Salam, semua
Sejak kebelakangan ini, masyarakat kita semakin bimbang dengan perkembangan atau stail pasangan yang berumah tangga, seolah-olah menjadi trend untuk 'bercerai' walaupun usia perkahwinan masih muda lagi. Perkataan 'perceraian' sudah menjadi sesuatu yang terlalu biasa, apatah lagi surat khabar pun macam seronok bercerita tentang 'perceraian' mereka yang berada dalam golongan selebriti. Di bahagian depan cerita orang kahwin, di sebelahnya pula, cerita orang bercerai!
Tiada statistik tepat, tetapi jumlahnya agak besar di kalangan orang-orang Melayu. Hampir 30% akan mengalami keruntuhan rumah tangga dan jumlah ini mungkin lebih tinggi lagi. Sebab-musabab juga tak dapat dihuraikan dengan tepat. Masalah seperti 'kewangan' menjadi antara isu utama, masalah orang ketiga juga berperanan penting. Masalah keluarga, seksual, kelakuan dan macam-macam lagi yang menjadi isu pergolakan rumah tangga.
Dulu-dulu (masa saya remaja), memang jarang kita dengar orang bercerai-berai ni. Mungkin orang dulu-dulu takut untuk bercerai, terutama orang perempuan. Orang sekarang (perempuan) tak kisah kerana mereka mungkin berkeyakinan yang tinggi dan mungkin juga mereka (perempuan) kebanyakannya mempunyai pendapatan, jadi tak menakutkan untuk berada dalam keadaan 'perceraian'.
Lelaki pula, mereka ada yang tak kisah kerana berasakan orang perempuan boleh cari duit sendiri kalau bercerai pun.
Saya tak mahu menuduh sesiapa pun dalam hal ini, kerana kita sebagai manusia tentu mempunyai kelemahan dan kekurangan. Kekurangan inilah yang kadanga-kadang membebankan dan kita tak mampu berusaha untuk mengatasi masalah yang berdepan dengan kita.
Mengapa kita pilih untuk berkahwin? tentu sebab kita yakin akan bahagia dengan teman yang kita pilih, kan? tapi kenapa di separuh jalan kita ubah fikiran? tentu kerana masalah yang kita tak duga, kan?
Okeylah... sebagai orang perempuan, saya pasti kita tak mahu pilih untuk bercerai, kerana perceraian akan menjejaskan anak-anak (kalau adalah), juga emosi kita. Yang pasti, anak-anak 'perceraian' jarang hidup normal seperti anak-anak yang ada ibu dan bapa mereka bersama-sama mereka. Kanak-kanak, bila berada di rumah, inginkan kehadiran ibu dan ayah dan tanpa ibu dan ayah, mereka akan berasa kurang. Kekurangan itulah yang akan menjadikan mereka seperti tidak lengkap hinggakan ada kanak-kanak akan bersikap pelik (tidak normal). Pun begitu, sekiranya bernasib baik dan sekiranya ibu atau ayah memberi perhatian yang baik, anak-anak tidak akan terjejas sekalipun tidak hidup seperti orang lain (yang mempunyai ibu dan ayah tinggal sebumbung).
Tapi... macam mana nak berdepan dengan masalah rumah tangga? kita semua tahu mustahil orang berkahwin tak ada masalah. Tetapi, tidak mustahil untuk mengatasi semua masalah yang datang kepada kita. Kita tahu Tuhan tidak pernah janji untuk tidak beri kita masalah. Sekiranya kita anggap masalah yang timpa kita sebagai beban, maka jadilah ia beban. Tetapi kalau kita ajar akal dan fikiran untuk anggap ia sebagai nikmat, maka jadilah ia nikmat.
Nikmat? macam mana nak anggap masalah dan dugaan sebagai nikmat?
Bukan susah pun. Sebenarnya, kita akan tahu satu hari nanti bahawa segala dugaan yang datang kepada kita sekarang ini, adalah pengajaran buat kita. Kita belajar untuk terimanya dan kita akan menjadi manusia yang lebih matang kerana dugaan itu mengajar hati kita, perasaan kita, jiwa kita, juga akal kita untuk mencari cara bagi mengatasinya. Itulah yang akan mematangkan segala-galanya. Bukankah itu namanya nikmat?
Okeylah... nanti saya akan sambung lagi. Bukan tujuan saya untuk mengajar, tetapi untuk berkongsi cerita dan pengalaman, semoga ia akan membantu kita untuk menempuhi segala dugaan dalam hidup, insya-Allah.
Apa pun, belajarlah untuk bersabar. Itu adalah kunci untuk mengatasi segala masalah. Belajar juga untuk sentiasa bersyukur.
Wallahua'lam.