal bijaksana yang cemerlang mengatasi nafsunya, maka mungkin sifatnya lebih mulia daripada malaikat, namun jika nafsunya mengawal segala akal yang ada, kemungkinan besar dia lebih rendah daripada haiwan.

Jadilah manusia yang cemerlang bukan hanya di dunia tetapi di akhirat. Jadilah manusia yang sentiasa mengguna akal dan jangan biarkan nafsu jahat merosakkan akal fikiran. Jangan lupa nafsu itu dirasuk oleh syaitan kerana syaitan mahu melemahkan manusia. Nafsu itu mungkin dari segi material, wang ringgit, khianat dan dengki, nafsu seks yang tinggi dan segala jenis kejahatan yang lain.

Semoga kita dapat mengawal nafsu agar diri tidak menjadi seperti haiwan yang berkeliaran di jalanan! nauzubillah min zalik.

Wassalam.





Thursday, September 10, 2015

Drama Setulus Janji Oktober Ni!

Assalam

Hari ini ulangtayang drama Bunga-Bunga Kemboja masuk episod ke 12. Episod akhir ialah pada Isnin minggu depan.

Saya juga dimaklumkan bahawa drama Setulus Janji akan mula bersiar di RTM1 pada 17 Oktober setiap Sabtu dan Ahad jam 7.05 petang sebanyak 26 episod. Jangan lupa tau, dah lama kita tunggu, kan? Bermakna lebih dari 3 bulanlah drama itu akan bersiar. Jangan miss, tapi jangan miss solat Maghrib pulak.

Pelakon2 nya ialah Azlee Khairy, Fida Ibrahim, Shah Iskandar, Fahrin Ahmad, Alfira Loy dan ramai lagi.

Wassalam.

PS: Saya dimaklumkan juga bahawa RTM2 pun ulang tayang drama Bunga-Bunga Kemboja. Rasanya setiap hari Ahad pagi jam 7.00.

Suami Dia Degil!

Assalam

Cuaca yang baik, alhamdulillah. Tak berjerebu teruk lagi. Sangat mudah bagi saya untuk tahu sama ada cuaca berjerebu atau tidak hanya dengan melihat gunung di depan rumah. Kalau nampak dengan jelas, maknanya semua okey. Kalau tak jelas atau tak kelihatan, maknanya sedang hujan atau berjerebu!

Bila cuaca tak elok, ramailah yang tak sihat. Si kenit-kenit ni ada yang selsema. Saya pula, alhamdulillah... mujur tak kena asthma, mungking sebab saya berjaga-jaga.

Sekadar untuk bersembang-sembang dengan anda semua. Ada seorang teman saya ni bercerita pada saya. Dia ni masih muda lagi orangnya. Dia bersungut-sungut tentang suaminya. Katanya, "Saya letih betul dengan dia. Tak faham-faham, pada hal dah puas saya cakapkan. Tapi memang tak makan saman."

"Apa halnya?" soal saya, tidak faham dengan maksudnya.

"Dia ni ada tabiat buruk. Suka benar dengar cakap kawan-kawan. Asal kawannya cakap aje, dia mesti percaya."

"Oh." Kata saya. "Jadi?"

"Saya memang tak percaya pada kawan-kawan dia ni. Tak ada yang senonoh pun. Banyak yang suka berangan-angan. Dulu-dulu pun macam tu. Suami saya dan berkali-kali kena. Lepas tu dah tak berkawan lagi dengan orang-orang tu. Cari pula kawan baru. Tapi sama saja. Semuanya jenis ambil kesempatan. Ada-ada sahaja teori mereka. Malangnya, suami saya ni suka benar percaya cakap orang. Last-last nanti duit dia habis. Kena tipulah, kena gorenglah..."

"Laaa... cuba cakap baik-baik dengan dia." Kata saya lagi.

