Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Thursday, August 30, 2012

Kosong, Kosong dan Kosong

            Najwa Latif dan Kosong nya.

Salam semua

Saya bukannya nak bercerita tentang hari raya, sebab memang ramai yang suka guna 'kosong-kosong' untuk tunjukkan perasaan meminta maaf. Saya juga bukan bercerita tentang lagu yang dinyanyikan oleh budak comel Si Najwa Latiff tu. Apa yang saya nak ceritakan ialah perasaan seorang pembaca tentang novel-novel yang dia baca. Huh!

"Kak Aina, saya ni memang suka giler baca novel. Saya tak kisahlah yang jenis santai atau yang jenis berat. Tapi... saya rasa sedih bila ada novel itu bukan sekadar terlalu santai aje tapi pengisiannya 'Kosong'! Tak ada apa-apa, hanya penceritaan yang tak bermakna, tak ada pengajaran, jauh sekali ilmu yang mahu dikongsi sama. Saya letihlah, kak. Kadang-kadang mati semangat saya untuk membaca dan saya tak tahu kenapa ada novel-novel yang 'kosong' ini dijual untuk pembaca!"

Saya terdiam mendengar luahan hatinya. Iyalah, saya pun bukannya tahu sangat sebab saya memang jarang sangat membaca novel-novel yang ada ni, sekadar mendengar cerita di sana sini. Kadang-kadang saya terbaca juga sinopsisnya di blog-blog orang, tapi payahlah saya nak kata ada isi ke tidak. Lagipun memang bukan hak saya untuk komen apa-apa. Tetapi sebagai pembaca, mungkin minah tadi mempunyai hak untuk luahkan perasaannya. Maklumlah dia melabur duit dia untuk dapatkan 'kepuasan' dalam membaca. Betul tak?

"Kak... sekarang ni saya tengok memang trend orang menulis kisah-kisah yang macam nak sama aje. Asyik-asyik benda sama. Letih betul saya membacanya. Macam dah tak ada modal dah." Komennya lagi.

Masih saya terdiam kerana memang saya tak tahulah apa yang dia katakan ini.

"Ada tu konon-konon buat review kat blog, tapi nampak sangat tak ikhlas. Segala buku pun dia orang review dan segala buku pun dia orang kata sedap giler! Pada hal bila kita baca kita rasa 'kosong', tak ada apa-apa pun! Agaknya dia orang ni kena bayar kot untuk kata buku-buku tu sedap. Tapi tak baiklah, kak... namanya tu menipu. Saya tak sukalah kalau ada yang rajin buat review yang tak ikhlas ni."

Lagilah saya tak tahu sebab saya tak ambil kisah. Kalau saya tahu pun kerana ada yang memberitahu saya. Sebenarnya ramai pembaca-pembaca saya yang suka berkomunikasi dengan saya dan dengan cara itulah saya dapat 'feedback'. Tapi saya tak ambil kisah tentang penulisan orang lain, sekadar mendengar sahaja.

Mungkin kalau anda sedang menulis, serupa dengan saya juga, elok kalau kita pastikan apa yang kita tulis itu tidak merupakan sesuatu yang 'Kosong'. Pastikan ada isu, ada isi, ada ilmu dan ada pengajaran, bukan sekadar 'santai' yang tak bermakna apa-apa. Kita cuba yang terbaik semoga Allah SWT memberi petunjuknya. Wallahu'alam.

Wassalam.

Wednesday, August 29, 2012

Jahat Pun Boleh Menang?

  Sekadar hiasan - tiada kaitan dengan tajuk entri


Salam semua

Hari Jumaat depan ini, ada orang nak merisik dan hantar tanda buat anak saudara perempuan saya di Gombak dan hari Sabtu pula, anak saudara lelaki saya akan bertunang. Hari Jumaat yang sama juga saya akan sekali lagi melayan tetamu di rumah kerana dah janji dengan teman-teman dan kenalan. Hari Ahad, ada orang kahwin. Kata orang putih, Life goes on, tak mungkin akan berpatah balik lagi.

Di siang hari, ketika saya bermain-main dengan si kenit-kenit ni, kadang-kadang saya tengoklah TV (biasanya macam tu untuk bagi mereka duduk diam sikit), dan kadang-kadang tengoklah drama Melayu yang disediakan khas untuk raya (ada yang repeat drama lama-lama). Tak kisahlah, tapi dalam pemerhatian saya, terlalu banyak drama Melayu yang suka menangkan 'kejahatan'. Orang baik dikalahkan dan yang banyak buat salah dimenangkan. Jadi, saya memang tak fahamlah motif kebanyakan pembikin drama Melayu ni. Huh! Ada satu drama ni, anak-anak lelakinya lupa daratan. Masa muda dan memerlukan mereka baik dengan ibu, dan bila dah berjaya, masing-masing tinggalkan ibu hinggakan ibunya tak bertempat untuk berteduh. Bila anak-anak akhirnya pulang, dalam perjalanan itu anak-anaknya terlanggar ibu mereka dengan kereta mereka dan akhirnya ibu mereka mati. Jadi apa motifnya? Sekadar untuk buat anaka-anak itu rasa kesal? Macam bodoh aje.

Drama yang satu lagi ini pula, mengisahkan seorang adik yang mengambil suami kakak untuk dijadikan suaminya sendiri. Dah tu semasa hendak mengambil suami kakak, dia menfitnahkan kakaknya konon-konon kakaknya itu ada 'affair' dengan lelaki lain. Tanpa usul periksa ibu mereka percaya dan menghalau si kakak. Sementara itu, si adik kahwin pula dengan suami kakak (setelah bermadu kasih dengan suami kakak di belakang kakaknya di rumah kakaknya itu). Anak kakak pun adik rampas dan jadikan anaknya sendiri. Satu hari, si adik dikatakan kena barah tahap lima (tahap lima, beb) dan keran ingatkan dia akan mati, si adik merayu untuk jumpa kakak yang dah berpisah lebih lima tahun. Akhirnya kakak pun pulang dan dalam perjalanan pulang si kakak kena langgar dan mati dan hanya rohnya sahaja yang datang melawat adik di hospital. Adik pula telah dimaklumkan bahawa dia bebas dari penyakit kanser. Jadinya, saya tak faham apa motif drama ini? Bukan kah cara begini akan menggalakan orang ramai berfikir bahawa it's okay kalau kita buat jahat kerana orang buat jahat akhirnya akan menang?

Saya tak tahu kenapa kita suka buat benda-benda sadist ni. Mungkin itulah kehidupan orang kita kot, terlalu suka dengan benda sadist atau benda-benda yang lawak jenaka tahap gaban!

