Assalam
Kalau kita sedang berada di Mekah untuk tunaikan fardu haji, pasti inilah hari yang terpenting buat kita kerana kita akan menuju dan berada di padang Arafah untuk wukuf dan kalau kita terlepas waktunya, maka tidaklah sah ibadah haji kita. Waktu inilah manusia akan berpusu-pusu ke padang Arafah dan ketika ini juga masing-masing berdoa sebanyak mungkin kepada Allah swt agar dosa-dosanya diampunkan dan segala apa permintaan ditunaikan. Waktu yang Allah suka dan kita sebagai umat Islam sepatutnya sangat suka juga. Apa yang Allah swt suka, kita wajib suka. Kalau kita tak suka, maka kita bukanlah merupakan insan yang pegang kuat pada agama, nauzubillah.
Saya masih ingat saat ini ketika berada di padang Arafah. Air mata menetes, hati dan jiwa meruntun, diri berasa kerdil dan ketika itulah seluruh tubuh dan roh diserahkan untuk dapatkan ekhsan Allah swt. Kita harapkan simpati Allah swt untuk ampunkan segala dosa-dosa kita. Betapa Besar-Nya Dia, betapa kecilnya kita.
Kalau anda belum tunaikan haji, usahakanlah untuk buat begitu kerana nikmat-Nya hanya kita akan tahu ketika berada di tanah suci Mekah. Tak serupa dengan buat umrah dan kita juga tahu tunaikan haji itu merupakan kewajipan kita sebagai umat Islam. Jangan tak ambil berat kerana itu akan merugikan kita.
Sama-samalah kita berdoa pada lewat petang ini hingga sebelas malam nanti, semoga Allah swt ampunkan segala dosa kita dan permudahkan perjalanan kita sebagai insan yang beriman. Aamiin ya Rabbal alamin.
Selamat menyabut Aidul Adha.
Wassalam.