"Tak boleh, kak! Dia lagi senang dengar cakap kawan. Bila dah kena nanti, barulah sibuk nak bincang dengan saya. Kawan-kawannya saya memang tahu sangat, semuanya penyangak! Jenis baik bila kita ada benda. Bila dah tak ada nanti, dia orang pun larilah! Kawan-kawannya memang pemalas, kak. Sekarang ni suami saya pun terikut-ikut. Balik kerja aje, asyik melepak sana-sini. Konon-konon nak bincang projek! projek kepala hangguk! Semuanya kes menipu ni!" Geram sungguh dia.

Saya tak tahulah bagaimana lagi nak komen, tapi mungkin perkara begini sering terjadi sana sini. Ramai lelaki agaknya yang jenis begitu, mudah dengar cakap kawan-kawan. Agaknya mungkin, mereka rasa macho kalau dengar cakap kawan, padahal banyak kes, kawan-kawan memang suka makan kawan!

Jadi... berjaga-jagalah. Kalau suami anda suka benar melepak dengan teman-teman, anda kena ambil berat, takut suami mudah dikelentong rakan-rakannya. Buaya memang banyak di merata-rata tempat. Nauzubillah min zalik.

Wassalam.

                                                                   Sekadar hiasan

Wednesday, September 09, 2015

Tahu Hormat Orang Yang Lebih Tua

Assalam

Hari ini memang saya lambat update blog sebab awal-awal lagi kami dah keluar pergi melawat ladang nenas Encik Don yang terletak tak jauh dari pekan Lenggeng. Memang dah lama teringin nak tengok, kebetulan saya membaca tentang ladangnya di Internet. Alhamdulillah, akhirnya dapat juga pergi ke sana. Alhamdulillah juga hari ini jerebu agak berkurangan di sekitar kawasan ini, malah di Lenggeng cuacanya nampak macam baik sahaja sebab dah banyak hari asyik hujan.

Dah pergi ke ladang nenas, elok juga kalau saya bercerita tentang pengalaman Encik Don sebagai peladang. Dulu dia merupakan guru dan kemudiannya memegang jawatan di kementerian pelajaran. Lepas bersara, Encik Don yang tinggal di Seremban, mula mencari tanah untuk menjalankan aktiviti pertanian. Sekarang dah enam tahun beliau menjadi petani dan katanya kepada kami, ini merupakan sesuatu yang sungguh menyeronokkan beliau. Apa yang saya lihat pun, memanglah seronok. Betapa Allah sediakan Nikmat dan rezeki kalau hamba-Nya mencari. Alhamdulillah.

Kebetulan juga, encik Don merupakan seorang yang sudah berusia. Walaupun berumur, beliau giat menjalankan aktiviti yang berhasil dan beliau juga tidak mengenal penat! Sangat hebat!

Semestinya kita patut menghormati orang seperti ini. Jangan pula kalau kita rasa kita muda, maka kita tak perlu hormat orang yang dah berusia. Banyak orang muda sekarang ini sangat lupa daratan dan tak tahu bagaimana mahu menghormati orang tua. Kalau melihat sahaja pada orang yang jauh lebih tua daripadanya, mereka pandang hina. Malah, ramai yang terlupa, muda mana sekalipun seseorang itu, kalau Allah berikan usia, pasti dia juga akan menjadi tua! Jadi, tak payahlah hina atau pandang rendah pada orang yang lebih tua. Sepatutnya kita belajar untuk hormat kerana orang yang berusia sudah banyak pengalamannya. Wallahuaklam.

Wassalam.





                                   Semasa di ladang nenas Encik Don. Nenas jenis Cystal Honey

Tuesday, September 08, 2015

Cuba Buat Baiklah!

Assalam

Semalam, jerebu sangat kuat di sekitar Nilai. Mujurlah rumah saya banyak pokok, tidaklah teruk sangat keadaannya. Hari ini, masih ada jerebu, tetapi tadi hujan renyai-renyai. Alhamdulillah, walaupun kurang selesa dari biasa tetapi tetap okey lagi. Sekarang sangat gelap, mungkin hujan akan turun dengan lebat.

