Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Saturday, June 18, 2011

Hentam Kawan Di Facebook


Salam

Tak habis-habis saya akan bincangkan pasal laman sosial ni. Saya tak tahulah kenapa, tetapi selalu sangat saya dengar kisah bagaimana laman sosial seperti Facebook (FB) mudah sangat dijadikan tempat orang menyebar cerita karut-marut, mengaibkan dan menjatuhkan maruah orang lain dan macam-macam lagi yang tak elok, dengan sengaja dipaparkan untuk tontonan orang lain.

Sebenarnya saya memang tidak faham dengan orang-orang yang suka guna apa-apa ruang di Internet untuk sengaja memburuk-burukkan keadaan kerana dendam lama. Bertambah menghairankan kalau ia dilakukan oleh orang-orang yang menganggap diri mereka bijak pandai.

Sebenarnya kita boleh mengisahkan sesuatu keadaan atau teguran di laman-laman sosial ini, tetapi kita perlu lakukan dengan cara yang paling profesional. Kalau ada perkara yang kita tak puas hati, kita boleh bicarakan hal itu, namun kita perlulah ada bukti-bukti yang sah, tidak sekadar baling batu dan sembunyikan tangan, tidak sekadar buat tuduhan tanpa bukti dan kita perlulah melakukannya dengan adil.

Kalau kita nak lakukan atau bincangkan satu-satu perkara itu, janganlah kita main hentam sahaja, ikut mulut nak cakap apa dan akhirnya menyakitkan hati orang. Kerana perbuatan kita itu akhirnya nanti mungkin akan 'backfire'... itulah kata orang putih.

Adalah kisah ini yang disampaikan oleh seorang teman. Dia bercerita tentang pergaduhan yang berlaku di laman Facebook antara sekumpulan teman-teman. Kerana percakapan dan ayat-ayat bisa yang diaturkan di laman berkenaan, maka terjadilah satu perkelahian yang berpanjangan. Padahal mereka semua pernah merupakan teman-teman!

Malang sungguh kalau kita sengaja menggunakan laman sosial untuk kenakan kawan-kawan kita atau menjatuhkan maruah kawan-kawan kita. Entahlah... bagi saya kalau kita lakukan begitu, satu hari nanti mungkin kita juga akan dilakukan begitu oleh orang lain pula.

Sebetulnya, kalau ada perkara yang kita tak senang tentang kawan-kawan kita, eloklah kita berbincang secara berterus terang dan secara berdepan daripada kita paparkan apa-apa yang kita tak senang itu di laman sosial seperti Facebook.

Tapi... mungkin dah jadi trend orang sekarang suka menghentam di ruang Facebook. Laaa... kot iya pun, takkan kawan sendiri pun kita nak tembak kat Facebook? Habis tu nanti nak kawan dengan siapa lagi? Mesti semua orang takut nak kawan dengan kita kalau begitu sifat kita yang suka hentam kawan sendiri.

Wallahua'lam.