Assalam
Sesungguhnya kita semua berada dalam kerugian kecuali sekiranya kita menggunakan masa dengan sebaik mungkin. Allah SWT telah mengingatkan kita agar jangan membuang masa. Pun begitu, pastikan masa itu digunakan untuk kebaikan dunia akhirat, bukan sekadar untuk dunia sahaja.
Masa berjalan dengan pantas, dari saat ke saat, minit ke minit, hari ke hari, bulan ke bulan dan tahun ke tahun. Mengikut kalendar yang kita gunakan, esok akan berubah tahun. Mungkin tak ada bezanya tahun depan dengan tahun ini, kerana masa tetap berjalan seperti biasa, cuma kita sahaja mungkin akan terasa perbezaannya kerana setiap kali masa berubah, hidup kita pasti akan turut berubah juga. Tidak pernah statik.
Semoga kita jadilah insan yang sentiasa bertakwa, sentiasa mengingati Allah SWT, semoga kita menghargai masa, menghargai semua yang ada di sekeliling kita, menghargai waktu anugerah Ilahi dan kesempatan untuk berada di bumi ini. Semoga kita menjadi manusia yang tidak leka, tidak tamak holaba, tidak jahil dan zalim, tidak bakhil, tidak hanya fikirkan diri sendiri, tidak menjadi manusia yang suka mengambil kesempatan pada orang lain untuk kepentingan diri. Apa jua yang kita lakukan, kita wajib ingat bahawa Tuhan sentiasa melihat bukan sekadar perbuatan kita tetapi hati dan jiwa kita.
Semoga tahun 2014 menjadi tahun yang jauh lebih baik buat kita semua. Amin.
