Seperti biasa, apabila sekolah ditutup untuk memberi ruang kepada anak-anak dan guru-guru mereka berehat, inilah masanya famili mengaturkan majlis kenduri kahwin untuk anak-anak mereka. Maklumlah untuk memudahkan kaum kerabat datang dari jauh. Malah, malam tadi pun saya dah menghadiri jemputan seorang rakan lama. Saya bertemu keluarga ini semasa kami di England dulu. Sama-sama melalui detik-detik manis dan pahit bersama dan sehingga kini, kami masih rapat. Walaupun anak mereka lebih muda daripada anak kami, nampaknya mereka lebih dulu mendapat menantu.
Dalam begitu, saya juga berasa sedih kerana pada Jumaat petang, semasa saya menjemput anak saya pulang dari solat Jumaat, saya terserempak dengan sebuah kemalangan. Salah seorang teman sekolah anak saya telah dilanggar orang semasa berjalan kaki untuk pulang ke rumah. Rumahnya terletak dekat sahaja dari sekolah. Yang sedihnya, kanak-kanak perempuan tingkatan dua itu, sebaik sahaja dilanggar kereta yang dipandu oleh seorang wanita, telah koma dan seketika kemudian telah kembali kerahmatullah.
Harap-harap, kita yang sibuk dengan suasana seronok di musim cuti sekolah ini, sentiasalah berwaspada. Maklumlah, kemalangan mungkin berlaku di mana-mana sahaja. Pastikan anak-anak sentiasa diberi perhatian.