Assalam
Semalam, saya ke Bangi sekali lagi. Tapi kali ini pergi lepak-lepak sambil bershopping sikit-sikit, bukan shopping bersungguh-sungguh. Sebenarnya kadang-kadang saya malas nak shopping sangat sebabnya almari saya dah penuh, dah sesak. Takut berdosa pulak. Jadi hari ini saya dan adik saya, kami mula mengemas wardrobe saya. Keluarkan semua yang saya tak mahu pakai lagi dan menyusun semula apa yang saya suka sahaja. Yang tak mahu tu, saya akan mula sedekahkan.
Sebenarnya saya punyai empat lima kotak besar lagi yang berisi pakaian lama yang saya nak sedekahkan, tapi sedang mencari tempat dan masa. Mungkin dah ada idea kot. Kadang-kadang tukang urut saya akan mengambil sikit-sikit untuk bawa pulang ke Indonesia. Jauh tu... tapi tak apalah asalkan ada yang menggunanya. Ada tu masih sangat elok dan ada yang saya tak pakai pun. Bukannya apa, kadang-kadang kita beli tapi ubah fikiran. Adoi... membazir tu! In syaa Allah akan ada yang menggunannya nanti. Malah, pakaian suami saya pun banyak yang kami mahu sedekahkan sebab baru-baru ini saya pastikan dia ubah wardrobenya. Bosan dengan yang lama.
Hari ini saja saya nak bersembang tentang kedudukan orang perempuan di dunia ini. Wanita ini dijadikan Allah swt untuk TIDAK disia-siakan. Dari baby hingga ke akhir hayat, ada harganya. Sebaik Allah jadikan Adam, Allah wujudkan Hawa kerana Allah tak mahu Adam sunyi. Yang menariknya, Allah jadikan seorang Hawa, tidak dua tidak Hawa buat Adam. Itu bermakna Allah swt tahu yang satu Hawa memang dapat melengkapkan hidup Adam. Itu fitrahnya.
Sebagai anak, biasanya kaum perempuanlah yang banyak membantu ibu bapa. Malah, kebanyakan ibu bapa yang tua memilih untuk tinggal dengan anak-anak perempuan bukan dengan anak-anak lelaki. Mungkin kerana hati anak perempuan jauh lagi lembut dari hati anak lelaki. Tetapi banyak juga menantu lelaki yang baik hati kerana sudi memelihara ibu bapa isteri mereka. Sebagai isteri pula, wanitalah yang melengkapkan kehidupan suami mereka. Mereka melahirkan anak-anak, menjaga harta benda suami, menjaga makan minum suami dan pelbagai hal lain yang diuruskan wanita. Sebagai ibu, wanitalah yang banyak berkorban untuk anak-anak. Secara keseluruhan, wanita diberi nilai yang tinggi oleh Allah hinggakan dikatakan 'syurga di bawah telapak kaki ibu' dengan syarat ibu itu merupakan ibu yang solehah dan beriman.
Tetapi, mengapa agaknya ada kaum wanita yang tidak menghargai diri mereka sendiri?
Saya sangat bersimpati kepada wanita-wanita yang tidak memberi nilaian yang saksama pada diri mereka. Sekalipun Allah meletakkan mereka di tahap yang tinggi, ramai kaum wanita yang membawa tahap itu ke bawah. Mereka sanggup menukar harga diri dengan material atau wang ringgit. Mereka sanggup jatuhkan maruah hanya kerana gilakan 'harta' orang. Mereka sanggup jaja diri sana sini hanya untuk dapatkan hiburan yang sementara. Sungguh sedih tetapi inilah realiti. Ramai wanita yang lupa daratan dan sanggup memilih untuk menjijikkan diri mereka hanya kerana 'material' atau nafsu.
Bagi semua wanita yang ada di laur sana, jom kita naikkan taraf kita di dunia ini dengan memilih untuk menaikkan nilai diri kita sendiri. Jangan lakukan apa-apa yang merugikan maruah dan diri. Jangan 'mensampahkan' diri kita takut nanti kita hanya dapat duduk dalam tong sampah sahaja. Jom kita berdoa agar Allah mengampunkan segala dosa kita dan tunjukkan jalan yang lurus. Naikkanlah maruah dan imej kita sebagai wanita solehah. Aamiin.
Wassalam
Sekadar hiasan