Hari ini awal pagi lagi saya dah keluar dengan sang suami kerana ada perkara penting yang perlu kami uruskan. Semoga segalanya dipermudahkan, insyaa-Allah.

Sekarang barulah saya berpeluang untuk update kan blog ni.

Entri kali ini saya nak berbicara tentang kita dan usaha kita. Kita semuanya manusia dan tak mungkin lari daripada buat kesalahan dan kesilapan. Tapi, apakah usaha kita untuk melakukan perubahan agar kita mahu berubah daripada negatif kepada positif.

Saya kenal beberapa orang dalam hidup ini, mereka Muslim/Muslimah, tetapi ada yang tak pernah solat. Tak pernah buat amalan itu kerana tak pernah tahu bagaimana mahu solat. Semakin lama semakin segan untuk cuba melakukannya. Akhirya memang terus tak tahu. Dah tu, tak mahu berusaha untuk memperbaiki diri. Agaknya mungkin kerana dah lali dan terbiasa, maka hidup diteruskan tanpa melakukan salah satu ibadah wajib yang penting. Apa lagi untuk kerjakan haji dan hal-hal lain. Semuanya dijadikan ringan sahaja.

Ada pula tu, dulu semua tahu dan semua buat. Tapi lama-lama dah malas untuk buat. Mungkin kerana terikut dengan suasana sekitar yang mengajaknya untuk tidak buat amalan yang baik-baik. Dah tu semakin lama semakin tak ambil kisah. Tak mahu pula untuk cuba berubah.

Ada juga yang tahu serba-serbi. Tapi tak ambil berat sangat untuk berusaha untuk lakukan yang terbaik. Baginya, dia sibuk dan banyak kerja. Mungkin kerana kerja, dia tidak ambil berat untuk solat, konon-konon tak sempat untuk buat. Lama-lama, dah jadi tabiat. Budaya hidup sudah lama berubah dan dia tidak sedar bahawa dirinya sedang mengamalkan banyak perkara negatif. Dah tu, memang dah lama hilang usaha.

Sebaik mungkin kita sentiasa cerminkan diri dan terus berusaha untuk buat semua yang baik-baik. Kalau pernah buat benda yang kurang baik, biarlah kita berubah dan buat yang baik. Betapa hebatnya kita kalau dapat berubah dan berusaha untuk meningkatkan diri kita. Kalau dulu tak solat, biar sekarang tak tinggal solat dan rajin pula buat solat sunat. Kalau dulu kita berkira-kira, sekarang ini kita rajin bersedekah dan menghulur. Kalau dulu kita malas, sekarang kita jadi rajin.

Seelok-eloknya, kita berubah dari usia muda lagi. Tapi, kalau dah banyak umur
dan masih terlupa untuk berubah, memang sayanglah....

Insyaa-Allah, kalau kita elakkan diri daripada maksiat dan terus amalkan ibadah yang dituntutkan, Allah akan lindungi kita dunia akhirat. Ingatlah, rezeki bukan sekadar duit, tetapi ketenangan, kebahagiaan dan rasa aman dan bersedia untuk akhirat.

Jangan biarkan diri hanyut dengan amalan-amalan karut seperti mengamalkan perbuatan syirik dan kegiatan jahil. Tak payahlah pergi jumpa bomoh. Tak payahlah nak buat orang sana sini dengan amalan jampi-menjampi! Elaklah daripada menyesatkan diri kita.

Wassalam.

                                                                Cilok dari Internet

Monday, September 07, 2015

Cari Yang Terbaik!

Assalam

Hujung minggu yang padat dan cuaca yang berjerebu walaupun kami di Negeri Sembilan dapat hujan sekurang-kurangnya dua hari berturut-turut. Alhamdulillah.

Nak buat macam mana kan, memang banyak hal yang perlu kami lakukan hinggakan tak ada masa sangat untuk berehat di rumah. Namun kami tetap bersyukur kerana Allah swt izinkan kami untuk buat apa yang kami nak buat.

