Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Monday, September 30, 2013

Andai Ku Bercinta Lagi

Assalam

Rasa macam lama sangat tak update blog ni, padahal tak lama mana pun. Apa-apa pun saya harap anda semua okey. Saya pun okey aje alhamdulillah. Ada yang bagi tahu saya, "Rindulah, Kak Aina... Kak Aina merajuk ke apa?"

Mana ada saya merajuk, cuma marah sahaja. Tak payahlah cerita apa yang saya marahkan sangat, biar saya simpan dalam hati. Kadang-kadang ada benda kita tak boleh pun nak cakap kat orang, betul tak? Memang saya rindu juga berlabun dengan orang-orang yang saya sayang di FB, tapi buat sementara ini, biar dululah.

Tadi masa 'driving', saya dengar lagu Mojo, "Andai Ku Bercinta Lagi." Selalu saya dengar lagu ni, tapi saya rasa macam tak jemu-jemu pulak. Pandai Edry (KRU) buat lagu ni, kan? Kesian mendengar luahan hati seorang lelaki yang kematian isterinya. Betapa setianya dia pada arwah isterinya itu. Begitulah cinta, kan? Mesti ada yang sangat setia dan ada juga yang tak setia. Jom kita hayati lirik lagu ini.

Kini kau tiada
Senafas pun ku perlu mencuba
Kau bawa pergi sebahagian dari jiwa raga

Bersendiri hidup umpama hilang erti
Bagaimanakah meneruskan hayat ini

Andai ku bercinta lagi suatu hari nanti
Tunjukkan di mana
Ruang hati untuknya yang masih belum kau huni?

Apabila tiba waktu bersemuka
Ku perlu pejamkan mata dan memaksa lafaz cinta
Dengan bayangmu di minda

Tiada pengganti bisa hadir dan mampu menyembuh
Rawan di hati meleraikan semangat ku runtuh

Bersendiri masa umpama tak beralih
Berapa lama lagi harus ku merintih

Malam tidak berpurnama
Fajar tiada kejora
Aku hilang di dalam gelita kalbu
Tanpa dirimu rasaku mati


Okey... jaga diri. Semoga Allah SWT rahmati kita dunia akhirat.

Wassalam.


Friday, September 27, 2013

Desiran Air di Pantai

Assalam

Hari ini, kami cuba menghayati alam yang ada di sekeliling kami. Alhamdulillah, berasa tenang di hati bila mendengar ombak memukul pantai. Agaknya seronok kalau dapat mengubah lirik lagu daripada suara angin dan desiran air membawa pasir ke pantai. Kebetulan, kami terserempak dengan seorang pelakon drama (lupa nama dia tapi dia selalu berlakon watak antoganis). Saya tegur dia dan dia juga respons. Siap dia bagitahu nama dia (tapi saya lupa jugak).

Saya lampirkan sedikit gambar yang kami ambil dengan handphone sahaja.

Wassalam.






Thursday, September 26, 2013

Mencari Inspirasi

Assalam

Apa agaknya yang menarik di dunia ini kalau kita perkatakan tentang keindahan alam? Mungkin ada yang suka gunung, ada yang suka tasik, ada yang suka pulau, ada juga yang suka kehijauan fauna dan flora, pasti ramai yang sukakan pantai dan laut. Kalau tanya saya, saya akan katakan semua, termasuk sungai dan air terjunnya. Semua ini mampu tenangkan hati dan jiwa kita, betul, kan? Malah, kalau kita rajin melihat keindahan alam termasuk kehijauan pohon yang menawan, mata kita akan menjadi bertambah baik. Subhanallah.

Saya sedang menikmati suasana keindahan alam, walaupun sebenarnya saya kurang sihat. Begitu juga anak bongsu saya yang dengan tiba-tiba sahaja tak sihat. Namun, kicauan burung-burung yang berterbangan di kawasan laut ini mampu membawa ketenangan yang sedang dicari. Sangat aman di sini, macam bait kata lagu Amy Search, antara lagu kegemaran saya, tiada siapa yang mengganggu. Saya ingin mencari mood untuk menulis, mencari inspirasi, mencari ilham. Harap-harap saya akan jumpa semuanya di sini.

InsyaaAllah, saya akan cuba lakukan aktiviti lain juga, mungkin mencari kampung-kampung yang menarik untuk dilawati, mungkin juga meronda-ronda ke kawasan pulau yang tak dapat saya lihat dari sini. Cuma orang kata, lambaian pulau sedang memanggil-manggil. Nak berenang di kolam renang, saya tak pandai. Mungkin tengok orang lain berenang kot. Tapi yang penting, saya nak relaks, macam budak2 hari ini berkata, "Wat lek wat chill."

Semoga Allah SWT rahmati kita dunia akhirat. Wassalam.


Jangan Biar Hati Jadi Karat

Assalam

Dunia ini sekadar sementara sahaja buat kita, namun sebagai manusia, kita selalu terlupa. Ada ketika kita jadi lalai, mungkin terlalu asyik dengan apa yang orang di sekeliling lakukan. Orang beli kereta baru, kita pun mahu. Orang beli kereta mewah, kita pun tergila-gila teringin satu. Orang buat rumah, kita pun nak besarkan rumah yang dah pun sedia besar. Orang pergi gym nak jaga badan, kita pun kelam-kabut berjogging, nak nampak macho juga. Orang dapat awek, kita pun teringin nak satu... kita tak mahu kalah lah katakan. Kita jadi ralit, leka, hinggakan kita dah tak tahu yang mana betul dan mana yang salah. Bagi kita, apa sahaja yang datang pada hati, pastinya tepat dan betul. Maklumlah kita terlupa pada akhirat, kita hanya ingat dunia.

Semalam, saya berbual dengan seorang insan ni. Kata dia pada saya, "You know darling, Islam is in your heart. It cannot be seen so much outside. Only Allah knows. You can pretend to be religious, but Allah knows what is in your heart." Semuanya di hati kita kan? Kalau hati kita berubah jadi karat, pasti syaitan seronok, lalu ia akan duduk dengan kita dan berbisik-bisik di telinga kita. Syaitan kata, "Ikutlah kata hati karat kau tu... memang bagus... sebab bila hati dah berkarat, kau akan duduk aje dengan aku, tak perlu masuk syurga."

Masa tu, mungkin kita jadi keliru. "Kat syurga ada apa? alah... takkan teruk sangat kalau ikut kata syaitan ni kot. Lagipun... aku kan solat?. Aku nak buat yang baiklah ni... tapi aku ikutlah kata hati karat aku yang kuatkan nafsu aku." Kita mula hidup di awang-awangan, sebab keseronokan datang pada kita, hinggakan kita lupa pada yang lain. Yang tak baik di mata kita dah jadi 'fantastic'. Kita akan beri macam-macam alasan untuk benarkan segala yang tak benar itu. Kita akan tegakkan segala sebab-musabab untuk kuatkan andaian kita itu, hinggakan kita terlupa bahawa kita solat dan sembah itu sepatutnya untuk Allah SWT, bukan untuk syaitan yang merasuk hati kita itu.

Wahai manusia... insaflah kamu dan janganlah kamu terlalu ralit dalam dunia keseronokan kamu itu hinggakan kamu terlupa pada akhirat.

Dalam Islam, hati itu penting, kerana semuanya terletak di situ. Biarlah akal yang baik yang dikurniakan Allah SWT buat kita, kita gunakan dengan bijaksana, bukan dengan tipu daya, yang akhirnya nanti akan musnahkan segala apa sahaja yang kita ada di dunia dan akhirat.

Semoga Allah kurniakan zat 'kesabaran', kuatkan iman dan taat pada Allah yang maha Satu. Bersihkan hati, sayangilah orang-orang yang menyayangi kita, jangan sampai kita hilang kasih sayang itu kerana sibuk kejarkan sesuatu yang mungkin akan membawa kita ke neraka jahanam! Nauzubillah.

