Hari yang mendung, namun kita tetap bersyukur kerana tiada mendung tiada hujan. Hujan itu membawa rahmat buat kita semua kerana tanpa hujan, kita tak ada air sedangkan tanpa air manusia mungkin mati.
Yang buruk itu tak semestinya tidak cantik, kerana di dalamnya tiada yang tahu kecuali Allah swt. Kadang-kadang kita melihat kepada satu wajah yang mungkin bagi mata kita tidak kelihatan cantiknya, namun si 'tak cantik' itu mempunyai pasangan yang luar biasa baiknya kepada diri si tak cantik, kerana mungkin juga di dalam si tak cantik itu semuanya indah belaka.
Iya betul, kadang-kadang kita melihat pada satu wajah yang kita kurang senang, tetapi apabila kita mengenali dirinya barulah kita sedar bahawa di dalam dirinya itu sangat indah hinggakan mata kita juga turut berubah pandangannya. Kini mata kita mampu untuk melihat akan kecantikannya itu. Subhanallah.
Pun begitu, memang malang sungguh kalau kita tak mampu untuk mencantikkan di dalam diri kita. Akhlak buruk, kelakuan buruk, perangai buruk... maka apa-apa yang tak nyaman di luarannya akan menjadi bertambah buruk. Malah, yang cantik juga mampu untuk kelihatan sangat buruk. Misalnya, mungkin kita berasa hairan apabila melihat seseorang yang dari luarnya kelihatan sangat cantik tetapi tak mampu untuk berkawan dengan orang lain, apatah lagi untuk dapatkan pasangan atau kekalkan pasangan. Mungkin sahaja di luar yang cantik, tetapi di dalamnya banyak yang tak indah. Sebagai contoh, perangai busuk hati dalam diri, atau perangai materialistik yang terlalu pentingkan 'duit' dan kebendaan, mungkin juga kelakuan yang suka menunjuk2 atau perasan bagus dan cantik... kadang-kadang mampu merimaskan orang lain, apatah lagi kalau punyai perangai yang 'tergedik', lagilah buat orang lain tak senang dengannya.
Jadi... biarlah kita bersihkan dan indahkan apa yang ada di dalam hati kita. Biarlah kita punyai perangai dan akhlak yang baik, biarlah kita memberi nilaian yang tinggi buat diri kita hinggakan mampu untuk mengeluarkannya di wajah kita. Biarlah orang lain senang dengan tingkah laku kita dan perangai yang serba sederhana. Biarlah orang sedar yang kita bukan jenis cerewet semuanya tak kena dengan kita. Perkara-perkara seperti inilah yang akan menaikkan nilai diri kita.
Kalau kita sombong atau perasan bagus atau kita rasa negeri yang kita diami atau asal kita itu jauh lagi baik daripada orang lain, mungkin kita tak kelihatan indah di mata orang lain!
Fikir-fikirkanlah... sekalipun mungkin kita dianugerahkan wajah cantik, tak semestinya orang suka. Apatah lagi kalau kita memang tak cantik dan punyai perangai yang buruk, maka bertambahlah buruk jadinya kita. Nauzubillah min zalik.
Cantikkan lah diri kita di luar dan di dalam, agar semua orang senang dengan kita, insyaa-Allah.
Wassalam.
Biar nampak cantik luar dan dalam - sekadar hiasan.