Saya juga suka tengok program-program keagamaan di TV AlHijrah, banyak yang saya belajar. Salah satu program itu bercerita tentang iman dan bagaimana ada program TV yang disiarkan di stesen2 TV mampu merosakkan iman, termasuklah drama-drama yang menangkan kejahatan. Apa untungnya setakat ada scene sedih di akhir cerita sedangkan penonton tidak mendapat apa-apa pengajaran baik dalam penceritaannya? Takkan nak bagi thumbs up buat pengarah dan penerbitnya?

Okeylah, tak nak membebel lagi, sekadar untuk mengingatkan diri sendiri supaya sentiasa bertanggungjawab di atas segala penceritaan yang dipaparkan buat masyarakat kita. Semoga kita dilindungi Allah SWT.

Wassalam.

Tuesday, August 28, 2012

Banyak Cerita Lama


Salam

Tanpa kita sedar, musim raya merupakan masa-masa kita updatekan maklumat tentang kawan-kawan juga dalam keluarga, kerana masa rayalah kita bersembang, bercerita termasuk kisah-kisah silam yang mungkin kita dah lupa.

Begitulah semasa saya bertemu kawan lama saya setelah bertahun-tahun kami tak berhubungan. Banyak benda yang kami ceritakan tetapi banyak kisah lama (semasa di kampus UM) yang kami cuba ingatkan kembali. Malah, bila ternampak sahaja wajahnya, secara automatik saya memanggilnya 'Na'. Kalau tidak, saya memang terlupa pun yang itulah nama saya panggil dia. Hahaha... patutlah saya panggil anak perempuan saya 'Na' juga.

Kami juga bercerita tentang kenalan-kenalan kami semasa di kampus dulu, ada yang dah jadi 'Datuk' (ramai sungguh), ada yang masih belum berumah tangga dan ada juga yang dah meninggal dunia. Begitulah kehidupan kita ini, tetapi memang seronok bila berjumpa teman lama di musim raya.

Okeylah, saya uploadkan juga foto ketika kami berhari raya di rumah adik saya di Shah Alam.

Wassalam.

Monday, August 27, 2012

Raya Sakan

Salam

Selamat kembali bertugas kepada mereka yang bekerja dan bercuti panjang. Saya pun kira macam bercuti panjanglah sebab suami dan anak-anak bercuti, jadi kami pun apa lagi, beraya sakanlah... hehe.

Satu hal tentang raya ni yang bagi saya sangat menarik, kerana biasanya kaum kerabat dan adik-beradik akan berkumpul dan ketika itulah banyak khabar baru yang kita dengar, betul tak? Misalnya, bila saya ke rumah abang saya di Behrang (dekat Tanjung Malim, ramai adik-beradik yang turut hadir. Tentunya abang saya (yang bernama Adil) sangat suka dan berbesar hati dan kami pun suka juga sebab dapat khabar tentang anak-anak saudara yang bakal mendirikan rumah tangga. Maklumlah, masing-masing dah besar dan sudah pun bekerja. Kiranya tahun ini banyak sungguh anak-anak saudara saya yang akan berkahwin. Tahun hadapan pun sama.

Semalam, memang riuh rendah rumah abang saya. Kakak ipar saya (juga merupakan second cousin) kalut sama kerana melayan sanak-saudara yang datang bertandang. Maklumlah orang Perak, kan... sambil beraya tu, sempat pulak main meriam! Hahaha... buat kecoh aje. Lepas tu, dari Behrang kami balik ikut jalan lama, sebab highway jam giler!. Alhamdulillah, kami tidak tersangkut. Tiba di Nilai masih sempat solat Maghrib, alhamdulillah. Apa pun, memang syoklah pergi rumah abang saya tu. Macam balik kampung dan pergi resort. Two in one.

Okeylah... ni saya upload gambar-gambar semasa kami lepak di Behrang, rumah abang saya.

Wassalam.



Saturday, August 25, 2012

Masih Beraya Lagi Ke?

Salam semua

Itulah dia kita di Malaysia, kalau berpuasa sebulan, nampaknya raya pun sebulan juga. Ada tu dah lepas Syawal pun masih beraya juga. Ada tu pula, Syawal lebih penting dari Ramadhan, kerana di bulan Syawal orang beraya bagai nak rak. Apa-apa lahhh...

Saya sudah pun berada di rumah setelah pergi berehat dengan ahli keluarga di Cherating, Pahang. Okeylah, kan... saya bukannya apa, tapi kesiankan anak-anak dan cucu-cucu yang sekarang ni payah nak berjalan kerana ibu dan bapa mereka sibuk. Inilah dapat bercuti lama sikit.

Hari ini kami ada tetamu dan petang nanti kami akan ke Shah Alam.

Saya uploadkan gambar semasa kami melepak di Cherating.


Tuesday, August 21, 2012

Sambutan Hari Raya Eidulfitri

Salam semua

Pasti anda sekelian sibuk beraya. Hari raya pertama saya sibuk melayan tetamu yang datang dari pagi sampai malam. Hari raya kedua, kami semua ke Jay Bee dan pulang ke Nilai jam 1.00 pagi. Hari ini kami berkemas dan berehat. Esok kami akan ke Cherating, Pahang, insya-Allah. Kami pulang lewat Jumaat malam. Sabtu akan berada di rumah dan insya-Allah petang akan ke Shah Alam. Tak banyak cerita, hanya ada beberapa foto yang saya uploadkan untuk berkongsi dengan anda semua. Semuanya diambil pada hari raya pertama di rumah saya.

Wassalam.








Saturday, August 18, 2012

Jangan Sayukan Hati Keluarga


Salam

Memang rasa sedih sebab terpaksa kata 'goodbye' kepada Ramadhan yang mulia, insya-Allah dengan izin Tuhan kita akan berjumpa lagi di tahun hadapan.

Semestinya anda semua sedang sibuk, ada yang sibuk balik kampung, ada yang sibuk mengemas dan memasak. Mungkin ada yang terus sibuk bekerja macam biasa. Saya doakan yang terbaik buat semua. Semoga Tuhan lindungi kita, amin.

Di hari baik bulan baik, harap-harap semuanya jalan lancar, jangan pula ada yang berkelahi. Kadang-kadang memang macam tu, terutama bagi mereka yang dah lama tak jumpa. Ada rasa yang tersirat dan terkilan. Jangan, beb... bila dah jumpa tu biarlah okey semuanya.

Bagi semua ayah-ayah yang berada jauh dari keluarga, eloklah balik berhari raya dengan anak-anak semua. Janganlah lupa pada keluarga yang berada di kampung. Jangan sayukan hati isteri dan anak-anak. Satu hari nanti kita semua akan tua, dan ketika itulah kita perlukan kasih sayang anak-anak.

Selamat Hari Raya buat semua.

Wassalam.