Wassalam

Wednesday, September 25, 2013

Mendusta Atas Nama Tuhan

Assalam

Dulu-dulu, saya pernah dengar kisah seorang stalker yang menakutkan. Ke mana sahaja kita pergi, dia akan ikut kita. Sangat menggerunkan. Paling takut kerana kita tak tahu dia sedang mengekor kita. Biasanya, orang jadi stalker, mereka adalah jenis pendiam. Hari ini, banyak orang yang jadi stalker dalam Internet. Mereka akan berlakon macam tak suka 'follow' atau tak mengikut perkembangan alam maya, tetapi sebenarnya merekalah yang paling cekap 'mengekor' orang dalam Internet.

Kaki pembohong juga suka berlagak seolah-olah mereka tak aktif di dunia Internet. Konon-konon mereka tak tahu apa-apa. Ada tu mengaku tak ada Facebook tak ada Twitter tak ada Instagram... malah tak reti pun whatsapp, rupa-rupanya... dia berbohong sahaja. Kalau mengaku, mungkin susah kot nak 'stalk' orang atau susah juga nak 'bohong' orang lain. Mereka suka berlagak 'innocent', tak tahu apa-apa. Adoi... saya paling tak suka orang yang pandai 'act innocent' ni.

Kisah ustaz moden pun sangat merimaskan saya. Terlalu ramai yang rasa bila dah dekat dengan agama, segala-gala benda yang dilakukan konon-konon atas nama Allah. Mereka dah ubah jadi malaikat. Buat apa pun konon-konon kerana Allah, hinggakan menyakitkan hati orang pun di atas nama Allah. Seolah-olah mereka mudah sangat tahu apa yang terbaik untuk manusia lain untuk masuk ke syurga. Paling malang, ramai yang guna nama Allah SWT untuk kepentingan mereka, mana nak cari duit lebih, mana pulak yang menasihat orang lain untuk lakukan perkara negatif atas nama Tuhan. Nauzubillah minzalik. Saya paling benci orang yang macam tu. Mengaku sahajalah kamu buat bukan kerana Allah pun! Kamu buat atas kehendak kamu dan nafsu kamu, bukan kerana Tuhan kamu. Sekalipun nak tipu, takkan terlupa yang Tuhan tetap tahu? Dah lupa ke, walaupun kita rasa macam alim sangat, tapi sebenarnya 'you are nothing!'.



Kita akan terus lakukan dosa walaupun kita kata kita sedang lakukan yang baik, sebab apa yang kita katakan itu sebenarnya satu pendustaan. Kelakuan mengkhianat orang lain itu, tak mungkin akan membawa kita ke syurga pun. Betul tak? Mungkin jauh lagi baik kalau kita berkata-kata tanpa mendusta.

Maaflah, kalau ada yang terasa alim dan warak dan membaca blog saya ini. Saya sekadar menegur sahaja, agar kita sebagai manusia tidak mendusta di atas nama Allah SWT.

Wassalam.

Tuesday, September 24, 2013

Ada Di Sini

Assalam

Alhamdulillah kerana masih diizinkan Allah Swt untuk saya berada di sini. Saya telah deactivate akaun Facebook saya buat sementara waktu, bukan kerana apa-apa tetapi untuk memberi masa buat diri saya yang sedang kelam-kabut terlalu sibuk. Saya mendapat repons daripada teman-teman, penyokong dan semua yang saya sayang, mahu tahu sama ada saya, 'Okey'. Alhamdulillah, saya sangat okey.

Ada beberapa perkara yang sedang menyibukkan saya dan salah satu ialah tawaran untuk berehat-rehat di luar negara. Tawarannya sangat menarik (untuk berada di tempat yang paling saya suka di bumi ini), tetapi saya tak dapat buat keputusan lagi kerana mempunyai komitmen tugasan dan tentunya saya juga tak mahu mungkir janji dengan mereka yang saya dah janji. InsyaaAllah saya akan usahakan agar saya dapat uruskan semuanya terbaik mungkin. Semestinya saya berdoa agar Allah kurniakan yang terbaik buat saya kerana itulah yang saya mahukan. Hanya Allah SWT tahu apa yang terbaik buat insan-Nya.

Buat masa ini juga, saya sedang kesibukan dengan pelbagai urusan dan itu memerlukan fokus saya. Bagi semua yang saya sayang, tolong doakan buat saya ya... semoga Allah berikan yang terbaik dunia akhirat. Amin.

Wassalam.

Monday, September 23, 2013

Allahuakbar

Assalam

Pernah tak tiba-tiba sahaja anda terasa hilang? Bagaikan tersesat jalan? Tak tahu ke mana hendak dituju. Hendak ke depan tapi nampak macam gelap, hendak ke belakang, tapi dah lupa jalan. Pernah tak tiba-tiba sahaja anda terasa ditipu? Pernah tak anda terasa bagaikan kena tikam dari belakang?

Mungkin anda terasa macam-macam, yang kadang-kadang mampu buat hati anda jadi kosong, tapi... apa sekalipun yang datang, mungkin tak jadi berat sangat kalau kita kembali kepada-Nya. Dekatkan diri kepada-Nya kerana hanya Dia sahaja yang mampu mendengar dan pujuk hati kita. Kalaupun terluka, dunia masih ada lagi buat kita asal sahaja kita kuatkan semangat dan kuatkan iman. Berbisiklah pada Allah SWT, Dia Maha Mendengar segala rintihan yang sedang meruntun di hati. Allahuakbar.

Wassalam.

Sunday, September 22, 2013

Bila Lelaki Jatuh Hati Lagi

Assalam.

Betulkah lelaki, tak kira apa sahaja jenisnya, pendiam, banyak cakap, baik, nakal, kaya, tak berduit, kacak atau tak kacak, masing-masing setelah berkahwin, akan terfikir untuk berkahwin lagi? Kalau tak berkahwin pun, akan berusaha untuk cari peluang dekatkan diri dengan wanita lain, selain daripada isteri sendiri? Betulkah juga, lelaki sudah dijadikan Tuhan mempunyai keupayaan untuk sayang lebih daripada seorang wanita? Maksudnya, mereka mampu untuk berkahwin lebih daripada satu kalau mereka mahu!

Adoi... pasti sakit hati kaum wanita mendengarnya, tetapi apa yang saya katakan ini mungkin tidak jauh daripada realiti. Dalam situasi tertentu, baik macam mana sekalipun lelaki itu, ada ketika hati mereka berbelah bagi, terfikir juga untuk berkahwin lagi!

Mesti ada yang marah lagi!

Apatah lagi kalau lelaki itu datang daripada keluarga di mana ahli lelaki-lelakinya memang jenis kahwin lebih daripada seorang, maksudnya jenis banyak isteri. Atuk kahwin banyak, pakcik kahwin banyak, ayah kahwin banyak. Ada lelaki akan sentiasa terfikir tentang hal itu, dari muda hingga ke tua. Ada juga yang tak pernah terfikir pun, tiba-tiba bila sampai pada suatu keadaan yang tidak diduga, mereka berubah hati lalu tergerak hatinya untuk berkahwin lagi!

Kadang-kadang, bila kita lihat pada pesona lelaki yang nampak baik, jujur, mungkin juga kelihatan taat pada cintanya pada seorang wanita sahaja, tetapi mampu juga untuk bertukar kulitnya. Tiba-tiba sahaja tergerak di hati untuk mempraktis haknya untuk jatuh cinta lagi, atau untuk berkahwin lagi.

Kalau kita seorang wanita, mungkin kita juga tak boleh tuduh seratus peratus yang lelaki semuanya 'hampeh', kerana kebanyakan hal ini mampu berlaku kerana penglibatan wanita lain yang mampu untuk ubahkan fikiran sang lelaki. Tanpa penglibatan wanita, tak jadilah hal-hal ini, kerana lelaki berubah fikiran juga kerana wanita.