Pagi ini, di tempat kami ini, matahari masih menyorok-nyorok. Yang pasti masih ada jerebu lagi.

Di entri kali ini, sajalah saya nak kongsi cerita salah seorang teman baik saya. Dia mempunyai dua orang anak lelaki (memang tak ada anak perempuan) dan yang sulung sudah pun berumah tangga. Yang kedua pula sudah bekerja di sebuah syarikat gergasi dan kebetulan anak lelakinya yang ini agak jenis baik hati. Cepat cairlah kata orang. Kebetulan juga, anak lelakinya yang ini sukalah pada seorang gadis yang juga mempunyai career yang mantap, tetapi malangnya kawan saya dan suaminya tidak berkenan untuk jadikan gadis itu menantu mereka.

Saya pernah bertanya, "Kenapa tak berkenan?"

Kawan saya memberi beberapa alasan yang agak mantap (tak payahlah saya bincangkan  di sini sebab agak personal) dan saya nampak akan logiknya.

"Habis tu you nak buat macam mana?" soal saya lagi.

"Kami dah slow talk dengan anak kami dan minta dia tidak teruskan hubungannya dengan gadis itu." Itulah kata kawan saya itu.

Mula-mula saya memang tak pasti sama ada anaknya itu mahu mendengar nasihat mereka atau tidak. Maklumlah, orang muda kalau sedang angau kadang-kadang mereka jadi keliru hinggakan tak nampak baik buruk sebuah perhubungan itu. Namun alhamdulillah, kemudiannya kawan saya memberitahu saya bahawa anaknya itu faham apa yang mereka sampaikan dan akhirnya bersetuju yang gadis itu tidak sesuai untuk dia jadikan isterinya. Berkat doa kawan saya dan suaminya.

Sebenarnya memang sangat mudah untuk kita terperangkap dan terjerat dengan percakapan manusia, apatah lagi seorang lelaki, apabila mendengar kata-kata seorang wanita, hati mereka mudah cair hingga terlupa untuk berfikir tentang baik buruk 'relationship' itu, sedangkan ibu bapa pula, sebagai orang ketiga, mudah melihat apa-apa kelemahan dan perkara yang tidak sesuai untuk anak mereka. Semestinya ibu bapa mahukan yang terbaik untuk anak mereka.

Sepatutnya memang begitulah, bila kita nak cari pasangan hidup kita, biarlah kita pilih yang terbaik buat kita, jangan main ambil sahaja siapa-siapa, kerana kalau kita tersilap, maka itu adalah kerana kita yang tidak berfikir dulu. Sungguhpun jodoh kita ditentukan Allah swt, namun kita tetap boleh fikir dan buat pilihan. Allah tidak pernah menghalang kita untuk berfikir cuma kadang-kadang manusia yang buat silap kerana lupa untuk berfikir. Wallahuaklam.

                                                                 Sekadar hiasan

Friday, September 04, 2015

Janganlah Malas!

Salam Jumaat buat kita umat Islam, semoga Allah berkati hari-hari kita, insyaa-Allah.

Hari ini saya nak bangkitkan tentang sesuatu yang mungkin menjadi sesuatu yang sedang diamalkan oleh banyak orang, terutama mereka yang muda dan yang tak pernah rasa susah. Penyakit malas!

Saya selalu berbual-bual dengan teman-teman yang biasa jadi bos besar atau jadi majikan. Rata-rata ramai yang bersungut, kata mereka hari ini memang payah benar nak dapat pekerja atau kakitangan yang rajin bekerja. Kebanyakan mereka yang makan gaji suka berkira tentang tenaga mereka, tetapi tak ambil berat pula tentang tenaga yang terbuang akibat menjalankan aktiviti personal seperti 'berwhatsapp, ber FB, bertelegram, berinstagram dan apa sahaja aktiviti lain yang 'personal' dan buang masa dalam waktu pejabat yang sepatutnya dihabiskan untuk kerja, sesuai dengan gaji yang dibayar!