Friday, August 17, 2012

Selamat Hari Raya Sekali Lagi



Salam sayang buat semua

Hari ini dah pun hari Jumaat dan insya-Allah kemungkinan besar 1 Syawal ialah pada hari Ahad (di Malaysia) dan tentunya masing-masing sibuk untuk persiapan hari raya pula. Dalam kegembiraan menyambut Syawal, hatiku sayu kerana terpaksa ucapkan selamat tinggal buat Ramadhan. Insya-Allah, dipanjangkan umur dan diberi kesihatan, dapatlah kita menyambut Ramadhan tahun hadapan. Semoga Ramadhan datang lagi buat kita semua.

Apa pun, saya mengambil kesempatan ini untuk ucapkan selamat hari raya buat semua dan maaf di atas segala kesilapan dan kekurangan selama ini, termasuk sebagai penulis blog ini. Sebagai manusia, saya tidak dapat mengelak daripada melakukan kesilapan walaupun itu (tidak buat silap) yang saya mahu lakukan dan sebagai insan Muslim, semoga kita dapat bermaafan ketika masih hidup di bumi Allah ini. Segala yang baik datangnya daripada Allah SWT dan yang kurang itu datang daripada saya manusia yang kerdil ini.

Setiap kali kita berdoa, adakah kita juga turut doakan untuk orang lain? Insya-Allah, kita cuba lakukan begitu termasuk untuk semua orang yang tidak menyukai diri kita, semoga Tuhan bukakan hati mereka untuk menyukai kita pula. Amin.

Insya-Allah, saya akan terus berada di depan komputer, cuma mungkin akan kesibukan dengan urusan rumah tangga dan melayan tetamu. Namun dengan izin-Nya, saya akan cuba update blog ini di musim hari raya.

Selamat Hari Raya buat semua yang saya sayangi dan juga buat semua mereka yang tidak atau kurang sayang pada saya. Semoga Tuhan menyayangi kita semua. Amin.

Wassalam.

Thursday, August 16, 2012

Balik Kampung Hati Riang

         Hehe - balik kampung hati riang!


Salam semua

Beginilah perasaan kebanyakan orang kita bila Syawal menjelang tiba. Hati berkobar-kobar nak balik kampung dan lagu Allahyarham Sudirman bila berkumandang di radio dan TV, bertambahlah syahdu, mulalah dada rasa berdebar-debar terutama bagi mereka yang dah lama tak balik ke kampung. Bila Syawal tiba, itulah masanya semua akan berkumpul dan tempat yang paling istimewa semestinya kampung masing-masing. Walhasil, orang Melayu sangat sinonim dengan kampung. Macam peliklah pulak kalau ada orang Melayu yang tak ada kampung sekalipun dilahirkan di kota-kota besar. Wallahua'lam.

Bagi saya dan adik-beradik saya, sekarang ini kampung kami ialah di Nilai, bukan lagi Kuala Kangsar, Perak. Dah lama dah kami tak berkampung di KK, sekadar tinggal memori sahaja. Walaupun tanah kami masih ada di sana tetapi rumah dah lama hilang. Huh, sedihnya.

Tapi kami bukan jenis manusia yang kuat beremosi, di mana-mana pun boleh jadi kampung kami. Dulu pun, kami terpaksa berhari raya bertahun-tahun lamanya di Manchester, England. Okey aje, tak adalah pulak kami menangis. Insya-Allah di mana sahaja di bumi Tuhan ini kami boleh jadikan kampung kami. Di mana pun best.

Insya-Allah juga, pada hari raya kedua kami akan ke Johor Bahru dan pada hari raya keempat kami akan ke Kemaman/Kuantan... haha... macam balik kampung juga.

Apa pun, lagu Allahyarham Sudirman memang best dan membuatkan semangat naik tinggi melambung untuk berjumpa dengan teman-teman lama dan sanak saudara. Bagi mereka yang akan balik ke kampung hari ini, saya ucapkan Selamat Hari Raya, semoga anda selamat pulang dan selamat menyambut hari lebaran.

Wassalam.


Wednesday, August 15, 2012

Thank You, Allah

Salam

"Thank You, Allah," itu merupakan ungkapan yang saya sering suruh cucu-cucu saya sebutkan. Sekarang ini mereka dah mula bercakap dan sangat seronok berkata "Thank You, Allah," walaupun masih pelat-pelat. Mereka juga suka kata "Allahuakbar,". Tengok masjid akan kata begitu, nampak orang pakai jubah dan kopiah pun kata begitu. Nampak sejadah pun kata 'Allahuakbar'. Hehe... lola dia orang seronoklah. Budak-budak ni ada yang panggil saya 'Lula' dan ada yang panggil 'Oaa' sebab masih pelat. Tak kisahlah sekalipun tak pandai sebut, yang penting dia orang tahu.

Bila sebut tentang 'Sykur' ini, tentulah teringat kepada rasa syukur kita pada Allah SWT. Tak kisahlah apa sekali keadaan kita, insya-Allah selagi hati kita dekat dengan-Nya, semua kekurangan itu sebenarnya adalah kelebihan buat kita. Bila kita ada kekurangan, kita akan dekatkan diri dengan Allah SWT dan di sanalah kita dapat ketenangan. Mungkin sekiranya kita mempunyai kelebihan yang terlalu banyak, maka bertambah jauh kita daripada Tuhan dan kerana itulah kita tetap bersyukur sekalipun kita mempunyai kekurangan, tak kisahlah apa jua keadaannya.

Dalam bulan yang mulia ini, kuatkan hati untuk sentiasa belajar bersyukur. Thank You, Allah for everything that You give me. Alhamdulillah.

Wassalam.

Tuesday, August 14, 2012

Berkelahi Kerana Raya

                       Sekadar hiasan

Salam semua

Di bulan Ramadhan yang mulia ini, kita semestinya ralit untuk mengejar ganjaran yang dijanjikan Tuhan melalui amal ibadah yang kita tunaikan, insya-Allah. Semoga semangat kita terus kuat walaupun dah tinggal beberapa hari sahaja.

Namun begitu, sebaik sahaja Syawal menjelang tiba, ada juga pasangan (yang dah kahwin) mula bermasam muka. Ada juga yang sudah mula berkelahi dan tidak bertegur sapa. Betapa ruginya kita kalau itu menjadi amalan kita. Kenapa kita tidak berbincang dan bertolak ansur. Masing-masing ada ibu bapa dan keluarga dan masing-masing juga ada nostalgia, namun kita jangan lupa bahawa kita juga ada tanggungjawab. Bila kita berkahwin maknanya kita sudah terima semua beban dan tanggungjawab yang harus dipikul. Tak bolehlah kita fikirkan diri kita sahaja. Begitu juga ibu bapa, harus terima bahawa anak-anak mereka yang sudah berumah tangga mempunyai tugasan dan tanggungjawab yang baru yang perlu dikongsi dengan pasangannya. Tak boleh kita terlalu beremosi terutama bagi mereka yang berkahwin dengan orang jauh.

Saya dan suami, kami datang dari kampung yang sangat jauh, seorang di utara dan seorang lagi di selatan. Bila mula berkahwin dulu kami dah amalkan sikap berkongsi giliran. Mula-mula kami balik ke Johor dan kemudian ke Perak, begitulah seterusnya, kami balik ke Perak dan kemudian ke Johor pula.