                          sekadar hiasan


"Kak... suami saya dulu tak macam tu pun. Tiba-tiba dia berubah. Dia mula kesiankan rakan pejabatnya yang dah pun bercerai dengan suaminya. Mula-mula mengadu, lama-lama bersimpati, lepas tu mulalah jatuh cinta... sekarang ni dah nak madukan saya pulak. Perempuan ni, kak... kadang-kadang jahatnya mengalahkan iblis. Ada tu akhlaknya macam sampah dan memang layak masuk tong sampah aje!"

Adoiii... saya tak tahu nak kata apa. Yang saya tahu, hampir semua lelaki akan melalui keadaan ini, tercebak dengan episod untuk jatuh hati sekali lagi! Kadang-kadang bukan jatuh hati pun, sekadar buat suka-suka aje... mungkin nak merasa macam mana kalau kahwin dua! Ada tu, lepas buat terus menyesal gila. Ada juga yang berkata, "Ingat kot seksi sangat, rupa-rupanya seksa aje. Barang pun tak baik, dah lemau. Baik lagi apa yang aku dah ada."

Sama ada menjadi ataupun tidak, biasanya juga bergantung pada lelaki itu sendiri, sama ada mahu teruskan atau sekadar "Biar aku lupakan bab ini, dan fokus pada apa yang aku dah ada ini...". Wallahuaklam.

Jadi orang perempuan, kadang-kadang kita kena ada semangat yang kental untuk tidak berasa gentar dengan apa yang mungkin terjadi dalam hidup kita ini. Lagipun... bukanlah kiamat kot kalau suami kita buat hal! Uh! Lagi satu... yang suka belit tu, bukan hanya lelaki tetapi perempuan pun sama gedik!

Semoga anda semua lakukan apa sahaja dengan mendahulukan agama dan Allah SWT dan semoga kita selamat dunia akhirat. Amin.

Saturday, September 21, 2013

Bila Musibah Datang

Assalam

Sekali lagi kita tiba di hujung minggu. Mungkin anda ada program tertentu, biasalah kan, pasti ada aktiviti yang sedang diuruskan. Saya juga begitu, tetapi mungkin ada yang saya terpaksa tukar jadualnya oleh kerana sebab-sebab tertentu.

Semalam, sesuatu telah berlaku di ofis kami di Cyberjaya, sesuatu yang tidak diduga namun Allah SWT mahu menguji kami semua. Apa-apa pun, saya minta anak-anak semua cool, jangan menggelabah atau panik. Bagi saya, sesuatu musibah yang berlaku itu tentunya ada sebab-sebab tertentu. Saya beritahu anak-anak supaya terima dugaan ini dengan semangat yang kental, kerana dalam perjalanan hidup kita sebagai manusia, kita akan diuji dan ini merupakan ujian kecil yang datang, barangkali untuk teguhkan lagi semangat dan iman kita. Allah SWT sudah nyatakan dalam al-Quran bahawa kita tidak tahu kedudukan iman kita kecuali bila diuji. Syukur alhamdulillah.Sebagai ibu, itu sahaja yang saya ada, sekadar mendoakan yang baik-baik agar apa jua dugaan yang datang, ia menjadi ringan dan kita doakan hikmah yang terbaik dari Dia yang maha kuasa, insya-Allah. Kadang-kadang musibah datang kerana Allah SWT menutup musibah lain yang mungkin jauh lebih besar lagi dan mungkin juga, musibah datang untuk meringankan dosa-dosa kita sebagai umat Islam. Wallahuaklam.

Sebelum tidur malam tadi, saya dan anak perempuan sempat juga berbual-bual tentang suatu hal yang lain yang ada kaitan dengan seseorang yang kami sayang. Selama ini saya tidak tahu pun tentang hal itu, malah anak saya juga baru sahaja tahu tentang hal itu, namun saya percaya, sebagai orang Islam, kita akan terus diuji untuk menguatkan kita lagi. Bagi saya juga, apa jua yang datang kepada kita, kita harus menerimanya dengan semangat positif kerana apa jua yang berlaku di dunia ini adalah sekadar sementara. Begitu juga sakit di hati, ia tak akan kekal buat selama-lamanya. In syaa-Allah.

Saya sentiasa doa yang baik-baik untuk semua orang yang saya sayang, untuk mereka yang dekat dengan saya, juga mereka yang tidak terlalu dekat, malah mereka yang jauh juga, agar kita dirahmati dan diberkati Allah SWT dunia dan akhirat. Amin.

Wassalam.

Cilok dari yahoo - antara musibah yang mungkin datang kepada kita

Friday, September 20, 2013

Loving, Caring dan Romantik

Assalam

Kalau anda seorang perempuan, mesti anda perasan yang orang perempuan suka berangan-angan tentang pasangan mereka sejak muda lagi, malah sejak remaja. Biasanya orang perempuan bayangkan dapat seorang suami yang loving, caring and romantic, lebih daripada seorang yang kaya-raya. Semestinya semua orang akan bercakap tentang mencari suami yang soleh, tapi pada hakikatnya, kalau warak pun, mereka tetap mengharapkan pasangan mereka merupakan lelaki yang akan menyayangi mereka dengan menunjukkan sifat romantik mereka.

Percayalah cakap saya, kebanyakan orang perempuan idamkan suami yang loving, caring and romantic, bukan kaki baran atau suka bagi penampar kat muka atau jenis suka maki-hamun! Kalau dapat suami yang banyak duit tapi kedekut, tak guna juga, kan? Memang ramai yang macam tu, duit bukannya tak ada, tapi dengan isteri bukan main berkira-kira. Tak usah haraplah nak bagi hadiah atau nak buat 'surprise', nak bagi nafkah pun kadang-kadang tu bukan main payah lagi. Pada hal duit bukan tak ada, tetapi lebih banyak berjoli untuk diri sendiri.

Tapi kalau dapat suami yang jenis caring, walaupun mungkin tak kaya-raya, tapi dengan isteri dia ingat selalu. Kalau tak besar, yang halus pun dia cuba bagi kerana bagi dia isteri itu satu anugerah Ilahi yang perlu dihormati, bukan untuk dibuat maki.

Kalau kita belum kahwin lagi, mungkin kita boleh tengok pada lelaki yang pandai hormati ibunya. Jangan silap tau? Kadang-kadang depan kita dia buat-buat macam sayang mak dia, tapi sebenarnya dia tak kisah pun, menyampah ada. Dia guna emak dia untuk dapatkan apa-apa yang dia mahu. Maknanya dia tak ikhlas sayang mak dia. Yang ini kita kena berjaga-jaga sebab kalau orang macam ini jadi suami kita, tengoklah nanti macam mana dia akan buat pada kita. Kalau dia boleh 'guna' mak dia, dia juga akan 'guna' kita bila sampai masanya.

Jadi... anda di luar sana, bila nak pilih calon sebagai suami tu, tengok baik-baik ya? Biarlah dia sederhana, jangan terlebih di mana-mana, agar mudah dia menjaga kita. Wallahuklam.

                           cilok dari google

Thursday, September 19, 2013

Majalah Digital Interaktif

Assalamualaikum

Sekejap lagi ni, saya nak keluar. Tapi sebelum keluar, naklah update blog ni dulu.

Dah lama saya tak tulis apa-apa tentang 'digital book' atau 'e-book'. Mungkin ramai di antara anda yang tak ikut sangat tentang perkembangan 'e-book' ini. Okey... terbaru yang saya tahu, kebanyakan library di Malaysia ini sedang bersedia untuk adakan sistem pembacaan digital di tempat mereka. Sudah ada library yang ada dan sudah banyak library yang sedang uruskan tentang hal itu. Ini bermakna, kalau anda mempunyai buku digital, adalah peluang untuk buku anda itu digunakan dalam library seperti ini di negara kita ini. Selain itu, saya juga difahamkan bahawa sekolah-sekolah akan diexposekan dengan 'buku digital' kerana tujuannya, satu hari nanti pelajar sekolah tidak perlu membawa buku-buku yang berat lagi. Ini bermakna, dalam masa beberapa tahun akan datang, lebih banyak orang muda akan membaca buku digital kerana mereka akan dibudayakan dengan buku digital dari peringkat awal lagi.

