Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Friday, April 06, 2012

Aku Cintai Dia


Salam semua

Hari ini dah pun hari Jumaat. Alhamdulillah, kita masih berada di dunia fana ini.

Mesti anda yang rajin ke blog ini akan tertanya-tanya, hari ini apa tajuk perbincangan Kak Aina, kan? Huhu... hari ini mungkin malas nak cerita pasal hal rumah tangga. Malas juga nak bercerita tentang hal cintan-cintun. Apa pun, saya sebagai seorang isteri yang telah dianugerahkan Tuhan seorang suami yang baik hati, ingin panjatkan perasaan syukur alhamdulillah. Saya hargai nikmat yang diberikan Allah SWT. Ada ketika kami senang, ada masa kami susah juga (dalam erti kata yang luas) dan kami harungi bersama-sama. Dia sentiasa menjadi semangat saya dan saya harap akan terus menjadi teman hidup hingga ke syurga.

Okeylah, pada hari Jumaat ini, mungkin elok juga kita perhatikan apa yang sedang berlaku di sekeliling kita. Ada di antara kita berasa sangat selamat, atau mungkin berasa sangat yakin dengan kehidupan hari ini. Ada pekerjaan, ada pendapatan lumayan, ada tempat tinggal, ada kenderaan, ada makan minum, ada teman, ada keluarga... jadi hendak apa lagi, kan? Tentu kita tak mahu fikir sekiranya sesuatu terjadi pada kita dan kita hilang semuanya, atau sekadar sebahagian sahaja. Kita mungkin hilang pekerjaan dan bila hilang pekerjaan, secara automatik juga macam-macam akan hilang, termasuk kawan-kawan yang pernah rapat dengan kita.

Pernah tak kita terfikir sekiranya tiba-tiba sahaja kita jatuh sakit? Kalau sakit biasa-biasa, okeylah, mungkin dalam masa yang pendek kita mampu pulih semula. Tetapi apa akan terjadi sekiranya kita kena sakit yang berpanjangan atau kena sakit yang ganas yang orang kata 'terminal'? Tak mampu diubati. Mesti kita jadi takut, kan?

Apa akan terjadi? Mungkin kita tak akan bekerja lagi. Mungkin kita hilang pendapatan sedangkan kita sedang sakit. Mungkin kita hilang kawan dan mungkin juga tak ada saudara-mara kita yang kisahkan kita pun. Tentu sekali kita berasa sunyi dan sepi, apatah lagi takut untuk berdepan dengan satu kematian.

Saya sekadar bercerita untuk mengingatkan diri saya bahawa kita hidup di dunia yang sementara. Tiadak ada apa-apa di dunia ini yang menjadi hak mutlak kita, semuanya pinjaman belaka. Selagi kita ada, kita mungkin berasa selesa dan bahagia. Kita mungkin terlupa bahawa kita mampu hilang semuanya, termasuk semua harta benda dan nyawa kita.

Kadang-kadang, kita taksub untuk menjadi kaya-raya, cuba kumpulkan harta tinggi menggunung. Namun dalam sekelip mata juga, harta yang menimbun mampu hilang bak kabus yang hilang bila mentari bercahaya. Tak tahu ke mana perginya.

Namun, hati ini bahagia dan tenang kerana Dia ada di samping kita siang dan malam. Pagi-pagi lagi sebaik mata kita celik, kita ucapkan nama-Nya, kita ucapkan rasa syukur kerana masih bernafas. Kita menyembah-Nya, kita berdoa. Bila teringat pada-Nya, kita ucap lagi nama-Nya, siang dan malam. Sekalipun tak ada apa-apa, selagi ada Dia, kita akan jadi tenang dan tetap bahagia, kerana akhirnya nanti, kita semua akan kembali pada-Nya.

Aku cintai-Mu, ya Tuhanku.

Wassalam.