Beraya di tempat orang memang tak sama macam beraya di tempat kita. Semasa saya di kampung saya dulu, suasana hari raya sangatlah ada 'kampung mood'. Mesti ada bunyi meriam (tak sah kalau tak ada - hehe). Kalau di kampung kami, orang lelaki akan berkunjung ke semua rumah sebaik sahaja selesai solat raya. Biasanya juga (masa dulu lah ni), rumah kami merupakan rumah terakhir yang mereka kunjungi (maklumlah kami tinggal di hujung kampung) dan di rumah kamilah mereka (yang rapat) akan terus melepak. Memang satu nostalgia yang payah saya nak lupakan. Sekarang ini, semua itu hanya merupakan kenangan sahaja.

Kami tak pernah berkelahi kerana hari raya, alhamdulillah.

Kalau beraya di tempat suami saya, memanglah beraya dengan mood bandarnya kerana rumah arwah ibu bapa mentua saya terletak di tengah-tengah bandar (siap bunyi kereta dan lori berlalu-lalang di depan rumah). Kami juga selalunya akan pergi melawat saudara mara pada hari raya pertama setelah solat raya. Memang tak adalah bunyi meriam, tapi bila dah lama kahwin, saya biasa dengan semua itu.

Sekarang ini, raya pertama kami beraya di rumah sendiri di Nilai kerana kedua-dua ibu dan ayah mentua sudah tak ada. Pada hari raya kedua barulah kami balik ke Johor dan membuat lawatan ke rumah adik-beradik dan saudara-mara. Alhamdulillah, kami sentiasa usahakan begitu. Kami tidak ke Johor pada hari raya pertama kerana mahu memberi ruang buat adik-beradik suami beraya dengan keluarga mereka sendiri.

Sama-samalah kita pastikan silaturahim sentiasa terpelihara. Wallahua'lam.

Wassalam.

Monday, August 13, 2012

Kita Tak Boleh Jadi Kuat Ke?

Tak ada orang kita yang boleh lari laju macam Usain Bolt ni ke? Hehe


Salam,

Termasuk hari ini, insya-Allah masih ada enam hari lagi untuk kita berpuasa pada bulan ini. Mungkin ada yang berkobar-kobar untuk menyambut hari raya dan ada juga yang berasa sedih untuk tinggalkan bulan Ramadhan ini. Iyalah, kita pun tak tahu kan sama ada umur kita panjang atau tidak untuk diberi peluang bertemu Ramadhan lagi. Apa-apa pun, sama-samalah kita berdoa agar Tuhan izinkan untuk kita berpuasa di bulan Ramadhan pada tahun hadapan dan tahun-tahun yang akan datang nanti, insya-Allah.

Kebetulan juga, sukan Olympic sudah pun berakhir. Mungkin elok kita fikir-fikirkan juga di mana kedududkan kita sebagai sebuah negara yang kita angan-angankan untuk jadi maju dan cemerlang. Mungkin juga ini adalah hal dunia, tetapi ia juga penting untuk pastikan negara lain turut menghormati kita. Cuba kita lihat negara China. Kalau dibandingkan dengan India (sebuah negara yang juga banyak penduduk), China sudah jauh ke depan dan sama iringan dengan negara-negara yang sangat maju dari segi ekonominya. China bekerja kuat dan usahanya menghasilkan sesuatu yang kita anggap cemerlang. Yang pasti, mereka pilih dan identify sukan yang mereka mampu cemerlang.

Saya rasa, mungkin elok juga kalau kita beri perhatian dan tumpuan pada jenis-jenis sukan yang mampu kita libatkan diri dengan cemerlang. Dan mereka yang bertanggungjawab juga harus beri perhatian pada anak-anak kampung yang tinggal jauh dari Kuala Lumpur (termasuk anak-anak orang asli)  untuk memilih mereka yang mempunyai potensi untuk cemerlang dalam sukan. Bukan alasan untuk kita katakan bahawa tubuh kita terlalu kecil, kerana kalau dibandingkan dengan Korea dan Jepun, tidaklah jauh mana kecilnya kita. Apa yang kita tak ada ialah 'fokus', usaha yang bersungguh-sungguh dan semangat yang tinggi, dan elakkan politik yang melampau dalam hal 'sukan'. Semoga kita juga akan jadi negara yang kuat dalam sukan.

Okeylah, salam sayang buat semua. Selamat berpuasa.

Wassalam.

Sunday, August 12, 2012

Makanan Frozen Cik Tipah - Best Maa

                       sekadar hiasan

Salam

Malam tadi semasa buka puasa, kami ada dua orang tetamu iaitu anak-anak kawan baik saya, kebetulan merupakan jiran saya yang sedang berada di luar negara (kawan saya tu lah). Anak-anak lelakinya sekarang ini sudah pun bekerja di KL, jadi mereka ada di sini walaupun ibu mereka berada di luar negara.

Kedua-dua anak lelaki kawan baik saya itu merupakan pelajar pintar dan sekarang ini bertugas di syarikat swasta besar (macam gergasi) dan memegang jawatan yang bagus-baugus. Maklumlah, mereka bukan sekadar pintar tapi fasih berbahasa Inggeris dan yang adik pula siap tahu pelbagai bahasa termasuk Perancis, Portugis dan Sepanyol. Hebat, kan? Kedua-duanya good looking (abang dah bertunang dan bulan April tahun depan akan mendirikan rumah tangga, insya-Allah). Tapi adiknya masih single and available! Ayaa... banyak handsome maa... macam Korean Actor!

Okeylah, malam tadi kami makan mee kari dengan nasi lemak. Kuih-muih pula, kami makan yang instant yang 'Cik Tipah' buat. Saya memang suka pesan makanan 'frozen Cik Tipah' ni... sedap maa! Kedai dia terletak di Salak Tinggi, tak jauh sangat dari rumah saya. Macam-macam ada. Dari pelbagai inti karipap, pelbagai kuih apam, popiah, lepat, cucur badak, pulut panggang dan macam-macam lagi. Memang best sangat! Tak bulan puasa pun sentiasa ada dan mudah untuk saya, bila ada tetamu aje, siap dah kat atas meja tu. Panas-panas lagi.

Hari ini, saya akan mengemas sikit-sikit dan mungkin juga nak pergi cari oleh-oleh nak bawa balik ke Johor nanti (raya kedua biasanya saya balik Johor).

Salam sayang buat semua. Wassalam.