Sudah ada banyak majalah yang dijadikan 'digital interaktif', bermaksud bahawa di masa akan datang, orang ramai akan lebih suka membaca majalah yang lebih canggih daripada apa yang tersedia di rak-rak majalah. Misalnya, kalau anda membeli majalah kereta yang berbentuk digital interaktif, pasti anda akan lebih teruja kerana anda akan melihat kereta yang bergerak, tidak statik lagi!

Bagi yang menonton siaran ulangan drama Selamat Malam Kekasih, hari ini ialah episod terakhir di TV Al Hijrah. Jangan lupa jam 2.30 petang nanti.

Wassalam.

                    contoh antara majalah digital hari ini

Wednesday, September 18, 2013

Kenapa Benci Negara Ini?

Assalam

Pagi yang nyaman, cuaca yang terang, tidak mendung. Harap-harap tidak panaslah. Rasa saya, sejak kebelakangan ini, cuaca agak menarik, tak panas sangat, asyik mendung aje. Biasanya malam-malam sejuk. Kalaulah cuaca kita macam ni sentiasa, sikit punya best, kan? Tapi alhamdulillah, walaupun kadang-kadang panas terik, kita masih ada hujan yang cukup. Terima kasih ya Allah, kerana izinkan kita untuk berada di sini.
Saya tergelak dengar lirik sebuah lagu baru, ayatnya lebih kurang macam ni, "Walaupun dah sampai ke Hawaii, aku masih suka Langkawi." Hahaha... sayangnya negaraku ini.

Tapi, tak semua orang sayangkan negara kita ini, walaupun mungkin mereka dilahirkan di sini. Ada-ada sahaja yang tak cukupnya, ada-ada sahaja cacat-celanya. Suka sangat nak pindah duduk negara orang. Tak kisah juga kalau nak merasa, tapi ada tu, lepas merasa, dihina-hina pula negara sendiri. Panaslah, kotorlah, tak cukup moden lah, terkonkonglah... macam-macam lagi.

Memanglah tak ada tempat di mana-mana pun yang 'perfect', tapi kalau kita suka, kita akan rasa sempurna. Biasalah kalau ada kurang di sana atau sini, sekalipun kita tak suka pada mereka yang memerintah, janganlah pula sampai kita benci pada negara. Apa salahnya negara kita? Bayangkan orang yang tak bernegara, tak ada apa-apa pun yang nak dibanggakan. Kalau kita duduk di Amerika ke, di Australia ke, di Argentina ke... kita tetap dikatakan pendatang!

Nak tengok dunia, pergilah tengok. Tapi jangan benci pada negara sendiri. Kalau kita tak suka apa-apa yang ada di sini, itu adalah hak kita untuk uruskannya, tetapi janga kerana nila setitik, kita buang susu sebelanga. Itu namanya tak bijak. Bertambah tak bijak kalau kita biarkan orang lain tolong cemarkan negara kita ini, buat sesuka hati mereka. Angkut segala harta dan hantar ke tempat lain. Dah tu, waluapun kutip hasil di sini, tak sudah-sudah memaki! Tunggulah satu hari nanti... mungkin dia baru sedar betapa ruginya kita kalau suka benci pada negara sendiri!

Semoga kita umat Islam di negara ini belajar untuk menghargai negara sendiri. Wallahuaklam.

PS: hari ini episod 12 ulangtayang drama Selamat Malam Kekasih di TV Al Hijrah jam 2.30 petang. Esok ialah episod terakhir.




Tuesday, September 17, 2013

Follow Orang Sebab Nak Mengintai?

                                   Tukang sibuk

Assalam

Ada orang bagi tahu saya yang dia tidak senang dengan 'followers' Facebook nya yang menjadi 'followers' tapi sebenarnya tak suka pun padanya. Mereka sengaja mengikutnya kerana nak mengintai hidupnya. Nak tahu apa yang dia buat setiap hari. "Dia orang bukan kawan, tapi musuh rupa-rupanya." Katanya, bila ada kesempatan, mereka mengumpat tentang dirinya di tempat lain, bergosip dan bercerita benda-benda yang menyakitkan hati.

Saya pun tak tahu nak kata apa, tapi mungkin biasa kot, dalam hidup kita ini, mesti ada yang tak suka dengan kita. Saya sendiri sama saja, walaupun mungkin ada yang sayang saya, ada juga yang tak suka dengan saya. Saya tahu, ada yang mengutuk saya dan mengata saya di tempat lain. Berita itu disampaikan oleh orang lain kepada saya setelah melihat catatan yang 'tak elok' tu di tempat lain. Bagi saya, biarlah kalau mereka sengaja nak mengata kita, nak buat macam mana lagi. Tapi yang peliknya, bila nak mengata tu, tak tahu berlapik, main hentam sahaja. Saya pernah tahu tentang seseorang yang mengata tentang tulisan saya. Katanya di sebuah ruang bahawa tulisan saya tak sedap pun, macam tulisan yang dah 'lemau'. Hah! Bila saya tahu, saya hanya senyumlah. Mungkin itulah pandangannya. Bagi saya, mungkin dia tak suka gaya tulisan saya kot. Mungkin juga dia baca hanya satu buku aje. Tapi kalau dia baca banyak, maknanya dia sukalah tu, tapi tak tergamak nak kata 'suka' tapi lagi seronok kalau dapat 'menghina' saya kot! Tambah pula dia mengata di tempat di mana orang lain juga membaca tulisannya itu!

Sebenarnya bagi saya sangat mudah. Orang yang suka buat perangai macam tu, memang kurang bijak pun. Dia cakap ikut suka hati dia, konon-konon hak dia sebagai pembaca, tetapi dia terlupa kedudukan dia sebagai 'orang Islam'. Dia kata sesuka hati dia, tapi dia terlupa kata-katanya mampu menggoreskan hati orang lain. Dia juga terlupa, kata-kata 'hina' dia mampu dipatah balik pada dia. Kalau kita hina orang, nanti kita pula akan dihina. Tak mustahil itu boleh berlaku pada kita tanpa kita sedar. Mungkin satu hari nanti, kita tertanya-tanya, "Kenapa jadi macam ni, hah?" Rupa-rupanya kita dah lupa tentang perbuatan kita pada orang lain. Mungkin lagi baik kita diam aje bila kita tak suka. Subhanallah.

Saya sekadar mengingatkan diri saya juga, bila kita nak keluar apa-apa 'kata', biarlah kita berlapik, jangan sampai ada hati yang disakiti dengan sengaja. Lagi satu, kalau kita tak suka 'seseorang', buat apa kita follow dia? Sekadar nak sakitkan hati dia?

Semoga Allah SWT rahmati kita semua.

PS: Hari ini ulangan drama Selamat Malam Kekasih episod 11 di TV Al Hijrah jam 2.30 petang.

Wassalam.

Monday, September 16, 2013

Terbaik

Assalam

Ya, semalam alhamdulillah, kami ke Tanjung Karang. Dari Kuala Selangor kami ke Sekincan dan lepas itu barulah masuk ke Tanjung Karang. Macam biasa, kami lalu ikut sawah padi. Memang terbaiklah! Singgah di rumah Rozie. Sebenarnya kami berjumpa dengan Rozie di Kuala Selangor, di Pasir Penambang, siap makan laksa, karipap dan air kelapa muda. Lepas tu, ikut Rozie dan kawannya Rozita ke Tanjung Karang. Semalam, rombongan kami agak besar, jadi lambatlah sikit bergeraknya, apa tah lagi kawasan itu agak sesak. Apa-apa pun dapatlah ke kilang padi, jalan-jalan ke kawasan sungai (ampangan) beli jagung, petik limau dan macam-macam lagi. Sempat juga singgah di rumah Rozie berumpa keluarganya, makan petang (makan kuih serimuka yang sedap), solat dan lepas tu kami ke Kuala Selangor untuk makan seafood. Sempat juga jumpa Ani (pembaca saya) yang datang menyinggah di rumah Rozie. Alhamdulillah, walaupun masa singkat, kami dapat buat yang terbaik. Syukur.

