Keindahan Alam - Berehat dan Membaca di sini...

Followers

Friday, July 13, 2007

JULIA

Akhirnya, aku bertemu dengan Julia. Isyad yang mengaturkannya. Kata Isyad, "Saya nak akak jumpa dia. Selama ini akak hanya dengar pasal dia melalui saya."
Saya bertemu dengan Julia di KL SENTRAL. Macam berdating pulak!
Julia... memang cantik orangnya. Sebenarnya, cantik ini adalah suatu perkara yang subjektif. Terpulang kepada mata masing-masing. Tapi bagi mata saya, Julia memang cantik. Orangnya tidak kurus dan tidak gemuk. Sedang-sedang. Kulitnya juga sedang-sedang. Tidak hitam dan tidak putih. Apa yang saya suka ialah senyumannya. Saya memang lemah bila melihat wajah yang berlesung pipit! Dia mempunyai lesung pipit di kedua-dua belah pipinya. Bila tersenyum, saya percaya ramai yang lemah melihat wajahnya. Juga matanya. 'Almond eyes'. Memang menarik. Paling menarik ialah cara dia bercakap. Lembut dan penuh sopan santun.
"Apa yang kamu lihat pada Isyad?" Akhirnya saya bertanya.
"Saya melihat dia... 'seadanya dia'... tidak lebih daripada itu. Saya tak harap apa-apa yang lebih daripada apa yang Isyad mampu berikan kepada saya. Bagi saya, dia jujur. Dia tidak pernah membohongi saya, sejak mula berkawan lagi. Walaupun latar belakang kami berbeza, Isyad tak pernah cuba melakukan sesuatu untuk mengkaburi mata saya. Bagi saya, kak... walaupun dia bukan anak orang berada, tetapi dia rajin. Mak saya pernah berpesan, kalau nak cari suami, carilah yang rajin bekerja. Paling penting, kak... dia juga ambil berat tentang agama. Ayah saya kata, lelaki yang tahu agama itu boleh menerajui rumah tangga dengan baik. Dia boleh jadi ketua untuk keluarga saya. Dia boleh memimpin saya. Saya juga suka, kerana dia menghormati ibunya. Mak saya kata, kalau lelaki itu menyayangi ibunya, itu bermakna yang dia juga menghormati orang perempuan."
Saya sekadar tersenyum sahaja. Bagi saya, Julia memang layak dijadikan isteri Isyad.