Saturday, August 11, 2012

Antara Nak Beraya Dan Terus Berpuasa

                   Sekadar hiasan

Salam

Hari ini hari Sabtu dan mungkin ada di antara kita yang kesibukan untuk bersiap-siap untuk hari raya. Okeylah kalau nak bersiap-siap pun, tapi janganlah sampai 'over-over'. Biarlah kita bersederhana. Tak perlu tukar semua baru. Kalau yang lama masih elok, gunalah sahaja. Ada orang, setiap tahun akan tukar langsir. Aduh mak! Banyak belanja tu. Kalau saya buat macam tu untuk rumah saya, matilah... sebab rumah saya banyak tingkap maa. Kalau saya nak tukar pun biasanya saya tukar cover kusyen aje. Yang tu okey. Lagipun, biasanya juga bila saya ke luar negara saya memang rajin cari cover kusyen. Senang nak bawa balik, ringan aje.

Bunga hiasan dalam rumah pun saya tak rajin tukar, kalau nak sangat saya akan guna bunga hidup. Macam tu memang tahan lama. Saya boleh ambil dari taman saya aje, hehe. Selalunya saya kena rancang untuk makanan hari raya pertama kerana biasanya (insya-Allah), rumah saya memang ramai tetamu pada hari raya pertama kerana ibu saya berada dengan saya. Jadi, adik-beradik saya akan datang ke rumah saya bersama keluarga mereka, begitu juga sanak saudara yang lain, termasuk kawan-kawan yang tak balik kampung. Biasanya hari raya pertama rumah saya kecoh.

Apa pun yang kita rancang untuk lakukan, jangan abaikan ibadah bulan Ramadhan. Sebaik-baiknya, kita dulukan ibadah daripada lakukan bendan-benda yang membebankan hinggakan kita tak boleh beribadah. Kita tak tahu sama ada tahun depan kita akan berjumpa dengan Ramadhan lagi.

Semoga kita sama-sama gunakan masa yang ada ini dengan cara yang baik dan semoga Allah SWT memberkati segala amalan baik kita, insya-Allah.

Wassalam.

Friday, August 10, 2012

Dah Tinggal Sembilan Hari

                     Sekadar hiasan

 Salam

Hanya tinggal sembilan hari sahaja untuk kita berpuasa pada bulan Ramadhan tahun ini, insya-Allah. Kita sudah berada di saat-saat yang berharga di bulan Ramadhan, jadi janganlah kita abaikan. Lakukan sebanyak mungkin amal ibadah, semoga kita menerima ganjarannya di akhirat nanti, insya-Allah. Janganlah semakin Ramadhan menjadi pendek, kita pula semakin berentap, nak berebut balik raya di mana (bagi mereka yang dah berumah tangga). Ada tu sampai bermasam-masam muka dek kerana tak bersetuju untuk balik ke kampung pasangan. Alahai... bincang-bincanglah, dan janganlah bergaduh. Lagipun, hari raya tu tak adalah berat mana kalau dibandingkan dengan hari-hari di bulan Ramadhan. Jadi, janganlah sia-siakan.

Elok juga kita fikir-fikirkan tentang kesudahan nasib orang Melayu di negara ini. Janganlah kita sibukkan hal-hal remeh, hal-hal personal, hinggakan terlupa tentang nasib bangsa dan agama. Jangan biarkan kita jadi macam Kaum 'Ad yang disebutkan dalam Al-Qur'an berkali-kali. Tuhan mahu kita beringat-ingat supaya jangan jadi seperti kaum itu, kerana terlupa diri segala nikmat telah ditarik balik oleh Allah SWT. Fikir-fikirkanlah. Tak usahlah kita nafikan bahawa orang Melayu sangat suka berkelahi dan tak pernah pun mahu bermuafakat dan kerana itulah dalam segala bidang kita asyik ketinggalan.

Kalau di negara orang, biasanya golongan minoriti akan terasa kekurangan di sana dan sini, tetapi di negara kita ini, walaupun majoriti, namun kita jauh ketinggalan. Kalau kita tak betul cara, bukan sekadar ekonomi sahaja yang kita terlepas, tapi segala tanah dan harta, segala kuasa, akan jadi tak ada, hilang semuanya. Inilah yang menakutkan dan mungkin kalau itu akan terjadi nanti, ia menunjukkan kepada kita bahawa segala nikmat yang Tuhan beri selama ini akan diambil pergi. Nauzubillah.

Pada hari yang mulia di bulan yang mulia, jom kita renung-renungkanlah nasib bangsa dan agama kita di negara ini. Semoga kita tidak bercakaran, tidak ada hasad dengki dalam sanubari. Wallahua'lam.

Wassalam.

Thursday, August 09, 2012

Pasal Apa Cepat Percaya?


Salam

Kita semua tahu yang rakyat Malaysia, terutamanya lelaki memang terlalu ramai gilakan bola sepak, betul, kan? Tapi malangnya, takat suka bola ajelah. Team bola Malaysia telah dikatakan berada di ranking 157 ranking bola dunia, lebih rendah daripada negara-negara Asean yang lain termasuk Vietnam, Filipina, Thailand dan juga Indonesia. Huhu... sedihnya. Habis tu apa pasal kita suka pilih Liverpool, Arsenal, Manchester United dan Manchester City untuk berlawan secara 'friendly'? Sebab tu lah kita selalu terkolap giler!

Okeylah... hari ni tak nak cerita pasal bola atau lain-lain sukan, letih, beb. Baik kita bersembang pasal hal lain. Saya nak bersembang tentang cara orang kita buat tindakan bila dengar tentang sesuatu isu tu. Misalnya, bila ada seorang pekerja meninggalkan atau disuruh tinggalkan tempat kerja, orang lain selalunya cepat bersimpati kepadanya. Apa sahaja yang diceritakan kepada orang luar, orang luar akan terima sahaja. Kerana itulah, selalu terjadi di mana 'orang luar' mudah terperangkap dengan orang seperti pekerja tadi.

Sajalah saya nak bercerita tentang satu hal ini yang betul-betul terjadi kepada orang-orang yang kami kenal. Si mamat ni dah berhenti kerja dengan syarikatnya. Sebaik sahaja keluar, macam-macam ceritalah yang kami dengar. Bila dari mulutnya, tentulah semua yang tak baik tentang syarikatnya tadi. Si Mamat ni pergilah ke syarikat-syarikat lain dan berceritalah macam,-macam.

Bos-bos syarikat lain ni pun bersimpati padanya. Mereka tidak pula bertanya pada bos syarikat mamat itu tadi kerana mereka mengandaikan (selepas dengar cerita mamat) yang bos mamat tu buat tak betul lah. Bos-bos syarikat lain ni pun percayalah cakap mamat tadi bulat-bulat. Mereka pun serahkanlah produk mereka pada mamat tadi (dulu mamat tu buat sales) untuk diedarkan pula. Bos-bos syarikat ni pula bermasam muka dengan bos syarikat yang mamat tu keluar. Tup-tup satu hari, mamat susah hendak dikesan lagi. Apa yang mamat hutang mereka sudah dibawa pergi sekali. Bos-bos syarikat yang lain ni mulalah menggelabah lalu mencari ex bos syarikat mamat. "Eh mamat tu macam mana sebenarnya hah?". Barulah mereka nak bertanya.