Hari ini, saya ada kenduri (tapi dekat rumah), jadi saya nak relaks2 aje. Bagi anda yang duk follow ulangan drama Selamat Malam Kekasih, hari ini jangan miss, sebab hari ini episod ke 10... saya suka episod ni. Jam 2.30 petang di TV AlHijrah.

Wassalam
Sebahagian dari kami di kawasan sungai


       Nabil berlatarkan sawah padi
         Latar Tanjung Karang - cantik menawan
    Kumpulan tak lengkap kami bersama Rozie dan Rozita
                     Firas dan Ali - berlatarkan sawah padi
                 Antara ahli kumpulan kami
                     Di Tanjung Karang

Sunday, September 15, 2013

Buat Kali Kedua

Assalam

Ya, pagi ini saya akan bersiap-siap untuk ke Tanjung Karang. Tapi sebelum pergi, saya nak tulis sesuatu tentang perasaan orang, terutama perempuan. Bila dah perpisah atau dah putus dalam percintaan buat kali pertama, ada yang payah nak jatuh cinta sekali lagi. Bukan mudah nak terima ujian yang macam tu kot, tapi sebenarnya banyak ujian lain yang lagi teruk. Perpisahan dengan orang yang pernah kita sayang, kadang-kadang membawa diri untuk membenci segala-gala di sekeliling kita. Adoii.

Musibah yang menimpa kita kadang-kadang merupakan hikmah, kita tak tahu rahsia Tuhan buat kita semua. Cuma, pandai-pandai kita uruskan diri agar jadi kuat dan bersabar. Kita juga perlu yakin bahawa kita akan mendapat pengganti yang jauh lagi baik daripada apa yang pernah datang buat kita. Jangan hidup dengan bayang-bayang tu. Insya-Allah, kalau kita usahakan dan banyak berdoa, pasti akan dapat apa yang kita harapkan.

Okey semua... selamat bercuti.

PS: Hari ini ialah episod ke 9 ulangan drama Selamat Malam Kekasih di TV Al Hijrah jam 2.30 petang.

Wassalam.

Saturday, September 14, 2013

Nak Ke Tanjung Karang

Assalam

Selamat berhujung minggu sakan... sampai Isnin tak payah kerja. Okeylah, pasti anda ada perancangan nak buat apa pada hujung minggu ni, kan?

Hari ini saya relaks-relaks aje kat rumah. Tadi, pergi breakfast dengan cik abang. Semalam dia tak ada, sebab pergi Johor ada kerja. Biasanya hujung minggu, kami berdua akan melepak pergi breakfast together-gether! Esok... kami rancang nak ke Tanjung Karang, pergi lepak dengan Rozie and the gang. Lama janji nak pergi, tapi asyik tunda aje. InsyaaAllah kami nak pergi ramai-ramai. Rancangnya nak pergi makan ikan bakar, tak tahulah dapat ke tidak... maklumlah, mesti ramai orang, kan?

Bagi anda yang tak ke mana-mana, jom tengok ulangan drama Selamat Malam Kekasih di TV AL Hijrah, terutama bagi anda yang miss episod2 lepas. Hari ini, rasanya Episod 8.

Okey... take care semua. Love you.

Wassalam.


Friday, September 13, 2013

Seronok Mengata Orang

Assalam

Semoga hari ini kita 'happy', tidak rasa tertekan. Semoga semangat kita terus tinggi.

Kadang-kadang, saya pun terfikir-fikir juga apa lagi yang saya nak tulis di blog ini. Kalau diikutkan memang tak akan kering kot berita dan cerita yang boleh dilakarkan, tapi... mood lah, kadang-kadang tak berapa baik sangat. Tapi alhamdulillah hari ini saya rasa okey. Semalam pun dah mula kembali kepada manuskrip novel terbaru saya. Pun begitu biasalah... akan ada benda lain yang mengganggu. Apa-apa pun, saya layan sahaja kerana selagi masih sihat, selagi diizinkan Allah SWT saya akan terus usahakan untuk menulis (bukan semestinya novel).

Pagi ni nak kongsi cerita tentang perangai orang. Saya tak tujukan pada siapa-siapa, tetapi hanyalah satu 'statement' barangkali untuk mengingatkan kita semua. Ada orang, memang suka sangat 'mengata' orang lain Dia berasa 'puas hati' kalau dapat menjatuhkan maruah orang, terutamanya kalau ramai yang tahukan hal itu. Semestinya laman sosial dijadikan tempat 'mengata'. Tak kisahlah siapa yang dia 'mengumpat' tu, janji hati dia puas. Kadang-kadang apa yang dikatakan itu tak benar pun, mungkin hanya andaian sahaja, tapi dia tetap berasa bangga teramat sangat! Kadang-kadang, dia buat begitu bagi pihak orang lain yang dia suka atau sokong.

Kita sebagai manusia yang punyai akal, mungkin elok kalau kita berjaga-jaga dengan apa sahaja yang kita nak kata, jangan sampai ada yang terluka dek perbuatan kita kerana kalau sekadar 'mengata-ngata' tapi tak ada kebenarannya, kitalah yang akan kutip dosa, wallahuaklam. Hari ini mungkin kita rasa bangga, esok-esok pasti ada orang lain yang buat pada kita pula. Jangan bila kena kita melompat sakan, marah-marah sampai bergantang-gantang tapi bila kita buat orang, kita terlupa...

Semoga kita jadi manusia yang bertimbang rasa. Kalau kita marah pun biarlah kita juga berjaga-jaga, jangan sampai kita mengaibkan orang lain. Wallahuaklam.

PS: Hari ini (Jumaat 13 Sept.2013) masih ada ulangan drama Selamat Malam Kekasih di TV Al Hijrah jam 2.30 petang. Setiap hari ada... hingga tamat sekali lagi. Jom tonton!

Wassalam.

Thursday, September 12, 2013

Wahai Hati Yang Sabar

Assalam semua

Semoga anda berada dalam keadaan yang ceria, sihat dan bahagia. Adoii... macam surat orang-orang lama...

Pagi ini cuaca dingin di tempat saya ni, kerana hujan lebat sebelum subuh. Sekarang dah tak hujan, tapi angin sejuk meniup ruang-ruang pagi. Sang mentari pun kelihatan macam malas nak menjenguk keluar, masih mengintai-intai lagi.

Saya teringat kisah orang yang saya kenali ni. Suaminya tak pernah kata apa pun, tapi dia tahu yang suaminya itu dah berkahwin lagi. Senyap-senyap sahaja. Dia balik rumah macam biasa dan lagaknya juga macam biasa, tetapi isterinya tahu akan perubahan yang ada. Kebanyakan orang perempuan memang macam itu, dapat menghidu apa-apa yang luar biasa tentang suaminya. Tapi kenalan saya tu pura-pura sama, macam tak ada apa-apa yang berlaku. Dia menangis dan melayan hati yang sakit, tak pernah di depan suaminya. Tapi saya tahu hatinya di dalam sangat terluka Katanya dia tak mahu rumah tangganya huru-hara, tak mahu anak-anak turut merana. Biarkan sahaja. Bagi saya, mungkin dia ni memang gagah orangnya. Kuat untuk berlakon.

