Sekadar Hiasan
Salam
Semoga anda semua sedang berehat-rehat lagi hari ini, maklumlah kita masih bercuti, kan? Apa-apa pun, sekiranya anda sedang makan angin atau balik kampung, pastikan anda sentiasa berjaga-jaga semasa memandu di jalan raya. Musim cuti sekolah, semua orang sibuk bergerak sana-sini. Semasa saya ke Nilai Tiga semalam (ada hal), payahnya kami nak parking kereta, malah payah kami nak ke mana-mana, sebab tempat itu sesak dengan pengunjung (macam ada pesta). Akhirnya, kami balik sahaja, lagipun hujan pun dah turun, susah nak bergerak. Untuk makluman anda, tempat tinggal saya bukannya jauh dari kawasan Nilai Tiga tu... boleh pergi hari-hari kalau nak... hehe.
Okeylah, pagi ni saya terbaca sebuah artikel mat salih yang bincangkan soal ini. Siapa yang penting dalam hidup anda, anak-anak anda ke atau suami/isteri anda? Mungkin soalan ini lebih sesuai untuk ditujukan pada orang perempuan kerana biasanya orang perempuan yang banyak tumpukan masa buat anak-anak. Betul, kan? Bagi orang lelaki, anak dan isteri berada dalam satu kumpulan yang dinamakan 'keluarga'.
Kalau anda seorang isteri, saya percaya kebanyakan anda beri perhatian lebih kepada anak-anak, kan? Bukan sekadar perhatian, malah masa yang anda ada. Mungkin memang naluri seorang ibu begitu. Mereka yang mengandungkan anak-anak, kemudian menyusukan pula dan seterusnya membesarkan anak-anak. Kalau ada duit, duit juga lebih dilaburkan kepada keperluan anak-anak.
Namun begitu, banyak juga di antara kita yang terlalu obses dan pentingkan anak-anak hinggakan suami terabai. Malah, memang banyak kes yang macam tu, suami terasa bahawa diri mereka sudah kurang penting bila anak-anak muncul dalam hidup mereka suami-isteri. Sebagai pasangan yang baru kahwin, biasanya 'couple' akan jadi sangat 'loving', tetapi bila sahaja dapat anak, tumpuan, perhatian, malah segala kasih sayang akan dicurahkan pada anak dan seterusnya anak-anak yang lain.
Banyak juga kaum Hawa merasakan bahawa mereka lebih selamat untuk menyayangi anak-anak lebih dari suami kerana mereka juga percaya bahawa suami mampu untuk tinggalkan mereka, tetapi anak-anak akan terus berada di sisi mereka apa sekalipun yang terjadi. Mungkin ada kebenarannya dalam hal ini. Kerana itulah, orang perempuan sangat utamakan anak-anak daripada suami.
Pun begitu, dalam hal rumah tangga, sebagai perempuan, kita juga wajib berikan perhatian kepada suami dalam segala hal, terutama kasih sayang. Kita tak boleh ketepikan suami dan sebenarnya, kalau kasih sayang sentiasa wujud antara suami dan isteri, rumah tangga adalah lebih aman dan kerana itu juga anak-anak akan dapat rasakan kasih sayang itu. Kalau suami isteri tak ngam dan tidak mempunyai kemesraan dalam hubungan, anak-anak akan terasa tempiasnya, maka semua akan terasa kekurangan 'sayang' dalam keluarga.
Lagi satu perkara yang ingin saya ingatkan kita semua, anak-anak bila dah besar, mereka juga akan belajar, seterusnya bekerja dan berkahwin. Bermakna, mereka tiada dengan kita sentiasa. Tetapi, insya-Allah pasangan kita akan terus berada di sisi kita. Itu bermakna, kita tak boleh abaikan suami kita kerana suatu hari nanti, dialah yang akan jadi teman baik kita. Anak-anak akan terus berada dengan kita tetapi masing-masing mempunyai hal sendiri dan urusan sendiri. Mereka tidak mampu memberi segala perhatian dan tumpuan seperti yang mungkin kita pernah lakukan dulu.
Bagi saya, sekalipun kita menyayangi anak-anak, janganlah kita ketepikan pasangan kita. Pastikan pasangan kita sentiasa mendapat kasih sayang dan perhatian kita. Percayalah kata-kata saya ini, insya-Allah anda akan berasa aman berada dengan keluarga. Bila semuanya 'balance', tiadak ada sesiapa yang akan berasa hati.
Jangan lupa, suami atau isteri kita, mereka adalah teman baik kita. Mereka juga yang berkongsi segala sakit perit dan kegembiraan kita. Bukan hanya dulu, tetapi sekarang dan di masa kita tua, insya-Allah, kalau umur dan jodoh kita panjang. Seperti yang saya katakan tadi, bila ibu dan bapa mesra, anak-anak pun dapat merasakannya dan mereka akan membesar dengan perasaan yang sama, kerana mereka turut rasakan kasih-sayang itu, insya-Allah.
PS: Sedih benar tengok bola malam tadi.