Aduhai... kan dah terlambat tu. Kenapa tak dari asal bos sama bos bincang dulu dan bertanya-tanyalah. Kenapa cepat sangat kita percaya cerita orang yang kita tak kenal sangat tu? Agaknya kita memang jenis cepat sangat dengar cerita sebelah pihak? Kan dah terkena ni. Itulah kisahnya. Semoga kita sama-sama berjaga agar kita jangan terkena macam tu. Wallahua'lam.

Wassalam.


Wednesday, August 08, 2012

Awat Suka Menipu Ni?

Drama Filipina - berlakon jadi ikan duyung

Salam

Dalam bulan Ramadhan yang mulia ini, sebenarnya saya tak sukalah bercerita tentang benda-benda negatif, tetapi kalau cerita itu boleh dijadikan pengajaran untuk kita apa salahnya, kan? Mungkin selepas ini, kita akan berjaga-jaga, takut kalau-kalau kita tertipu dek insan-insan yang pandai berlakon di muka bumi ini.

Al-kisahnya begini. Adalah seorang hamba Allah ini yang suka berlagak seolah-olah dia merupakan lelaki bersih (clean man), yang sangat berpelajaran, sangat religious, berilmu dan berpengetahuan dan sangat dihormati oleh orang ramai. Itulah imej yang ingin dipotraykannya, agar semua orang akan menghormatinya.
Kalau bersembang dengannya, dia akan berbahasa Inggeris (walaupun kadang kala tak teratur dan tak betul grammar) supaya orang akan mengandaikan yang dia berpelajaran dan pernah ke sana ke mari. Kalau bercerita pula, dia akan menokok tambah konon-konon hampir satu dunia sudah dijelajahinya. Rupa-rupa, paling jauh pun sekadar ke Sumatera sahaja (itu pun tak pasti sangat sampai ke bumi Indonesia atau sekadar di pelabuhan sahaja). Kalau bercakap, bergegar bagaikan dia mempunyai pelbagai degree (ijazahlah tu), tapi mungkin sekolah sampai form three. Kalau berpakaian pula, sentiasa pakai kemas macam orang korporat walaupun sedang bersantai (orang bersantai biasa pakai T-shirt aje, kan?). Janggut pula disimpan panjang (ala-ala orang tabligh) seolah-olah masanya banyak dihabiskan berzikir dan bertasbih selain daripada melakukan ibadah wajib.

Sudah itu, dia beritahu orang lain yang dirinya itu sebenarnya seoarng 'Datuk' (gelaran yang diberi sultan), tapi tak ada pun. Tak cukup itu, sengaja meletakkan title 'Haji' dipangkal namanya, seolah-olah dia sudah pun mengerjakan ibadah haji (bila disemak, tak pernah pun ke Mekah walaupun buat umrah).

Kenapa ya, ada orang yang begini? Siapakah yang mahu ditipunya, atau sememangnya dirinya ada penyakit 'rendah diri' atau low self esteem, jadi terpaksa berlagak seolah-olah dialah yang terbaik. Bila diselidik, rupa-rupanya dia pernah jadi office boy buat bertahun-tahun lamanya (tak salah jadi office boy), jadi dia mahu keluar dari imej yang begitu. Sudah itu, kalau nak minum atau buat apa-apa yang dianggap santai, dia akan lepak di 'Starbucks' dan tak boleh ditempat lain kerana tak mahu dianggap tak mampu (bagus sangat ke di Starbucks tu?).

Bila diselidik lagi, memang dia tidak religious, sekadar bermekap begitu sahaja. Aduh! aduh! aduh!

Teringat kepada seorang kenalan yang pernah saya kenal dulu. Dia memakai tudung labuh. Satu hari, dia mengaku kepada kami (saya dan seorang teman lagi), yang sebenarnya dia sangat malas untuk tunaikan solat wajib. Huhu...

Jadi... kita perlu berjaga-jaga. Janganlah tertipu dengan apa yang kita lihat di luaran seseorang dan apa katanya. Mungkin dulu, dia pernah teringin untuk jadi pelakon, tapi tak kesampaian (satu sindiran sebenarnya). Dan jangan hairan kalau memang ramai orang yang begini dan mereka berkeliaran di merata-rata tempat untuk mengenakan mangsa-mangsanya!

Semoga kita dijauhkan daripada mereka yang berpenyakit ini. Wallahua'lam.

Wassalam.

Tuesday, August 07, 2012

Betul Ke Kekuatan Mental Kita Lemah?

Dengan bangganya China mendapat pingat emas.


Salam

Mungkin ramai yang bersembang-sembang tentang hajat Malaysia untuk mencapai pingat emas di sukan Olympic, tapi tak kesampaian. Malang sungguh. Mungkin ada hikmahnya. Rakyat Malaysia patut melihat balik pada diri kita. Mengapa kita tak seperti mereka yang dianggap maju? Tak serupa Korea, Taiwan, malah Thailand dan Indonesia boleh tahan kuat kalau dibandingkan dengan kita. Negara seperti Ethiopia, Kazakstan, Kenya lagi jauh lebih daripada kita. Setiap kali berdepan dengan sukan yang besar, Malaysia akan terus terkial-kial, tak mampu untuk bersaing.

Mungkin kita ada jurulatih yang baik, ada teknik, ada macam-macam fasiliti, tapi mungkin kita ada kekurangan yang kita tak melihat, kan? Ramai yang percaya apa kekurangan ketara kita ialah terletak pada kekuatan mental. Itu yang kita tak ada. Bila berdepan sahaja dengan stres, dengan pressure, kita akan kecundang!

Bila kita lemah dalam sukan, itu bermakna kedudukan ekonomi dan kekuatan kita sebagai negara juga kelihatan lemah di mata dunia. Kerana kekuatan ekonomi akan membawa kekuatan dalam pertandingan bidang sukan juga. Cuba kita lihat Korea dan China. Bila bidang ekonomi mereka meningkat, bidang sukan ikut sama. Pada hal saiz badan mereka lebih kurang macam kita juga. Tapi malangnya, kita nak sama macam negara miskin seperti Kemboja, Afghanistan dan negara-negara kecil di benua Afrika. Macam tak cukup makan. Sebenarnya makan kita cukup, tetapi kita lemah kekuatan mental. Langsung tak mampu bersaing bila ada pesaing lain yang menggerunkan kita. Sebab itulah orang kata kita ini 'jaguh kampung', boleh main di tempat sendiri sahaja.

