Semua orang berkata yang anak perempuan hari ini jauh lebih pandai dan jauh lebih rajin daripada anak lelaki dan kerana itulah Institusi Pengajian Tinggi kita hari ini dipenuhi anak-anak perempuan sementara anak lelaki berada entah di mana-mana. Memang betul ini merupakan sesuatu yang luar dari adat biasa. Kalau kita terus biarkan, mungkin satu hari nanti, lebih ramai anak perempuan kita tak berkahwin kerana tak dapat mencari suami yang sesuai sebagai pasangan dan mungkin akan ramai anak lelaki kita akan menjadi 'house husband' kerana isteri mereka lebih berkemampuan daripada mereka.
Saya tak tahu dengan tepat mengapa fenomena ini terjadi dalam masyarakat hari ini, tetapi saya percaya anak-anak lelaki kita sebenarnya jauh lebih bijak daripada anak perempuan, tetapi kerana sistem pendidikan kita yang terlalu pentingkan penghafalan, maka ramai di antara mereka tercicir. Budak lelaki tidak suka menghafal. Budak lelaki juga lebih suka melihat gambar daripada membaca tanpa gambar. Banyak perkara yang boleh membezakan cara pembelajaran budak lelaki daripada perempuan dan kerana itu, kalau ibu bapa tak ambil kisah, anak lelaki pasti akan ketinggalan. Kalau itu yang terjadi, mungkin satu hari nanti, kita akan mengalami keadaan yang sangat berbeza dan mungkin payah untuk diperbetulkan. Fikir-fikirkanlah!