Teringat juga satu kisah lama, tentang seorang guru sekolah yang bergelar ustazah. Pada asalnya, suaminya seorang pensyarah ni, dituduh ada skandal dengan seorang lagi pensyarah wanita junior. Pensyarah wanita itu memang dah kahwin pun, tapi suaminya yang masih muda sedang buat hal. Pensyarah tu selalulah mengadu pada pensyarah suami ustazah tu. Ustazah tak boleh terima lalu dia 'attack' suaminya, konon-konon nak mempertahan kubunya. Last-last, wanita muda tadi berasa malu, lalu bercerai dengan suaminya dan berkahwin dengan suami ustazah tu. Apa lagi, terus ada perang dunia ketiga! Suami pensyarah pun jadi malas nak balik rumah ustazah kerana bila sampai saja di pintu, dia dah kena serang dengan bom!

Walhasil, beginilah kehidupan kita agaknya. Ada yang sabar dan mampu untuk melihat dan lalui apa saja, ada yang tak berdaya.

Apa-apa pun, kita wajib ingat, kalau kita buat orang, pasti Allah akan balas pada kita. Kalau tidak di dunia, tunggulah di akhirat nanti.

Bagi anda yang relaks2 aje petang nanti, jom tengok drama Selamat Malam Kekasih Episod 6 secara siaran ulangan di TV Al Hijrah petang ini jam 2.30. Jom!

Wassalam.


Wednesday, September 11, 2013

Drama Selamat Malam Kekasih Dah Touch Down

Assalam

Drama Selamat Malam Kekasih dah pun tamat malam tadi. Syukur alhamdulillah. Rata-rata penonton dan pembaca saya berpuas hati. Saya pun okey... masa episod akhir tu drama ni nampak macam lebih Islamik, mungkin saya nak sesuaikan dengan stesen TV  yang menyiarkannya. Tak naklah oarng kata drama itu tak ada kena-mengena dengan stesen TV Al Hijrah.

Mungkin lepas ni, ada yang rindu pada Maya dan Misyal. Cucu saya Firas pun tahu nama Maya setiap kali dia tengok drama itu... kelakarnya, tak sampai 3 tahun pun. Saya happy sebab pelakon utamanya bukanlah pelakon yang namanya meletup2 tetapi bagi saya, kedua-dua Aidil dan Anis mampu untuk membawa dan menghayati watak Misyal dan Maya hinggakan saya terlupa bagaimana rupa Misyal dan Maya dalam novel SMK. Mereka dah ambil alih bayangan saya. Rata-rata juga, drama ini banyak scene2 yang kelakar, sangat sesuai untuk penonton yang muda2. Yang tua pun okey ajelah. Tak banyak scene sedih atau touching... iyalah, takkan nak buat semua drama air mata kot.. hehe.

Apa-apa pun, bagi mereka yang miss banyak episod drama SMK ini, TV Al Hijrah sedang ulangtayangnya. Hari ini ialah episod ke 5, jom tengok lagi jam 2.30 petang nanti. Siaran ulangan ini, rasa saya akan diulang setiap hari... (tak tahulah hari Jumaat ada ke tidaknya) sampai habis sekali lagi.

Okey, esok insyaa-Allah kita jumpa lagi. Saya sedang kesibukan untuk siapkan satu proposal ni. Doa-doakanlah ya.

Wassalam.


             Aidil dan Anis - Misyal dan Maya

Tuesday, September 10, 2013

Seronoknya Bercinta

Assalam.

Hari Selasa dan hari ini saya nak bercerita tentang orang yang jatuh cinta. Siapa yang jatuh cinta, katanya sangat seronok. Jiwa dan hati di awang-awangan. Dulu, semasa bertemu suami saya, tidaklah saya terus jatuh cinta. Kami berkawan, sebab masa tu pun saya baru 16 tahun. Bayangkanlah. Saya pun tak sedar dan tak tahu, mampukah saya untuk jatuh cinta ketika itu. Bila dah 'go steady', saya masih tak yakin yang satu hari nanti kami akan berkahwin. Maklumlah, jauh lagi perjalanan. Tetapi mungkin kerana itulah, saya kahwin cepat kot. Umur 21 saya dah berumah tangga walaupun lepas kahwin kami duduk berasingan lebih 7 bulan. Dia di England dan saya di Malaysia. Ketika itu, saya masih belajar,dia pula sambung belajar.

Adat orang bercinta kot banyaklah dugaannya. Begitu dengan saya dan suami. Lepas kahwin pun ada dugaan yang datang, bukan 'smooth sailing', cuma semangat dan kesabaran yang dapat mempertahan dan menguatkan bahtera yang kami layari daripada dilanda ombak tinggi. Alhamdulillah. Dah lama kahwin dan setakat ini, rasa sayang itu masih kukuh, alhamdulillah. Semoga percintaan ini membawa kami ke syurga, amin. Tidak pernah mengharapkan kesempurnaan kerana sedar diri tak pernah sempurna. Saya terima seadanya, in syaa Allah.

Bagi mereka yang mengikuti drama Selamat Malam Kekasih, malam ini ialah episod terakhirnya, episod 13. Jangan lupa jam 10 malam ini di TV Al Hijrah. Siaran ulangan drama yang sama ialah pada setiap 2.30 petang di TV yang sama. Jom tengok!

Wassalam

Bersama Misyal @Aidil Aziz di lokasi drama SMK.

Monday, September 09, 2013

Dah Lama Tak Ke Luar

Assalam

Sudah lama saya tak ke luar negara. Payah nak bergerak sekarang ini kerana saya banyak kerja. Dah tu, suami saya juga sangat sibuk dengan kerjanya. Kadang-kadang, teringin nak makan angin, tapi tak apalah kot... bukan semestinya kita dapat buat apa sahaja yang kita inginkan. Kadang-kadang kita terpaksa berkorban.

Sebenarnya saya tak kisah pun. Bagi saya, bila ada peluang dan masa, okey sahaja kalau nak ke mana-mana pun, tapi bila tiada masa, nak kata apa lagi. Relaks ajelah. Tak payah stres-stres.

Sekarang ini dah mula masuk musim haji. Mereka yang dijemput untuk ke tanah suci dah mula pergi. Alhamdulillah. Tapi dikatakan quotanya tak seperti dulu, maklumlah banyak renovation yang sedang dilakukan di kota Mekah dan Madinah. Saya percaya dah banyak sangat perubahannya di kota Mekah tu... nak muatkan lebih ramai di musim haji. Apa-apa pun, mereka yang mendapat panggilan tu, syukur alhamdulillah.

Okeylah di pagi Isnin ini, biarlah semangat kita tinggi untuk mulakan aktiviti dan jangan lupa untuk sentiasa berdoa agar umat Islam dipeliharai Allah SWT dan rakyat Malaysia hidup makmur.

Bagi mereka yang terlepas drama Selamat Malam Kekasih dan hari ini ada di rumah, jom nonton siaran ulangan pada 2.30 petang ini di TV Al Hijrah.

Wassalam.

Sunday, September 08, 2013

Ulangtayang Drama Selamat Malam Kekasih

Assalam.

Saya dimaklumkan bahawa TV Al Hijrah sedang ulangtayangkan semula drama Selamat Malam Kekasih pada jam 2.30 hingga 3.30 petang setiap hari. Siapa yang miss, jom tengok!


Terima Kasih, Allah

Assalam.

Saya masih tak sempat nak siapakan novel terbaru saya. Aduhai... tapi tak apa, insyaaAllah akan siap juga. Apa pun, semalam saya kesibukan, harap-harap hari ini mampu untuk relaks sedikit dan dapat berdepan dengan komputer, in syaa Allah.

