Assalam
Semoga hari ini merupakan hari yang baik daripada semalam, insyaa-Allah. Semoga hidup dan mati kita dirahmati Allah swt.
Ya sungguh ni, selagi ada nafas nak buat apa pun biarlah kita buat kerana Allah swt, bukan kerana benda-benda lain, jauh sekali kerana nafsu. Nafsu itu syaitan besar dan janganlah tergoda dek syaitan. Syaitan ada di mana-mana sahaja dan sentiasa menunggu mangsanya dan jangan biarkan kita menjadi mangsa syaitan, nauzubillah min zalik.
Semalam, kami dikunjungi seorang tetamu yang memegang jawatan penting dalam memastikan negara mendapat hasil yang baik. Dalam perbualan kami, dia bercerita tentang beberapa karakter yang merupakan kawan-kawannya tetapi bertugas di tempat lain yang bukan sama jabatan dengannya, betapa mereka ini membiarkan diri mereka terjerat kerana nafsu dunia.
"Jawatan dia taklah tinggi mana pun. Gaji pun taklah besar mana, tapi pendapatan luarnya sangat besar dan luas. Ada motor besar, ada kereta mewah. Ada fasiliti yang tinggi gunung. Jawatannya membolehkan dia untuk mendapat kuasa (yang bukan sah) bagi mengutip hasil dari sumber-sumber yang sepatutnya dia menghapuskan bagi pihak negara. Sebab itulah kalau kita tengok dan jadi hairan macam mana kegiatan haram bermaharajalela di merata-rata tempat di negara ini. Kita hairan macam mana boleh ada banyak kelab malam yang menyimpan pelacur dan mudah menjalankan aktiviti haram. Kita hairan macam mana budak-budak kita mudah dapat dadah dan jadi mat dadah. Mudah juga aktiviti rempit berjalan dengan luasnya. Kita hairan macam mana pihak JPJ dan polis tak dapat nak banteraskan aktiviti 'tonto' yang macam king di atas jalan raya. Malah, segala macam aktiviti haram bermaharajalela di negara kita. Kenapa agaknya negara kita tak macam dunia Barat yang payah nak tengok aktiviti-aktiviti haramnya? Jawapannya sangat mudah... kerana mereka di negara Barat, yang menjalankan tugas mampu untuk buat kerja baik-baik, tidak menyimpang. Kita di sini, ramai yang tak takut pada Tuhan kerana mata dan hati taksub pada syaitan. Maka... rasuah menjadi budaya kerja mereka. Kerana itulah banyak sangat aktiviti haram berluasa di tempat kita."
Bukan sesuatu yang baru buat kami. Dah lama tahu hal-hal macam ni. Tetapi bila datangnya cerita daripada mereka yang sangat dekat dengannya, kami jadi sangat gerun. Kami tertanya-tanya juga, 'mereka ini tak takut pada Tuhan ke? Tak ada agama ke?' Bila kami tanya lagi, inilah jawapan yang diberi oleh tetamu kami bagi pihak mereka yang sesat di dunia.
"Jawapannya sangat mudah. 'Buat benda-benda ni dah memang jadi budaya kerja kami apa. Bos buat, kami di bawah ni tak kan tak buat sama kot? Rugilah. Takkan nak tengok bos-bos kami kenyang depa aje... kenalah kat kami sama, barulah adil."
Tetapi yang peliknya, selepas melantak duit rasuah berkoyan-koyan, hamba-hamba Allah ini tak kenyang-kenyang pun, makin tak cukup ada. Memanglah tak cukup, kerana pendapatan haram yang tak ada barakahnya pasti takkan mencukupi walaupun dapat setinggi gunung. Bukan itu sahaja, malah keluarga dan kehidupan di dunia tak akan jadi baik dan indah mana. Anak-anak akan membesar macam setan, hati perut pun jadi busuk, perangai buruk, akhlak tak ada... malah segala-galanya jadi tak baik dunia dan mungkin juga akhirat nanti. Memang tak guna pun apa-apa yang masuk secara haram itu. Tak akan pernah cukup pun. Pakailah motor besar mana pun, pakailah skyline ke apa ke, masih tak ada barakahnya. Baik tak baik hidup penuh dengan hutang sekeliling pinggang. Apa sahaja yang masuk tekak sememangnya tak halal pun, jauh lagi teruk daripada makan daging babi!
Subhanallah... memang budaya rasuah ini sudah lama melular dalam darah daging sesetengah manusia di dunia ini, tak kira pangkat apa dan di tempat kerja di mana. Selagi kita tidak insaf dan tak rasa takut pada Tuhan, kita akan berasa seronok untuk melakukan kejahatan. Bagi kita, okey saja sekalipun makan rasuah dan mampu untuk rosakkan anak bangsa dan punahkan negara. Kita tak akan berasa apa-apa kerana bagi kita tekak kita, tekak anak bini kita jauh lagi berharga walaupun akhirnya semua yang kita rasa baik itu adalah pemunah hidup kita dan akhirat kita. Wallahuklam.
Mudah kata, tak payahlah makan rasuah. Tak usahlah jadi manusia yang tamak haloba. Jangan jadi manusia materailistik. Tak perlulah taksub dengan budaya kerja yang merosakkan akidah agama kita. Jadilah insan yang tidak takut untuk mati kerana sudah bersedia dengan amal ibadah yang sebaik-baiknya, bukan manusia yang tak bersedia apa-apa bila mahu mati nanti! Ingatlah bahawa makan rasuah tak dapat tolong kita dunia dan akhirat, malah makan rasuah menjadi anai-anai yang merosakkan bangsa dan negara. Subhanallah.
Wassalam.