Sekadar hiasan
Salam semua,
Semoga hari Sabtu menjadi hari yang penuh makna buat anda semua. Seperti biasa kalau di kawasan rumah saya ni, pagi-pagi macam ni, saya dihiburkan oleh burung-burung yang berkicauan. Pelbagai lagu dan irama. Tentunya buat saya bersemangat dan rasa beruntung sangat-sangat kerana diizinkan Tuhan maha esa untuk berada di dunia ini. Alhamdulillah.
Hari ini, itulah judul entri saya. Cinta yang kedua. Biasanya orang bercakap dan bercerita tentang cinta pertama, biar saya bercerita pula tentang cinta yang kedua.
Tidak semestinya cinta pertama 'menjadi' bagi insan-insan di dunia. Malah, dalam kehidupan yang penuh dugaan dan cabaran, biasanya cinta pertama akan terkubur di pertengahan jalan, atau mati sebelum sempat bernyawa pun! Baru nak tarik nafas dalam-dalam, sudah terbunuh, maka terkuburlah ia.
Biasanya juga, cinta pertama ada kaitan dengan cinta monyet... huhu... kalau nak cute lagi, kita kata cinta 'lotong' yang berkeliaran kat dalam hutan. Cinta yang tak serius, main-main aje. Pun begitu, cinta yang macam itu mampu meninggalkan kesan yang mendalam buat mereka yang tak ada pengalaman dalam bercinta. Mungkin mereka merasakan itulah cinta yang sebenar, cinta agung, cinta yang perlu dipertahankan. Rupa-rupanya, itulah cinta 'nasi mentah', tak masak di dalam dan mungkin meloyakan!
Memang banyak yang keliru, terutamanya bagi mereka yang tak pernah jatuh cinta. Bila terasa seperti ada yang meminati diri, mungkin ada yang berkhayalan dan merasakan bahawa diri sudah naik ke kayangan! Terawang-awangan! Puih!
Bila saya kata cinta yang kedua, itu bukanlah makna 'kedua' secara sebenarnya, mungkin inilah apa yang dimaksudkan as 'next love'. Kedua itu bermakna mungkin yang ketiga, keempat atau kelima. Nombor tidak menjadi apa-apa, tak membawa makna pun. Yang penting ialah 'effect' nya. Kalau dulu anda bercinta dengan 'monyet', mungkin yang ini barulah manusia yang betul, yang mempunyai hati, mempunyai perasaan, bukan sekadar pada dirinya tetapi pada anda juga. Mungkin dia juga sudah melalui perubahan cinta yang tak menjadi. Mungkin juga dia mempunyai pengalaman yang menyakitkan hati dan kerana itu dia juga tahu apa itu 'sakit hati' dan pastikan hatinya dan hati anda tidak disakiti lagi.
Saya memang berkahwin dengan 'cinta pertama' saya, sebab sebelum itu saya tak pernah jatuh cinta dan selepas itu juga alhamdulillah, tak ada pula berubah rasa. Insya-Allah, saya berdoa supaya hati saya dan dia tidak berubah. Pun begitu, kalau anda mengalami cinta pertama yang menyakitkan hati, lupakan sahaja cinta itu dan carilah cinta lain. Cinta kedua, ketiga dan keempat, mungkin lagi hebat dan lagi cemerlang.
Wallahua'lam