Semalam, saya berjumpa dengan Mimie Afinie (dah lama tak jumpa dia), siap makan ketupat sotong lagi. First time makan dan sangat istimewa dan sedap! Suka tengok rumah Mimie... sangat tenang dan cool. Taman dia sangat catik... maklumlah suami dia ahli lanskap dan kebetulan, saya juga minat garden. Rumah dia siap ada kelapa pandan... favourite saya tu. Lepas tu kami pergi ke rumah Haida (pembaca setia kami). Haida yang cantik tu memang baik hati... siap bekalkan kami kuih tat buatan ibunya. Sedap teramat sangat. Terima kasih Mimie and Haida. Berbaloi ke Rawang. Alhamdulillah.

Lepas tu, pergi ke majlis anak kawan sekolah. Seronoknya dapat jumpa kawan-kawan lama, walaupun saya terlewat sampai. Dah lebih jam 4 petang baru tiba, tapi dia orang semua tunggu saya. Alhamdulillah. Lepas tu balik rumah, siap-siap sekali lagi dan terus ke KL untuk hadir majlis kahwin lagi.

Aduhai... penat sungguh, tapi alhamdulillah... dapat tunaikan kewajipan untuk berjumpa dengan semua yang saya sayang.

Wassalam.


Saturday, September 07, 2013

Makan-Makan Lagi

Assalam

Hari ini, saya cadang untuk kelaur awal. Mula-mula nak pergi ke Serendah ke rumah Mimie Afinie. Lepas tu nanti kami nak ke rumah seorang pembaca setia kami. Dia buat makan-makan dan jemput kami berdua. Lepas tu, saya nak ke majlis kenduri anak rakan sekolah di kawasan Bangi. Harap-harap, hari ini dapat jumpa kawan-kawan sekolah. Dah lama tak jumpa. Lepas tu balik rumah. Kemudian(Malam) insyaa Allah nak hadir satu lagi majlis perkahwinan (anak-anak kerabat sebelah adik ipar saya). Jadi, program hari ini sangat ketat.

Wassalam.

Friday, September 06, 2013

Fitnah Yang Memusnah

Assalamualaikum.

Selamat pagi dan salam Jumaat, semoga hari ini lebih baik daripada semalam. Semoga kita diberkati Allah SWT dan selamat dunia akhirat.

Kenapa agaknya ada orang suka menyampai-nyampaikan fitnah yang tidak pasti kesohihannya? Mungkin dah jadi tabiat manusia kot, suka bercerita tak tentu pasal. Saya tidak bercerita tentang apa-apa isu tertentu, sekadar mengingatkan diri sendiri untuk mengawal nafsu. Jangan sebarkan apa-apa yang saya kurang tahu atau tak tahu. Sekadar andaian atau sekadar dengar cakap orang, tak semestinya tepat dan betul. Saya teringat sebuah kisah 'betul' yang pernah terjadi ketika Iraq memasuki Kuwait.

Ada seorang wanita muda, tiba-tiba muncul dan menyampaikan cerita kepada para wartawan dunia dan mengatakan bahawa di depan matanya dia melihat askar-askar Iraq memasuki hospital, lalu mengambil inkubator yang mempunyai bayi-bayi di dalamnya. Bayi-bayi itu dibiarkan di atas lantai hingga mati semuanya Kemudian askar-askar Iraq menembak kakitangan hospital berkenaan. Maka kecohlah dunia Barat, masing-masing mengatakan bahawa Iraq kejam, Sadam Husin jahat! Paling marah tentunya rakyat Amerika Syarikat yang merasakan bahawa mereka adalah keturunan malaikat, tak pernah lakukan kesalahan.

Namun kemudiannya, didapati bahawa wanita muda itu sekadar terlibat dalam propaganda kerajaan Barat. Wanita itu adalah anak duta Kuwait ke USA dan sengaja dia berkata begitu untuk mulakan kekecohan. Tetapi ketika itu semuanya sudah mengikut rentak dunia Barat. Iraq dicerobohi, Sadam Husin dijadikan target, rakyat Iraq sengsara setelah negaranya dimusnahkan. Dunia Barat ketawa besar kerana minyak Iraq di tangan mereka. Semua orang marah Sadam Husin termasuklah orang-orang Islam. Semua orang lebih suka menyokong Amerika dan Israel, kerana sejahat Amerika dan Israel, mereka masih merupakan hero di mata dunia! Masing-masing takut. Apatah lagi, negara Saudi merupakan rakan baik Amerika dan Israel. Tentulah Saudi itu orang baik-baik kerana kota suci Mekah dan Madinah di bawah jajahan negara itu! Jadinya, Iraq itulah yang jahat dan mereka patut dihukum! Sekarang ini, kita semua berpuas hati melihat negara Iraq hancur dan musnah hingga ke hari ini. Selepas itu, kita lihat Afghanistan dilingkupkan. Kita nampak bagaimana Palestin tak mampu ditolong. Mesir akan musnah. Libya telah dicacatkan dan dilemahkan. Tak lama lagi Syria akan hancur dan musnah. Orang Islam tepuk tangan kerana berasa bangga menyokong tindakan dunia Barat. Kita tidak melihat muslihat dunia Barat, kerana kita terlalu leka dengan finah yang disebarkan. Asal datangnya dari Barat (medianya), maka kita akan percaya seratus peratus. Kita tak nampak propaganda dunia Barat, kerana kita sendiri tak buat apa-apa, sekadar mendengar berita dan cerita.

Akhiranya nanti dunia Islam akan dilemahkan kerana orang Islam suka dengar berita dan cerita yang disebarkan oleh dunia Barat yang anti Islam.

Beginilah kita semua, bila seronok melihat, mendengar dan mempercayai segala fitnah yang dilemparkan sana sini. Kita lebih suka sesebuah  negara  itu hancur dan musnah kerana kita beri ruang dan peluang kepada pihak zionis untuk mengatur kata-katanya. Orang Islam mudah 'membeli fitnah' yang dilemparkan. Selagi tak ada bukti, itulah yang dikatakan fitnah. Kita pernah melihat perkara ini terjadi, tapi kita masih berpihak pada negara Barat yang suka menyebar fitnah! Wallahuaklam.

Wassalam.




                   Imej ketika Perang Iraq

Thursday, September 05, 2013

Hukum Karma atau 'Kaffarah'?

Assalam

Kita biasa dengar terma 'hukum karma', kan? Malah, walaupun perkataan karma itu berasal daripada kepercayaan agama Hindu, namun perkataan itu juga melambangkan maksud 'denda' atau 'hukum' kerana perbuatan yang tak baik yang dilakukan oleh seseorang ketika masih hidup. Saya percaya, perkataan 'karma' itu kalau digunakan tidaklah bermaksud kita (yang beragama Islam) sudah jadi songsang, kerana 'karma' yang diguna ini adalah sekadar bahasa, bukan ada niat untuk mempercayai 'karma' dalam agama Hindu. Wallahuaklam.

Pun begitu, dalam agama kita juga ada perkataan 'Kaffarah' atau dalam kamus Dewan disebut sebagai 'Kifarat'. Perkataan ini disebut dalam kitab suci al-Quran, surah Anfaal, ayat 29, yang membawa maksud "Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu bertakwa kepada Allah, niscaya Dia akan memberikan  'furqan' (kemampuan membedakan antara yang hak dan batil) kepada mu dan menghapuskan segala kesalahan mu dan mengampuni (dosa-dosa)mu. Allah memiliki karunia yang besar."

Perkataan itu membawa maksud kepada 'membuang' atau 'memadam' dosa yang kita lakukan dengan cara membayar denda. Denda yang dimaksudkan pula ada macam-macam cara. Yang penting ialah niat dan tujuan kita melakukannya.

Saya bukan ahli pakar agama, tetapi saya tertarik dengan penggunaan bahasa dalam mengatur ayat-ayat kita. Kadang-kadang kita mahu gambarkan kejadian 'hukuman' ketika kita masih hidup. Kita percaya bila kita buat baik, akan ada balasan yang baik, bila buat dosa, akan ada juga balasannya. Pun begitu, dalam Islam, setiap perbuatan 'dosa' yang kita lakukan kita wajib bertaubat, minta Tuhan ampunkan dosa kita itu. Salah satu cara untuk melambangkan niat kita, itulah munculnya 'kiffarah', perbuatan yang baik bagi menggantikan perbuatan tak baik yang kita lakukan.