Baru-baru ini, ada kajian yang mengatakan bahawa rakyat Malaysia mendapat kedudukan kesepuluh di dunia kerana  'Malas'. Aduhai... tak bestnya. Malasnya kerana orang kita tak suka bersukan, tak suka melakukan sesuatu untuk bersenam. Maknanya rata-rata orang kita tak kuat kerana kurang bersenam. Malas di sini bukanlah kerana malas bekerja. Tapi cuba kita lihat balik. Mungkin lama-lama nanti kalau kita terus biarkan begini, orang kita akan jadi malas untuk bekerja juga. Kalau boleh nak baring-baring dan tengok TV aje. Makan pun kalau boleh hendah disuapkan. Huhu... saya menyindir aje ni!

Okeylah, cuba kita tengok temasya sukan Olympic di London. Di mana-mana pun, stadium dan di tepi jalan, penuh dengan manusia yang menonton dan bersorak. Kalau di tempat kita, tak usah haraplah. Kalau ke stadium pulak, jangankan nak bagi semangat, kadang-kadang bertumbuk, berkelahi dan membakar! Alahai... bila agaknya kita nak berubah?

Okeylah, semoga di bulan Ramadhan yang mulia ini, sambil kita beribadah, kita renung-renungkanlah. Agar kita cuba lakukan perubahan. Walaupun kecil, lama-lama nanti akan menjadi besar. Insya-Allah.

Wassalam.

Monday, August 06, 2012

Nak Cuba Makan Kacang Pool?

  Kacang Pool Ala Malaysia - makan dengan roti

Salam

Hari ini saya lambat update kerana banyak urusan pagi tadi. Okeylah, hari ini saya nak bercerita tentang makanan yang orang Melayu berketurunan Arab suka makan kat Malaysia ni, terutama di bulan Ramadhan. Kalau famili saya, kami memang ada macam-macam makanan yang menjadi makanan keluarga yang asal-usulnya merupakan makanan Arab, tetapi kerana arwah ayah saya bukan Arab yang berasal dari Yemen, makanan yang kami makan agak berbeza sedikit daripada yang dimakan oleh mereka yang berketurunan Yemen di Malaysia ni.

Bagi kami bila buka puasa, macam tak sah kalau kami tak makan sup Arab yang kami panggil 'syurba'. Kami juga makan lauk-lauk Arab yang lain seperti kufta, mahsyi, mafrom dan lain-lain yang kami makan dengan roti atau nasi. Pun begitu, setelah saya berkahwin dengan suami saya yang berketurunan Arab Yemen, kami juga selalu makan 'Kacang Pool' atau 'Kacang Foul', kini menjadi salah satu menu orang-orang Singapura dan sebahagian daripada orang Johor. Orang-orang Utara di Malaysia kurang biasa dengan makanan ini, tetapi orang Selatan biasalah. Kalau diikutkan, 'Kacang Pool' ni ada macam-macam jenis, selain yang berasal dari Yemen, ada juga yang berasal dari Parsi, Afghanistan, malah negara Arab yang lain, cuma rasanya berbezalah.

Sekarang ini orang-orang Malaysia memang suka benar makan makanan Arab, mungkin anda boleh cuba masak 'Kacang Pool' ni. Bukannya susah pun. Makanan ini memang sedap dimakan dengan roti perancis yang dipanggang, roti Arab atau roti biasa pun okey. Kalau diikutkan, makanan ini dimakan untuk sarapan, tetapi di Malaysia ni, 'Kacang Pool' dijadikan menu untuk 'main dish' dan sangat popular dijadikan makanan makan malam. Kalau bulan Ramadhan ni, 'Kacang Pool' merupakan kemestian di atas meja orang-orang berketurunan Arab, kalau tak selalu pun, kadang-kadang tu mesti ada.

Jom, beb... kalau tak biasa makan, jom cuba try... hehe... mesti sedap. Semalam, itulah antara makanan berbuka puasa kami. Kerana suami saya berketurunan Arab Yemen, jadi dialah yang memasaknya! Alhamdulillah.

Wassalam.

Sunday, August 05, 2012

Jom Baca Al Qur'an

Salam

Kita sedang menyambut Nuzul Qur'an dan elok sangat kalau kita juga dapat membaca kitab suci Al-Qur'anulkarim, semoga bulan Ramadhan ini melimpahkan berkat dan rahmat buat kita semua insya-Allah. Jom baca Al-Qura'an secara percuma di PC anda atau tablet anda! Kini anda boleh perolehi Al Qura'an free sahaja. Jom pergi ke facebook e-sentral  https://www.facebook.com/eSentral

Wassalam.

Saturday, August 04, 2012

Jom Baca E-Book Guna PC Aje

Salam semua

Ada berita menarik bagi mereka yang teringin untuk beli e-book tetapi tak ada tablet macam iPad atau Samsung dan yang lain-lain. Saya dimaklumkan bahawa sekarang ini anda boleh beli e-book dengan menggunakan PC biasa (desktop atau laptop) dan anda juga tak perlu online untuk membacanya. Offline pun boleh baca. Smart tu! Jadi apa lagi, kalau anda teringin, bolehlah pergi ke www.e-sentral.com.  Anda juga perlu daftarkan diri di link itu dan seterusnya pergi ke reader.e-sentral.com. Tak ada alasan lagi, kan? Lagipun, suka atau tidak inilah trend hari ini. E-book merupakan sesuatu yang akan menjadi trend 'membaca'. Jadi biarlah kita mula dari sekarang supaya kita tak ketinggalan. E-book juga sangat murah dan mudah dibaca. Jangan takut, orang lain tak boleh menciplaknya atau buat copy. Jom pergi ke www.e-sentral.com.



Semoga anda semua berani untuk mencubanya. Kalau anda keliru atau tak faham, sila ke laman web KarnaDya, atau www.karnadya.com.my


Wassalam.

Friday, August 03, 2012

Jom Kita Jadi Macam Korea!

             Kia K5 - antara kejayaan Korea

Salam pagi Jumaat

Dah pun hari Jumaat, kan? Cepat sungguh masa berjalan dan pernahkah anda terfikir atau tahu, suatu ketika dahulu dari pelbagai segi, Korea Selatan berada di belakang kita? Mungkin ada suatu ketika itu mereka berada di tahap yang hampir sama dengan kita. Kalau main bola ke, jual barangan ke, dari segi ekonomi ke, pembangunan ke, kita selalu bersaing dengan mereka. Tetapi kenapa hari ini kita jauh ketinggalan?

Bukan sekadar drama Korea, K-Pop (bukan saya suka pun) dan segala macam dunia hiburan, tetapi yang pentingnya dari segi ekonomi, pembangunan, kebersihan dan lain-lain mereka berada nun jauh di hadapan, malah kadang-kadang kita dapat rasakan mereka mungkin sedang bersaing dengan negara seperti Jepun dan semua negara-negara Barat termasuk Amerika Syarikat. Produk-produk hasil mereka sangat dikenali dunia termasuk produk pertanian dan kosmetik. Di mana-mana sahaja kita dapat melihat iklan Samsung. Malah, kereta mereka juga sangat bergaya dan popular. Kalau dulu, kita semua berkira-kira untuk membeli produk Korea, tetapi sekarang ini kita rasa bergaya kalau memilikinya. Namun malangnya, kita tetap ketinggalan.

