Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Tuesday, April 03, 2012

Karyawan Ada Tanggungjawab Berat

                           Sekadar Hiasan

Salam

Saya percaya, bahawa kita yang berkarya ini, ada tanggungjawab berat pada masyarakat, terutama apabila masyarakat itu beragama Islam. Kita tak boleh berkarya ikut sesuka hati, konon-konon mahu jadi orang yang kreatif, hinggakan tak sedar bahawa karya kita itu mungkin mampu mendatangkan mudarat kepada yang membaca, mendengar atau melihat.

Sememangnya kita boleh berkreatif kerana orang seni memang itulah kelebihannya, ada kreativiti. Pun begitu, bila kita mahu berkreatif, pastikan karya kita atau produk kita itu tidak membawa keburukan kepada masyarakat yang cuba menghayati karya kita.

Misalnya, kalau kita membuat filem, pastikan apa yang ditonton orang ramai tidak akan mendatangkan kesan negatif. Karya seperti filem, mampu mempengaruhi akal fikiran penonton, terutama yang muda. Perkara-perkara yang 'trendy' akan menjadi ikut-ikutan. Kalau ada unsur-unsur lawak, statement dan dialog boleh meninggalkan kesan pada minda. Jadi, kalau kita buat filem lawak bodoh, kalau selalu sangat masyarakat melihatnya, mereka akan terikut-ikut dan merasakan bahawa 'karya' berkenaan sangat sesuai dengan kehidupan harian mereka.

Banyak karyawan kita sangat taksub dengan produk yang komersial, hinggakan mereka takut untuk 'berseni', tetapi okey sahaja bila membuat karya 'komersial' hinggakan karya berkenaan tidak meninggalkan apa-apa kesan positif untuk penonton. Sekadar hiburan sahaja. Malah, penonton dibiarkan untuk tidak berfikir.

Bukan hanya filem, tetapi drama-drama juga yang ditayangkan di televisyen. Produk-produk ini sangat besar pengaruhnya dan 'karyawan' sepatutnya bertanggungjawab, bukan sekadar menghiburkan penonton, tetapi pastikan karya mereka menggalakkan penonton untuk berfikir secara positif.

Termasuklah pembikinan lagu-lagu. Lirik lagu memainkan peranan dalam mendidik masyarakat, terutama mereka yang muda. Kita menggalakkan kasih sayang, tetapi bukan kasih sayang yang sumbang dan merosakkan anak muda kita. Dalam hal ini, biarlah mereka yang menulis dan membina lirik lagu menjalankan tanggungjawab yang besar untuk mendidik anak-anak kita, bukan mempengaruhi dalam hal-hal yang negatif. Kalau mereka yang sudah matang fikirannya, mungkin mampu menilai lirik-lirik lagu dengan cara positif, sekalipun apa yang dibentangkan itu merupakan negatif. Tetapi bagi anak-anak remaja yang kurang matang, mereka mudah terpengaruh dan merasakan bahawa mereka berhak untuk berlaku 'negatif' kerana ia merupakan 'trend' yang disoggokkan dalam minda tidak matang mereka itu.

Begitu juga peranan  kita yang menulis novel. Janganlah tulis ikut suka hati sahaja. Pastikan jalan cerita mempunyai mesej yang positif sekalipun ada unsur negatif. Janganlah mempengaruhi remaja kita dengan sesuatu yang akan merosakkan minda dan iman mereka. Kita sebagai orang yang berkarya, semestinya memikul tanggungjawab yang berat untuk mendidik remaja kita. Sekalipun kita menulis untuk menghiburkan, kita juga menulis untuk membawa pembaca ke arah kematangan dan positif dalam hidup. Jangan samakan diri kita dengan orang-orang Barat atau pemikiran zionis yang sangat berat kepada 'komersial' hinggakan mereka tak kisah kalau ada karya mereka yang mampu merosakkan masyarakat.

Jadi, kalau kita hendak membina watak hero dan heroin kita, janganlah kita bina mereka daripada golongan yang 'hina'. Biarlah watak-watak baik ini ditonjolkan kebaikan bukan kejahatan. Kalau orang baik juga punyai sifat jahat, jadi bila masa kita akan berjumpa dengan mereka yang bersifat baik? Perkara-perkara begini sangat mudah mempengaruhi remaja kita. Jangan biarkan anak-anak kita merasakan 'it's okay to be bad, because 'orang jahat' pun boleh jadi hero atau heroin.'

Nak berkarya, berkaryalah asal kita tahu tanggungjawab kita.

Wallahua'lam dan Wassalam.