Setiap hari, kita tak lari daripada perbuatan yang tak baik. Ada-ada sahaja, kadang-kadang tak berniat pun untuk melakukannya. Kerana itu juga, kita sepatutnya lakukan perkara-perkara baik seperti bersedekah, menolong orang lain yang memerlukan dan sebagainya, untuk 'cover' semua perbuatan yang tak baik kita dah lakukan dengan sedar ataupun tidak.

Dalam hidup ini, kita selalu bayar denda, kan? Kalau bawa kereta laju, kita akan disaman. Kalau kita langgar orang pun, kita kena bayar. Kita putus tunang (kerana kesalahan kita), pun kena bayar ganti rugi. Maca-macam yang kita bayar kerana 'denda' buat silap. Begitulah kehidupan. Insyaa Allah, segala 'kaffarah' dapat menebus dosa-dosa kita, termasuklah kesakitan yang kita hadapi setiap hari, semoga Allah kurangkan dosa-dosa kita. Wallahuaklam.

Wassalam.




Wednesday, September 04, 2013

Ada Drama Lagi?

Assalam.

Semoga anda ceria-ceria selalu. Semoga hari ini jauh lagi baik daripada semalam. Alhamdulillah, kita masih di sini dan masih dapat berblogging.

Ada yang menyoal saya, apa perasaan saya kerana ada novel-novel saya yang diadaptasikan untuk dijadikan drama. Sebenarnya situasi saya tidak komplikated, kerana saya yang memilih untuk buat begitu. Bila ada produser yang datang, mereka terus datang pada saya tidak melalui orang lain. Apa-apa persetujuan, saya yang buat sendiri. Malah, setakat ini ketiga-tiga novel yang sudah diadaptasikan itu, saya yang menulis skripnya. Setakat ini, saya hanya buat drama bersiri sebanyak 13 episod. Itu juga merupakan pilihan saya. Jadi, sebenarnya apa yang berlaku, tidaklah rumit sangat. Seboleh mungkin, saya kekalkan jalan cerita seperti dalam novel. Apa-apa perubahan yang saya buat, tidak menjejas jalan cerita. Dalam hal ini, saya masih mempunyai sedikit kuasa, walaupun tidak sepenuhnya. Kalau saya tidak tulis skrip dan pihak produser tidak berbincang dengan saya, saya percaya jalan cerita juga akan berubah daripada cerita asal.

Setelah drama-drama selesai ditayangkan di skrin TV, ada yang mula bertanya, ada lagi tak?

Hmmm... tak tahu nak cakap macam mana ya. Mungkin ada, mungkin juga belum lagi. Bagi saya, tak perlulah untuk kalut sangat. Saya suka buat sesuatu 'slow and steady', tidak tergopoh2. Saya tak mahu orang bosan dan saya juga tak mahu buat sesuatu secara cincai. Pasti saya akan berasa tak puas hati. Saya juga tidak kisah 'glamor' atau tidak, kerana itu saya tak pilih stesen TV. Malah, bila saya tulis novel, saya tak kisah pun nak meletup atau tidak, saya lebih suka kalau novel saya akan terus berada di pasaran sepanjang zaman. Biar perlahan-lahan asal berkesan, in syaa Allah.

Okeylah, sekadar untuk berkongsi rasa dengan anda semua.

Wassalam.


Tuesday, September 03, 2013

Tinggal Dua Episod Lagi- SMK

Assalam

Selesai sudah drama Bunga-Bunga Kemboja di TV1 semalam. Malam ini ialah episod ke 12 drama Selamat Malam Keklasih di TV Al Hijrah jam 10.00 malam. Ini bermakna, minggu hadapan ialah minggu terakhir bersiarannya drama itu. Setakat ini, saya okey sahaja dengan kedua-dua drama ini. Semestinya bukan sesuatu yang 'perfect' tetapi tidaklah mengecewakan. Alhamdulillah, rata-rata saya mendapat komen yang positif. Apa-apa pun, saya tahu dan sedar, banyak lagi yang perlu dibaiki kalau kita mahu lihat sesuatu yang lebih mantap. Tetapi, setakat ini saya tidak mempunyai kuasa besar untuk lakukan sesuatu yang boleh menaiktarafkan drama-drama yang diadaptasikan daripada novel-novel saya. Saya hanya mampu untuk menulis skripnya sahaja. Pun begitu, saya tak pernah putus asa. In syaa Allah, kita akan sama-sama cuba memperbaiki apa-apa yang kurang agar apa-apa karya yang ada kita mampu untuk tinggalkan kesan yang jauh lebih baik lagi buat mereka yang menghayati karya rakyat tempatan.

Sudah ada yang meminta manuskrip saya untuk dijadikan skrip lagi. Saya sedang fikirkan pelbagai perkara. Saya tidak mahu gopoh dan tentunya saya elak daripada bersifat gelojoh. Saya lebih suka untuk bersabar dan cuba lakukan yang terbaik buat semua yang ingin bekerjasama dengan saya. Banyak perkara yang perlu saya timbangkan. In syaa Allah, akan ada lagi karya-karya saya yang akan dipentaskan di skrin-skrin kecil atau besar.

Bagi peminat drama Selamat Malam Kekasih, jom kita lihat scene seterusnya, apa yang akan terjadi pada Misyal dan Maya jam 10 malam ini di TV Al Hijrah.

Wassalam.

                                    Maya
                                       Misyal

Monday, September 02, 2013

Bunga-Bunga Kemboja - Episod Terakhir

Assalam semua

Semalam merupakan hari yang aktif buat saya dan suami. Merata-rata kami pergi, sampailah ke Jeram untuk menghadiri majlis perkahwinan anak seorang teman. Sampai di sana, apa lagi, saya berebut sekejap ke Kuala Selangor dan pergi ke Pasir Penambang, pergi beli ikan masin, udang kering dan macam-macam lagi. Sempat juga beli karipap dan pulut panggang untuk ibu saya. Ibu saya memang suka makan pulut panggang kat situ. Rasanya sama macam pulut panggang utara.

Malam tadi, kami ke majlis perkahwinan anak jiran. Barulah saya sempat untuk bertemu dengan jiran-jiran saya. Memang dah lama tak jumpa pun. Alhamdulillah.

Okeylah, saya tak boleh berlama-lama di sini sebab ada kerja yang perlu saya lakukan.

Bagi anda yang follow drama Bunga-Bunga Kemboja, jangan lupa untuk menonton episod terakhir pagi ini, jam 11.30 pagi di TV1. Semoga anda berpuas hati.

Wassalam.


Sunday, September 01, 2013

Kahwin Lagi

Assalam

Bagi anda yang mahu menonton drama bersiri Bunga-Bunga Kemboja tetapi tak berkesempatan, anda boleh tonton di YouTube selain daripada MyKlik RTM. Untuk drama Selamat Malam Kekasih pula, setakat ini kami tak dapat buat apa-apa. Drama SMK ada lagi dua episod sebelum selesai ceritanya dan drama BBK pula, hari Isnin ini akan menayangkan episod ke 13 atau yang terakhir, pada jam 11.30 pagi di TV1. Saya diberitahu bahawa drama itu akan diulangtayang di TV2 kemudiannya, in syaa Allah.

Hari ini, saya akan kesibukan menghadiri majlis perkahwinan kaum kerabat dan anak-anak teman baik, termasuk anak jiran. Jadi, dari pagi sampai malam, kami akan ke sana dan ke sini, harap-harap tidak tersangkut dalam kesesakan lalu lintas.

Okeylah, sehingga berjumpa lagi, sama-samalah kita doakan yang terbaik buat kita semua.

Wassalam.

                        Gambar cilok ni...