Assalam
Adakah kita jenis insan yang selalu bersyukur? Atau adakah kita jenis manusia yang suka merungut-rungut, jenis yang rasa kita sentiasa kekurangan kalau dibanding dengan orang lain?
Kebetulan, dua tiga hari yang lepas, saya mendengar seorang ustaz yang bercerita tentang apa yang Allah suka bila hambanya dibicarakan. Allah swt suka pada manusia yang selalu bersyukur sekalipun dalam keadaan yang kekurangan. Allah tidak suka pada mereka yang hanya pentingkan diri sendiri dan kerana perasaan haloba yang ada itu, sanggup buat apa sahaja asal dirinya beruntungan, walaupun akibat perbuatannya akan ada yang sengsara atau merana. Astaghfirullah.
Semoga kita merupakan insan-insan yang rajin bersyukur tidak kira apa keadaan kita.
Hari Jumaat yang lepas, saya berkesempatan untuk mengunjungi sebuah rumah tumpangan di kawasan Puchong, buat orang tua-tua yang tidak bertempat untuk berteduh. Rumah ini dalam keadaan yang agak daif, terpaksa menumpangkan orang-orang tua yang tidak ada tempat dan kasih sayang. Kebanyakan mereka berada dalam keadaan yang uzur dan daif. Saya pergi dengan seorang teman.
Melihat keadaan mereka itu, kami betul-betul insaf dan sangat bersyukur di atas semua kelebihan yang Allah berikan kepada kami berbanding mereka yang terpaksa menumpang di rumah itu. Apa-apa pun, kami juga tabik pada seorang ibu tunggal yang menjadi pengasas kepada rumah ini. Walaupun dia merupakan seorang ibu tunggal yang mempunyai anak-anak yang terpkasa dilindunginya seorang diri, namun dia sanggup mengorbankan tenaga, masa dan juga wang ringgit untuk melindungi orang-orang tua 'buangan dan terabai' ini. Subhanallah, semoga Allah swt limpahi rezeki dan berikan barakah tertinggi buat 'ibu tunggal' ini. Masya-Allah.
Semestinya manusia di dunia ini sangat berbeza-beza. Sekalipun dalam agama yang sama, namun hati budi tetap tidak sama. Ada yang sanggup lakukan apa jua demi agama dan kerana imannya, namun ada manusia yang hanya beratkan dirinya dan pentingkan hal dunia, hinggakan terlupa pada Akhirat. Mereka sanggup buang ibu bapa, sanggup meraih keuntungan dunia dengan apa cara, walaupun mungkin mereka akan sakitkan hati orang lain. Nauzubillah min zalik.
Sebenarnya, kalau kita belajar untuk mensyukuri hidup kita, sekalipun kita tidak kaya, barakah yang Allah limpahkan akan mengayakan budi dan hati kita. Walaupun dalam keadaan yang kurang, kita akan mampu hidup seperti orang lain sekalipun tidak mewah. Kalau kita bersyukur, gaji RM400 sekalipun mampu berkembang jadi RM4,000 sebulan. Tetapi kalau kita tidak bersyukur, gaji RM4,000 akan kecut menjadi kurang dari RM400. Betapa Allah Maha berkuasa untuk membantu hambanya yang sangat bersyukur dengan limpah kurnia-Nya. Subhanallah.
Semalam, saya sibuk mengunjung kaum kerabat yang sakit dan juga yang baru kehilangan suami. Insyaa-Allah, semoga ziarah seperti ini mampu merendahkan diri kita dan mengajar kita untuk rasa bersyukur.
Hari ini, saya dan keluarga akan meraikan seorang pelajar arkitek yang berasal dari Yemen untuk makan tengah hari di Kuala Lumpur, kerana semalam ialah hari graduasinya.
Wassalam.
sekadar hiasan
