Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Wednesday, October 26, 2016

Adil Ke Tidak Ya?

Assalam

Walaupun sibuk, saya tetap rindukan blog ini. Inilah tempat luahan hati saya... hehe...

Ah, saya nak bangkitkan soal yang satu ini. Adil ke tidak ya? Soalan ini adalah khas untuk kaum wanita di negara ini, terutama yang beragama Islam. Terlalu banyak yang merungut di luar sana, namun tak ramai yang berani meluahkan isi hati mereka apatah lagi untuk diketahui oleh pihak umum. Malu. Namun, dalam terasa malu itu, banyak hati yang disakiti dan terluka. Kenapa ya?

Perempuan di negara ini, rata-rata dianggap sebagai 'second class citizen' terutamanya bila dibandingkan dengan lelaki. Rata-rata lelaki diberikan hak yang lebih, konon-konon Allah swt yang berikan hak itu. Kerana 'perasan' yang mereka mempunyai hak istimewa ini, maka bagi mereka 'kaum Hawa' tak punyai hak yang serupa. Betul ke ni? Puas saya cari ayat dalam al Quran yang mengatakan bahawa Allah swt memberi hak lebih pada lelaki. Yang saya jumpa ialah ayat mengatakan bahawa Allah swt itu maha Adil dan semestinya memberi hak yang sama rata pada lelaki dan perempuan dalam mengukur pahala dan dosa. Kalau lelaki buat dosa, mereka tanggung sendiri dan kalau wanita buat dosa, mereka juga tanggung sendiri. Allah swt tak pernah berat sebelah. Masing-masing punyai tanggungjawab sendiri dalam dunia ini, selagi niatnya baik dan hati baik, maka baik jadinya. Tapi kalau niat tak baik, maka tak baiklah jadinya.

Kalau sesiapa pun yang membohong, menipu, membelit... maka hukumnya tetap berdosa dan haram. Jadi... di manakah letaknya hak istimewa lelaki? Boleh menipu? Boleh membelit? Boleh mengabaikan keluarga? Boleh pukul isteri? Boleh tindas isteri? Boleh ambil hak atau harta isteri? Boleh hina isteri?

Yang peliknya di negara ini, rata-rata mereka yang mempunyai kuasa adalah kaum lelaki, maka biasanya juga mereka akan jadi 'bias' pada lelaki, konon-konon lelaki punyai hak istimewa itu dan ini, maka bolehlah buat apa-apa sesuka hati! Nauzubillah min zalik.

Kalau isteri keluar rumah tanpa izin suami dikatakan nusyuz... tapi kalau suaminya mendera isteri, itu apakah agaknya? Apa wajibkah isteri tunggu sekalipun suaminya zalim?

Kalau kita percaya bahawa Allah swt itu maha Adil, janganlah kita percaya bahawa perempuan boleh dizalimi lelaki ikut suka hati.

Kalau kita dizalimi, tiada hal dalam soal 'taat' atau soal 'setia'. Apa perlu taat seorang isteri kalau suaminya zalim? Tidak ada di mana-mana dalam al-Quran yang membenarkan sesiapa jua berlaku zalim pada insan lain. Zalim tetap zalim!

Percayalah, Allah swt itu sangat Adil dan percayalah selagi kita tidak melakukan kesalahan, maka kita punyai hak untuk melindungi diri dan mencari keadilan.

Wassalam.