Cuba tengok pula pada papan skor Sukan Olympik. Di manakah kita dan di mana pula Korea? Aduhai, kenapa kita tak boleh jadi macam mereka? Jawapannya mungkin terletak pada 'attitude'  atau sikap kita. Kita tidak rajin dan bekerja keras macam orang Korea. Kita tak mempunyai wawasan untuk jayakan diri seperti mereka dan kita mudah 'complacent' atau rasa puas hati lalu kita jadi lalai dan tertinggal. Kita suka cermin pada diri dan melihat kejayaan kita lalu kita tak peduli pada semua kekurangan yang kita ada dan kerana itulah kita kini tertinggal jauh. Korea Selatan mudah mendapat pingat emas di sukan terbesar itu, dan kita pula terpaksa berasa hampa dan kecewa setiap kali negara kita bertanding. Asyik kalah dan corot aje!

Aduhai... kecewanya tetapi itulah realiti negara kita. Negara kita kini menjadi lembab dan tak bermaya kerana rakyatnya begitu. Orang lain maju kita bertambah layu tetapi  kita dengan bangganya memukul canang seolah-olah kita sangat hebat!

Lihatlah negara China. Suatu ketika dahulu mereka kelihatan seperti negara yang agak miskin. Kini mereka merupakan negara berkuasa besar. Mungkin alasan kita kerana China mempunyai rakyat yang ramai, tetapi kita jangan lupa bahawa India juga mempunyai rakyat yang ramai, tetapi India tidak sehebat China.

Jom kita bangun dan cerminkan diri kita. Jom ubahkan semangat kita biar ia jadi tinggi. Jom ubahkan sikap kita yang selama ini berasa sangat bagus. Jom kita tengok dan cuba lakukan yang terbaik agar kita juga dapat bersaing dengan cara yang sihat. Insya-Allah kita mampu lakukannya!

Wassalam.

Thursday, August 02, 2012

Elakkan Buat Pembaca Jadi Muak

                      Sekadar hiasan


Salam

Pagi ini saya ada mood untuk tulis sedikit tentang penulisan. Ada pengunjung blog yang beritahu saya yang dia dan rakan-rakannya suka datang ke blog saya untuk baca tentang tips penulisan. Biar saya ulangkan sekali lagi ya, bahawasanya saya bukan pakar dan tak pernah pun menghadiri sebarang program besar-besaran untuk belajar tentang penulisan. Malah, pertama kali menulis adalah mengikut gerak hati sahaja dan dari pengalaman itulah saya belajar dan terus belajar. Hingga hari ini saya masih belajar dan insya-Allah akan terus belajar, tak kiralah dari mana puncanya. Mungkin dari dulu lagi saya ini memang jenis manusia yang suka memerhati apa yang berlaku di sekeliling saya dan saya juga rajin buat research, dari situ juga saya banyak belajar.

Misalnya sekarang ini saya rajin juga menonton sebuah drama Korea dan juga sebuah drama Melayu. Okey, drama Korea itu mempunyai jalan cerita yang menarik (cuma mungkin tak sesuai untuk orang Islam) dan plot yang diatur itu juga membuat kita tertanya-tanya. Ada juga benda-benda yang saya tak suka, misalnya tentang perubahan masa (tiga tahun/empat tahun) tapi tak ada perubahan apa-apa pada perhiasan rumah, kereta yang dipandu dan macam-macam lagi pada latarnya. Ini adalah satu kelemahan terutama bila kisah orang kaya yang dipaparkan. Drama Melayu pula, jalan cerita juga menarik, tetapi saya tak suka pada gaya pakaian yang melampau (konon-konon korporat) di mana watak lelaki asyik memakai kot dan tie ke merata-rata tempat (negara kita bukan beriklim sejuk- memang tak sesuai), dan pada bahagian akhirnya pula, terlalu berbelit dan berbalik-balik, membuat penonton rasa muak. Kalau dimudahkan bahagian akhir itu, saya pasti ceritanya lebih menarik.

Apa yang saya sampaikan ini ada kaitan dengan 'penulisan', begitulah bila kita menulis, pastikan logik cerita dan keadaan yang kita paparkan dalam buku. Jangan buat pembaca banyak menyoal tentang logik cerita dan jangan buat pembaca jadi bosan dan muak dengan cara kita berbelit yang melampau-lampau.

Okeylah, semoga yang ingin menulis akan terus menulis. Wassalam.

Wednesday, August 01, 2012

Gastrik - Tu Yang Tak Boleh Puasa

                  Musim Panas
Salam

Alhamdulillah, sejak kebelakangan ini cuaca agak redup dan kadang-kadang hujan. Walaupun dalam bulan Ramadhan, tidaklah terasa letih sangat. Betul tak? Sekarang ini kalau kita berada di bahagian utara dunia seperti di Amerika Syarikat, United Kingdom, Eropah, Jepun China dan sebagainya, mereka sedang berada di musim panas. Jadi biasalah, bila musim panas, umat Islam terpaksa berpuasa seawal 4 pagi mungkin hingga ke 10.00 malam. Siang hari sangat panjang dan kalau cuaca redup okeylah, tapi kalau panas, boleh tahan lah letihnya.

Saya teringat ketika saya berada di UK di musim panas ketika Ramadhan dan semasa itu saya mengandungkan anak sulung saya. Sewaktu bulan Ramadhan saya sedang mengandung tujuh bulan dan saya terpaksa juga puasa walaupun kadang-kadang sangat meletihkan. Saya ingat lagi, saya terpaksa ponteng tujuh hari kerana saya hampir pitam bila sudah melebihi 8.00 malam (tapi masih siang). Cukup mencabar, tapi alhamdulillah, dapat juga saya menghabiskan bulan Ramadhan walaupun terpaksa ponteng tujuh hari.

Semasa lahirkan anak bongsu pula, saya juga berada di England dan ketika itu bulan Ramadhan sudah berada di musim sejuk dan ketika itu saya tidak dapat tunaikan puasa di bulan Ramadhan kerana baru sahaja melahirkan anak bongsu saya. Jadi, jenuhlah saya ganti puasa ketika sudah sihat. Tapi alhamdulillah, dapat merasa berpuasa di tempat orang, satu pengalaman yang sangat berbeza.

Sekarang ini, bila saya tengok lelaki-lelaki yang sihat walafiat tetapi tidak berpuasa di bulan Ramadhan, saya rasa pelik sangat. Apa yang susah dan apa yang berat sangat? Sebenarnya mereka tidak sayang dan menghargai masa yang Tuhan berikan kepada kita untuk menikmati segala hikmah di bulan yang mulia ini. Wallahua'lam. Ada tu, bukan main seronok lagi mengaku tak boleh puasa kerana gastrik!

Wassalam