Assalam
Hujan tak henti-henti, kan? Alhamdulillah cuaca sentiasa dingin, tak terlalu panas. Saya suka kalau hujan di malam hari, bila dah siang matahari pun menjenguk. Apa-apa pun semua yang dianugerah Ilahi semestinya merupakan yang terbaik. Tak payahlah merungut-rungut.
Ramai yang bertanya, hujung tahun tak ada rancangan nak ke luar negara ke? Hihi... memang tak akan ke mana-mana kot buat masa terdekat ni. Kami sedang kesibukan di Lenggeng dan banyak yang perlu kami lakukan, jadi masa memang tiada yang terluang. InsyaaAllah bila semuanya dah okey, barulah kami rancang untuk berjalan-jalan.
Dalam pada itu, saya sempat juga meronda-ronda di kawasan Lenggeng dan masuk ke kawasan orang asli. Memang cantiklah perkampungan mereka, siap ada sungai dan air terjun. Memang best betul! Malah, saya dan anak-anak sedang rancang untuk melepak di perkampungan orang asli sambil mungkin buat BBQ di Lenggeng! Wahhh... insyaa-Allah mesti seronok. Tak semestinya pergi 'overseas' sahaja yang best. Oh ya... nak ingatkan anda yang membaca entri ini, kalau nak kata 'overseas' pastikan tak tertinggal 's' nya, bukan 'oversea' tahu... kalau 'oversea', maknanya dah tak betul tu. Grammar tak tepat. Pagi ni nak jadi cikgu sikit... sebab pening kepala bila dengar orang kata 'oversea' tanpa 's'! Kalau drama Melayu... memang selalu sangat sebut tak betul dan tak tepat!
Kadang-kadang tu saya tengok di Instagram pun ramai yang suka nak tulis dalam bahasa Inggeris, tapi sayang 'grammar' tak betul. Bagi saya, kalau tak berapa pandai nak tulis dalam bahasa Inggeris, baiklah tulis bahasa Melayu sahaja. Orang yang baca pun tak akan pening kepala.
Begitu juga novel Melayu. Konon-konon nak masukkan dialog dalam bahasa Inggeris, tapi 'grammar' nya tunggang-langgang! Dik oi... tulis jer lah Melayu lagi baik. Yang membacanya nanti taklah malu sangat. Baik baca bahasa Melayu saja daripada baca yang ada Inggeris yang tak betul.
Okeylah... bukan nak mengata tetapi nak menegur supaya kita sama-sama belajar dan cuba buat yang terbaik, insyaa-Allah.
Take care everybody...
Wassalam.
