Seorang pembaca saya telah maklumkan kepada saya yang dia suka kepada watak utama dalam novel berjudul 'Hanya Kita Berdua' yang bernama Adil.
Saya pula bertanya, "Kenapa Adil?"
"Dia mengingatkan saya kepada pakwe saya. Cinta pertama saya."
Katanya, dia pernah jatuh cinta dengan seorang jejaka muda di tempat tinggalnya, tetapi malangnya, lelaki itu anak orang susah.Katanya lagi, keluarga pembaca saya itu bukanlah kaya raya macam Najla dalam Hanya Kita Berdua, tetapi jauh lebih okey daripada pakwe yang dia suka itu. Kerana itu, hajatnya untuk kekal berkawan dengan lelaki itu tak kesampaian. Lelaki itu membawa diri tinggalkan kampung halaman.
Kata pembaca saya lagi, lelaki idaman hatinya telah mencari rezeki di tempat lain (luar negeri, bukan luar negara)dan selepas lapan tahun, dia kembali ke kampung mereka. Ketika itu, pembaca saya sudah pun berumah tangga dengan orang lain. Lelaki itu masih kekal bujang dan mungkin masih menantinya.
Kebetulan juga, pembaca saya itu tidak kekal pula perkahwinannya. Suaminya telah berkahwin lain dan meninggalkannya terkapai-kapai. Sekarang ini... dia sedang melalui proses perceraian. Katanya... 'Adil saya, Kak Aina... masih tunggu saya kot.'
Alahai, Adil...