Kalau kita jenis macam itu, tetapi sangat berkira dengan masa kita (bila sampai masa habis kerja bukan main laju lagi nak balik) dan tak ambil berat untuk ganti masa yang kita buang semasa bekerja, ini samalah dengan memakan duit yang bukan hak kita! Betul tak? Atau kita tak rasa macam tu sebab kita rasa orang tak tahu pun kalau kita buang masa atau ponteng kerja? Atau bagi kita okey sajalah macam tu sebab sebenarnya kita memang malas pun! Jadi hal-hal seperti ini bagi kita sangat biasa walaupun sebenarnya kita tahu bahawa itulah yang dikatakan sebagai amalan tak jujur! Tapi kita terus saja buat macam tu, sebab kita rasa tak apa kot... semua orang pun buat macam tu! nauzubillah min zalik.

Penyakit malas inilah yang sangat membimbangkan banyak orang yang mahu ambil berat dan ambil tahu. Apabila generasi yang ada merupakan generasi pemalas, maka negara akan menjadi lemah. Bertambah bimbang apabila kita tahu bahawa generasi itu merupakan orang Islam, maka sebagai manusia prihatin, kita takut negara akan menjadi layu dan tak bermaya dan akhirnya nanti akan hilanglah bangsa yang ada.

Maka peribahasa Melayu yang mengatakan bahawa 'Tak akan hilang Melayu di dunia' akan terbalik juga. Tahu-tahu, akibat penyakit malas ini, maka hilanglah Melayu bukan hanya di dunia tetapi di negara sendiri! Nauzubilah min zalik.

Hari ini, terlalu ramai yang hanya pentingkan 'material' tapi tak pedulikan amalan yang dituntut agama. Ramai yang tak ikhlas dan tak jujur dan itulah antara prinsip penting untuk jadi manusia beriman. Kalau iman goyah, maka goyanglah segalanya.

Kita wajib jadi manusia yang beramanah dan jujur. Dengan ciri-ciri itu kita mampu untuk jadi manusia yang ikhlas bekerja kerana kita tahu bahawa apa sahaja yang kita lakukan adalah kerana kita ini umat Islam yang sayangkan pada Allah swt.

Semoga kita fikirkan hal ini dan cubalah perbaiki diri kita untuk menjadi insan yang jujur lagi ikhlas melakukan kerja kerana Allah swt. Aamiin.

Wassalam.


                                                        Relaks-relaks setelah bekerja kuat

Thursday, September 03, 2015

Antara Redha Dan Pasrah

Assalam

Hari ini memang lambat update blog sebab saya keluar tadi, renew passport. Buat juga kad pengenalan baru sebab dah lama pindah Nilai tapi belum tukar alamat. Dulu masih simpan rumah Bangi... sekarang dah tak lagi. Sebenarnya Cik Abang saya yang asyik ingatkan saya untuk buat IC baru dan renew passport. Dia takut kalau kami rancang nak berjalan tetapi passport saya tak valid... huhu...

Okeylah... ada orang ingatkan saya untuk tulis tentang redha dan pasrah. Kalau di kamus Dewan, ejaan 'Redho atau Redha' ialah 'Reda', tapi rasa macam janggal pula sebab terasa macam 'reda' atau berkurangan, sedangkan maksud yang ingin dibincangkanlah ialah tentang menyerah pada takdir atau Allah swt.

