Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Wednesday, July 02, 2014

Tolong Sebarkan Video Klip Ini- http://www.youtube.com/watch?v=-yfNoDgTEjM

Assalam.

Kami sedang dalam usaha untuk membantu Rumah Orang Tua-Tua Al Ikhlas yang terletak di Puchong. Video Klip ini kami buat khas untuk membantu Rumah Kebajikan ini. Dalam bulan yang mulia ini, mungkin anda boleh tolong sebarkan video klip ini tak kisahlah melalui saluran apa jua sekalipun, semoga usaha anda untuk membantu akan diberikan ganjaran oleh Allah swt. Edarkan seluas mungkin, jangan lupa kita semua akan tua jua.

http://www.youtube.com/watch?v=-yfNoDgTEjM

Jangan lupa ya... tolong sebarkan seluas mungkin.

Wassalam.

Insaflah...

Assalam dan selamat teruskan berpuasa. Semoga amal ibadah kita diterima Allah swt. Amin.

Pagi ini saja saya nak berkongsi beberapa kisah benar yang disampaikan teman anak saya. Diharapkan semoga kisah-kisah begini boleh membuatkan kita insaf.

Teman anak saya ini adalah seorang pakar perbidanan dan sakit puan dan beliau berasal dari Afrika Selatan. Kalau mengikut keturunannya, beliau adalah Melayu yang nenek moyangnya telah merantau hingga ke Afrika Selatan. Baru-baru ini beliau telah datang ke Malaysia untuk melawat negara nenek moyangnya itu. Kebetulan, beliau pernah belajar dengan anak sulung saya ketika mereka berada di Wales suatu ketika dahulu. Kata anak saya bahawa temannya ini merupakan anak orang kaya di Afrika Selatan atau Cape Town (tempat tinggal ibu bapanya), tetapi Eric (teman anak saya) lebih suka untuk bertugas di hospital biasa-biasa sahaja bukan di hospital swasta.

Kata Eric, hanya orang kaya sahaja yang mampu untuk dapatkan perkhidmatan di hospital swasta kerana kosnya sangat tinggi dan kerana itulah Eric lebih senang untuk pilih bertugas di hospital kerajaan. Mungkin kerana dia tidak berminat untuk mengumpul harta lagi atau mungkin juga dia lebih senang dan selesa untuk memberi perkhidmatannya secara ikhlas. Suatu ketika, Eric telah memilih untuk membantu United Nation lalu telah ditugaskan di Pakistan.

Cerita Eric ketika di Pakistan, tugasnya menjadi sangat berat kerana terpaksa berdepan dengan situasi yang sangat menyedihkan. Di sana, semua pembedahan yang mahu dilakukan perlu mendapat keizinan waris walaupun dalam keadaan kecemasan. Berkali-kali Eric merasa hampa kerana terpaksa melihat kematian hanya kerana pesakit tidak mendapat keizinan waris. Kata Eric, pernah dia sedang merawat seorang ibu muda yang sedang berdepan dengan keadaan kecemasan dan perlu dibedah. Namun suami ibu muda itu tiada di tempat itu. Waris terdekatnya ialah anaknya yang berumur 7 tahun. Terpaksalah mereka meminta keizinan kanak-kanak kecil yang tidak faham dengan apa yang sedang berlaku ketika itu. Malangnya juga, kanak-kanak itu tidak mahu mengizinkan mereka untuk membedah ibunya yang sedang sarat mengandung. Terpaksa Eric melihat kematian ibu muda yang tidak dapat diselamatkan hanya kerana satu sistem yang sangat jahil itu. Bila ibunya meninggal, barulah kanak-kanak itu sedar apa yang sudah berlaku.

Kata Eric, "Saya tak sanggup bekerja di sana dalam keadaan yang jahil begitu. Akhirnya saya kembali ke Afrika Selatan."

Pun begitu, kata Eric lagi. Di Afrika Selatan, kemudahan perubatan adalah percuma di hospital kerajaan untuk sesiapa pun, termasuk orang luar yang datang ke negara itu. Oleh kerana itu, hospital-hospital kerajaan di Afrika Selatan sentiasa mendapat pesakit-pesakit dari negara Afrika yang lain. "Ada kala saya mendapat pesakit yang berjalan kaki selama lapan bulan dari Somalia hanya kerana mahukan perkhidamatan percuma yang diberikan oleh Afrika Selatan."

Sedih kami mendengarnya kerana tak dapat nak dibayangkan betapa peritnya buat seorang ibu yang sedar bahawa dirinya mengandung lalu mengambil keputusan untuk berjalan kaki ke Afrika Selatan yang berjarak beribu-ribu batu. Sebaik sahaja cukup bulan, mereka datang ke hospital kerajaan Afrika Selatan. Mereka selesa di hospital kerana dapat makanan yang cukup. Namun setelah bersalin, mereka terpaksa pulang dan tidak tahu apa yang harus mereka lakukan dalam keadaan yang daif begitu.

Bayangkanlah betapa orang lain di luar sana sedang berdepan dengan keadaan yang perit sebegitu dan kita di sini ramai yang sentiasa merungut bagaikan tak pernah cukup-cukup.

Mungkin di bulan yang mulia ini, kita cuba kenangkan mereka yang sedang berdepan dengan segala kesusahan dan kerumitan, sedangkan kita di sini, sekalipun tidak mewah, mungkin jauh lagi selesa daripada mereka yang sedang hidup dalam keadaan kemiskinan. Bersyukurlah dengan apa yang kita ada. Insaflah...
semoga kita sedar bahawa apa jua kesulitan yang ada pada kita, orang lain lebih sulit lagi. Wallahuaklam.

Wassalam.



                                                                   Sekadar Hiasan