Okeylah, ramai yang keliru dan suka guna perkataan 'pasrah' bila mahu serahkan pada takdir di atas apa-apa yang terjadi pada diri. Orang kita suka guna perkataan 'pasrah' yang membawa erti 'berserah'. namun 'pasrah' bukannya sama dengan 'menyerah pada Allah swt' tetapi pasrah adalah menyerah yang berbentuk mengalah atau tak ambil peduli nak jadi apa jadilah! Serupa juga dengan lantaklah! Kalau ada ujian sekalipun kita tak mahu menimba pengajarannya. Kalau ada kesilapan, kita tak ralat dan ada rasa kesal, tapi buat main tak peduli sahaja. Sedangkan 'redha' adalah menyerah pada Allah swt kerana kita tahu bahawa Allah yang mengaturkan sesuatu itu dengan perancangan yang baik untuk kita, dengan itu 'redha' tidak bererti mengalah atau berserah 'kosong', tetapi berserah kerana kita yakin Allah swt sedang menguruskan sesuatu yang terbaik buat kita sekalipun mungkin dalam bentuk musibah atau ujian yang berat. Malah, segala apa yang diuji itu kita jadikan sandaran dan pengajaran. Wallahuaklam.

Orang yang suka mengguna perkataan 'pasrah' semestinya jauh lagi lemah, malah suka mengalah kerana dalam hidupnya dia tidak yakin bahawa Allah lebih Mengetahui. Baginya, berserah itu mudah dan biarlah apa nak jadi, jadi kerana mungkin itulah yang terbaik, tanpa merasakan bahawa ada Kuasa yang besar yang sedang merancang untuk kita. Wallahuaklam.

Saya terdengar hal ini di TV, diperkatakan oleh seorang ulama', maka saya pun buat research dan tepat apa yang dikatakan itu. Saya bangkitkan hal ini di sini untuk mengingatkan diri sendiri dan juga anda yang membaca di blog ini. Semoga Allah rahmati hidup dan akhirat kita. Aamiin.

Jangan main 'pasrah-pasrah' sahaja. Yakinlah bahawa Allah itu Ada.

Wassalam.

Wednesday, September 02, 2015

Nak Jadi Bijak?

Assalam

Semalam, anak-anak saya sibuk dengan projek mereka di lapangan terbang KLIA. Jadi kebetulan, anak saudara saya yang juga bekerja di syarikat anak-anak saya, datang ke rumah dan tidur di rumah kami. Jadi... macam-macamlah kami bualkan. Macam-macam cerita lama yang terkeluar. Yang penting, kami kongsi cerita suka ahli keluarga kami. Memang banyak sungguh. Semuanya berharga belaka. Alhamdulillah.

Ya sungguh, banyak kisah lama yang menjadi pengajaran buat kita semua. Banyak juga yang perlu kita lalui untuk tiba ke destinasi. Sesungguhnya kita tak akan kering daripada belajar sesuatu yang baru. Ilmu itu sentiasa ada dan tak mungkin akan habis sekalipun kita merupakan orang bijak pandai. Hatta seorang ilmuan teragong  tetap perlu menuntut ilmu lagi. Kalau kita sedar, kita akan tahu jua bahawa menuntut ilmu itu bukan sekadar satu kewajipan tetapi ia merupakan nikmat anugerah Ilahi. Selagi otak dan akal berjalan selagi itulah kita perlu hargai ilmu! Kalau dah nyanyuk maka kucar-kacirlah fikiran. Ketika itu,ilmu sudah tidak ada nilai lagi. Kita akan menjadi baby semula.

Orang yang ada akal, akan ambil berat tentang menimba ilmu, tak kira peringkat apa sekalipun. Tak kira berapa usia kita. Orang yang berakal akan pastikan dirinya mempunyai akhlak yang mulia juga. Tanpa akhlak dan budi pekerti, akal tak mampu untuk mengutip ilmu yang positif. Fikiran akan dirasuk syaitan dan mudah menjadi songsang dan tersesat. Jadilah orang bijak yang mempunyai akal waras untuk sentiasa berfikir.

Sebagai manusia bijak, kita tak mudah dirasuk syaitan dan tergoda dengan kegiatan dan aktiviti yang merosakan. Gunalah kebijaksanaan untuk sentiasa berfikir dan berupaya untuk asingkan apa yang negatif dan apa yang positif. Kalau kita bijak, kita juga berupaya untuk pastikan kita mengamalkan sebuah kehidupan yang sihat, tidak mudah mengikut perasaan. Kadang-kadang, kerana kurang berfikir, kita menjadi manusia yang terlalu beremosi, main buat apa saja kerana emosi merasuk fikiran! Wallahuaklam.

Jadi... sentiasalah rajin mencari ilmu. Gunalah akal fikiran untuk mengawal diri. Jadilah insan yang beriman kerana iman itu mampu menjadikan kita manusia ulul albab, insyaa-Allah.

Wassalam


Tuesday, September 01, 2015

Hubungan Yang Mantap

Assalam

Minggu kerja yang bermula dengan hari Selasa. Semoga anda terus bersemangat untuk memikul tanggungjawab yang anda terima sebagai insan di dunia. Jangan abaikan tanggungjawab kerana kalau anda tak peduli, akhirnya nanti anda juga yang rugi.

Semalam, kami sibuk di Cyberjaya dan kemudiannya di Putrajaya. Di Cyberjaya kami makan tengah hari di Restoran canggih kepunyaan seorang lelaki Arab keturunan Syria yang pernah tinggal lama di Amerika Syarikat dan kemudian di Austria. Kini beliau berada di Cyberjaya dengan Restoran 'Culinary Pleasure' nya. Memang hebat-hebat makanan yang disediakan di situ terutama sekali pasta dan pemanis mulutnya. Fantastic! Sangat-sangat direkomen untuk anda mencuba. Taukehnya juga sangat peramah, maklumlah dia merupakan seorang chef yang budiman. Alhamdulillah.

Selepas di Cyberjaya bersama famili saya, kami pun membawa anak saudara saya dan suaminya ke IOI City Mall yang terletak di kawasan Putrajaya. Anak saudara saya tak shopping sangat kerana mereka akan ke Uzbekistan hari ini, yang shopping ialah saya dan anak saya... hehe. Kebetulan terjumpa benda-benda yang kami mahukan!

Kemudiannya pula kami ke Thoyib Cafe di Bandar Baru Nilai untuk lepak-lepak minum kopi. Alhamdulillah, syukur di atas nikmat yang Allah berikan. Awal pagi ini, anak saudara saya sudah pun terbang ke Uzbekistan mengikut rombongan adik saya ke negara itu. Semoga semuanya selamat, insyaa-Allah.

Saya dan anak saudara saya, Nafisah kami sangat rapat walaupun Nafisah tinggal di Jakarta. Begitu juga dengan suami saya, dia juga rapat dengan Salleh suami Nafisah. Mereka sama-sama jurutera dan graduate dari UK.  Arwah abang sulung saya  (ayah Nafisah)merupakan salah seorang anak ayah saya yang terus tinggal di Indonesia, tidak ikut ayah saya berhijrah ke Malaysia. Namun alhamdulillah, walaupun kami tinggal berjarak, namun ikatan silaturahim terus kekal ke hari ini. Kini, arwah abang saya sudah lebih setahun meninggalkan dunia fana ini, tetapi kami yang tinggal masih kekalkan perhubungan. Semoga Allah izinkan ikatan keluarga kami terus mantap. Aamiin.

Semalam, saya dan Nafisah kami bercerita tentang keluarga. Yang penting bagi kami, jangan sekali-kali mensisihkan mana-mana ahli keluarga yang kurang berada. Sangat penting untuk kami tidak meninggi diri kerana apa jua yang Allah berikan, semuanya sementara sahaja. Yang kekal ialah di akhirat nanti. Kami cuba lakukan yang terbaik untuk pastikan silaturahim kekal hingga akhirat nanti. Aamiin.

Wassalam.

                                                      Dengan owner Culinary Pleasure
                                                          Dessert yang superb!
                                                        Pastanya memang sedap giler
                                                             Makan ramai-ramai
                                                                 Licin Damia makan
                                                              Enak sungguh!
                                                                 Culinary Pleasure